Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain Khas Untuk Pelajar Sekolah Menengah

.
0 comments

klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas

Melangkah ke tahun baru 2011 pelbagai azam dan tekad dibuat. Seperti orang lain saya juga mahu melakukan sesuatu yang akhirnya mudah-mudahan menjadi bekalan buat saya di alam baqa' sana. Saya telah berceramah ke ceruk tempat dan merata tempat, berprogram dengan pelbagai modul, membentang pelbagai kertas kerja tetapi semua itu masih belum memberi kepuasan dalam kerja dakwah yang saya buat. Saya bukan sekadar mahu mendekati remaja bahkan saya mahu membina remaja yang sama-sama sedar akan tugas dan tanggungjawabnya untuk memikul bersama dakwah sebagai kerja yang mulia ini.

Saya melayangkan idea yang mungkin ramai yang telah terfikir sebelum ini namun mungkin kerana kekangan yang wujud masing-masing menangguhkan hasrat tersebut. Berbekal sedikit wang yang saya kumpul yang saya yakin ianya tidak akan kekal , walau berjuta jumlahnya maka saya cuba mengeluarkannya untuk usaha yang sedikit tetapi bukan dengan modal yang sedikit pada saya. Harapan saya cuma satu, biarlah perjalanan ini adalah perjalanan yang meniti redha Allah SWT.

Hasrat saya dengan pengajian ini akan mampu melahirkan pelapis Imam Muda, Daie Muda dan Pemuda yang cintakan Islam. Jika anda tidak punya anak untuk dihantar, tolong iringi dengan doa buat diri saya dan rakan-rakan agar terus thabat membina generasi akan datang. Bercakap, berteori sahaja tidak menyelesaikan masalah yang sangat dahsyat pada hari ini. Sekurangnya kita usaha memadamkan maraknya api yang membara ini sekali pun dengan sebaldi air tetapi nilaiannnya Allah sahaja yang selayaknya membalas.

Imtiyaz Tarbiyah Centre adalah kesinambungan kerja motivasi yang pernah dilakukan sebelum ini. Saya masih menerima jemputan untuk pengisian di peringkat sekolah, universiti, masjid, dan surau, persatuan, syarikat swasta, kerajaan dan sebagainya dengan pelbagai modul training yang sesuai mengikut lapisan umur dan latar belakang. Doakan saya dan rakan-rakan merealisasikannya.

Lobai-lobai !!! Manfaatkan Kebijaksanaan Syeikh Murtadza

.
1 comments



Semalam 5 September 2010 Masjid Ampangan meraikan majlis khatam Al-Quran dan Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Syeikh Murtadza b Syeikh Ahmad, Mantan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan. Tazkirah yang disampaikan dengan edaran kertas yang memang menjadi kebiasaannya semenjak menjadi Mufti dahulu lagi. Jika dahulu ketika menjadi Mufti mungkin ramai yang menyangka kertas yang dibawa adalah cetakan pejabat, tetapi menurut rakan yang bekerja di Jabatan Mufti kertas edaran yang diberikan oleh Syeikh Murtadza adalah dengan menggunakan duitnya sendiri tak 'claim' pejabat pun. Bukan sehelai dua tapi hampir 10 sehelai kadang-kadang.


Saya benar-benar mengkagumi beliau pada usia sebegitu masih gigih menyumbangkan ilmu kepada masyarakat sehingga isterinya menasihatkan beliau agar berehat namun katanya Doktor tidak membenarkan berbuat begitu. Biarkan sahaja Syeikh Murtadza sibuk, bila sibuk badannya lebih sihat.

Seperkara yang menarik ketika beliau menjadi Mufti adalah mempermudahkan segala urusan yang berkaitan dengan usaha penyebaran ilmu. Banyak buku terbitan diusahakan di bawah Jabatan Mufti termasuk yang berkait dengan Fiqh, Tauhid dan Tasauf. Beliau menyarankan para 'lobai' menggunakan buku terbitan Jabatan mufti agar lebih mudah menyelaraskan kefahaman masyarakat terutama dalam masalah Fiqh. Beliau lebih suka mengambil pendekatan keluar dari masalah khilafiah terutama dalam soal furuk. Sebab baginya menyelesaikan masalah ummat yang lebih besar lebih utama dari membincangkan soal furuk.

