Munajat Kejayaan PMR/SPM & Sambutan Hari Raya Masjid Ampangan

.
0 comments

Program Motivasi dan Munajat Kejayaan PMR dan SPM 2009

Masjid Jamek Dato Klana Petra Sendeng Ampangan

Tarikh : 3 Oktober 2009 ( Sabtu )

Tentatif
4.00 pm Pendaftaran Peserta
4.15 pm Solat Asar Berjemaah
5.00 pm Motivasi Pecutan Akhir ( Ibu bapa dan Calon PMR & SPM 2009 )
6.30 pm Rehat
7.30 pm Solat Maghrib Berjemaah
Solat Hajat Berjemaah & Bacaan Yaasin
Solat Isya’ Berjemaah
9.00 pm Ceramah Perdana Aidilfitri
Jamuan Hari Raya Aidilfitri


Majlis Dipimpin oleh : Ustaz Zulkarnain b Hamzah

( Hos Kalam Suci Astro Oasis )

Yuran : RM 10 ( setiap seorang calon PMR & SPM )

Anjuran : Biro Pendidikan & Biro Kebajikan Masjid Jamek Dato Klana Petra Sendeng, Ampangan dengan kerjasama Sekretariat Mahasiswa Timur Tengah (SMATT) Majlis Agama Islam Negeri Sembilan

Hubungi : Hj Norazman ( 0196400062) Hj Rosli ( 0196547354) /En Samsudin ( 0193938015)

Khutbah Aidil Fitri

.
1 comments

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 2 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا . الحَمْدُ ِللهِ الَّذِى وَفَّقَنَا لِعِبَادَتِهِ . وَجَعَلَ هذَا اليَوْمَ فَرْحًا لِعِبَادِهِ الُمتَّقِيْنَ الَّذِيْنَ فَازُوْا بِصِيَامِ رَمَضَانَ وَقِيَامِهِ .وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ . أَمَّا بَعْدُ …. فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Firman Allah dalam ayat 15 dan 16 surah Huud :

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لاَ يُبْخَسُونَ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ إِلاَّ النَّارُ ۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya : Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (tanpa mengira halal dan haram), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab Neraka dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia dan batallah apa yang mereka telah kerjakan

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,
Selamat hari raya Eidilfitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Sempena berada pada hari mulia ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah menghitung diri bagaimana hasil tarbiah Ramadhan yang baru lalu samada berjaya melahirkan kita sebagai umat bertaqwa atau sebaliknya. Jangan biarkan tarbiah Ramadhan berlalu begitu sahaja tanpa berjaya mengubah keadaan diri kita untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa bertambah dan berkualiti amal ibadatnya. Jadikan takbir yang kita laungkan sebagai takbir ibadat bukti kejayaan mendidik diri bukan hanya setakat takbir adat yang tiada makna dan pahala.

Isikan hari raya kita dengan amal ibadat tanpa dicemari dengan maksiat. Lahirkan diri kita sebagai hamba bertaqwa bukan golongan yang derhaka kepada Allah. Sambutlah hari raya penuh kegembiraan kerana makin rapat kepada Allah bukannya terus berseronok bertuhankan hawa nafsu. Jadikanlah diri kita sebagai orang yang sememangnya layak untuk menyambut hari raya bukan setakat menumpang tuah orang lain yang lebih berjaya dan benar-benar menunaikan ibadat puasa sebagaimana yang dikehendaki oleh agama. Hayatilah hakikat hari raya yang sepatutnya kita sambut sebagaimana yang dipetik daripada suatu pepatah arab iaitu:


لَيْسَ العِيْد لِمَنْ لَبِسَ الجَدِيْدَوَلَكِنَّ العِيْد ِلمَنْ تَقْوَاهُ يَزِيْدُ

Maksudnya : Bukanlah hari raya itu bagi mereka yang sekadar memakai pakaian baru sebaliknya hari raya yang sebenarnya ialah bagi mereka yang taqwanya bertambah

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Gema takbir membesarkan Allah dan tahmid memuji Allah yang berkumandang setiap kali tibanya hari raya mestilah meresap ke dalam hati sanubari. Takbir kemenangan ini bukan sekadar ucapan tanda hariraya malah ia pernah diucapkan ketika menyambut kemenangan gemilang nabi Muhammad s.a.w bersama tentera Islam ketika berdepan dengan tentera bersekutu kuffar dalam peperangan Ahzab atau Khandak yang berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah yang kita sentiasa laungkan kalimah

وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ
yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab.

