Isu Kalimah Allah : Peluang Menerang Bukan Menyerang

.
0 comments


Sudah terlalu banyak hujjah ilmiah diberikan di dalam menerangkan isu kalimah Allah. Lain ustaz lain analoginya, lain tuan guru lain hujjahnya. Apapun masing-masing punya niat yang suci harapnya,agar kalimah Allah digunakan pada tempat yang betul dan pemahaman yang tepat. Saya tidak lagi berminat untuk berhujjah sesama tuan guru dan ustaz-ustaz yang hebat ilmunya. Mungkin mereka punya hujjah tersendiri. Soal dipolitikkan atau pun tidak, saya pulangkan juga kepada kebijaksanaan masing-masing membaca keadaan siasah di Malaysia ini.

Mempolitikkan ISLAM memang satu tindakan yang kotor. Tetapi yang perlu kita usahakan bersama adalah 'MENGISLAMKAN POLITIK' agar amalan politik kita tidak lagi berkiblat demokrasi barat. Selama berkuasa hampir 52 tahun, apa yang ulama 'ada kuasa' telah buat untuk 'MENGISLAMKAN POLITIK' yang diamalkan di Malaysia. Atau mereka sudah rasa cukup selesa dengan kedudukan yang ada untuk memberikan kefahaman Islam kepada masyarakat Islam sehingga kadang-kadang isu akidah ini disambut dengan telahan politik sempit. Mereka gagal membezakan antara parti politik dengan sistem politik. Biarpun mereka mendakwa mereka tidak berpolitik tetapi mereka lupa mereka telah dipolitikkan. Kasihan Rakyat.

Justeru, bagi semua tuan guru dan para asatizah dalam isu kalimah Allah ini mari bersama kita gunakan peluang untuk mengajak ummat manusia mengenal dan mentauhidkan Allah dengan kefahaman yang sebenar. Bukan cuba menjadi hero yang tidak berpasukan. Hero sendirian yang begitu yakin dengan kekuatan dirinya sendiri tertipu dengan senjata yang ada di tangan. Musuh lebih mudah mematahkan dan menjatuhkan hero solo berbanding askar yang berpasukan. Tidak perlu lagi mengemukakan dalil kerana rasanya 'hero-hero' ini lebih faham tuntutan berjemaah. Dari urusan pembinaan solat kita digalakkan berjemaah sehinggalah kepada pembinaan negara semuanya sudah jelas, cuma mungkin sorakan dari penyokong menyebabkan ramai hero-hero yang yakin bergerak sendirian dan mengasingkan diri dari berpasukan. Sorakan penyokong hanya akan menyebabkan kita rasa kuat, namun apabila kita menghadapi kesukaran di tengah padang mereka tidak mampu ke tengah padang untuk membantu.

Mari bersama kita menghidupkan masyarakat dengan budaya ilmu bermula dengan memperkenalkan ilmu akidah yang kian dipandang sepi oleh masyarakat kerana ia adalah asas kepada pemahaman tuntutan sebagai seorang muslim. Hidangkan kepada mereka maksud dan pemahaman 'intima' dengan Islam. Itu lebih utama rasanya, dari terus menyerang adalah lebih utama kita menerang !!

Cabaran Terhadap Dakwah Adalah Sunnatullah

.
2 comments


Perubahan siang dan malam, pertukaran musim panas dan musim sejuk, peredaran bulan dan matahari dan sebagainya adalah sunnatullah yang tidak pernah berubah sejak dijadikan alam ini sehinggalah ke hari qiamat.Ketahuilah bahawa sunnatullah itu memberi kesejahteraan kepada manusia untuk menjalani kehidupan dan juga untuk melahirkan insan yang benar-benar taat kepada penciptanya.

Kesinambungan sunnatullah ini tidak dapat disangkal lagi kerana ianya berlaku secara realiti dan dapat dibuktikan melalui pancaindera yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia.

Penumpuan kita di bawah tajuk ini ialah tabiat dakwah untuk menegakkan kebenaran tidak dapat tidak mesti melalui liku-liku yang dihiasi dengan berbagai bentuk rintangan dan cabaran.
Sesungguhnya pertembungan diantara kebenaran dan kebathilan tidak pernah selesai sejak zaman lampau sehinggalah kehari ini dan akan berterusan.Kebenaran ini telah dilakarkan oleh Allah dengan barisan ayat yang paling jelas.

قال تعالى :"يريدون أن يطفئوا نور الله بأفواههم ويأبى الله إلا أن يتم نوره ولو كره الكافرون"
(سورة التوبة أية 32
)
Namun betapapun ampuh kekuatan musuh untuk memadamkan seruan islam dari terus bersinar,mereka tidak akan mampu untuk mengatasi ketentuan Allah.Anugerah kejayaan dan kemenangan yang sebenar hanya akan dapat dirasai dan dinikmati oleh golongan yang mendokong kebenaran,dan mereka yang meletakkan iman yang sejati kepada Allah.Realiti ini telah pun dibuktikan dari kenyataan sejarah dan telah pun tercatit di dalam Al-Quran.

قال تعالى :"ولقد سبقت كلمتنا لعبادنا المرسلين. إنهم لهم المنصورون. وإن جندنا لهم الغالبون"
(سورة الصافات أية 171-173)

Ertinya: Dan sesungguhnya telah tetap janji kami kepada hamba-hamba kami yang menjadi rasul.(iaitu) sesungguhnya mereka itulah yang pasti mendapat pertolongan.Dan sesungguhnya tentera kami itulah yang pasti menang.(shaffat:171-173).

Memandangkan cabaran terhadap dakwah adalah sesuatu yang penting untuk pengetahuan para da’ie dan generasi baru,saya cuba kumpulkan beberapa maklumat ringkas yang berkaitan dengan tajuk ini.Untuk makluman,perbincangan ini hanya terbatas kepada cabaran dari luar dan tidak termasuk cabaran yang datang dari masalah yang timbul didalam jemaah islam sendiri.

PENGERTIAN CABARAN DAN SUNNATULLAH

2.1 Di dalam Mu’jam Wasit perkataan cabaran bermaksud meminta diadakan
pertandingan dalam sesuatu perkara.Perkataan sunnatullah pula diertikan sebagai ketentuan Allah terhadap makhluknya.

2.2 Penulis kamus Muhit mentakrifkan cabaran sebagai pertentangan dan
perlawanan dan sunnatullah pula ialah peraturan Allah perintahnya dan larangannya.

2.3 Perkataan sunnatullah di dalam Al-Quran disebut sebanyak lapan kali iaitu 3 kali
dalam surah Al-Ahzab,2 kali dalam surah Fathir,1 kali dalam surah Al-Mukmin,dan 2 kali dalam surah Al-Fath.

Imam Fahrulrazzi pernah menyebut bahawa tidak ada sebarang pertukaran dan pergantian dalam sunnatullah,sesungguhnya pergantian hanya berlaku dalam syariat sedangkan perbuatan dan peristiwa tetap menjadi sunnatullah.


HIKMAT CABARAN SEBAGAI SUNNATULLAH.

1. Cabaran adalah merupakan antara faktor terpenting dalam membina dan memilih keperibadian muslim.Pembentukan peribadi yang dibangunkan dengan teori semata-mata tanpa diiringi dengan sebarang desakan,kesempitan,kesusahan dan tentangan tidak akan dapat melahirkan insan yang benar-benar bertakwa.

2. Cabaran sebagai ujian Allah untuk memilih diantara dua golongan manusia iaitu :

i–yang benar-benar beriman
ii – yang hidup dalam kepura-puraan.Apabila berlaku ujian akan terbuktilah golongan
yang layak berada disisi Allah. Firman Allah:

قال تعالى :"أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا أمنا وهم لايفتنون. ولقد فتنا الذين من قبلهم
فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين"
(سورة العنكبوت أية 2-3)


Maksudnya: Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan(saja) mengatakan “kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji.Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka,maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta.
SEBAB-SEBAB BERLAKUNYA CABARAN TERHADAP DAKWAH.