Beliau meraikan semua orang kerana baginya beliau sekadar memegang amanah dari Allah dan mungkin juga yang hadir itu adalah orang yang diutus Allah untuk mengujinya. Beliau memberikan perlepasan kepada mana-mana 'lobai' yang ingin mencurahkan ilmu asal sahaja tidak menyerabutkan pemikiran masyarakat. Baginya, dengan jumlah masyarakat Negeri Sembilan yang berjumlah hampir 500 ribu (lebih kurang) tak mungkin beliau boleh mengajar kesemuanya. Mungkin sekitar 1000 ke 2000 orang sahaja yang dapat mengikut kuliahnya. Sebab itu urusan tauliah mengajar dipermudahkan bagi memikul sama amanah menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Aduan sinis dari masyarakat ditepis dengan penuh hikmah. Beliau memberi jalan keluar yang sangat mudah dan praktikal. Bila ada aduan mengenai imam atau para ustaz yang beliau ketahui masalahnya, jawapan mudahnya ' apa kata kau saja ganti tempat dia' Memang ada benarnya siapa yang nampak kesalahan itu adalah orang yang ada ilmu maka selayaknya biarlah di sahaja yang naik menggantikan. Langsung terdiam orang yang mengadu. Pendek kata, selagi para ustaz tersebut tidak melakukan perkara yang besar dan ada ruang untuk diplomasi itulah yang akan digunakan.

Pernah ada pertanyaan dari seorang jawatankuasa masjid mengenai kedudukan seorang ustaz yang menjadi calon dalam pilihanraya adakah masih boleh dipanggil mengajar atau tidak. Jawapannya mudah dan sangat menikam " Kenapa tak boleh? Bila dia bertanding pilihanraya dia jadi bodoh terus ke ?

Banyak lagi. Saya yang jarang bersamanya pun dapat manfaatnya apa lagi yang mendampinginya. Yang sukar diganti adalah hikmahnya. Semoga Allah terus memberi kekuatan dan kesihatan kepada beliau dan semua 'lobai' di Negeri Sembilan mesti mengambil nasihat untuk tujuan dakwah di Negeri Sembilan ini. Jangan syok sendiri rasa diri hebat dan betul. Pergilah sesekali menemui ulama sebegini, pasti banyak perkara yang boleh menjadi titik muhasabah untuk diri kita ...

Selamat Hari Raya Bagi Yang Beroleh Rahmat, Keampunan dan Pembebasan Api Neraka ..

.
1 comments

Berdasarkan Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah :

وهو شهر أوله رحمة وأوسطه مغفرة وآخره عتق من النار

Selamat Hari Raya. Tetapi ucapan ini mungkin hanya layak bagi mereka yang berjaya. Kerana Aidul Fitri adalah hari meraikan kejayaan bermujahadah selama sebulan. Istimewanya hari ini sehingga diharamkan kita berpuasa. Siapakah insan yang layak meraikannya ..? Apakah kita telah melalui ramadan ini dengan jayanya atau sekadar memenuhi adat kebiasaan.

Selayaknya ramadan menjadi anugerah yang sangat dinanti oleh orang yang beriman. Nabi SAW menyatakan anugerah ramadan ini dengan menjanjikan sesuatu yang menjadi kerinduan bagi insan yang beriman. Rahmat, Keampunan dan Pembebasan Api Neraka.

Oleh kerana segala anugerah itu berbentuk maknawi dan tidak terlihat maka jiwa ubudiah sepatutnya tidak boleh rasa penat dan terhenti memburunya. Pemburuannya tidak terhenti dengan berlabuh tirai ramadan bahkan berterusan sehingga waktu ajal yang dijanjikan.

Rahmat

Tiada yang lebih menjadi kerinduan bagi orang yang beriman melainkan apabila beroleh rahmat dari Allah. Rahmat yang meyaring dan membezakan kedudukan seorang insan di sisi Allah. Apakah mungkin kita hari ini berada di dalam ketenangan jika tidak kerana anugerah rahmat Allah. Saling mengasihi dan merasa tanggungjawab semuanya atas rahmat kurniaan Allah. Justeru bagi mereka yang beriman memperolehi rahmat Allah adalah sesuatu yang sangat istimewa. Sebesar rahmat kurniaan Allah kepada kita dan seluruh ummat manusia adalah pengutusan Nabi Muhammad SAW. Bukankah Allah menyatakan di dalam Al-Quran

