Dakwah : Satu Makna Yang Dipelbagaikan Methodnya

.
1 comments


Terima kasih kepada semua pengunjung Lobai Kampung. Ada banyak komen yang membina untuk diketengahkan. Mungkin kerana imej 'Lobai Kampung' membuatkan sebahagian merasakan kurang senang dengan pendekatan mengenengahkan isu politik. Bagaikan bicaranya biarlah semua Lobai sekadar membicarakan isu seputar fardu ain dan fardu kifayah atau kesimpulannya agama itu milik individu terpulanglah kepada mereka mengendalikannya.


Terlebih dahulu mari bersama kita mengenal apakah erti dakwah. Dakwah adalah suatu usaha mengajak dan menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah, tunduk, patuh dan taat kepadaNya. Tugas dakwah adalah tugas para rasul, dan kedudukannya juga sangat mulia kerana mencontohi tugas para rasul. Matlamat dakwah adalah meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi yang dengannya memperbaiki manusia dan masyarakat untuk beroleh kebahagian di dua negeri ( dunia dan akhirat ). Pendakwah ke arah jalan Allah adalah sebaik makhluk, yang terbaik dan dikasih Allah SWT . Allah menyebut dalam surah al-Fussilat : 33


Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"


Dakwah juga menjadi sebab kepada pembentukan ummat yang terbaik dengannya jua melayakkan kita beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. Sebagaimana yang diterangkan di dalam surah Ali-Imran 110


Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.


dan 114


Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.



Dakwah punyai ciri tersendiri, antaranya ilmu yang bermanfaat, amal soleh, kemurnian maksud dan matlamat, kefahaman yang sohih, penelitian terhadap ad-Din, mengetahui keadaan orang yang menerima dakwah, tegas dalam hak dan berdebat dengan ihsan. Manakala tugas menyampaikan dakwah menuntut kepada istiqamah terhadap manhaj (panduan) kerana kandungan dakwah dan nilainya tidak akan berubah, kebenarannya dan prisipnya tidak bertukar bahkan ia tetap kekal sekalipun mengalami perubahan zaman, tempat, keadaan dan individu. Dakwah adalah berkait di antara manhaj dan jalannya serta dasar dan perlaksanaannya. Kesalahfahaman para pendakwah menyebabkan berlakunya penyelewengan di dalam tujuan dakwah tersebut.


Maka oleh sebab itu setiap pendakwah perlu memahami perbezaan di antara manhaj (panduan) dan wasilah (method), kepelbagaian jalan, uslub (gaya) penyampaian adalah suatu sunnah. Tetapi apa yang lebih utama adalah penyatuan matlamat, persetujuan dalam perkaran usul ( asas) akan mengembalikan para pendakwah kepada manhaj dakwah Nabi SAW. Mesti dimaklumi bersama bahawa wasilah dakwah ada yang bersifat tawqifiah dan ada yang bersifat ijtihadiyyah.


Yang bersifat tawqifiah adalah berdasar manhaj para nabi berdakwah ke arah jalan Allah seperti keutamaan aqidah, menghapuskan syirik, melepaskan dari musuh Allah. Manakala yang bersifat ijtihadiyyah adalah berkait dengan uslub dakwah dan jalan menyampaikan agama. Seperti kaedah menyampaikan dengan menggunakan suara atau lisan. Tidak dinafikan persoalan uslub bukanlah sesuatu yang bersifat tetap tetapi disesuaikan mengikut pandangan, ijtihad dan maslahah.


Maka oleh sebab itu di dalam persoalan dakwah apa yang paling utama adalah tujuan dan maksud mengembalikan manusia kepada Islam secara syumul. Maka apabila dalam ruang yang dimiliki di sesuatu tempat mesti dimanfaatkan sebaik mungkin dan menggunakan sehabis uslub yang dibolehkan, politik juga adalah sebahagian uslub dakwah, maka apa kurangnya impak berdakwah melalui politik ...?


Rujukan : Manhaj Nabi di dalam Berdakwah Berdasar Sirah Yang Sohih karangan Ustaz Doktor Muhammad Amahzun.