Takbir kemenangan ini terus dilaungkan sebagai memberi motivasi semangat kepada umat Islam dari dulu hingga kini bahawa kemenangan Allah pasti datang bila kita telah memenuhi syarat kemenangan walau pun terpaksa berdepan dengan pelbagai serangan musuh. Adakah layak untuk kita mengaku bahawa kita telah menang sekiranya melawan nafsu pun kalah terutama ketika menyambut hariraya dengan hiburan melalaikan, pergaulan lelaki perempuan tanpa batasan, membuka aurat. Golongan menang yang sebenar ialah orang yang keluar daripada tarbiah Ramadhan dengan pengampunan dosa serta menghiasi Syawal dengan amal ibadat.

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 36 surah ar-Ruum :

وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا ۖ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ

Maksudnya : Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa
Ketika seronok menyambut hariraya maka tidak lupa untuk kita sama-sama merenungi tentang serangan selsema babi yang telah meragut 74 nyawa setakat ini menyedarkan kita bagaimana kehebatan Allah di mana Islam menganjur keselamatan dengan berwudhu’, baca basmalah, doa ma’thurat, baca al-Quran, solat, puasa, penggunaan tanah untuk membasuh anggota tubuh dan pengambilan habbatus sauda’ dan berpurdah yang sentiasa bersih bagi wanita. Yang paling penting ialah dengan menghindari daripada derhaka kepada Allah. Kita begitu sedih dan marah dengan kenyataan menghormati Ramadhan dan takut selsema babi menyebabkan sambutan kemerdekaan disambut sederhana tetapi bila konsert kumpulan hip hop Amerika Black Eyed Peas di Sunway Pyramid pada 25 September ini sempena ulangtahun ke 250 jenama arak Guiness Stout maka segalanya halal. Ditambah dengan kenyataan bahawa tiada halangan orang Islam untuk hadir hiburan merosakkan ini

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Muslimin dan Muslimat Sekalian
Sempena menyambut hari raya sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh umat Islam untuk kembali bersatu atas dasar Islam dalam masalah politik, sosial, ekonomi dan sebagainya. Selain usaha membantu saudara seagama yang terlibat dengan peperangan seperti di Iraq, Afghanistan, Palestin, Mindanao Filiphina, Selatan Thailand dan sebagainya maka tidak lupa untuk kita kembali membina kekuatan umat Islam termasuk dalam ekonomi. Kita melihat ekonomi dunia semakin hancur dan negara Islam turut menerima tempiasnya kerana kita menerima pakai sistem yahudi. Kita pernah menyaksikan bagaimana pertukaran penggunaan wang dinar emas kepada wang kertas antara penyebab kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki 1924. Sudah tiba masa dan saatnya, sudah sampai detik dan waktunya untuk seluruh negara umat Islam bersatu dalam setiap aspek termasuk ekonomi berlandaskan sistem Islam. Jangan biarkan kita terus menjadi hamba kepada sistem yahudi yang menyebabkan kita terus mundur dan terjajah di negara sendiri. Sistem riba tidak akan memajukan kita malah terus meranap dan menghancurkan kita dunia akhirat. Cukuplah seluruh negara Islam dan pelabur Islam bersatu membina kekuatan berasaskan sistem Islam maka yahudi dan para kapitalis penghisap darah akan jatuh tersungkur menyembah bumi. Kita mampu mengubahnya bila kita benar-benar takut kepada Allah lebih daripada takut kepada musuh. Yakin dan berusahalah dalam memartabatkan sistem Islam untuk kebaikan dunia akhirat.

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Sempena Eidil Fitri ini banyakkanlah bersedekah agar mereka yang memerlukan bantuan turut bergembira dan ziarahilah sanak saudara pada hari yang mulia ini bagi merapatkan lagi tali persaudaraan.Rebutlah peluang untuk menambahkan saham akhirat dengan berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهٌ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ ( رواه مسلم )

Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Lobai Kampung : Eid Mubarak bagi semua. Maaf sepanjang tahun bukan pada hari raya sahaja. Selamat Hari Raya, Berpilihanraya, Berhati di Jalan Raya ....

Syeikh Murtadza Bekas Mufti Negeri Sembilan, Ikon Penyatuan

.
16 comments


Nama Syeikh Dato Hj Mohd Murtadza b Syeikh Ahmad bukan nama asing di Negeri Sembilan. Beliau merupakan Mufti ketiga Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bermula dari tahun 1987 sehingga 2008. Beliau dilihat sebagai seorang mufti yang toleran dan bijak menangani isu dengan memberikan jalan penyelesaian yang semua orang berlapang dada. Namun ada juga beberapa pandangannya diketepikan oleh golongan politik berkuasa hanya kerana tidak sefahaman dengan beliau.
Beliau telah menjalankan tugas sebagai mufti dengan baik sepanjang tempoh perkhidmatannya. Memudahkan urusan ilmu di Negeri Sembilan dengan mempermudahkan urusan tauliah mengajar bagi tuan-tuan guru dan ustaz-ustaz di negeri ini. Beliau sering mengingatkan tentang realiti masyarakat di Negeri Sembilan ini yang rata-ratanya agak jauh dengan budaya ilmu. Beliau telah mengasaskan Majlis Turuq Sufiah bertujuan mendaftarkan tarikat-tarikat yang terdapat di Negeri Sembilan agar tidak mudah dilabelkan sesat oleh golongan yang anti tarikat. Hasilnya, penerimaan masyarakat mengenai tarikat akan lebih baik kerana pengamalnya telah diiktiraf melalui Ahli Majlis Turuq Sufiah yang berkaliber.