“Dan Kami tidak mengutuskan engkau melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam” (Al-Anbiya':107)

Kerana rahmatnya yang agong ini kita memperolehi segala kenikmatan yang tidak terhingga pada hari ini. Biarpun mungkin ramai yang tidak menyedarinya inilah sebenarnya hakikat yang perlu disyukuri. Namun persoalannya apakah kita termasuk di kalangan golongan yang menghargai rahmat Allah ini. Di Dalam Hadis lain Nabi SAW pula menyebut betapa seorang mukmin yang ingin ke syurga juga perlu menanti rahmat dari Allah SWT :

"Amalan seorang dari kalian tidak akan memasukkannya ke dalam surga", para shahabat bertanya:"Begitupula engkau wahai Rasulullah?", begitupula aku, kecuali Allah meliputiku dengan kemurahan dan rahmat dari-Nya". (HR Muslim)

Demikianlah besarnya nilai rahmat sehingga dengannya kita beroleh sesempurna nikmat. Bayangkan hidup tanpa rahmatnya, tiada bernilai segalanya. Ramadan ini menjanjikan buat kita yang menghidupkannya beroleh rahmat.. Apakah kita telah beroleh rahmat itu ....?

Maghfirah ( Keampunan )

Jiwa hamba sentiasa merasa bersalah dengan tuhannya. Walau sebanyak mana taubat yang dibuat jiwanya tidak pernah merasa puas dan sentiasa menginginkan sesuatu yang lebih dari apa yang mampu dilakukan. Bukankah Nabi SAW diriwayatkan beristighfar memohon ampun kepada Allah lebih 100 kali satu hari. Biarpun kedudukan maksum menjanjikan tiada cela yang dilakukan tetapi itulah jiwa benar seorang hamba yang sentiasa mengharapkan keampunan tuhannya. Analogi mudah apabila kita menghadap seorang raja, kebiasaannya kita mengungkap 'Ampun Tuanku' dalam tiap bait kata yang dituturkan. Bukan kerana silapnya tutur kita tetapi menyedarkan diri tentang siapa kita dan siapa dirinya, rasa hormat itulah yang menyebabkan timbul ungkapan tersebut. Tetapi dengan Allah SWT , Raja Segala Raja apakah kita tidak mampu menimbulkan rasa takut di dalam diri lantaran memang banyak dosa yang kita lakukan .

Sesuatu yang sepatutnya menjadi kebimbangan kita apabila bertemu dengan suatu hadis yang dinyatakan oleh Nabi SAW mengenai Malaikat Jibril pernah berdoa kepada Allah: Celakalah bagi golongan yang bertemu dengan bulan Ramadan, tetapi setelah berpisah dari bulan tersebut, dosanya tidak diampunkan. Dan Nabi SAW mengaminkannya. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Persoalannya apakah kita melalui ramadan ini dengan mengisi saat dan detik tersebut dengan taubat memohon keampunan kepada Allah ..? Ketika iblis melakukan dosa dia tidak pantas mengaku salah, menyesal dan bertaubat lantaran itu Allah terus melaknatnya dan menjadi makhluk yang jauh dari rahmat Allah. Sedang Nabi Adam a.s di saat melakukan kesilapan baginda pantas rasa bersalah, menyesal dan bertaubat. Bukankah yang membezakan darjat kedua makhluk ciptaan Allah saat terkhilaf ini adalah dengan taubat ?

Pembebasan Dari Api Neraka

Tidak ada kejayaan yang lebih besar buat seorang hamba melainkan apabila bebas dari neraka Allah SWT. Itulah yang menjadi impian dan kerinduan buat kita semua. Doa yang sering kita munajatkan kepada Allah tidak hanya mengimpikan 'hasanah dunia dan akhirat' bahkan juga melengkapinya dengan memohon agar dijauhkan dari api neraka. Pembebasan inilah kemerdekaan mutlak buat seorang insan. Dunia mungkin kita merdeka tetapi belum menjamin bebas dari neraka.