1. Kejahilan dan pemikiran yang jumud.
Sifat semulajadi yang ada pada manusia ialah ia akan menentang sesuatu yang tidak diketahui hakikat sebenarnya.Kejahilan ini disebabkan pemikirannya yang seolah-olah tidak berfungsi,lalu berlakulah penentangan yang melulu.

2. Menilai seseorang dengan harta dan kekuatan yang dimiliki.
Perbandingan inilah yang digunakan kebenaran dan kerasulan,jelas dari kata-kata Walid b. Mughirah ketika dakwah islam sampai kepadanya “Adakah aku perlu menyertai Muhammad saw atau tidak sedangkan aku adalah pembesar Quraish”.

Begitu juga di zaman moden ini Benua Eropah dianggap sebagai raja kerana kekuatan yang dimiliki dan negara-negara lain hanya mengikut arah telunjuk mereka.

3. Kekayaan dan hawa nafsu.
Islam datang dengan membawa rahmat keseluruh alam,mendidik akhlak yang mulia, mewujudkan masyarakat yang adil,membina kehidupan yang makmur. Konsep ini boleh menjejaskan kegiatan golongan yang mengaut kekayaan dengan berbagai cara (penindasan) hawa nafsu yang tidak pernah puas telah dibataskan dengan kedatangan Islam. Dengan itu untuk mengekalkan kedudukan kekayaan serta hawa nafsu mereka,islam mesti disekat dari terus berkembang.

4. Sifat hasad dengki dan takabbur.
Penyakit hati ini sentiasa wujud dalam setiap zaman,ianya menjadi penghalang utama terhadap kebenaran. Sifat inilah yang dimiliki oleh Yahudi, Nasrani dan Orientalis, mereka ini memahami Islam tetapi mereka menggunakan pengetahuan tersebut untuk menghancurkan agama yang mulia.
Muaz bin Jabal pernah berkata kepada orang Yahudi “Wahai kaum Yahudi! Berimanlah kepada Allah, sesungguhnya kamulah yang telah menceritakan kepada kami tentang Muhammad saw dan kami ketika itu berada dalam kekufuran, kamu juga yang memberitahu kami dialah rasul yang akan dibangkitkan serta menerangkan kepada kami tentang sifat-sifatnya”. Kenyataan itu dijawab dengan angkuh oleh salah seorang Yahudi “Orang yang kamu anggap sebagai Muhammad itu bukanlah orang yang telah kami sebutkan kepada kamu”.

CONTOH CABARAN TERHADAP DAKWAH YANG DITERIMA OLEH PARA RASUL.

1. Nabi Nuh a’laihissalam.
Nabi Nuh adalah merupakan rasul yang pertama yang menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah dan baginda jugalah orang yang pertama melarang manusia dari mensyirikkan Allah. Nabi Nuh diutuskan oleh Allah dalam suasana kaumnya menyembah berhala. Patung-patung ini, pada peringkat awalnya dibina bagi mengenangkan orang-orang yang soleh di kalangan nenek moyang mereka, tapi lama kelamaan patung-patung ini dianggap sebagai tuhan.
Seruan dan dakwah yang dibawa oleh Nabi Nuh untuk mengembalikan kaumnya kepada menyembah Allah sudah pastinya mendapat tentangan yang hebat, kerana kedegilan yang ditunjukkan oleh kaumnya disertai dengan ejekan, penghinaan dan kekerasan. Dakwah Nabi Nuh tidak dapat membuka hati nurani mereka malah lebih menjauhkan diri dari kebenaran sehinggalah menyebabkan Nabi Nuh mengadu kepada Allah.
Firman Allah :

قال تعالى : قال رب إنى دعوت قومى ليلا ونهارا. فلم يزدهم دعآءى إلا فرارا. وإنى كلما دعوتهم لتغفرلهم جعلوا أصابعهم فى ءاذانهم واستغشوا ثيابهم وأصروا واستكبروا استكبارا
(سورة نوح أية 5-7)


Maksudnya: Nuh berkata “Ya Tuhanku!Sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang.Seruanku itu hanyalah menambahkan mereka lari dari kebenaran.Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka supaya beriman agar engkau mengampuni mereka,mereka masukkan anak jari mereka ke dalam telinga dan menutup bajunya(ke muka)mereka tetap mengingkari dan sangat menyombongkan diri”.

Kerana itulah kita lihat golongan yang menerima seruan Nabi Nuh adalah sebilangan kecil sahaja dari kaumnya walaupun tempoh seruan Nabi Nuh hampir seribu tahun.
Firman Allah:

قال تعالى :"ولقد أرسلنا نوحا إلى قومه فلبث فيهم ألف سنة إلا خمسين عاما"
(سورة العنكبوت أية 14)


2. Nabi Ibrahim a’laihissalam.
Cabaran yang diterima oleh Nabi Ibrahim juga tidak kurang hebatnya, kerana masyarakatnya yang diselubungi dengan suasana jahiliah. Kaumnya termasuk ayah dan ibu Nabi Ibrahim sendiri semakin jauh dari cahaya iman apabila kerajaannya juga berada di bawah payung kesesatan. Nabi Ibrahim dengan keadaan keseorangan, tanpa ada sebarang senjata yang mengiringi perjuangannya tetap juga menyeru Namrud serta pengikutnya agar beriman dengan Allah.
Kesesatan yang dianuti oleh kaum Nabi Ibrahim boleh dibahagikan kepada tiga jenis :

· Menyembah berhala yang diwarisi dari kaum Nuh,‘Add dan Thamud.
· Menyembah cakerawala seperti matahari,bulan dan bintang,penyembahan
berasal dari kepercayaan mereka kepada khurafat.
· Menyembah raja yang dianggap sebagai tuhan.

Nabi Ibrahim yang tidak pernah takut untuk menyatakan kebenaran telah menegaskan pendiriannya di hadapan kaum Namrud:

Firman Allah:

قال تعالى:"قال أفرءيتم ما كنتم تعبدون. أنتم وآبائكم الأقدمون.فإنهم عدولى إلا رب العالمين"
(سورة الشعراء أية 75- 77)


Maksudnya: Nabi Ibrahim berkata “Maka apakah kamu telah memperhatikan apa yang selalu kamu sembah.Kamu dan nenek moyang kamu dahulu.Kerana sesungguhnya apa yang kamu sembah itu adalah musuhku kecuali tuhan semesta alam”.

Ketegasan beliau dalam menegakkan agama Allah telah sampai di kemuncaknya apabila beliau berani memecahkan berhala besar yang menjadi tunggak kebanggan kaum Namrud.Tindakan ini telah meletakkan nyawanya sebagai taruhan,beliau telah dihumbankan ke dalam api yang sedang marak menyala.

Firman Allah :
قال تعالى :"قالوا حرقوه وانصروا ءالهتكم إن كنتم فاعلين. قلنا ينا ركونى بردا وسلما على إبراهيم".
(سورة الأنبياء أية 68-69)

3. Junjungan besar Nabi Muhammad saw.
Suasana bangsa arab ketika diutuskan Rasulullah saw berada dalam keadaan liar, diselaputi dengan khurafat dan adat-adat jahiliah.

Kata Sa’id Ramadhan Al-Buti “Pembentukan sejarah arab bermula dari agama ‘Hanifiah’ yang di bawa oleh Nabi Ibrahim. Disitulah titik permulaan tertanamnya aqidah tauhid dan cahaya keimanan kepada bangsa arab tetapi kemudiannya sedikit demi sedikit mereka mula meninggalkan agama ini atas faktor jarak masa yang lama. Kehidupan mereka sebelum ini di bawah petunjuk ilahi telah digantikan dengan syirik dan kekufuran. Walaupun masih terdapat segelintir manusia yang masih berpegang dengan agama’Hanifiah’ ini, tetapi ia semakin lemah ditelan zaman dan pengikutnya semakin kurang dari tahun ke tahun.

