Teruskan Perjuangan, wahai guru dan seluruh pendidik

.
0 comments



Dedikasi buat semua yang bergelar pendidik sama ada yang mengajar formal di insitusi pendidikan mahupun secara tidak formal. Kesemuanya berjasa besar memperkenalkan manusia mengenal erti sebuah kehidupan. Walau dia seorang guru tadika, dari situ kita mengenal huruf, lalu dengan huruf itu kita mampu mengeja dan membuat perkataan. Lalu perkataan itu kita mampu menyusun ayat dan menjadi karangan. Sehingga mampu menghasilkan sebuah tesis dan buku yang beribu muka surat. Semuanya adalah hasil jasa seorang guru.


Namun warga pendidik hari ini terdedah kepada fitnah kegagalan membentuk jati diri pelajar. Akhirnya menyebabkan ramai yang terlibat di dalam kancah kehancuran. Wajarkah semuanya kita bebankan kepada pendidik. LK mengira warga pendidik hari ini sudah cukup terlatih dan terdedah dengan sistem pendidikan yang kontemporari, di tambah beban kerja yang menyakitkan. Tidak adil kita menyalahkan mereka.


Suara hati mereka benar-benarkah diberi perhatian, atau sekadar menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu. Segalanya akan hancur apabila yang tidak layak diberikan peluang memimpin mereka yang berautoriti. Politikus sepatutnya lebih akur dengan tuntutan pendidikan bukan warga pendidik mengikut telunjuk politikus. Akhirnya segala dasar yang dilakukan lebih mengenyangkan politikus yang kemaruk kuasa, gila nama yang menjadi mangsa adalah anak-anak kita. Lihat sahaja isu PPSMI, siapa yang benar-benar mempertahankannya. Seluruh ahli akademik menolak ( kecuali yang taraf pencacai) yang beria-ia mempertahankan adalah politikus.


Rakus dengan kuasa. Rakyat dibiarkan buta tidak berilmu. Teorinya mudah andai semua mengerti dan mengetahui tidak mungkin aku berkuasa lagi. Teori ini pernah diguna pakai dalam sejarah lampau. Di mana raja yang ingin terus berkuasa menutup ruang untuk kebenaran. Apabila semua perkara telah dirosakkan oleh golongan gila kuasa ini, tiada lagi indahnya dunia ini semuanya hidup dalam kepuraan. Yang berilmu terpaksa akur dengan tuntutan golongan gila kuasa walaupun ilmunya menidakkan tindakan tersebut.


Kita mahu mewujudkan ruang untuk membolehkan seluruh rakyat mendapat maklumat. Terbuka tetapi tidaklah seperti Amerika. Setidaknya tidaklah sehingga membodohkan rakyat, jika ini mampu diterima oleh golongan berkuasa keterbukaan itu mungkin mengimbangi kuasa yang ada. Kasihanilah generasi akan datang. Mereka rosak kerana kerakusan kuasa manusia hari ini. Kita terlalu cemas melihat keadaan hari ini.


Lobai Kampung : Pendidik adalah kerja, bukan kerjaya semata-mata. Jadikanlah medan pendidikan ruang dakwah menyedarkan manusia. Terima Kasih, Sekolah Menengah Sains Seremban ( SASER ) atas undangan untuk LK yang kerdil ini

Ayuh Berjuang Tumbangkan BN/UMNO

.
0 comments

Bagi Lobai tiada jasa yang dibuat oleh UMNO - BN selama ini. Yang ada menambahkan kecelaruan di dalam pemikiran rakyat. Andai anda mengatakan pembangunan di negara ini, itu jasa UBN, rasanya anak-anak di PASTI lagi cerdik dari anda. Duit pembangunan bukan datang dari poket UBN tapi datang dari poket rakyat, mereka cuma diberi tanggungjawab untuk uruskannya. Tambahan lagi semua gaji menteri di bayar oleh rakyat. Jangan jadi macam golongan penyembah berhala, yang mencipta berhala sendiri lalu menyembah dan takut pada berhala tersebut. Pemimpin yang dipilih oleh rakyat, sepatutnya mereka yang takut dengan rakyat, tapi apakan daya kita ni tak cerdik sangat akhirnya pemimpin pulak yang kita takut. Hormat mungkin munasabah tapi ada batasnya.