Bulan ramadan menjanjikan peluang untuk kita bebas dari menjadi calon penghuni neraka dengan syarat melalui segala aktiviti di dalamnya dengan penuh keimanan dan muhasabah diri sama ada 'siamnya atau qiamnya'. Tidak ada tawaran yang lebih hebat sehebat tawaran bebas dari api neraka buat kita semua tetapi malangnya tawaran harga jualan barangan murah lebih menarik perhatian kita. Seorang mukmin tidak boleh terus merasa selamat, kerana neraka itu terlalu mudah untuk dihampiri namun jalan ke syurga itu pula dirintangi dengan mujahadah melawan nafsu .

-----------------

Petikan Kuliah Subuh saya di Surau taman Pinggiran Senawang. Penyampaian lisan saya rasakan sangat berbeza bila menyampaikannya pula dalam tulisan. Harap maaf




Puasa Sebagai Latihan, Quran Sebagai Panduan

.
0 comments


Bulan ramadan datang lagi. Pelbagai ragam dapat dilihat di dalam menyambut bulan yang penuh kelebihan ini. Teori mudahnya, andai ramadan tiada penambahan di dalam ketaatan maka bulan lain mungkin lebih berliku jalannya. Sejauh mana kita telah mengisi dan menyuburkan ramadan ini dengan ketaatan. Segalanya berbalik kepada kefahaman di dalam memahami tuntutan sebagai seorang Hamba Allah. Tiada dinafikan, mungkin kualiti ramadan kita jika dibandingkan dengan para salafussoleh terlalu jauh ibarat kaca dan permata segalanya sama pada peluangnya tetapi kosong isinya. Jadikan ramadan kali ini sebagai titik permulaan bagi segala kebaikan untuk diazam dan dilaksanakan sepanjang berbaki 11 bulan lagi. Mungkin sukar tetapi itulah perjuangannya ramadan tidak hanya perlu disambut dengan adat tetapi lebih penting adalah menyemarakkan dengan ibadat.

Ramadhan : Siam dan Qiam

Dua bentuk pengisian bulan ramadan, siam ( puasa ) dan qiam ( solat sunat) . Siam ( puasa ) duduk pada posisi wajib dan qiam ( solat sunat ) menduduki posisi sunnat. Jika keduanya didirikan dengan penuh iman dan keinsafan mampu melebur segala noda yang terpalit di dalam diri, menjernihkan jiwa dengan takwa dan memperkukuh keakraban dengan Allah SWT . Sudah tentu inilah amalan praktikal yang sering ditanya kebanyakan orang bagaimana untuk beramal. Oleh kerana puasa adalah menahan diri dari segala yang membatalkan, maka menahan diri dari segala yang merosakkan keimanan juga adalah suatu puasa yang dituntut untuk semua mereka yang beriman. Ini bukan teori tetapi satu latihan yang diberikan oleh Allah untuk menjadikan kita orang yang dikasihinya. Jika kita menginginkan dikasihi Allah sudah tentu kita mencari perkara yang disukai dan menahan diri dari perkara yang tidak disukai Allah. Mungkin ramai yang mampu berbuat taat tetapi tidak kuat untuk menahan diri dari sesuatu yang ditegah syariat. Inilah siam ( puasa ) .

Qiam ( solat sunat ) adalah suatu bukti syukur dan tawaduk seorang hamba. Nabi Muhammad SAW insan yang telah dijanjikan dengan syurga bersolat hingga bengkak kakinya, apabila ditanya maka jawapannya adalah bukti syukur. Bulan ramadan melatih kita untuk memperbanyakkan sujud. Solat sunat tarawih adalah bukti kita sebenarnya mampu untuk banyak bersujud cuma mungkin ibadat kita sekadar suatu adat maka bila berakhir ramadan untuk melaksanakan solat sunat 2 rakaat masih rasa keberatan. Tidak ada pada bulan lain yang kita lebih banyak bersujud melainkan ketika ramadan, namun sekiranya kehadiran ramadan ini masih belum merubah diri kita untuk lebih banyak bersujud mungkin di bulan lain juga agak sukar untuk ditemukan.