Dakwah Rasulullah terpaksa berhadapan dengan pembesar-pembesar Quraish yang mempunyai kekuatan dan pengaruh, beliau juga terpaksa menghadapi dengan golongan ahli kitab yang juga mempunyai pengaruh dalam masyarakat arab. Baginda dihina, difitnah dan dilemparkan dengan berbagai tohmahan seperti tuduhan ahli sihir, gila, penyair, ahli nujum dan sebagainya.

Firman Allah :

قال تعالى :"قال الكافرون إن هذا لسحر مبين" – (سورة يونس أية 2)
قال تعالى :"كذلك ما أتى الذين من قبلهم من رسول إلا قالوا ساحر أو مجنون" – (سورة الذاريات أية 25)
قال تعالى :"بل قالوا أضغاث أحلام بل افتراه بل هو شاعر" – (سورة الأنبياء أية 5)
قال تعالى :"فذكر فما أنت بنعمت ربك بكاهن ولا مجنون" –(سورة الطور أية 29)


Islam sejak awal lagi telah melancarkan serangan ideologi terhadap jahiliah. Sistem yang buruk itu mesti di robohkan dan dan dibina semula dengan asas yang lebih kukuh iaitu Islam.
Oleh kerana matlamat inilah yang menjadi cita-cita dakwah yang di bawa oleh Rasulullah,sudah tentulah kaum jahiliah tidak akan berdiam diri.Mereka akan curahkan sepenuh tenaga untuk mempertahankan prinsip jahiliah yang mereka anuti sejak turun temurun.
Berbagai strategi yang telah disusun dan dilancarkan oleh jahiliah untuk memadamkan Rasulullah, ianya meliputi serangan fizikal dan mental, namun segala yang dilakukan itu tidak sedikit pun menjejaskan perkembangan Islam.
BENTUK CABARAN ZAMAN SILAM.
1. Ancaman terhadap harta dan jiwa.
Dakwah yang dijalankan pada masa lalu tidak sunyi dari menghadapi ancaman ini. Rasulullah dan para sahabat menerima ancaman fizikal dari berbagai bentuk diantaranya:

a - Jalan yang dilalui oleh Rasulullah diletakkan dengan duri.

b - Percubaan membuang kotoran ke atas badan Rasulullah.

c - Pakatan untuk membunuhnya sehingga memaksa baginda berhijrah ke Madinah.

d - Penyiksaan terhadap Bilal Bin Rabah,beliau dibiarkan di tengah padang pasir yang sedang membahang panasnya dan diletakkan batu besar diatas dadanya.

e - Pembunuhan ke atas keluarga Yassir,badan mereka diguris dengan besi panas,Yassir dengan keadaan usianya yang sudah lanjut telah syahid disitu, manakala Sumaiyyah pula ditikam kerana keberaniannya menjawab kata-kata Abu Jahal.

Tidak cukup penyiksaan yang dikenakan terhadap orang-orang Islam ditambah pula dengan sekatan ekonomi. Harga barang dinaikkan dengan berlipat ganda kepada orang Islam, mereka menganggap dengan cara ini akan dapat melumpuhkan pergerakan dakwah yang di bawa oleh Rasulullah.

Abu Lahab yang memainkan peranan penting dalam siri penentangan ini telah membelanjakan harta yang banyak untuk tujuan ini.

Kata Abu Lahab kepada peniaga “Tinggikan harga barang kepada pengikut Muhammad saw sehingga mereka tidak dapat memiliki sesuatu apa pun, tentang barang-barang kamu itu aku penjaminnya, kamu tidak akan menanggung kerugian”.

2. Usaha untuk memburuk-burukkan peribadi pendakwah.

Usaha-usaha seperti ini boleh mengancam perjalanan dakwah itu sendiri kerana hilangnya kepercayaan kepada pendakwah akan menyebabkan kerja dakwah yang disampaikan olehnya akan tergendala.

Fitnah seperti ini bukanlah perkara baru dalam medan dakwah,malah ianya sudah pun termaktub dalam Al-Quran :

Firman Allah :

قال تعالى :"وقالوا يا أيها الذى نزّل عليه الذكر إنك لمجنون"
(سورة الحجر أية 6)

Inilah sebahagian dari tuduhan yang dilemparkan kepada (junjungan besar Nabi Muhammad saw), tujuannya untuk menghapuskan kepercayaan masyarakat arab terhadap kerasulannya, walaupun sebelum diangkat menjadi rasul, baginda terkenal dengan sifat-sifat yang terpuji sehingga digelar sebagai ‘Al-Amin’.
Walid bin Mughirah ketika menghadiri satu ijtima’ bersama pembesar Quraish telah menyebut bahawa musim haji sudah pun hampir, perwakilan dari luar akan membanjiri kota Mekah, Walid mencadangkan supaya memilih satu gelaran untuk dikenakan kepada Rasulullah. Lalu berbagai cadangan telah dikemukakan diantaranya ahli sihir, ahli nujum, penyair dan sebagainya tapi semua cadangan itu di tolak oleh Walid dengan alasan tidak ada satu pun gelaran itu bertepatan dengan peribadi Rasulullah, akhirnya Walid sendiri berpendapat gelaran yang paling hampir ialah ahli sihir dengan tuduhan Muhammad pemecah belah masyarakat, memisahkan diantara ayah dan anak, memisahkan diantara suami dan isteri dan sebagainya.

Apabila tiba musim haji gelaran ini pun di sebarkan kepada para perwakilan dengan harapan mereka memandang buruk kepada Rasulullah,lalu turunlah ayat tentang perbuatan Walid ini.

3. Permusuhan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani).

Pertembungan Islam dengan ahli kitab bermula setelah Islam mula bertapak di Madinah, permusuhan mereka terhadap Islam tidak kurang juga hebatnya jika hendak dibandingkan dengan pembesar-pembesar Quraish.

Diantara cabaran yang datang dari Ahli Kitab ialah:

a) Perang Saraf.
Mereka pura-pura menyertai Islam,disebelah pagi mereka beriman dan disebelah petangnya pula mereka kufur,begitulah saban hari dilakukan perkara yang sama,tujuannya untuk menimbulkan kekeliruan kepada orang mukmin,dengan harapan perbuatan itu nanti lama-kelamaan akan menjadi ikutan.Kemudiannya sedikit demi sedikit pada anggapan mereka agama Islam akan ditinggalkan.

Firman Allah:

قال تعالى :"وقالت طآئفة من أهل الكتابءامنوا بالذى أنزل على الذين ءامنوا وجه النار واكفروا ءاخره لعلهم يرجعون".
(سورة ال عمران أية 72)


b) Mempersendakan kemenangan yang dicapai oleh Islam.
Selepas Islam mencapai kemenangan dalam peperangan Badar,Rasulullah menyeru kepada orang Yahudi supaya beriman sebelum mereka ditimpa musibah sepertimana yang telah di terima oleh kaum Quraish.Jawab seorang Yahudi “Wahai Muhammad!Janganlah kamu menyiksa diri sebenarnya kamu telah mengalahkan sekumpulan Quraish yang tak tahu ilmu peperangan,kalau kita berperang-perangan akan terbuktilah siapa kami dan kamu tidak akan mampu menghadapi kekuatan kami”.

c) Memecah belahkan perpaduan muslimin.
Sejak kedatangan Islam,Aus dan Khazraj yang sebelum ini bermusuhan dapat disatukan. Suasana persaudaraan ini menimbulkan kebencian di kalangan Yahudi, dengan itu percubaan untuk memutuskan persaudaraan ini telah dijalankan dengan begitu halus. Usaha jahat itu hampir-hampir berjaya.