Seruan keras ini dibuat bukan nak ajak bergaduh. Cuma nak ajak berfikir. Apa jasa UBN untuk Islam ? UBN telah menyebabkan Islam diterjemah dengan pelbagi konteks ikut kepentingan mereka. Melahirkan golongan ulama su' , ulama duniawi dan berkepentingan yang akhirnya menambahkan kekeliruan di dalam masyarakat mengenai Islami. Carilah apa jua dalil, hujjah dan sunnah untuk mengiyakan perbuatan haram UBN. Pilihlah mana stesyen Tv pun yang kamu nak untuk berhujjah membenarkan UBN, pilihlah mana media pun untuk siarkan pandangannya. Semuanya jadi halal kalau UBN yang buat.


UBN berjasa besar menyebabkan kefahaman Islam menjadi semakin lembab di kalangan golongan bukan Islam di negara ini. Anda tidak bersetuju tidak mengapa, tapi selama ini apabila melihat Islam ala-UMNO tiada apa yang boleh dibanggakan melainkan Islam yang telah mengalami penyelewangan mengikut kehendak pemimpin mereka. Kenapa isteri-isteri mereka tak bertudung, apa dalil isteri pemimpin tak payah bertudung? Itu baru sedikit, siapa yang menyebabkan Islam hanya diguna pakai sewaktu upacara kematian sahaja ?


Semua yang suci di dalam Malaysia ni semuanya sudah dicabul oleh UBN dan melahirkan anak haram yang bukan sedikit bilangannya. Seminggu dua ni pun mangsa cabul UBN terbaru telah melahirkan anak haram, kelihatan hasilnya baru ini lahir MB haram !!!


Lobai Kampung : Berteriaklah, suara aku pun dah nak serak.

Bagaimana Boleh Keluar Kenyataan ini ? Dari MB NS

.
0 comments

Kenyataan yang dibuat oleh MB NS ini adakah kerana dia telah terdesak dengan tekanan yang diterima dari PR di Negeri Sembilan atau kedudukannya yang semakin tidak selesa semenjak peralihan kuasa PM yang keenam.

Hujan tak, ribut pun tidak. Kenapa tiba-tiba kenyataan ini dikeluarkan oleh beliau ? Sejak adanya ura-ura menukar Pengerusi Perhubungan UMNO N. Sembilan yang baru berikutan kekalahan beliau dalam pemilihan UMNO baru-baru ini. Suara menyatakan rasa tidak puas hati kepada Tok Mat tidak pernah berhenti. Bekas ADUN Lenggeng, Tok Sahak nampaknya semakin selesa sejak naiknya PM keenam kerana dengarnya beliau adalah sekutu rapat Najib. Tidak mustahil andai ADUN Lenggeng pula yang akan meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada Tok Sahak untuk bertanding di Lenggeng bagi membolehkan MB baru dilantik. Dalam UMNO kini tiada lagi yang mustahil.

Sama-samalah kita menantikan perkembangan terbaru yang penuh mendebarkan ini...

Antara Sign board yang banyak ditemui di Seremban !!! Kan Najib tak bagi buat sambutan dan tahnoiah sampai abis duit rakyat. Dia PM Rakyat . Rakyat Didahulukan.
Dipetik dari blog YB Aminudin Harun ADUN SIKAMAT

MB - 2 WAKIL RAKYAT PKR LETAK JAWATAN?.
20hb Mei 2009,Hj Aminuddin Hj HarunSalam sejahtera.Hari ini kita sama sama membaca berita yang di paparkan didalam Berita Harian dan New Straits Times yang menyatakan "MB says two PKR reps want to quit".NST juga da menyatakan bahawa ADUN yang dimaksudkan adalah Dun Sikamat dan Dun Ampangan, iaitu melibatkan saya dan Sdr Rashid Latiff.Saya sebenarnya telah menafikan perkara tersebut selepas ucapan Mohammad Hassan di Rembau, 19hb May 2009, setelah saya dihubungi oleh wartawan Berita Harian.