Puasa sebagai Latihan Quran sebagai panduan

Allah sentiasa bersama orang bertakwa. Manusia bertakwa manusia dikasihi Allah. Manusia bertakwa dipermudahkan segala urusannya oleh Allah. Demikian hebatnya 'takwa' , membezakan darjat seorang hamba yang pada asasnya semuanya sama di sisi Allah. Nilai takwa adalah nilai mampu milik bagi semua hamba tidak kira apa pun latar belakangnya . Maka peasanan takwa diulang saban minggu oleh para khatib di dalam memenuhi rukun khutbah. Ini bukan teori tetapi pelan tindakan yang telah disediakan. Lihat sahaja pada perintah puasa di dalam surah al-Baqarah ayat 183 secara jelas Allah menyatakan natijah yang diharapkan adalah menjadi manusia bertakwa. Maka berpuasa dan memperbanyakkan puasa adalah jawapan bagi membentuk ketakwaan. Dalam ayat ke 2 surah yang sama pula Allah menyatakan bahawa Al-Quran adalah petunjuk bagi orang bertakwa. Jelas bagi kita yang masih mencari amalan yang boleh membentuk takwa inilah jawapannya. Al-Quran sebagai panduan , puasa sebagai latihan. Nabi Yusof a.s ketika memegang perbendaharaan negara merperbanyakkan puasa sebagai latihan untuk merasakan kesusahan orang yang lapar. Manusia secara tabienya apabila merasa baru mengetahui. Berteorilah sehebat mana pun untuk menjadi orang yang hebat tetapi asasnya tidak kembali untuk 'merasa' kesusahan, akan berterusan menjadikan kita orang yang sentiasa leka dibuai nikmat.

Melebur takabbur menyubur syukur

Sama ada kaya atau miskin, mahal atau murah makanan yang dimakan ketika bersahur tidak menjamin seseorang untuk tidak merasai kelaparan dan dahaga ketika berpuasa. Inilah tarbiyyah ramadan. Kedudukan dan kelebihan dunia bukan segalanya. Saat ini kita akan benar-benar sedar dan insaf sehebat mana sekalipun kita nikmat dunia ini tidak semuanya menjamin perbezaan. Masih ada persamaan, hamba kepada yang maha esa. Bukanlah kerana banyaknya harta dia boleh makan sehingga kenyang untuk bekalan sepanjang siang hari berpuasa. Inilah madrasah yang sangat hebat, jika sekolah yang kita ikuti meleburkan kejahilan maka madrasah ramadan jika diikuti dengan baik akan melebur takabbur. Tidak dengan itu sahaja kita akan menjadi seorang yang sangat menghargai nikmat di saat segala yang tertahan diberikan perlepasan. Itulah kemanisan hidup seorang hamba. Di saat di dunia dia menahan segala larangan Allah, Allah akan mengurniakan sehebat-hebat nikmat di syurga. Tiada mata yang pernah melihat tiada telinga yang pernah mendengar dan tiada hati yang pernah terlintas hebantnya syurga Allah. Demikianlah ganjarannya buat mereka yang bersyukur.


Lobai Hontam Kerajaan Tapi Tak Abis Ngaji?

.
0 comments


Satu majlis seorang orang bergelar MB menyatakan kekecewaan terhadap pencapaian pelajar di Universiti Al-Azhar. Demikian menurut laporan akhbar Sinar Harian siap dengan jumlah peratus statistik yang gagal. Hal ini biarlah diulas oleh mahasiswa Al-Azhar kenapa masih gagal sedangkan segala macam kelebihan telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan termasuk meletakkan seorang pegawai khas bagi memantau para pelajar di Mesir. Apakah kerana kedatangan pegawai khas tersebut masih belum mampu melonjakkan prestasi pelajar di sana. Di mana silapnya..? Apakah pegawai khas yang dihantar hanya menjaga pelajar agar tidak terlibat dengan PMRAM yang didakwa oleh kebanyakan negeri sebagai pertubuhan haram. Haram sebab tak ikut telunjuk Kedutaan, namun perjalanannya sah kerana berdaftar dengan kerajaan Mesir. Pelajar-pelajar yang akan menuntut di Al-Azhar ditakut-takutkan dengan PMRAM dan diberi amaran keras dari menyertai sebarang program anjurannya. Kasihan, zaman yang semakin terbuka dengan maklumat nampaknya pelajar Al-Azhar sendiri cuba dikongkong mindanya dari berfikir secara telus dan terbuka terutama dalam soal memilih yang benar dan yang batil.