4. Golongan Munafiq.

Apabila terbentuknya daulah Islamiah di Madinah, umat Islam ketika itu sudah mempunyai kekuatan, penentang-penentang dakwah Islam (di Madinah) sudah tidak berani lagi untuk mengadakan penentangan secara terbuka. Bermula dari sinilah timbulnya golongan munafiq. Golongan ini amat merbahaya kerana mereka hidup di tengah masyarakat Islam. Operasi penentangan diatur dengan begitu halus dan rapi dengan berselindung di bawah lambang Islam.
Contohnya : Mereka membina masjid yang baru selepas terbinanya masjid yang diasaskan oleh Rasulullah.Kalau dilihat dari segi luarannya adalah kerana untuk membangunkan tempat ibadah, tetapi tujuan sebenarnya yang tersemat dalam hati mereka ialah untuk memecah belahkan masyarakat Islam di Madinah.

Niat buruk ini telah didedahkan oleh Allah kepada orang Islam. Firman Allah :

قال تعالى :"والذين اتخذوا مسجدا ضرارا وكفرا وتفريقا بين المؤمنين وإرصادا لمن حارب الله ورسوله من قبل وليحافن إن أردنا إلا الحسنى والله يشهد إنهم لكاذبون لا تقم فيه أبدا……".
(سورة التوبة أية 107-108)

5. Kekuatan luar tanah arab.

Pengaruh Islam mula tersebar secara meluas keluar tanah arab ialah di zaman khulafa’ Ar-Rashidin, tapi tidaklah semudah yang disangkakan, tidak kurang juga pemerintah yang enggan menerima kemasukan Islam ke negaranya. Disini berlakulah peperangan yang sengit dan tidak sedikit tentera Islam yang terkorban sebagai Syuhada’.
BENTUK CABARAN ZAMAN MODEN.

1. Ancaman terhadap jiwa.
Kedudukan dakwah zaman ini bolehlah dibahagikan kepada dua :-
i) Di negara bukan umat Islam seperti Russia,Filipina dan India,dimana umat Islam adalah golongan minoriti,mereka langsung tidak berpeluang untuk mengembangkan dakwah Islamiah di negara mereka malah ramai di kalangan umat Islam yang diseksa dan dipenjarakan.

ii ) Di negara umat Islam, walaupun negara di perintah oleh orang Islam tapi negara masih mendaulatkan undang-undang kufur. Penyeksaan umat Islam disini tidak ada bezanya dengan negara (i) Para pendakwah yang terlalu aktif akan ditangkap dan diseksa dan apabila dibebaskan mereka terpaksa menanggung penderitaan seumur hidup.

2. Ancaman terhadap ekonomi.

Kedudukan dakwah akan menjadi lemah apabila ekonominya lemah. Musuh-musuh Islam menggunakan cara ini untuk melakukan tekanan ke atas pergerakan dakwah. Diantara cara yang digunakan ialah :

a) Melakukan tekanan atau sekatan terhadap keperluan asasi umat Islam.
b) Membeli bahan galian atau hasil pertanian dari negara umat Islam dengan harga yang murah,kemudian di jual semula setelah di proses dengan harga yang berlipat ganda.
c) Mengadakan skim pinjaman mudah kepada negara umat Islam,kemudiannya dikenakan kadar faedah yang tinggi.Keadaan ini menyebabkan negara tersebut terpaksa menanggung bebanan hutang yang teruk.

3. Orientalis.

Golongan ini amat merbahaya kepada pergerakan Islam,mereka telah memainkan peranan yang penting dalam membantu penjajahan terhadap negara umat Islam dan juga membantu kristianisasi. Golongan ini menghabiskan sebahagian dari hidup mereka untuk mendalami ilmu Islam,diantara ilmu yang menjadi tumpuan mereka ialah :

a) Ilmu Al-Quran
b) Ilmu Hadith
c) Ilmu Feqah
d) Bahasa dan Kesusasteraan Arab
e) Sejarah Islam
f) Ilmu Kemasyarakatan(mengkaji tentang realiti masyarakat,ekonomi dan politik Islam).

Secara umumnya orientalis boleh di bahagikan kepada tiga golongan:

i - Golongan yang mendapat petunjuk setelah mendalami Islam, hati mereka terbuka untuk menganut Islam, mereka inilah yang telah mengarang buku-buku yang penting untuk rujukan umat Islam seperti Ustaz Muhammad Asad diantara buku-bukunya:

الإسلام فى معترق الطريق
الطريق إلى مكة
منهاج الحكم فى الإسلام


ii - Golongan pertengahan - mereka mendalami Islam dan mengarang buku-buku Islam tanpa sebrang penyelewengan tapi hati mereka masih tertutup untuk menerima Islam.

iii - Golongan yang anti Islam - Ilmu Islam yang mereka miliki digunakan sepenuhnya untuk menimbulkan keraguan terhadap fakta Islam. Diantaranya:

a.Usaha untuk memburukkan peribadi Rasulullah
b.Tohmahan terhadap Al-Quran dan Hadith
c.Memasukkan sekular dalam masyarakat Islam
d.Menggalakkan bangsa arab menggunakan bahasa daerah, ini adalah kerana dua tujuan:
- Memisahkan bagsa arab dari bahasa ‘fushah’(فصحة )
- Merenggangkan hubungan antara bangsa-bangsa arab kerana terdapat perbezaan dalam pertuturan.

4. Budaya barat.

Budaya yang terpisah jauh dari Islam itu sudah pasti mewarisi cara hidup yang songsang, prinsip hidup bebas telah mengikis nilai-nilai kemanusiaan dari budaya itu. Perzinaan, minum arak, perjudian dan sebagainya sudah menjadi amalan harian mereka. Budaya ini sudah berkembang mekar di seluruh dunia. Cara hidup belia kita hari ini, kebanyakannya berpandu kepada budaya tersebut dari cara berpakaian hinggalah kepada tingkah laku mereka. Budaya ini tersebar dengan berbagai cara,diantaranya melalui:

1 - Pelancongan
2 - Media massa
3 - Sistem pendidikan sekular

Keadaan ini menyebabkan generasi baru semakin terpisah dari ajaran Islam, malah mereka akan mengambil sikap negatif terhadap program yang berbentuk Islam.

6. Peperangan

Daya inisiatif yang bersungguh-sungguh dari musuh Islam untuk memecahkan negara umat Islam kepada juzuk-juzuk yang lebih kecil.Merekalah yang mewujudkan permusuhan diantara negara-negara ini. Akhirnya berlakulah peperangan yang merugikan.
Contohnya peristiwa berdarah yang bermula Ogos tahun lalu iaitu sengketa Iraq dan Kuwait, walaupun kita tidak menyokong pencerobohan Iraq ke atas Kuwait, tetapi kita juga tidak mahu campur tangan dari Amerika. Kerana kewujudan Amerikalah yang mempercepatkan berlakunya peperangan ke atas Iraq dan seterusnya menghancurkan negara tersebut. Hasil inilah yang dicita-citakan oleh musuh-musuh Islam itu.

Kata Muhammad Ma’mun Hudhaibi “Keadaan telah membuktikan bahawa kedatangan tentera luar ini bukanlah untuk membebaskan Kuwait atau mempertahankan Arab Saudi atau lainnya….”. Jelas dari kata-kata presiden Bush sebelum berlakunya sengketa ini “Iraq sekarang ini sudah pun mempunyai kekuatan yang melebihi Israel dan mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan teluk. Oleh itu kekuatan Iraq ini mesti dihapuskan”.

BAGAIMANA UNTUK MENGHADAPI CABARAN DAKWAH.

Kita tidak boleh mengelakkan diri dari bertemu malam, kerana malam adalah sunnatullah, kita juga tidak boleh menahan hujan dari menyirami bumi kerana hujan adalah sunnatullah dan yang perlu kita lakukan ialah persedian untuk menghadapinya. Begitu jugalah tentang cabaran dakwah ini. Diantara persediaannya ialah:

1. Kesabaran
Sifat inilah yang dimiliki oleh para rasul dalam menghadapi cabaran dakwah di zaman mereka. Sifat inilah juga yang menjadi kunci kejayaan terhadap dakwah yang mereka bawa. Sifat kesabaran para rasul ini disebut oleh Allah di dalam al-Quran.