Lobai Kampung : Apa yang lebih penting adalah bagaimana akidah terus menjadi asas di dalam perjuangan dakwah, hebat bagaimanapun uslubnya tetapi ikatan akidahnya longgar dan rapuh natijahnya akan melahirkan pendakwah yang bimbang celaan makhluk bukan pada Allah.

Cubaan Mengganggu Ceramah Mansuhkan ISA

.
2 comments

PAS Kawasan Kuala Pilah akan mengadakan ceramah Mansuhkan ISA pada 29 Julai 2009 (Rabu) melibatkan Dato Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden PAS ) Sdr Faris Musa ( Timb AMK Pusat ) Sdr Zulkifli ( PJ N9 ) dan Ustaz Khairil Anuar Wafa ( KP PAS N9 ).
Ada cerita menarik yang ingin dikongsikan, namun maklumat lebih lanjut boleh didengar melalui ceramah malam ini. Tempat asal ceramah adalah di Pejabat PAS Kawasan di Jalan Melang(JPJ lama ) namun terpaksa diubah kerana tidak mendapat kelulusan. Tempat ceramah akhirnya diubah ke Bt 19 1/2 Jalan K.pilah - Seremban, Tanjung Ipoh.
Namun tempat itu juga cuba diganggu. Tetapi gangguan kali ini melibatkan penglibatan jawatan di dalam adat. Tanah itu dikatakan tanah adat maka sebagai orang yang bertanggungjawab dalam urusan adat seseorang yang berpangkat 'Dato Lembaga' mengarahkan ceramah itu dibatalkan di atas tapak tanah adat tersebut.
Berdasarkan beberapa maklumat yang diterima, arahan membatalkan ceramah ini adalah datangnya dari seorang ahli politik yang berjawatan di Seri Menanti. Nak tahu cerita lanjutnya datanglah malam ini di Tanjung Ipoh ...

Mengurus Masa VS Tiada Masa

.
0 comments


Sering kita jadikan alasan tiada masa sebagai kekangan terhadap sesuatu aktiviti. Tapi yang lebih peliknya adalah setiap orang dikurniakan Allah dengan masa yang adil untuk diurus dengan sebaiknya. Baik yang namanya Perdana Menteri masanya tetap 24 jam atau yang namanya penganggur, tetap masanya juga 24 jam.


Kegagalan kita mengurus masa dengan baik menyebabkan banyak perkara yang utama dan diberi keutamaan dikesampingkan. Aktiviti mengikut keutamaan sepatutnya disusun sebegini


1. Penting dan Segera


2. Penting dan Tidak Segera


3. Tidak penting dan Segera


4. Tidak penting dan Tidak Segera


Tetapi masa sering kali dijadikan alasan apabila gagal. Menyalahkan masa memang mudah kerana masa tidak mampu menuntut bela, masa juga tidak mampu menegur tetapi kita akan menyesalinya apabila berlalu. Benarlah apa yang disebut oleh Allah di dalam al-Quran di dalam surah yang selalu dibaca pada penangguhan majlis, Surah Al-Asr. Keseluruhan manusia berada di dalam kerugian, pengecualian kepada yang beriman, beramal soleh, berpesan dengan kebaikan dan berpesan dengan kesabaran.


Bagi mereka yang mampu untuk merasakan kewajipan lebih banyak dari masa yang ada, akan sentiasa memastikan setiap detik yang berlalu memberi manfaat kepada dirinya. Apakah layak kita katakan diri kita adalah pejuang andai masih punya masa lapang ...?


Lobai Kampung : Seminggu tidak update,alasannya.. tiada masa ...

Khutbah Jumaat - Memperkasakan Solat

.
0 comments


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :


سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا إنه هو السميع البصير

Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Perjuangan dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini bukanlah suatu yang dijanjikan dengan pelbagai kemudahan dan kesenangan serta tidak pula dihamparkan dengan permaidani merah sebaliknya perjuangan suci ini menuntut kepada semaksima mungkin pengorbanan daripada pejuang Islam dari segi masa, harta, pemikiran hatta nyawa itu sendiri sebelum datangnya pertolongan dan janji kemenangan daripada Allah. Kebenaran Islam dengan sumber rujukan utama iaitu al-Quran yang diturunkan oleh Allah Tuhan Pencipta seluruh makhluk termasuklah manusia bukanlah merupakan suatu tiket yang memudahkan Islam untuk diterima oleh umat manusia kerana hati yang tertutup daripada menerima kebenaran Islam bukan sahaja menolak Islam malah sentiasa berusaha siang dan malam dalam memadamkan cahaya agama Allah dengan pelbagai usaha dan cara. Ketika menyoroti perjalanan dakwah yang telah dimainkan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sendiri maka kita dapati bagaimana pahit getir liku perjuangan yang telah diharungi oleh baginda sebelum mencapai kemenangan yang besar. Sebagai seorang nabi lagi rasul untuk umat akhir zaman maka ujian, cabaran dan tentangan yang diterima oleh nabi Muhammad s.a.w dalam memastikan Islam dapat memerintah dan memimpin dunia begitu kuat dan hebat meliputi serangan mental dan fizikal dalam menguji kesungguhan, kesabaran dan keimanan kepada Allah. Malah ketika nabi Muhammad s.a.w yang terkenal sejak dahulu lagi sebagai seorang amanah dan bercakap benar menceritakan mengenai Isra’ Mikraj kepada penduduk Mekah maka timbulnya penentangan yang lebih kuat bukan sahaja daripada kalangan orang kafir malah ada orang yang telah beriman kembali murtad.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Selepas menghadapi penentangan dan penyiksaan yang begitu hebat di Mekah lalu Nabi Muhammad s.a.w cuba mengorak langkah untuk mengembangkan dakwah Islam kepada penduduk Taif namun cita-cita sucinya tidak tercapai apabila seruannya kepada penduduk Taif bukan sahaja diejek dan dimaki hamun malah penduduk Taif menyuruh khadam dan budak-budak kecil berbaris disepanjang jalan bertujuan supaya melontar nabi dengan batu sehingga tubuh baginda berlumuran darah walau pun Zaid bin Harithah cuba untuk melindungi tubuh nabi daripada terkena lontaran tersebut. Inilah antara kemuncak kepada ujian Allah kepada nabi Muhammad s.a.w bagi memperteguhkan keyakinan dan semangat baginda dalam meneruskan perjuangan Islam. Tidak cukup dengan penduduk Mekah yang menentang dan menghalaunya ditambah dengan penduduk Taif yang mengengkarinya. Melihat penderitaan nabi Muhammad s.a.w dan ejekan penduduk Taif terhadapnya maka datangnya malaikat yang menawarkan agar dia diberikan kebenaran untuk menghempapkan penduduk Taif yang engkar itu dengan bukit tetapi nabi Muhammad s.a.w menolaknya kerana menaruh keyakinan bahawa daripada keturunan manusia yang engkar itu bakal lahirnya generasi yang bakal menerima dan memperjuangkan Islam. Islam bukannya agama membalas dendam sebaliknya dakwahnya memerlukan kepada pengorbanan dan kesabaran sebelum datangnya kemenangan dan kegemilangan di dunia dan akhirat.
Ketika menyentuh mengenai pengorbanan maka kita turut mengingati bagaimana nabi Muhammad s.a.w ketika bersama malaikat Jibril naik ke langit semasa peristiwa Isra’ Mikraj telah menghidu bau yang begitu harum yang keluar daripada bau Masyitah iaitu penyikat rambut puteri Firaun yang telah direbus hidup-hidup dalam kawah yang menggelegak airnya bersama keluarga tercinta demi mempertahankan keimanannya. Begitu juga nabi diperlihatkan segolongan manusia yang menanam dan mengetamnya setiap hari tetapi tanaman itu kembali sebagaimana biasa dan kemudian diketam lagi begitulah seterusnya dimana ia merupakan kelebihan yang dianugerahkan kepada pejuang yang berjuang pada jalan Allah. Benarlah janji Allah sebagaimana dalam ayat 169 surah Ali ‘Imran :


ولا تحسبن الذين قتلوا فى سبيل الله أموتا بل أحياء عند ربهم يرزقون


Maksudnya : Dan janganlah sekali-kali engkau menyangka bahawa orang-orang yang gugur syahid pada jalan Allah itu telah mati. Bahkan mereka terus hidup di sisis Tuhan mereka dengan mendapat rezeki