Merujuk tajuk di atas diantara inti ucapan MB pada majlis tersebut adalah rasa terkilannya terhadap lepasan Al-Azhar yang mengaji tak habis di Mesir balik meng'hontam' kerajaan dalam siri ceramah dan kuliah seluruh Negeri Sembilan. Mungkin itulah laporan yang disampaikan kepada beliau. Beliau tidak akan bercakap kosong melainkan ada fakta yang disampaikan oleh balaci yang setia 'memantau' ceramah para Ustaz seluruh Negeri Sembilan. Lalu kesimpulannya 'hontam kerajaan'. Macam takde keje lain ustaz ni asyik nak 'hontam'. Kalau ada perkara yang disebut agak sensitif, sudah tu sensitif bagi yang terkena rasanya dan adakah sepanjang satu jam tu 'hontam' tanpa ada isi yang mendidik masyarakat. Kenapa fokus pada yang hontam.

Rasanya para ustaz tak perlu terasa sebab yang aktif berkuliah kebanyakannya tamat pengajiannya di Al-Azhar. Yang tak habis mengaji di Al-Azhar tapi bodek 'kerajaan' kita buleh senaraikan bukan seorang dua. Tapi nak buat apa buat itu semua. Bagi saya secara peribadi pedulikan cubaan orang memburukkan nama Ustaz-ustaz dengan tujuan nak beri gambaran buruk dan orang tidak lagi mendengar kuliahnya. Ini bukan kerja yang patut kita fikirkan . Dalam keadaan masyarakat tengah rosak dengan pelbagai masalah hari ini kita buatlah mana yang mampu.

Para ustaz sendiri tak pernah ke hulu ke hilir melainkan bila dijemput untuk menyampaikan kuliah dan ceramah. Takde rasanya ustaz yang tebalkan muka tanya surau dan masjid untuk panggil dia menyampaikan ceramah. Kesimpulan mudahnya, masyarakat hari ini memang dahaga ilmu. Walaupun ada yang cuba beri gambaran para ustaz ni asyik 'hontam' tapi panggilan untuk mendidik masyarakat melalui surau dan masjid tetap berterusan. Ilmu dan kefahaman adalah sesuatu keperluan yang fitrah. Bila kita cuba menyekatnya ia tetap akan dicari. Lagi disekat lagi kuat keinginan untuk mengetahui perkara sebenar.

Bagi saya sendiri memang penting tamat belajar dan ada sijil, tapi yang lebih penting memberi sumbangan dengan apa yang dimiliki. Setakat ada sijil tapi tak pernah menyumbang ilmu dalam masyarakat takde guna jugak rasanya. Lebih teruk ada sijil tapi lawan Islam. Lagi malang ada sijil digunakan untuk meruntuhkan Islam. Sama ada sedar atau tidak.

Untuk adik-adik yang masih mengaji di Timur Tengah, teruskan perjuangan. Jangan jadi tunggangan orang tertentu. Berpendirianlah atas dasar kefahaman. Jangan mudah diracuni dengan racun dunia yang merbahaya. Material bukan segalanya. Rakyat bukan tanya berapa duit yang bawak balik dari Mesir tapi masyarakat akan tanya apa manfaat yang boleh mereka dapat dari ilmu kita. Fikir2lah.. cakap Lobai Kampung ni.

Kesilapan janganlah dipertahankan dengan alasan

.
0 comments

Antara sifat yang terpuji bagi seorang mukmin adalah tawaduk. Tidak kira apa pun latar belakangnya. Tawaduk tidak akan menghinakan pemiliknya. Nabi menjanjikan sesiapa yang tawaduk diangkat darjatnya oleh Allah Taala. Justeru, kenapa perlu mempertahankan sesuatu kesilapan ? Tambahan bila kita sedar kesilapan itu adalah sesuatu pertimbangan yang tidak wajar kita lakukan. Sukarkah memohon maaf atas kesilapan. Kenapa biarkan sifat syaitan meraja di dalam diri sedang keaiban ini akan merosakkan diri kita.

Seorang pendakwah sekalipun terkadang ada kesilapan dalam tindakan. Akurlah dan jangan dipertahankan andai kesilapan itu berlaku. Mempertahankan kesilapan akan membodohkan diri sendiri menjadikan kita semakin hina bukan di mata manusia tapi pada pandangan Allah SWT. Apalah guna mempertahankan kesilapan dalam keadaan kita menafikan kelemahan yang sememangnya wujud dalam diri kita sebagai seorang manusia. Pendakwah bukan seorang yang maksum untuk tidak melakukan kesalahan.