Oleh kerana ketegasannya beliau sering tidak disenangi oleh pemerintah UMNO-BN. Beberapa kali usaha telah dibuat untuk menamatkan kontrak beliau, namun usaha tersebut gagal kerana Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar masih berkenan menyambung tauliahnya. Usaha teresebut tidak pernah terhenti, akhirnya pada penghujung 2008 yang lalu kontraknya tidak disambung lagi dan berkebetulan pada saat itu berlakunya kemangkatan YDB Negeri Sembilan. Itulah jasa besar UMNO-BN. Alasan yang diberikan SS Dato Mufti telah terlalu uzur. Satu jawapan yang langsung tidak munasabah. Bagi sesiapa yang pernah ke Jabatan Mufti Negeri Sembilan akan mengetahui betapa rendahnya nilai yang diberi kepada seorang mufti walaupun tarafnya sebagao exco. Bangunan lama yang tidak berlif menyukarkan orang-orang yang uzur untuk menemui mufti. Namun Dato Murtadza tetap gagah memajat tingkat 4 bangunan tersebut walaupun untuk beberapa kali dalam sehari.


gambar terbaru beliau yang susut sehingga hampir 15 kg

Semalam, berlangsung majlis khatam al-quran di Masjid Jamek Ampangan. Kehadiran hampir mencecah 300 orang. Jumlah yang lebih baik berbanding majlis berbuka puasa bersama MB Negeri Sembilan pada ahad lalu. Walaupun majlis berbuka puasa bersama MB tersebut dikatakan dihadiri hampir 1000 orang tetapi kebanyakannya adalah orang luar yang terdiri dari pegawai kerajan dan pemimpin politik UMNO. Ahli kariah tempatan boleh dikira dengan jari. Syeikh Murtadza dijemput seperti mana biasa seperti tahun sebelum ini tetapi kali ini tidak sebagai mufti. Beliau kini bergerak di atas kedudukannya sebagai Syeikh Tarikat Ahmadiah Al-Idrisiyyah Ar-Rashidiyyah Al-Dandarwiyyah Kg Pondok Rasah. Beliau menyatakan kekesalannya terhadap keangkuhan sebahagian dari mereka yang diberi amanah memimpin.
Dato Murtadza tetap tegas seperti dulu. Beberapa jawatan turut ditawarkan kepada beliau namun beliau menolak. Bukan kerana tawar hati tetapi kerana ketegasannya. Marilah kita bersama doakan semoga beliau terus diberi kekuatan oleh Allah untuk menaburkan ilmunya di Negeri ini. Pemberhentian beliau bukti kezaliman kerajaan UMNO - BN . Penduduk Bagan Pinang, ayuh bantu Dato Murtadza dengan menumbangkan BN !!

Hentikan ISA ... Teruskan ISA ...

.
0 comments

Alhamdulillah.. itu sahaja ungkapan yang menggambarkan kelegaan semua pejuang kebenaran di tanah air Malaya ini apabila 5 tahanan yang tidak diketahui kesalahannya dibebaskan dari akta zalim ISA. Biar pun hati geram dengan permainan jahat golongan mustakbirin namun, pembebasan ini adalah sebahagian dari kurnia dari Allah di atas perjuangan mereka-mereka yang sabar . Sesungguhnya ganjaran bagi mereka yang sabar terlalu besar sehingga tidak tergambar hebatnya gandaan tersebut.


Akta ISA berpotensi untuk digunakan dalam keadaan terdesak oleh golongan mustakbirin, tidak mengenal siapa kawan pun boleh disumbat apa lagi kalau seorang lawan. Mungkin rakyat masih belum benar-benar faham apa itu ISA menyebabkan mereka masih boleh lagi berlapang dada dengan kejahatan UMNO-BN.


ISA juga satu nama yang sangat sinonim dengan rakyat Negeri Sembilan. MB paling lama dalam sejarah Negeri Sembilan. Dalam PRK Bagan Pinang namanya disebut untuk menjadi calon BN. Seawalnya dia telah menghantar namanya sendiri sebagai calon tunggal dari bahagian Teluk Kemang untuk dipertimbangkan oleh UMNO Pusat. Pilihannya cuma satu, iaitu ISA.