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Jika umat Islam pada hari ini ditimpa dengan pelbagai tekanan dan penindasan dalam mempertahankan keimanan dan menjaga kesucian agama Islam maka ia sudah menjadi sunnatullah dan bukanlah suatu yang pelik kerana nabi Muhammad s.a.w menerima ujian yang lebih hebat lagi. Jangan rasa jemu dan takut dalam meninggikan kalimah Allah kerana kita mesti yakin bahawa kita bukan orang pertama yang memulakan kerja suci ini dan kita juga bukan orang yang terakhir yang memperjuangkan Islam sebaliknya kita merupakan antara rantaian perjuangan yang pernah dilakukan oleh para nabi dan rasul serta pejuang sebelum kita dan ia bakal diteruskan oleh generasi selepas kita sehinggalah hari qiamat. Kita yang dianugerahkan nikmat merdeka mestilah mengisikan kemerdekaan dengan melaksanakan Islam bukan mengenepikannya. Kita juga mesti menghulurkan bantuan kepada saudara seagama yang sedang ditekan dan ditindas terutama saudara kita di Selatan Thailand yang sedang menderita sehingga ada yang terpaksa mencari perlindungan di negara kita. Begitu juga ketika mengingati peristiwa Isra’ Mikraj maka kita mesti ingat dan berusaha dalam memerdekakan semula Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin daripada cengkaman yahudi di mana mereka bersandiwara dengan berundur dari Gaza sedangkan kawasan sekitar Palestin terus dirampas.
Antara perkara yang mesti dilakukan oleh umat Islam dalam memperteguhkan pendirian dan menaikkan semangat jihad dalam memperjuangkan dan mempertahankan Islam ialah dengan sentiasa menjaga solat yang merupakan rukun Islam yang diterima oleh nabi Muhammad s.a.w semasa Isra’ Mikraj. Tanyalah diri kita berapa lamakah kita menunaikan solat 5 waktu dengan 17 rakaat sahaja sehari semalam berbanding kita menghabiskan masa di pejabat, sekolah, padang bola, kedai makan, menonton tv dan selainnya. Bila kita bayangkan betapa luasnya Syurga tetapi ramai umat manusia yang tidak ingin memasukinya akibat terpesona dengan dunia maka begitulah juga kita dapat lihat betapa lengangnya masjid walau pun luas dan masuknya percuma sedangkan ramai umat Islam menjauhinya. Oleh itu ubahlah sikap dan keadaan dengan memperbaiki mutu solat kita dan cubalah dengan sedaya upaya dalam menarik lebih ramai umat Islam terutama golongan remaja untuk berjinak dengan masjid. Binalah umat kemenangan dengan solat dijadikan teras kekuatan utama. Ingatlah kita bahawa umat kemenangan bukan semata-mata diraih dengan ramai tentera, hebatnya senjata tetapi apa yang lebih penting ialah dekatnya hubungan kita dengan Allah terutama melalui solat yang ditunaikan dengan penuh amanah.


Renungilah firman Allah dalam ayat 286 iaitu penutup surah al-Baqarah:


لايكلف الله نفسا إلا وسعها لها ما كسبت وعليها ما اكتسبت ربنا لا تؤاخذنا إن نسينا أو أخطأنا ربنا ولا تحمل علينا إصرا كما حملته على الذين من قبلنا ربنا ولا تحملنا مالا طاقة لنا به واعف عنا واغفرلنا وارحمنا أنت مولئنا فانصرنا على القوم الكفرين

Maksudnya : Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat ganjaran kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau mengirakan kami berdosa jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami!Janganlah Engkau bebankan ke atas kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu bantulah kami dalam mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kufur.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Bagaimana Nasib 5,238 Pengundi BN di Manik Urai

.
8 comments

PAS menang dengan majoriti 65 undi di Manik Urai. Biarpun satu undi demokrasi pilihanraya mengiktiraf kemenangan tersebut. Jika bantah pun ambik masa yang agak lama. Menariknya untuk dikaji adalah mengenai kemerosotan undi kepada PAS. Adakah kerana faktor kejayaan media memainkan isu kononnya PAS mengalami masalah dalaman atau pengundi termakan dengan janji pelbagai dari BN. Termasuk menjadikan Manik Urai agropolitan, jambatan 6 juta dan bermacam lagi janji manis yang ditabur.