Firman Allah :

قال تعالى :"فاصبر كما صبر أولوا العزم من الرسول"-(سورة الأحقاف أية 35)
2. Mendalami ilmu Islam
Kefahaman yang jelas terhadap ilmu Islam akan dapat menangkis dakwaan palsu yang bertujuan untuk meragu-ragukan umat Islam serta mampu memberi fakta yang jelas ke arah mewujudkan kehidupan Islam.

3. Peka kepada isu semasa
Peristiwa yang berlaku pada setiap hari mempunyai hubung kait dengan pergerakan dakwah,jadi kalau suasana ini tidak dipedulikan, seruan dakwah menjadi tawar dan tidak akan dapat menarik perhatian masyarakat.

4. Persediaan jiwa
Perjalanan dakwah dipenuhi dengan onak dan duri, oleh itu kecekalan hati dan kecekalan jiwa adalah amat perlu untuk menangani arus ini. Disamping itu, sifat-sifat buruk seperti sombong, takabbur, hasad dengki dan sebagainya mestilah ditinggalkan.

5. Berhati-hati dengan tipu daya musuh
Musuh Islam sentiasa menggunakan pelbagai cara untuk mencapai matlamat mereka.Kita haruslah meneliti dengan cermat ketika berkomunikasi dengan mereka agar kita tidak terjebak dalam perangkap yang diatur oleh mereka.

6. Pergerakan yang tersusun
Perancangan yang teliti dalam setiap pergerakan dakwah adalah amat penting. Faedah yang di perolehi dari perancangan yang teliti ialah matlamat yang dirancang akan berhasil dengan jayanya tanpa membazirkan masa dan tenaga.

7. Mengukuhkan ekonomi
Kemantapan dari segi taraf hidup akan memberikan ruang yang lebih luas untuk pergerakan Islam, peralatan yang lebih canggih dapat disediakan bagi menandingi kemajuan dunia sekarang ini.

8. Ikhlas
(إنما الأعمال بالنيات)

PENUTUP

Sebenarnya banyak lagi sebab-sebab cabaran zaman silam, cabaran zaman moden dan persediaan untuk menghadapi cabaran yang tidak dimuatkan di dalam kertas kerja ini.

Walaubagaimanapun kita berharap ianya akan menjadi pembuka jalan kepada orang lain untuk mengemukakan sesuatu yang lebih lengkap dari kertas kerja ini. Insya-Allah.

--------------------------------------------------------------------------------------------
Lobai Kampung : Ya Allah berilah kekuatan kepada kami hadapi segalan cabaran di dalam menegakkan agamu dari tangan manusia yang hasad pada perjuangan ini..



ISU PENGGUNAAN NAMA ALLAH: SUATU PANDANGAN

.
4 comments

Seorang sahabat mengirim email membicarakan isu penggunaan kalimah Allah. Terima kasih tuan, atas perkongsian ini ..

Saya terpanggil untuk menulis mengenai isu ini walaupun sebenarnya saya tidak ingin membicarakan isu ini secara bertulis memandangkan isu ini telah dibicarakan oleh ramai tokoh dalam negara antara yang pro dan kontra. Masing-masing telah mengemukakan pandangan berserta dengan hujah dan dalil. Oleh itu, bagi saya lebih baik berdiam diri sambil membaca dan mendengar hujah-hujah yang dikemukakan di samping membuat penilaian berbekalkan ilmu yang ada. Namun saya melihat isu ini gagal ditangani dengan baik sehingga membawa kepada tindakan keganasan yang melibatkan gereja yang dibakar sebagaimana yang kita baca menerusi akhbar baru-baru ini. Sepatutnya perkara ini tidak perlu berlaku kerana ia akan membawa impak yang lebih negatif di masa akan datang dan saya khuatir itulah yang akan berlaku. Namun tindakan membakar gereja ini dilihat berpunca daripada isu yang tidak ditangani dengan baik. Kerana itu, saya mengajak sidang pembaca menilai isu ini dari konteks yang lebih luas dan utama iaitu dari konteks sebagai seorang Muslim. Begitu juga dari kerangka hubungan antara Muslim dengan bukan Muslim. Jangan kita sempitkan isu ini dengan melihat ia dari sudut yang sempit khususnya apabila isu ini dibabitkan dengan politik. Bila isu ini dipandang dari kerangka yang sempit, maka ia mengundang kepada penyelesaian yang tidak bijak lalu membawa kepada tindakan yang bodoh dan dungu.

Bila melihat dan mendengar hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang membicarakan isu ini, baik yang pro mahupun yang kontra, saya sebenarnya lebih cenderung untuk memilih pendapat yang tidak membenarkan nama Allah Ta’ala digunakan oleh golongan bukan Islam. Namun saya tidak juga mengatakan bahawa pihak yang membenarkan itu adalah salah apatah lagi dalil-dalil yang dikemukakan masih memiliki andaian dari sudut argumentasi atau dengan ibarat lain, ayat-ayat yang dijadikan dalil masih lagi zonni dari sudut istidlalnya. Para ulama’ mufassirin dan juga ulama’ ilmu Kalam memiliki pandangan dan tafsiran yang pelbagai mengenai ayat-ayat tersebut. Antara ayat yang dijadikan dalil mengenai isu ini ialah ayat :

61 & 63 surah al-‘Ankabut
25 surah Luqman

Ayat 3 daripada surah az-Zumar juga boleh dijadikan dalil. Namun aplikasi dalil daripada ayat-ayat ini memiliki kepelbagaian ungkapan dalam kalangan ulama’. Dalam ruangan yang terbatas ini, saya tidak berminat untuk mengemukakan pandangan-pandangan tersebut. Yang perlu kita tahu ialah, isu ini adalah perkara yang diperselisihkan oleh ulama’.

Jika perkara ini diperselisihkan disebabkan oleh penggunaan dalil yang memiliki andaian, maka kita juga perlu melihat aspek-aspek lain yang timbul natijah daripada isu penggunaan nama Allah oleh golongan bukan Islam. Apakah natijahnya baik atau sebaliknya? Jika dikaji dari sudut sejarah sekalipun, adakah ia membenarkan penganut Kristian di Malaysia untuk menggunakan nama Allah? Sejak kita dijajah atau bahasa mudahnya sejak Kristian dibawa masuk ke Tanah Melayu melalui penjajahan, adakah nama Allah meniti di bibir mereka? Jika diteliti Holy Bible sendiri, adakah selama ini terdapat kalimah Allah yang digunakan di dalam mana-mana ayat dalam Holy Bible? Baik yang berbahasa Inggeris mahupun Arab? Dari sudut ‘uruf (adat) sendiri, adakah penggunaan nama Allah itu sememangnya khusus untuk penganut agama Islam atau ia juga digunapakai oleh penganut agama lain? Kalau kita buka kamus dan cari perkataan ‘Allah’, maka apa yang akan kita jumpa? Nama tuhan umat Islam atau nama tuhan semua agama? Ini semua adalah persoalan yang perlu kita teliti dan cari jawapan.

Saya juga tertanya-tanya, mengapa isu ini tiba-tiba ditimbulkan oleh golongan Kristian Katolik Malaysia? Adakah mereka berasa mereka memiliki kekuatan sehingga mereka rasa mereka berhak untuk menuntut hak penggunaan nama Allah yang selama ini menjadi hak eksklusif umat Islam? Atau mereka memiliki agenda yang tidak diketahui? Cara mereka menyelesaikan isu juga tidak bijak. Terus bawa isu ke mahkamah sedangkan realitinya mahkamah adalah jalan penyelesaian terakhir untuk isu ini kerana isu ini boleh diselesaikan terlebih dahulu melalui dialog antara agama, wacana, forum atau apa saja yang anda nak namakan. Yang penting ialah sebelum isu ini dibawa ke mahkamah, perlu diperbincangkan dulu dengan cara yang ilmiah. Adakah mereka memiliki hujah yang membenarkan mereka untuk menggunakan nama Allah sepertimana umat Islam menggunakan nama Allah? Jika ada, maka sepatutnya mereka perlu ketengahkan hujah dan fakta yang mereka miliki untuk diperbincangkan sama ada dalam bentuk dialog, wacana, forum, perdebatan dsb. Tindakan membawa isu ini terus ke mahkamah tanpa melalui prosedur yang telah saya nyatakan tadi menunjukkan bahawa mereka tiada hujah. Sedangkan hujah perlu lawan dengan hujah, bukan hujah lawan dengan mahkamah. Dalam masalah mahkamah pula, isu ini dibicarakan di tempat yang salah. Sepatutnya isu ini dibincangkan di Mahkamah Tinggi Syariah –jika perlu dibawa ke mahkamah juga- kerana ia membabitkan isu agama. Namun yang berlaku adalah sebaliknya.