Kenyataan yang tidak bertanggungjawab oleh MB serta memperolehi maklumat dari jalanan menunjukkan bahawa beliau seperti mempunyai masalah dalaman UMNO yang cukup kronik sekarang. Semua di Negeri Sembilan tahu bahawa sebilangan besar Ketua Bahagian UMNO amat kecewa apabila beliau dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan. Rata rata Ketua Bahagian tidak bersama dengan beliau sekarang.Kenyatan yang tidak bertanggungjawab itu juga ingin menunjukkan bahawa kami gagal dalam memberikan perkhidmatan kepada pengundi dan penduduk dikedua-dua Dun tersebut. Saya berharap agar MB tidak menjadi hakim, tetapi seperti saya ingatkan dalam setiap persidangan dewan, serah kepada rakyat pada pilahanraya ke 13 nanti untuk menentukan.

Kenyataan juga menunjukkan bahawa MB hari ini cukup khuatir, jika kami benar benar meletakkan jawatan. Beliau khuatir akan diadakan pilihanraya kecil di negeri ini kerana ini akan menguji kewibawaannya yang sudah cukup tercalar.Dalam riak, ini menunjukkan beliau takut akan kalah lagi serta memalukan dirinya. Saya percaya beliau tahu bahawa kedua kawasan tersebut sukar untuk beliau menangi semula.Bukan setakat itu, beliau hari ini mulai khuatir bahawa calon calon PKR mempunyai peluang untuk menang di Dun Dun yang lain pada pilihanraya akan datang. Kekhuatiran ini dibuktikan dengan menyerang PKR khususnya kami berdua.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih khususnya kepada pengundi saya di Sikamat dan teman teman yang awal awal lagi menyatakan bahawa kenyataan tersebut tidak benar. Mereka juga tidak mempercayai bahawa saya akan membelakangkan kepercayaan mereka.Terima kasih.

Dakwah : Antara Menerang dan Menyerang

.
0 comments

' Balun ustaz, bubuh betul-betul biar UMNO terduduk'

Itulah ayat yang biasa disebut oleh pendokong PAS apabila setiap kali LK berpeluang untuk berceramah di hadapa audien campuran sama ada di surau atau di masjid. Biasanya LK tersenyum. Kalau dijawab nanti akan timbul pelbagai spekulasi. Antaranya mungkin ada yang berkata TAK BERANI.

Di antara pendekatan dakwah yang berkesan adalah dengan menerang, menyerang akan menyebabkan mereka semakin jauh dari kita. Tujuan dakwah adalah untuk mendidik dan mengajak mereka bersama di dalam perjuangan. Kadang-kadang kita hanya syok sendiri peluru yang ditaburkan memang hebat, tetapi rupanya audien di hadapan kita adalah mereka yang telah bersama kita.

Tugas pendakwah adalah menerang kebenaran dan menyerang kebatilan. Semuanya itu mesti dibuat dengan penuh hikmah agar peluang yang ada tidak dipersiakan. Sebahagian besar dari yang mendatangi masjid adalah mereka yang mempunyai fikrah islamiah yang baik tetapi tidak semua bersama PAS, justeru itu pendekatan yang bijak perlu ditangani untuk memanfaatkan peluang yang ada.

Di Negeri Sembilan, insitusi pondok tidak sehebat di Kelantan, Kedah, Terengganu dan di tempat lain. Kebanyakan para LObai adalah mereka yang bekerja dengan kerajaan dan terlalu kecil bilangan yang bekerja sendiri. Potensi untuk PAS menang di Negeri Sembilan jika dikira dengan jumlah Lobai yang ada, nampaknya masih samar. Ramai yang masih mahu menggunakan kedudukan yang ada untuk berdakwah dan memanfaatkannya untuk tujuan dakwah. Tetapi sejauh mana perkara itu meberi impak yang maksima untuk perjuangan PAS di Negeri Sembilan. Mungkin ianya membantu tetapi kita terpaksa berlindung di sebalik pelbagai nama.