Persoalannya apabila BN kalah apakah semua janji tersebut tidak akan dipenuhi langsung? Atau BN boleh pertimbangkan semula janji itu memandangkan jumlah pengundi yang begitu ramai menyokong BN di Manik Urai. PAS cuma menang dengan majoriti kecil, bermakna ramai lagi rakyat yang mahukan janji pembangunan BN itu. Apakah kerana kelebihan 65 undi itu seluruh pengundi BN yang berjumlah 5238 tidak berhak langsung menuntut janji mereka ? Inilah permainan kotor. BN menggunakan segala kekuatan kerajaan yang ada untuk mengugut, menipu dan mempermainkan rakyat hanya semata-mata untuk mendapatkan sokongan pengundi. Mujur Manik Urai di Kelantan kalau di sebelah selatan, rasanya dah menang BN mungkin dengan majoriti yang lebih besar.
Jika Kelantan boleh dinafikan hak selama diperintah oleh PAS. Maka apakah bentuk kezaliman itu tidak cukup menggambarkan BN? Jangan bercakap soal perpaduan ummah, soal rakyat diutamakan jika BN sendiri tidak menunaikan hak sebagai kerajaan Pusat terhadap negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Rasanya kita akan bertambah mual selepas ini jika ada mufti dan lobai-lobai yang disuruh bercerita tentang perpaduan ummat Islam jika BN masih terus menzalimi rakyat seperti yang mereka lakukan pada hari ini. Uwekk..
Lobai Kampung : Tak faham-faham lagi ?

Masjid Tak Mesra Jemaah @ Jemaah Tak Mesra Masjid

.
1 comments


Seringkali mendengar rungutan beberapa jemaah yang menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap sesebuah masjid. Sebenarnya mungkin yang tidak disenangi adalah pentadbiran masjid tersebut yang tidak bersifat mesra jemaah, seperti masjid berkunci, persekitaran masjid yang kotor, ruang solat yang tidak selesa, pentadbir yang tidak mesra dan pelbagai bentuk aduan yang memang tidak dinafikan menggambarkan tentang kelemahan pengurusan tetapi bukan kekurangan masjid rumah Allah.

Masjid adalah rumah Allah yang mulia. Manusia yang hadir dan mendatanginya perlu merasakan diri mereka menjadi tetamu Allah, tetamu Allah dimuliakan Allah, diraikan oleh Allah. Jika kita mengharap layanan yang baik dari makhluk mungkin dengan keterbatasan yang ada makhluk tidak mampu menyediakan segala keperluan untuk mereka yang bertamu di rumah Allah.

Sebahagian dari pengurusan masjid kadang-kadang mengambil beberapa pendekatan dan peraturan yang menyulitkan para jemaah. Namun ada signifikan mereka meletakkan peraturan tersebut yang bersifat umum dan meliputi semua jemaah. Tidak kurang sebahagian masjid yang meletakkan peraturan yang agak pelik, bukan sahaja menyulitkan jemaah bahkan kadang-kadang menjadikan jemaah semakin jauh dari masjid.
Marilah bersama terlebih dahulu kita berlapang dada menerima kekurangan masjid di tempat kita. Insfrastruktur tidak secanggih dan sehebat hentian R&R PLUS, Tandas tidak seindah hotel 5 bintang, carpet berbau tidak sewangi permaidani mewah dan banyak lagi yang boleh dipertikaikan. Jika disenaraikan memang berjela panjangnya.

Namun, dalam pada itu sebagai jemaah yang mendatangi masjid. Adakah kita sendiri bersifat mesra dengan masjid. Untuk penggunaan tandas masjid yang disinggahi, berapa duit yang kita masukkan di dalam tabung yang disediakan. Kita hanya pandai mengomel apabila tandasnya busuk dan tidak memenuhi selera kita, tetapi kita lebih hina lagi apabila sekadar singgih untuk membuang air. Hinanya taraf masjid di mata kita, sekadar persinggahan melepaskan hajat dan kemudian berlalu tanpa akhlak. Bahkan kadang-kadang mereka memburukkan lagi keadaan dengan meneruskan juga hajatnya.