Saya bukan hendak bersangka buruk terhadap penganut agama Kristian –khususnya di Malaysia- namun kita juga dituntut untuk sentiasa berwaspada terhadap golongan bukan Islam. Kerana itu, Allah Ta’ala memerintahkan kita untuk bersiap sedia dengan kelengkapan yang cukup dan kuat bagi menghadapi golongan bukan Islam. Firman Allah Ta’ala:-

Dan bersedialah untuk menghadapi mereka (musuh-musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya.. [Surah al-Anfal: 60]

Allah Ta’ala memerintahkan kita supaya bersiap sedia dengan segala jenis kekuatan yang termampu. Dalam ayat ini, Allah Ta’ala hanya menyebutkan contoh kekuatan yang perlu disiapkan iaitu yang berbentuk ketenteraan. Selain itu, kekuatan yang perlu disiapkan juga ialah kekuatan ilmu, ekonomi, politik, dsb. Apatah lagi dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala membuka rahsia golongan Yahudi dan Kristian yang sememangnya tidak akan redha dengan kita sehingga kita mengikut jejak langkah mereka walau dengan apa cara sekalipun yang boleh digunapakai (termasuklah dengan memainkan isu penggunaan nama Allah). Sejarah juga telah membuktikan kepada kita bagaimana cara mereka melayan umat Islam apabila mereka berjaya menjajah negara umat Islam. Tindakan yang menunjukkan apa yang terbuku di hati mereka terhadap umat Islam.

Isu ini juga menyedarkan kita bahawa masih banyak kelemahan yang perlu kita baiki. Kita melenting bila mereka timbulkan isu ini, lalu timbullah demonstrasi, bakar gereja dan entah apa lagi tindakan yang akan diambil. Tapi rupa-rupanya, puncanya terkena batang hidung kita sendiri juga. Baru kita tahu, kita lemah dalam banyak perkara. Penguasaan ilmu agama kita lemah lebih-lebih lagi ilmu Akidah. Bagaimana cara kita berfikir untuk mengatasi masalah ini pun lemah juga dan kita lihat natijahnya menyedihkan, mengecewakan bahkan menakutkan dan membimbangkan!

SEDIKIT PENELITIAN


Allah Ta’ala berfirman:

Dan (antara sikap buruk orang kafir ialah): apabila disebut nama Allah semata-mata, hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat mendongkol (merasa menyampah, meluat, benci, dendam), namun apabila disebut nama-nama yang mereka sembah selain daripada Allah, mereka dengan serta merta riang gembira. [Surah az-Zumar: 45]

Apa agenda sebenar puak Kristian Katolik ingin menggunakan nama Allah? Sedangkan realitinya, hati mereka menyimpan perasaan dendam, benci, meluat dsb sebagaimana yang didedahkan oleh Allah Yang Maha Mengetahui isi hati para hamba-Nya. Mereka hanya mampu untuk menyebutnya di bibir atau meletakkannya di ruang-ruang rencana mereka, namun adakah hati mereka merasa aman? Lihat firman Allah Ta’ala lagi:

Mereka sentiasa berusaha untuk memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka (melalui ucapan-ucapan dusta & kepura-puraan) namun Allah tetap juga menyempurnakan cahaya-Nya (agama-Nya) walaupun golongan kafir membencinya. [Surah as-Saff: ayat 8]

Mereka ingin menyebut nama Allah sebagai cara untuk memadamkan agama Allah. Mereka ingin menyebut nama-Nya dan ingin memuatkan nama-Nya di dada-dada akhbar mereka agar umat Islam terkeliru, bertelagah, berpecah-belah, murtad lalu agama Islam pun terkubur. Namun ia hanya berlegar di bibir mereka semata-mata, sedangkan hati mereka tidak mampu menolak kenyataan bahawa mereka akan gagal sampai bila-bila untuk memadamkan cahaya-Nya! Sedangkan kita sebagai umat Islam, adakah kita sedar perkara ini?!


Danial Farhan bin Dolmat,
Hayyu Sabi’, Madinah Nasr,
Kaherah, MESIR.

Isu Lafzul Jalalah Allah : Siapa Mengisukan Isu

.
0 comments


Kenyataan Bos KDN

Rakyat yang memang sudah kenal perangai dan taktik pemimpin UMNO-BN mungkin sudah dapat membaca apa sebenarnya yang berlaku tentang polemik penggunaan nama Allah oleh gereja Herald. Bagi yang mengenal UMNO - BN tiada suatu ruang pun untuk boleh menerima mereka bersungguh membela agama dan membela Allah. Sejak bila pula demonstrasi membela Islam boleh diberi ruang untuk diadakan di negara ini sejak merdeka melainkan demo tersebut adalah di bawah restu dan kepentingan UMNO - BN.

Isu penggunaan nama Allah ini nampaknya semacam berjaya menarik sensitiviti masyarakat melayu muslim setelah pelbagai isu yang ditimbulkan sebelum ini kurang mendapat sambutan. Tetapi apa yang lebih utama menjadi penilaian kita sepatutnya di saat ini, apakah peranan kerajaan selama ini di dalam membendung pengaruh kristian di dalam Malaysia sehingga apabila ditimbulkan isu ini nampaknya timbul kekalutan mengenai pengaruh mereka. Di dalam perlembagaan juga telah secara jelas menyatakan tentang keistimewaan agama Islam dan larangan menyebarkan agama lain. Selama ini kita buat apa ..? Kerana yang berkuasa itu adalah UMNO - BN mengapa tidak dimajukan usaha memahamkan rakyat mengenai Islam sebenar dan mengenal akidah sohihah yang dituntut untuk semua muslim memahami dan menghayatinya.

Sebab itu apabila UMNO - BN cuba menjadi hero di dalam isu ini, kelihatan agak canggung. Selama ini di mana hero mereka ? Tenggelam dengan projek jutaan ringgit atau tersepit di dalam menjaga kepentingan politik. Tapi nampaknya isu kali ini, apabila mereka bersungguh memperjuangkan isu ini semacam ada sesuatu yang tidak kena. Apakah selama ini mereka tidak tahu bahawa gerakan dakyah kristian telah lama menjalankan kerja mereka ? Berapa ramai di kalangan muslim malaysia telah menukar agama ..? Kerana tidak sensitifnya mereka mengenai isu-isu akidah selama ini, yang ditutup atas alasan menjaga sensitiviti, kenapa pula isu ini diperbesarkan apakah tidak sensitif lagi isu akidah bagi mereka ...? Jawapannya tidak, sebab mereka mahu sokongan..

Hujah Ilmiah - Zaharudin Abd Rahman :

Isu ini turut menjadi hangat, khususnya apabila beberapa pandangan diberi oleh kumpulan ilmuwan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujah dan nas, demikian juga kumpulan kedua.


Secara asasnya, ini isu cabang dalam bab akidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran. Perbezaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.

Dalil diutarakan kedua-dua kumpulan, masih membabitkan dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh akan berasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza.

Juga tidak wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.

Selepas melakukan penilaian terhadap pelbagai hujah, pandangan silam dan kontemporari, secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah SWT.

Antara nas yang paling jelas adalah:

“Dan sesungguhnya, jika kamu (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka? Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!” (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dialah tuhan yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (al-Zukhruf: 87-88)

Ini hanya satu dalil, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandangan seperti mentafsirkan Allah SWT dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH’ dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi tuhan pencipta secara umum.