Ketelusan bergerak di atas label LOBAI PAS, ada baiknya. Tetapi dengan syarat kita mahukan Lobai yang berkualiti yang menjadi sandaran dalam masyarakat. Kita ketiadaan tokoh itu di Negeri Sembilan ini. Andai di Kelantan ada nama hebat seperti Tok Guru Nik Aziz, di Terengganu Tok Guru Haji Hadi memimpin dan mendidik masyarakat dalam masa yang sama itulah sehebat kualiti yang masyarakat mahukan.

Satu kelebihan yang masih ada pada kita adalah, kebanyakan Lobai PAS masih boleh mengajar di surau dan di masjid sekitar Negeri Sembilan setakat ini. Sebabnya mudah, negeri ini terlalu kekurangan tenaga pengisi menyebabkan Lobai-lobai PAS masih boleh diterima asal tidak terlalu' kuat menyerang'. Inilah peluang yang ada. Jangan dipersiakan dengan ' serangan mengkhinzir' buta. Setiap Lobai PAS mesti berhujah dengan dalil dan fakta yang meyakinkan para audien untuk mengendurkan sokongan kepada BN mengukuhkan intima' dengan PAS.

Tetapi sejauh mana ianya berlaku? Maka Lobai-lobai PAS perlu duduk bersama, berbincang dan bertukar pendapat. Jangan syok sendiri dengan hujjah kita sahaja. Nampaknya bila isu anti wahhabi vs jaga MB ini dilontarkan ramai Lobai PAS ke hadapan memberi hujjah. Ada kesan juga nampaknya. Andai dalam lebih banyak isu semua lobai bersuara dengan suara yang sama, lama dah UMNO ni tumbang. Marilah seluruh lobai yang cenderung kepada PAS kita duduk bersama di bawah Dewan Ulama Negeri Sembilan. Kalau betul anda orang PAS !

Lobai Kampung : Dedikasi buat al-Marhum Ustaz Khairul Azhar, dia adalah harapan tetapi telah pergi tetapi semangatnya terus hidup membakar semangat juang sahabat yang lain ! Al-fatihah

Menilai Kemampuan PAS di Negeri Sembilan

.
0 comments


Di saat sahabat-sahabat di negeri lain telah mungkin jauh bergerak di dalam gelombang Pakatan Rakyat, Negeri Sembilan tidak kurang juga menerima tempias gelombang tersebut. Berbaki kira-kira 4 - 5 kerusi DUN di Negeri Sembilan tidak mustahil Negeri Sembilan mungkin akan menjadi negeri di perintah PR pada PRU 13 akan datang. Namun persoalannya kini adalah kemampuan kepimpinan PR Negeri Sembilan khususnya PAS di dalam menangani kepercayaan dan gelombang kebangkitan rakyat.

Soal kebosanan rakyat terhadap Umno - BN di Negeri Sembilan ini tidak perlu diperkatakan lagi. Pertelingkahan dan pergaduhan dalaman mereka satu dunia telah maklum. Namun apakah kita sekadar ingin menari dengan rentak perpecahan mereka tanpa membina strategi memperkukuhkan ikatan kita. Inilah yang menjadi persoalan yang perlu dibincangkan di dalam muktamar kali ini. Harapan rakyat memang terlalu besar, tetapi mereka mahukan keyakinan terhadap kemampuan kita.


Penilaian terhadap kemampuan ini tidak hanya melihat kepada pimpinan PAS sendiri, bahkan gerak kerja menonjolkan kewujudan dan peranan PAS di mata masyarakat sepatutnya menjadi sebahagian dari agenda pimpinan. Hal ini kerana di kawasan yang masih tegar dengan semangat Merah(UMNO) Biru (BN) terlalu sukar untuk ditembusi dengan membawa bendera Hijau ( PAS). Di sebalik kesukaran itu nampaknya ada satu kelebihan yang boleh kita manfaatkan. Sebenarnya Umno di Negeri Sembilan tidak terlalu hebat cuma kita tidak terlalu kuat.