Kelemahan dan kekurangan makhluk yang bernama manusia di dalam mentadbir tidak dinafikan. Apakah itu yang menyebabkan kita menjauhkan diri dari masjid. Mereka yang salah biarkan mereka tanggung di hadapan Allah. Apakah kerana kekurangan mereka menjadikan kita tidak memilih untuk menjadi tetamu Allah? Sesiapa yang tidak sudi menjadi tetamu Allah di dunia, bimbang nanti di akhirat Allah tidak sudi menerima kita sebagai tamunya. Rugi sangat rasanya kerana marahkan mereka kita tidak meletakkan diri kita sebagai ''Ummarul Masajid'' - pengimarah masjid.

Marilah bersama kita renungkan. Jangan emosional kita mengatasi rasional. Mereka akan dipertanggungjawab di hadapan Allah kita juga begitu. Biar mereka penjadi pentadbir kita menjadi pengimarahnya . Allah tidak meletakkan kemulian pada pentadbir sebaliknya Allah meletakkan kemuliaan kepada pengimarahnya. Kalau mentadbir tetapi tidak mengimarah merekalah yang rugi, tetapi walaupun tidak mentadbir tetapi mengimarah untungnya bukan sedikit. Maka oleh sebab itu Allah mengungkapkan ciri pengimarah masjid. Pengimarah masjid sepatutnya merekalah yang layak jadi pentadbir masjid ...


Surah At-Taubah :18
Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

Lobai kampung : Yang lebih hebat di kalangan kita adalah mereka yang tidak punya apa-apa lalu berbuat apa-apa, dari mereka yang punya apa-apa tetapi tidak berbuat apa-apa ...

Tujuh Indikator Kebahagiaan Dunia

.
0 comments



Ibnu Abbas ra. adalah salah seorang sahabat Nabi SAW yang sangat terlatih dalam menjaga dan melayani Rasulullah SAW, dimana ia pernah secara khusus didoakan Rasulullah SAW, selain itu pada usia 9 tahun Ibnu Abbas telah hafal Al-Quran dan telah menjadi imam di masjid. Suatu hari ia ditanya oleh para Tabi’in (generasi sesudah wafatnya Rasulullah SAW) mengenai apa yang dimaksud dengan kebahagiaan dunia. Jawab Ibnu Abbas ada 7 (tujuh) indikator kebahagiaan dunia, yaitu :


Pertama, Qalbun syakirun atau hati yang selalu bersyukur.Memiliki jiwa syukur berarti selalu menerima apa adanya (qona’ah), sehingga tidak ada ambisi yang berlebihan, tidak ada stress, inilah nikmat bagi hati yang selalu bersyukur. Seorang yang pandai bersyukur sangatlah cerdas memahami sifat-sifat Allah SWT, sehingga apapun yang diberikan Allah ia malah terpesona dengan pemberian dan keputusan Allah.Bila sedang kesulitan maka ia segera ingat sabda Rasulullah SAW yaitu :“Kalau kita sedang susah perhatikanlah orang yang lebih susah dari kita”. Bila sedang diberi kemudahan, ia bersyukur dengan memperbanyak amal ibadahnya, kemudian Allah pun akan mengujinya dengan kemudahan yang lebih besar lagi. Bila ia tetap dengan terus bersyukur maka Allah akan mengujinya lagi dengan kemudahan yang lebih besar lagi. Maka berbahagialah orang yang pandai bersyukur!


Kedua. Al azwaju shalihah, yaitu pasangan hidup yang sholeh. Pasangan hidup yang sholeh akan menciptakan suasana rumah dan keluarga yang sholeh pula. Di akhirat kelak seorang suami (sebagai imam keluarga) akan diminta pertanggungjawaban dalam mengajak isteri dan anaknya kepada kesholehan. Berbahagialah menjadi seorang isteri apabila memiliki suami yang sholeh, yang pasti akan bekerja keras untuk mengajak isteri dan anaknya menjadi muslim yang sholeh. Demikian pula seorang isteri yang sholeh, akan memiliki kesabaran dan keikhlasan yang luar biasa dalam melayani suaminya, walau seberapa buruknya kelakuan suaminya. Maka berbahagialah menjadi seorang suami yang memiliki seorang isteri yang sholeh.