Namun, kaedah dalam fiqh memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan khususnya masyarakat jahiliah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS dan Allah SWT sudah difahami merujuk kepada siapa.

Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini. Hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan itu.
Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat daripada hujah kumpulan yang menolak.

Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama ‘Allah’ kepada pengertian lughah (daripada sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan ‘Allah’ secara istilah yang merujuk kepada Allah SWT yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama ‘Allah’ digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali penting untuk kita kerana Bible bukan rujukan kita tetapi al-Quran. Oleh itu, merujuk kepada Bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah, sama ada secara sedar atau tidak sedar.


Umat Islam hanya merujuk al-Quran dan hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible, apatah lagi menurut keyakinan Islam, Bible yang wujud hari ini bukan sama sepenuhnya dengan injil yang diturunkan kepada Nabi Isa SA beribu tahun lalu.

TETAPI…

Namun demikian, itu dalam konteks penelitian dalil dan nas atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari’yyah khususnya bagi mengelak salah guna dan kekeliruan, khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau KDN.

Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, Kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.

Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin saja berbeza mengikut penilaian masing-masing dan tentunya ia bakal memberi kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.


Justeru, penggunaan nama ‘Allah’ oleh pihak Kristian, khususnya dalam penulisan mereka, wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan.


Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi penganut agama Kristian dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama, seterusnya boleh membawa pergaduhan serius jika gagal dikawal.


Lebih-lebih lagi apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu lemah. Keadaan pendakwah bukan Islam yang galak menggunakannya dengan tujuan tertentu serta kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama ‘Allah’ dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam.


Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang. Sekali lagi perlu diingatkan, perlu dibezakan keputusan hukum dan siyasah syar’iyyah.


Sekuat manapun hujah untuk membenarkan Kristian menggunakan nama ‘Allah’, namun hujah daripada sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan sangat patut dilakukan.Sama ada ia untuk tempoh tertentu, berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat, seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setiap keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian).


Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah dan ruang konflik antara agama yang mudah ternyala api pergaduhan.
Kesimpulannya, secara peribadi saya berharap supaya rayuan keputusan yang akan dilakukan
oleh KDN berjaya mencapai keputusan sebaiknya.

Allah Kami Allah Kamu

.
1 comments


Isu penggunaan nama Allah oleh non muslim menjadi satu polemik baru di Malaysia. Sungguh. Bukannya senang untuk mentadbir sesebuah negara berdasarkan acuan Syarak. Pastinya para penuntut ilmu Islam khususnya yang berada di Timur Tengah perlu lebih serius dan bersengkang mata dalam mengaut lautan ilmu bagi melengkapkan diri sebagai pengisi kepada pelaksanaan Islam di Malaysia selepas tumbangnya era zalim UMNO tida lama lagi.

Sempat saya mengambil pandangan Syeikh Yusri Al-Hasani pagi tadi berkenaan isu ini. Menurut beliau, Allah adalah tuhan bagi seluruh makhluk. Allah jugalah tuhan bagi penduduk syurga dan penduduk neraka. Menurut beliau, tidak betul sekiranya non Muslim disekat daripada menggunakan kalimah Allah.Beliau sempat membacakan beberapa potong ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa non Muslim juga menyebut nama Allah.

Antaranya:
1) Surah Luqman Ayat 25
2) Surah Al-Ankabut Ayat 61

Beliau menegaskan bahawa Allah tidak menyalahkan golongan musyrikin di dalam ayat di atas kerana mereka menggunakan nama Allah, sebaliknya Allah membidas mereka kerana mereka tetap tidak mahu beriman kepada Allah.Saya sempat juga menyatakan kepada beliau bahawa berkemungkinan dengan membenarkan non muslim menggunakan nama Allah akan menyebabkan kecelaruan dalam diri orang-orang Islam yang tidak mendalami Islam dengan baik, beliau mencelah "Maka tugas para ulama di Malaysialah yang sepatutnya menjelaskan kepada masyarakat Islam tentang kebenaran Islam".Dalam perjalanan pulang dari Muqattam tadi, saya terus memikirkan isu ini.

Saya terfikir, Nabi Isa Alaihissalam adalah salah seorang Nabi yang dimuliakan oleh orang-orang Islam. Namun golongan Kristian telah mentuhankan baginda dan semestinya ini juga adalah satu perkara yang terkutuk di dalam Islam. Walau bagaimanapun, saya belum pernah terbaca mana-mana buku sejarah Islam lampau yang menyatakan bahawa pihak gereja dilarang daripada meletakkan patung nabi Isa yang disalib di dalam gereja. Mereka bebas menganut agama Kristian dan bebas untuk menganggap Nabi Isa adalah tuhan sedangkan isu mentuhankan nabi Isa adalah isu yang begitu sensitif dalam agama Islam.Makanya, seakan-akan isu penggunaan nama Allah hampir sama dengan isu patung Nabi Isa yang disalib dan isu gambar Sayyidatina Maryam yang dijadikan hiasan utama di dalam gereja-gereja.

Saya akan terus mengkaji.Mungkin isu ini adalah satu jambatan kepada dialog agama secara terbuka di antara pihak para ulama Islam di Malaysia dengan pihak gereja dalam isu-isu ketuhanan secara ilmiah.Bagi saya dialog seperti ini sangat penting agar masyarakat Kristian khususnya dapat menilai kembali keyakinan mereka selama ini berkenaan Allah dan Nabi Isa Alaihissalam..........................................

Antara Allah di sisi kami dan Allah di sisi kamu wahai masyarakat Kristian.

1) Allah di sisi kami adalah tuhan yang tiada sama sekali memiliki kekurangan. Allah kami adalah tuhan yang agung.Allah di sisi kamu pula adalah dianggap sebagai tuhan yang lemah yang bermurung duka.

2) Allah kami adalah tuhan yang perkasa. Tiada sesiapapun yang dapat mengalahkannya. Allah kamu pula adalah tuhan yang pernah bertarung dan bertumbuk dengan Nabi Yaakub, lalu akhirnya Allah dikalahkan oleh Nabi Yaakub lalu tuhan merayu-rayu meminta agar dia dikasihani dan dilepaskan.

3) Allah di sisi kami adalah tuhan yang sama sekali tidak melakukan perkara yang sia-sia. Dia adalah zat yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Allah kamu pula pernah bersedih dan menyesal kerana menjadikan manusia apabila Allah melihat manusia tidak mentaatinya.

4) Allah kami adalah tuhan yang tidak dilahirkan dan tidak melahirkan. Maha Suci Allah daripada memiliki anak. Allah kamu pula memiliki anak. Persoalannya adakah Nabi Isa yang kamu katakan bahawa baginda anak Allah adalah hasil daripada hubungan jenis antara Allah dan isterinya? Atau anak yang kamu maksudkan adalah Allah menciptakan Nabi Isa lalu Allah menjadikannya sebagai anakNya.

* Kalau kamu kata Jesus itu adalah anak Allah hasil daripada hubungan kelamin antara Allah dan isterinya, jijik sungguh kamu nyatakan kepada Allah. Bagaimana Allah sedemikian rupa? Dan siapa pula isteri Allah. Setahu kami, tiada seorangpun di kalangan kamu yang menyatakan bahawa Sayyidatina Maryam itu isteri Allah.

* Kalau kamu nyatakan bahawa Nabi Isa itu diciptakan oleh Allah lalu Allah mengangkatnya ke darjat yang tinggi lalu menjadi anak Allah, maka hakikatnya itu hanyalah satu anugerah ketinggian darjat. Namun ini sama sekali tidak akan menyebabkan Jesus itu dinobatkan sebagai tuhan. Bagaimana Jesus menjadi tuhan sedangkan dia diciptakan oleh tuhan.Sungguh beza betul antara Allah kami dan Allah kamu.

dari blog : Hairul Nizam Mat Husin

Berita-berita yang meruntun jiwa ..

.
0 comments


Keluarga Imam Dibunuh !!