Semakin hebat komitmen pada dakwah semakin kuat ujian bakal ditempuhi. Mengasingkan diri dari kelompok jamaah akan menyebabkan kita semakin mudah tumbang dan terumbang ambing. Bertemulah dengan sahabat-sahabat untuk memohon nasihat setidaknya kita tidak jauh lari dari perjuangan sebenar. Mungkin di saat kita merasa diri kita betul semuanya, disitulah ruang kelemahan dan kesilapan kita. Menyuluh muka ke cermin belum lagi cukup untuk mengetahui kelemahan dan kesilapan, kita perlukan cermin hidup yang mampu berkata menegur salah dan silap kita.

Semoga Allah terus memelihara kita dari dibuai oleh ombak ujub yang tidak akan ditemui tepinya jika tidak berusaha mengeluarkan diri darinya. Ruginya bukan kepalang jika kerja keras yang kita lakukan dihinggap virus ujub yang merosakkan .. Fikirkanlah

Imam Muda

.
3 comments


Entri ini tiada kena mengena dengan rancangan terbaru terbitan ASTRO Oasis. Sekadar satu coretan ringan untuk tatapan pembaca setia blog Lobai Kampung yang tak seberapa ini. Hampir 2 bulan blog ini tidak dikemaskini. Sibuk bukan alasan. Respon dari entri sebelum ini menyedarkan saya rupanya ramai lobai yang sensitif dan sinis dengan blog Lobai Kampung. Tak salah sikap itu dirasakan kerana saya bukanlah yang terbaik dan sempurna. Jauh sama sekali saya nak merasakan saya telah berbuat sesuatu untuk perjuangan ini dan malu rasanya untuk menyalahkan teman-teman lain tidak berbuat apa-apa. Yang ingin dikongsi adalah ' intima dengan jamaah ' , itu sahaja.

Para Lobai walau di mana sahaja apabila diberi peluang untuk bercakap sudah pasti yang keluar dari mulut mereka adalah kebimbangan dengan keadaan masyarakat hari ini. Tak perlu dihurai lagi semuanya maklum. Tetapi kata-kata kita itu sekadar menjadi bebelan jika kita tidak berusaha merubah keadaan yang ada. Sama ada setuju atau tidak, kita tidak boleh nafikan kita berada di bawah sistem dan pemimpin yang tidak mahu kepada Islam. Jika itu ukurannya kita mungkin faham di mana kita patut berada. Soal kepimpinan Islam bukan urusan individu tertentu tetapi ianya adalah tanggungjawab semua. Berbicara soal kepimpinan inilah yang sangat digeruni oleh musuh Islam. Islam tanpa kepimpinan yang punya ruh dan semangat jihad umpama ular berbisa yang tiada bisanya. Menafikan politik bermakna membiarkan kerosakan terus bermaharajalela. Keluarlah banyak dalil mana pun untuk menceritakan soal kerosakan manusia, namun puncanya kembali kepada persoalan kepimpinan.

Makna hakiki kepimpinan dalam Islam adalah merealisasikan khilafah di muka bumi demi mewujudkan kebaikan dan proses islah. Perintah Allah demikian jelas di dalam surah An- Nisa ayat 65 :

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

Mampukah berjuang sendirian ? Dengan jadual kuliah maghrib dan subuh yang begitu padat sehingga merasakan kita sudah berkorban. Bagi saya itu adalah kewajipan jauh sekali untuk menyatakan itu sumbangan kerana kita beroleh 'habuan' selepas selesai menyampaikan kuliah. Mengatakan itu adalah pengorbanan ? Jauh panggang dari api. Apa yang kita korbankan ? Masa, tenaga, duit, darah, peluh ... ? Masih jauh untuk kita bergelar seorang pejuang rupanya. Jika tidak mampu melakukan semua jangan tinggalkan semua. Marilah membantu walaupun sedikit. Kedudukan istimewa jawatan anda tidak akan terjejas jika membantu perjuangan Islam.

Platform Dakwah

Hujjah mempertahankan kedudukan sebagai platform dakwah sering diberikan apabila diajak bersama dalam perjuangan. Tidak dinafikan kepentingan platform itu tetapi ia bukan penjara yang memenjarakan perjuangan kita. Sepatutnya platform itu menjadi ruang bermanfaat untuk membawa insan lain ke arah kefahaman. Mungkin terlalu banyak ' kaedah dan bacaan dakwah ' sehingga ada yang melabelkan para aktivis perjuangan ini terlalu gopoh dan tidak berhikmah.