Ketiga, al auladun abrar, yaitu anak yang soleh.Saat Rasulullah SAW lagi thawaf. Rasulullah SAW bertemu dengan seorang anak muda yang pundaknya lecet-lecet. Setelah selesai thawaf Rasulullah SAW bertanya kepada anak muda itu : “Kenapa pundakmu itu ?” Jawab anak muda itu : “Ya Rasulullah, saya dari Yaman, saya mempunyai seorang ibu yang sudah udzur. Saya sangat mencintai dia dan saya tidak pernah melepaskan dia. Saya melepaskan ibu saya hanya ketika buang hajat, ketika sholat, atau ketika istirahat, selain itu sisanya saya selalu menggendongnya” . Lalu anak muda itu bertanya: ” Ya Rasulullah, apakah akusudah termasuk kedalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua ?” Nabi SAW sambil memeluk anak muda itu dan mengatakan: “Sungguh Allah ridho kepadamu, kamu anak yang soleh, anak yang berbakti, tapi anakku ketahuilah, cinta orangtuamu tidak akan terbalaskan olehmu”. Dari hadist tersebut kita mendapat gambaran bahwa amal ibadah kita ternyata tidak cukup untuk membalas cinta dan kebaikan orang tua kita, namun minimal kita bisa memulainya dengan menjadi anak yang soleh, dimana doa anak yang sholeh kepada orang tuanya dijamin dikabulkan Allah. Berbahagialah kita bila memiliki anak yang sholeh.


Keempat, albiatu sholihah, yaitu lingkungan yang kondusif untuk iman kita.Yang dimaksud dengan lingkungan yang kondusif ialah, kita boleh mengenal siapapun tetapi untuk menjadikannya sebagai sahabat karib kita, haruslah orang-orang yang mempunyai nilai tambah terhadap keimanan kita. Dalam sebuah haditsnya, Rasulullah menganjurkan kita untuk selalu bergaul dengan orang-orang yang sholeh. Orang-orang yang sholeh akan selalu mengajak kepada kebaikan dan mengingatkan kita bila kita berbuat salah. Orang-orang sholeh adalah orang-orang yang bahagia karena nikmat iman dan nikmat Islam yang selalu terpancar pada cahaya wajahnya. Insya Allah cahaya tersebut akan ikut menyinari orang-orang yang ada disekitarnya.Berbahagialah orang-orang yang selalu dikelilingi oleh orang-orang yang sholeh.


Kelima, al malul halal, atau harta yang halal.Paradigma dalam Islam mengenai harta bukanlah banyaknya harta tetapi halalnya. Ini tidak berarti Islam tidak menyuruh umatnya untuk kaya.Dalam riwayat Imam Muslim di dalam bab sadaqoh, Rasulullah SAW pernah bertemu dengan seorang sahabat yang berdoa mengangkat tangan. “Kamu berdoa sudah bagus”, kata Nabi SAW, “Namun sayang makanan, minuman dan pakaian dan tempat tinggalnya didapat secara haram, bagaimana doanya dikabulkan”. Berbahagialah menjadi orang yang hartanya halal karena doanya sangat mudah dikabulkan Allah. Harta yang halal juga akan menjauhkan setan dari hatinya, maka hatinya semakin bersih, suci dan kokoh, sehingga memberi ketenangan dalam hidupnya. Maka berbahagialah orang-orang yang selalu dengan teliti menjaga kehalalan hartanya.


Keenam, Tafakuh fi dien, atau semangat untuk memahami agama. Semangat memahami agama diwujudkan dalam semangat memahami ilmu-ilmu agama Islam. Semakin ia belajar, maka semakin ia terangsang untuk belajar lebih jauh lagi ilmu mengenai sifat-sifat Allah dan ciptaan-Nya. Allah menjanjikan nikmat bagi umat-Nya yang menuntut ilmu, semakin ia belajar semakin cinta ia kepada agamanya, semakin tinggi cintanya kepada Allah dan rasul-Nya. Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hatinya.Semangat memahami agama akan meng “hidup” kan hatinya, hati yang “hidup” adalah hati yang selalu dipenuhi cahaya nikmat Islam dan nikmat iman. Maka berbahagialah orang yang penuh semangat memahami ilmu agama Islam.