Kepala dipenggal

TAMPIN: Tanda tanya panggilan telefon yang tidak berjawab akhirnya bertukar menjadi hari paling menyedihkan dan mengerikan bagi seorang pelajar sekolah menengah apabila menemui mayat empat ahli keluarganya yang dibunuh kejam termasuk seorang dipercayai dipenggal kepala di rumahnya yang agak terasing di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, dekat sini, petang semalam.

PILU...anak mangsa ditenangkan ahli keluarga.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Siti Mariam Ismail, 19, hanya mampu menggigil ketakutan apabila menemui mayat kakaknya, Siti Khatijah, 22, terlentang di ruang tamu dengan sebilah pisau terpacak di dada selain mayat datuk dan neneknya berlumuran darah di pintu rumah mereka yang terletak bersebelahan.

Siti Mariam sebelum itu dikatakan berang kerana bapa tidak datang menjemputnya pulang di sekolah berhampiran seperti kebiasaan, malah panggilan dibuat terhadap bapa serta kakaknya juga tidak disambut.

Marah kerana keluarganya tidak datang menjemput, Siti Mariam kemudian menaiki bas awam untuk pulang ke rumahnya, kira-kira tujuh kilometer dari sekolah.


Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, Siti Mariam kemudian berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer ke rumahnya dan terus memarahi kakaknya yang disangka sedang tidur di ruang tamu.

“Bagaimanapun, dia terkejut apabila melihat pisau terpacak di dada kakaknya menyebabkan dia terus berlari ke rumah datuknya, Atan Daud, 90, yang juga bekas imam kampung itu yang terletak bersebelahan.

“Dia sekali lagi terkejut apabila menemui mayat datuk dan neneknya terbaring di pintu rumah menyebabkan Siti Mariam menghubungi abangnya di Seremban,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, malam tadi.

Penduduk itu berkata, abang pelajar berkenaan kemudian menghubungi beberapa rakan sekampung untuk meminta mereka menyiasat kejadian berkenaan, sebelum seorang daripada mereka menemui satu lagi mayat tanpa kepala di lokasi.

Seorang anak Allahyarham Atan yang ditemui malam tadi, Muhammad, 43, berkata kali terakhir dia bertemu bapanya ketika cuti Hari Krismas lalu dan arwah ketika itu agak uzur kerana menghidap sakit buah pinggang.

“Arwah sudah bersara daripada menjadi imam sejak dua tahun lalu dan saya tidak sangka tragedi ini menimpa keluarga kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata selain Atan, ahli keluarganya yang dibunuh dalam tragedi menyayat hati berkenaan ialah isteri bekas imam berkenaan, Sufiah Keatas, 80, menantu, Ismail Awang, 76, dan cucu, Siti Khatijah.

Beliau berkata, tiga mayat mangsa dijumpai dalam sebuah rumah manakala Siti Khatijah ditemui dalam rumah bersaingan dengan pisau masih terpacak di dada. Menurutnya, pembunuh juga disifatkan sangat kejam kerana Ismail ditemui dalam keadaan kepalanya terputus, manakala Atan putus tangan kiri dan isterinya pula putus tangan kanan, dipercayai akibat cuba menghadang tetakan.

“Setakat ini, polis menolak kemungkinan kejadian bermotifkan samun disebabkan wang dan barang kemas tidak diusik selain menemui pisau serta parang yang dijadikan senjata pembunuhan.

“Pembunuhan itu juga dipercayai berlaku di sebelah pagi, tetapi polis tidak menemui sebarang kesan pergelutan,” katanya.

Sehubungan itu, Osman berkata, polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang lelaki bernama Rashidi, 34, iaitu anak kepada Ismail bagi membantu siasatan.

“Dia dipercayai menaiki sebuah motosikal Suzuki bernombor pendaftaran BAY 2805. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Sementara itu, jenazah keempat-empat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat, malam tadi.

Mencari Populariti

.
0 comments


Satu penyakit yang amat berat menimpa sesiapa sahaja adalah kegilaan untuk meraih populariti atau dalam erti kata lain perhatian dan glamour. Penyakit gila populariti tidak hanya menimpa mereka yang bergelar artis selebriti, tetapi juga boleh hinggap kepada sesiapa sahaja mengikut ketahanan antibodi masing-masing . Bagi golongan artis populariti penting untuk memastikan demand yang tinggi dan mudah nak cari makan. Bagi golongan politik populariti membantu menaikkan nama sama ada dalam pemilihan atau membersihkan imej yang telah tercalar.

Penyakit gila populariti ini amat merbahaya lebih merbahaya dari penyakit lembu gila dan binatang bila. Kerana spesis binatang bila berpenyakit mudah untuk diselesaikan tetapi manusia yang ditimpa dengan penyakit gila populariti ini masih belum ditemui ubat dan vaksin yang sesuai melainkan dihumbankan dan dijatuhkan sahaja. Dalam kaedah rawatan penyakit jiwa mengikut amalan tasawwuf yang pertama menurut Imam Al-Ghazali mencabut akar yang menyebabkan penyakit tersebut, kemudian melazimi diri berdamping dengan orang yang tawaduk seterusnya membandingkan kekurangan yang ada pada dirinya.

Bukan semestinya perhatian lensa kamera wartawan tetapi juga menjadi sebutan dan buah mulut bagi mereka sudah memadai. Dalam isu penggunaan kalimah Allah ini juga tidak kurang ramai yang cuba mencuba nasib untuk kembali popular. Mahu dinobat sebagai pejuang agama yang tulen dan sejati membela agama Allah yang suci. Saksikanlah apa pula yang akan mereka buat selepas ini untuk mengekalkan anugerah popular tersebut ..

Ibrahim bin Adham berkata: “Orang yang cintakan kemasyhuran tidak berlaku benar (sidiq) terhadap Allah Subhanahuwata’ala”

Berikan Suntikan Akidah Pada Ummat Ini

.
0 comments

Kita telah merdeka lebih 50 tahun, kita juga telah menerima keistimewaan sebagai seorang muslim di mana agama kita mendapat kedudukan istimewa berbanding agama lain. Apakah keistimewaan yang ada pada kita tidak mampu menyelesaikan isu yang sangat mudah ini? DS Nizar sempat jadi MB tak sampai 24 jam bila keputusan mahkamah mengesahkan dia MB yang sah tetapi selepas rayuan jawatannya dinafikan. Tak sampai 24 jam ! Kalau isu ini kita rasa sangat penting mengapa dilengahkan rayuannya dan menghalang penggunaan kalimah Allah dari disalahguna.
Yang peliknya keistimewaan sebagai agama rasmi itu sepatutnya menjadikan Islam semakin difahami dan dihayati di dalam kehidupan masyarakat khususnya di kalangan masyarakat muslim. Tetapi apakah itu terjadi ? Tinjaulah sekitar masyarakat hari ini mengenai kefahaman mereka mengenai akidah dan syariat. Sejauh mana usaha digembleng untuk memahamkan mereka mengenainya?
Apakah ruang yang ada memberi masyarakat untuk benar-benar memahami akidah? Diharapkan pada kelas takmir di Masjid dan Surau sekadar melepas batuk di tangga, hidup segan mati tak mau. Di harapkan anak-anak ke sekolah untuk memahami akidah berapa masa yang dipeuntukkan untuk tujuan memahamkan akidah ...?
Bangun dan bangkit dalam keadaan buta. Kita marahkan orang lain kerana kita tidak berbuat apa. Satu ketika dahulu ummat Islam pernah kebimbangan bila ada cadangan membuang perkataan Islam di dalam pertubuhan dan persatuan. Siapa punya kerja ini semua. Jangan ada yang dikambing hitamkan lagi kerana isu penggunaan kalimah Allah ini. Kerja kita memberikan kefahaman mengenai akidah dan tuntutannya. Kita mesti terus berusaha dan terus berusaha sehingga meletakkan kalimah Allah itu pada tempat yang tinggi dan kalimah kekufuran di tempat yang terbawah ...