Platform adalah alat bukan matlamat. Andai suatu hari platform itu tiada lagi buat kita apakah perjuangan berhenti setakat itu? Insya allah mudah-mudahan tidak ... Kini saya mahu bercerita tentang 'saya' setelah penggunaan perkataan 'kita' dilihat ujub oleh sebahagian pembaca blog ini. Saya dipilih menjadi Imam di Masjid Ampangan sejak 2004 dalam tempoh itu seingat saya baru sekali kontrak saya diperbaharui iaitu pada Jun 2007, kini masih lagi menanti jawapan untuk pembaharuan Jun 2010 . Sehingga kini saya masih menjalankan tugas seperti biasa walaupun belum ada apa-apa makluman tentang pemberhentian atau penyambungan kontrak.

Platform imam, bagi saya bukan hanya dakwah bahkan satu tarbiyyah dan pengalaman. Mengenal perangai manusia dari sehebat-hebat orang sampailah ke anak kecil. Saya benar-benar tenang dengan kerjaya berelaun ini walaupun pelbagai kata dilemparkan secara terang atau sembunyi buat saya. Saya telan semuanya walaupun pahit. Sebab bagi saya, mungkin mereka menilai beradasarkan apa yang mereka fikir jika mereka duduk di tempat saya. Zaman moden ini orang mempertikaikan sijil ada pula yang kata saya tak habis pengajian di Al-Azhar sebab itu tidak dapat menjawat jawatan sebagai pegawai. Terima kasih. Nanti kalau perlu saya photostatkan sijil dan berikan pada sesiapa yang berminat. Walaupun saya belajar tak pandai tapi alhamdulillah, pengajian saya tamat.

Saya pernah memohon untuk jawatan Imam Eksekutif di bawah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Jawatan itu dibuka sebelum bulan Mac 2008 ( PRU 12 ) yang menariknya perjawatan yang diberikan itu bertaraf pentadbiran, berkuasa penuh ke atas masjid termasuk soal pentadbiran dan kewangannya. 20 buah Masjid di Negeri Sembilan akan ditempatkan Imam Eksekutif ini khabarnya, 10 daripadanya sekitar Seremban termasuk Masjid Ampangan. Saya berminat dan sebolehnya tidak mahu ke Masjid lain. Tetapi selepas PRU 12 menyaksikan BN gagal di Dun Paroi, Ampangan dan Sikamat tawaran Imam Eksekutif itu hanyut dengan kekalahan tersebut. Saya pun tak pasti kenapa tidak diteruskan walaupun dengarnya geran sudah dikeluarkan untuk tujuan tersebut. Saya ditawarkan untuk mengambil Imam Daerah yang kekosongan, tetapi hati saya tidak terbuka dengan tawaran itu. Saya juga pernah ditawarkan untuk berada pada satu jawatan di sebuah badan berkanun di Negeri Sembilan pada awalnya saya mahu menerimanya kerana skop platform dakwah yang lebih luas tetapi kerana nasihat dari Al-Marhum Ustaz Khairul Azhar saya akur menolaknya.

Bagi saya, dalam dakwah kita tidak memilih untuk diletakkan tetapi ia adalah ketetapan dari Allah mengikut kebijaksanaannya. Yang lebih saya bimbang kalau Allah tak pilih saya duduk dalam perjuangan dan jauh membimbangkan bila duduk dalam perjuangan bukan pula kerana Allah .

Bersamalah kita membersihkan hati kita dari segala yang merosakkan. Hati kita rosak bila bersikap SOMBONG. Jangan sombong dengan apa yang kita telah buat, sepatutnya kita bimbang jika amal itu tidak dinilai oleh Allah. Jangan sesekali bersifat TAMAK . Apa yang telah Allah tentukan itulah yang terbaik buat kita. Jangan sampai melangkaui batasan yang telah Allah tetapkan apatah lagi terlibat dengan yang haram. Jauhkan bersifat HASAD. Suka melihat sahabat dalam kesusahan dan kesempitan bahkan menambah lagi beban yang dipikulnya. Marilah seluruhnya membantu bukan membantutkan !!!