Ketujuh, yaitu umur yang baroqah. Umur yang baroqah itu artinya umur yang semakin tua semakin sholeh, yang setiap detiknya diisi dengan amal ibadah. Seseorang yang mengisi hidupnya untuk kebahagiaan dunia semata, maka hari tuanya akan diisi dengan banyak bernostalgia (berangan-angan) tentang masa mudanya, iapun cenderung kecewa dengan ketuaannya (post-power syndrome). Disamping itu pikirannya terfokus pada bagaimana caranya menikmati sisa hidupnya, maka iapun sibuk berangan-angan terhadap kenikmatan dunia yang belum ia sempat rasakan, hatinya kecewa bila ia tidak mampu menikmati kenikmatan yang diangankannya. Sedangkan orang yang mengisi umurnya dengan banyak mempersiapkan diri untuk akhirat (melalui amal ibadah) maka semakin tua semakin rindu ia untuk bertemu dengan Sang Penciptanya. Hari tuanya diisi dengan bermesraan dengan Sang Maha Pengasih. Tidak ada rasa takutnya untuk meninggalkan dunia ini, bahkan ia penuh harap untuk segera merasakan keindahan alam kehidupan berikutnya seperti yang dijanjikan Allah. Inilah semangat “hidup” orang-orang yang baroqah umurnya, maka berbahagialah orang-orang yang umurnya baroqah.


Demikianlah pesan-pesan dari Ibnu Abbas ra. mengenai 7 indikator kebahagiaan dunia. Bagaimana caranya agar kita dikaruniakan Allah ke tujuh buah indikator kebahagiaan dunia tersebut ? Selain usaha keras kita untuk memperbaiki diri, maka mohonlah kepada Allah SWT dengan sesering dan se-khusyu’ mungkin membaca doa `sapu jagat’ , yaitu doa yang paling sering dibaca oleh Rasulullah SAW. Dimana baris pertama doa tersebut “Rabbanaa aatina fid dun-yaa hasanaw” (yang artinya “Ya Allah karuniakanlah aku kebahagiaan dunia “), mempunyai makna bahwa kita sedang meminta kepada Allah ke tujuh indikator kebahagiaan dunia yang disebutkan Ibnu Abbas ra, yaitu hati yang selalu syukur, pasangan hidup yang soleh, anak yang soleh, teman-teman atau lingkungan yang soleh, harta yang halal, semangat untuk memahami ajaran agama, dan umur yang baroqah.Walaupun kita akui sulit mendapatkan ketujuh hal itu ada di dalam genggaman kita, setidak-tidaknya kalau kita mendapat sebagian saja sudah patut kita syukuri.Sedangkan mengenai kelanjutan doa sapu jagat tersebut yaitu “wa fil aakhirati hasanaw” (yang artinya “dan juga kebahagiaan akhirat”), untuk memperolehnya hanyalah dengan rahmat Allah. Kebahagiaan akhirat itu bukan surga tetapi rahmat Allah, kasih sayang Allah. Surga itu hanyalah sebagian kecil dari rahmat Allah, kita masuk surga bukan karena amal soleh kita, tetapi karena rahmat Allah.Amal soleh yang kita lakukan sepanjang hidup kita (walau setiap hari puasa dan sholat malam) tidaklah cukup untuk mendapatkan tiket masuk surga. Amal soleh sesempurna apapun yang kita lakukan seumur hidup kita tidaklah sebanding dengan nikmat surga yang dijanjikan Allah. Kata Nabi SAW, “Amal soleh yang kalian lakukan tidakbisa memasukkan kalian ke surga”. Lalu para sahabat bertanya: “Bagaimana dengan Engkau ya Rasulullah ?”. Jawab Rasulullah SAW : “Amal soleh saya pun juga tidak cukup”. Lalu para sahabat kembali bertanya : “Kalau begitu dengan apa kita masuk surga?”. Nabi SAW kembali menjawab : “Kita dapat masuk surga hanya karena rahmat dan kebaikan Allah semata”.Jadi sholat kita, puasa kita, taqarub kita kepada Allah sebenarnya bukan untuk surga tetapi untuk mendapatkan rahmat Allah. Dengan rahmat Allah itulah kita mendapatkan surga Allah (Insya Allah, Amiin).