Antara pendekatan yang mungkin boleh kita gunakan adalah dengan menggerakkan peranan NGO di kawasan-kawasan yang menjadi kubu kuat UMNO. Biarpun kita tidak membawa lambang, tetapi melihat kepada peranan yang kita mainkan insya allah keyakinan itu sedikit demi sedikit mampu diraih. Walaupun mungkin sebahagian kita bekeras lawan UMNO mesti dengan PAS tetapi andai strategi itu menjadikan kita sekadar syok sendiri pun tidak ada gunanya.


Negeri Sembilan terlalu unik. Perkembangan kefahaman Islamnnya tidak sehebat Negeri lain. Johor dan Melaka sekalipun Negeri bertatahkan UMNO namun mereka masih punya kekuatan seperti wujudnya insitusi pondok yang dipelopori oleh ulama PAS. Di Negeri Sembilan perkembangan tarekat tasawuf yang kuat banyak mendasari pemikiran dan corak perjuangan ulama-ulama di sini. Sebab itu kewujudan insitusi pondok di Negeri Sembilan lebih cenderung memperkembangkan tarekat tasawuf. Tidak ada apa yang salahnya pada tarekat tasawuf, cuma yang kuranngya pendekatan sufi haraki. Kalau PAS Negeri Sembilan mampu memikirkan pendekatan Sufi yang bersifat Haraki tidak ada mustahilnya gerakan Islam mudah diterima.


Kerja siapa untuk menggerakkan semua ini. Kita menanti jasa dari Lobai-lobai yang berfikrah perjuangan Islam ini untuk sama-sama membantu. Tidak ada gunanya kita hebat sorang-sorang. Mari kita kukuhkan ikatan jemaah ini agar menjadi satu ketumbukan padu untuk kebangkitan Islam. Target kita bukan PRU 13 ini, tetapi membebaskan syirik yang di bawa oleh UMNO bahwa UMNO sahaja segalanya. Selamat bermuktamar !!

Kerana Salah Guna Kuasa Anda Binasa

.
0 comments

Kuasa kepimpinan adalah sesuatu yang menjadi sebahagian dari matlamat kebanyakan manusia. Mereka yang mengetahui kepentingan kepimpinan sudah pasti akan memastikan kuasa itu akan jadi milik mereka. Bagi yang melihat kepentingannya untuk maslahah peribadi maka akan digunakan kuasa yang dimiliki untuk memenuhi kehendak peribadinya. Sedangkan di dalam Islam persoalan kepimpinan adalah sesuatu yang sangat besar dan penting.


Tidak ada suatu pekerjaan di dunia ini yang tercapai melainkan dengan kepimpinan. Untuk mengatur hubungan antara manusia diperlukan seorang pemimpin yang bertanggungjawab memimpin, membimbing dan memandu pekerjaan untuk mencapai sasarannya.

Kepimpinan tidak hanya berkait persoalan pengaruh dan kuasa semata-mata, tetapi di dalam Islam jauh lebih penting adalah perlaksanaan amanah bagi sesuatu kepimpinan itu mestilah berteras kepada nilai takwa kepada Allah SWT. Sekiranya seseorang memiliki kepimpinan tanpa nilai takwa kepada Allah mereka akan memimpin ke arah kerosakan dan kebinasaan.

Justeru itu, marilah kita kembali menilai hala tuju kepimpinan yang wujud di sekeliling kita, sama ada kita sebagai pemimpin atau kita yang dipimpin ke mana kita akan di bawa dan ke mana hala tuju kita sebenarnya. Kepimpinan itu bukan hanya dengan retorik kata-kata dan slogan semata-mata. Sekadar slogan, mungkin ramai yang akan boleh berjaya menjadi pemimpin tetapi hakikatnya apakah cukup dengan slogan yang indah dan retorik semata.

1 Malaysia, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Sehingga hari ini tidak ada suatu tindakan yang menggambarkan slogan tersebut. Yang sebetulnya adalah 1 barisan, Kroni didahulukan, kuasa diutamakan. Buktinya apa yang berlaku di Perak, kalau rakyat yang diutamakan sudah pasti tidak berlaku peristiwa hitam 7 Mei. Mengapa tidak dibubarkan sahaja DUN Perak untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat.

Sebenarnya memang kita sudah terlalu mual dengan sikap pemimpin kita. Lebih sedih dan malang lagi berita tersebut dipusing sehingga 360 darjah supaya rakyat tidak melihat yang salah itu salah dan yang benar itu benar.

Lobai Kampung : Sampaikan kepada orang kampung cerita sebenar

Munajat Pagi 7 Mei 2008

.
0 comments

Era 1 Malaysia ini nampaknya semakin terserlah dasarnya. Munajat dan Solat Hajat menjadi sebahagian ketakutan musuh kebenaran. Mereka takut pada doa. Berdoalah tanpa henti dan kalau boleh di hadapan mereka kita berdoa. Sebahagian besar mereka adalah muslim. Setidaknya timbul juga rasa gerun di hati mereka. Dalam berdoa kita meletakkan keyakinan, doa itu pasti akan dimakbulkan Allah. Cuma masanya tidak semestinya mengikut masa yang kita kehendaki dan maqbulnya tidak semestinya mengikut kehendak kita.




Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Hamba mu yang lemah ini bermohon padaMu

Segala daya yang mampu telah kami lakukan

Kami serahkan kepadaMu yang maha bijaksana

Kau berikanlah kekuatan kepada kami

Agar perjuangan ini tidak rebah di tengah jalan


Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Andai apa yang kami lakukan ini

Belum cukup untuk meraih redhamu

Kau teguhkan keimanan kami

Untuk kami teruskannya

Bukan untuk kepentingan kami

Tapi untuk seluruh generasi selepas ini

Biarpun dengan harga terlalu tinggi


Ya Allah Ya Rahman

Mereka punya kekuatan makhluk

Kekuatan kami hanya padaMu ya Khaliq

Pertolongan mereka segenap daya makhluk

Kami mengharap pertolonganMu ya Khaliq

Mereka menipu di seluruh kemampuan

Engkaulah yang maha mengalahkan tipu daya mereka

Kau campakkanlah ketakutan pada hati mereka

Kau robohkan kesatuan mereka

Kau teguhkan hati ini menempuh kekuatan mereka


Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Andai ini adalah harga sebuah perjuangan

Walau tidak sehebat RasulMu

Kami mohon redho dariMu

Untuk kami teruskan perjuangan ini

Berikanlah kekuatan kepada kami


Aminn Ya Robbal Alamin


Lobai Kampung : ' La Haw la wala quwwata illa billah' - tiada daya tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah. Ingatlah sehebat mana gerombolan mereka, walau sehebat tentera bergajah, jangan lupa pada Allah. Kita punya tempat untuk mengadu yang tidak pernah mengecewakan.


Pangkat Menurut Imam Al-Ghazali

.
0 comments



Ketahuilah, pangkat itu asalnya adalah menyebarkan nama dan kemassyhuran di antara orang ramai. Ia termasuk perkara yang tercela di dalam Islam. Manakala yang terpuji adalah jangan dia terlalu menghebohkan sangat kemasyhuran dirinya malah berdiam diri dan terus bekerja dalam menyebarkan ilmu-ilmu tanpa meminta pangkat atau kedudukan, kelak Allah akan memasyhurkannya di kalangan ummatnya.


Firman Allah SWT :


Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa (Al-Qasas : 83 )


Jelaslah ayat di atas memberi kefahaman bahawa mereka yang mencari pangkat dan kedudukan adalah mereka yang melakukan kerosakan di atas muka bumi.


------------------------------------------


Lobai Kampung : Dalam kesibukan berita tentang pemilihan JK PAS Pusat, terutama jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden janganlah kita terperangkap dengan mainan musuh. Tidak timbul persoalan siapa yang layak dan siapa yang tidak layak. Apabila dicalonkan bermakna mereka layak. Seorang pejuang tidak pernah bermohon untuk diberi tempat dan kedudukan. Mereka memahami kata hikmah : kewajipan lebih banyak dari waktu yang ada. Ada beberapa sebab kenapa pemilihan kali ini agak berlainan dari yang biasa :


a) Kedudukan dan kepercayaan rakyat terhadap kemampuan PAS memimpin negeri dan negara telah terbukti. Mungkin kelemahan-kelemahan yang berlaku cuba ditampung dengan mencadangkan yang terbaik pada pandangan masing-masing.


b) Keghairahan untuk memberi yang terbaik. Justeru masing-masing merasakan calon pilihan mereka yang terbaik.


Tidak timbul sebarang konflik kerana asasnya semua mahukan yang terbaik. Tetapi, apakan daya pemimpin kena lebih bijak. Musuh tidak pernah diam mencari peluru untuk menembak kita. Sebarang kenyataan yang ingin dikeluarkan sebaiknya biarlah pendirian yang telah diputuskan secara syura agar tidak timbul salah menyalah di antara satu sama lain. Natijahnya, apabila kita melatah mereka bersorak. Apapun serahkan kepada perwakilan. Yang dipilih bukan semesti yang terbaik tetapi antara yang terbaik.


Hari Pekerja Untuk Siapa ?

.
0 comments



Semua orang disuruh bercuti hari ini kerana semua orang bekerja. Walaupun pelajar sekolah. Mereka bercuti kerana cikgunya adalah pekerja, driver van dan basnya pekerja. Di Malaysia sambutan Hari Kebesaran atau Peringatan banyak sangat. Sampai kita pun dah naik tak ingat. Bila cuti baru tahu hari itu hari apa.


Seorang pemimpin tidak ada istilah cuti. Kepimpinan bersifat berterusan. Kalau nak cuti letak jawatan. Itu sahaja cuti bagi mereka. Kenapa pemimpin dikatakan pekerja. Sebab di Malaysia ni jadi Wakil Rakyat, Ahli Parlimen, Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri semuanya bergaji. Sebab itu ramai orang nak jadi pemimpin. Bukan setakat dapat gaji, elaun lagi, itu tak kira kepentingan yang lain. Siapa yang bayar gaji. Kita semua sebagai rakyat yang bayar gaji mereka. Biasanya pekerja akan hormat dan takut kepada majikan sebab majikan bayar gaji mereka. Adakah wakil rakyat di tempat anda begitu? Atau anda pulak yang takut dengan mereka?


Kasihan rakyat Malaysia . Semuanya lain dari yang lain. Katanya amalan demokrasi. Tapi demokrasi ala Malaysia. Ini boleh yang itu tak boleh. Alasannya kita ada agama ada adat. Tapi bila agama pun ada jugak Islam ala Malaysia. Zaman Najib ni mungkin Islam One Malaysia pulak akan diperkenalkan ganti Islam Hadhari. Di luar negara sambutan hari Pekerja di sambut dengan perhimpunan besar-besaran menuntut hak pekerja yang masih belum dilaksanakan oleh pemerintah. Tapi jika di Malaysia buat perhimpunan akan disambut dengan hadiah water canon.


Terbelakah pekerja di Malaysia? Berbaloikah upah yang diterima dengan kerja yang dibuat? Walaupun mungkin itu bukan pertimbangan penting bagi kita mungkin. Tetapi setidaknya biarlah hak tersebut diberi sebaiknya. Contohnya, bagi wanita yang bersalin berapa hari cuti diberikan ? Dahulu 40 hari. Tapi bila Kerajaan Kelantan beri 60 hari Pusat terpaksa ikut. Itupun masih tak cukup. Paling tidak 90 hari bahkan ada di negara barat sampai setahun. Kalau asyik cuti siapa pulak nak kerja. Jawapannya mudah, kerajaan jaga kebajikan rakyat, bukan kantung sendiri. Duit cukup kalau urus betul.


Marilah bersama kita bekerja tanpa henti-henti untuk Islam. Kalau tak mampu sepenuh masa setidaknya biarlah sepenuh hati. Upahnya nanti di akhirat. Nak claim lebih masa kena kerja lebih gigih. Insya allah mudahan Allah menilai kerja kita yang sedikit ini, walau tak sehebat orang lain, paling penting mesti ada kerja untuk ISLAM. Selamat bekerja !!!