Bagi seteru politik ISA di Negeri Sembilan, perbuatan ISA itu tidak pernah menimbulkan rasa pelik. Dia tidak pernah rasa bersalah dan nak mengaku salah. Bila isu babi timbul di Bukit Pelandok pada tahun 1999, ISA mengamuk bila orang kaitkan di dengan isu babi tersebut. Dia tak rasa salah dia. Babi jugak yang salah.


Tapi ISA, politiknya licik. Di Bagan Pinang masih ramai saudara-saudaranya. Sebab kampung ayahnya di situ. Tokey-tokey cina juga dikhabarkan sedia memberi undi pada Isa kerana mengenang budi Isa yang terlalu banyak buat mereka.


Sama ada memilih Isa atau tidak memilihnya UMNO tetap berdepan dengan masalah. Memilihnya mengundang kemarahan orang-orang UMNO di luar Teluk Kemang. Tidak memilihnya mengundang kemarahan orang-orang UMNO di Teluk Kemang. Serba salahnya kerana ISA ...

Apa yang RAKYAT akan dapat ... Jika BN Kalah di Bagan Pinang

.
3 comments

Sudah menjadi tradisi parti pemerintah UMNO-BN merasakan bahawa harta kerajaan adalah hak mutlaknya. Sesiapa yang tidak menyokong dan bersama mereka sukar beroleh kesenangan. Tapi Allah maha kaya. rezeki bukan milik mereka, milik Allah yang mutlak. Menggunakan wang rakyat untuk diagihkan kepada rakyat itu bukan jasa namanya. Kalau guna duit mereka untuk beri pada rakyat itulah namanya.
YB UMNO-BN dalam bulan ramadan ni cuma memanjangkan sumbangan. Bukan beri sumbangan. Duit sumbangan datangnya dari Baitul Mal, Jabatan Kebajikan dan beberapa NGO. YB datang untuk tolong sampaikan sahaja. Tanya pada dia berapa dalam sampul tu pun mungkin mereka tak tahu. Apa kan daya rakyat tak tahu cerita sebenarnya. Akhirnya yang dilihat YB terlalu berjasa buat mereka. Tak padan bak kata Tuan Guru Nik Aziz sumbangan RM 50 untuk tanggung derita 5 tahun. Berapa sen sehari ?
Pengalaman sahabat-sahabat di DUN Ampangan, Sikamat dan Paroi yang memilih YB dari Pakatan Rakyat ternyata memberi banyak perubahan. DUN-DUN tersebut diberi perhatian luar biasa oleh UMNO-BN kerana ingin memenangi semula hati pengundi. Jalan-jalan kampung diturap lebar, kemudahan diperbaiki, ada ADUN angkat lagi pendek kata, masa UMNO - BN memerintah dahulu keprihatinannya tidak sebegitu hebat.
Ada untungnya bila PR menang. Untuk kembali memenangi hati rakyat mereka akan buat macam-macam perkara untuk menang semula DUN tersebut. Namun jika mereka menang, mereka rasa selesa tiada apa yang perlu dipujuk untuk rakyat di sana. Tak percaya cubalah tanya rakyat di Johol, Senaling, Pilah, Seri Menanti, Juasseh dan banyak lagi tempat yang UMNO-BN selesa ...

Mencerahkan Peluang PR Di Bagan Pinang

.
1 comments


Semua sedang berkira-kira untuk memenangkan calon PR di Bagan Pinang. Satu amanah yang cukup besar untuk dipikul bersama. Jika kalah, ini adalah kekalahan pertama PR di Semenanjung setelah melalui beberapa siri PRK selepas PRU yang lalu. Tiada siapa yang menginginkan kekalahan PR, PR adalah suara rakyat. Rakyat ramai yang marah dengan UMNO - BN. Tidak habis-habis mencekik darah dan daging rakyat. Tanyalah siapa saja yang tak marah dengan kenaikan harga minyak, harga barang yang tidak terkawal, masalah sosial, masalah salah guna kuasa, rasuah dan banyak lagi. Siapa kata tiada isu di Bagan Pinang.

Apakah selama ini UMNO-BN terlalu maksum di Negeri Sembilan atau secara khususnya di Bagan Pinang? Siapa yang memajukan sekitar pesisir Pantai Port Dickson ? Yang membangunkan resort bukan masyarakat melayu muslim Bagan Pinang tetapi kebanyakannya terjual kepada tokey-tokey kroni mereka. Apa jadi pembangunan di kawasan Port Dickson? Selesa sangatkah rakyat tempatan dengan pelbagai aktiviti maksiat yang banyak berlaku di kawasan Port Dickson. Pernah didedahkan dulu beberapa pesta maskiat berlaku di Port Dickson. Kalau UMNO-BN nak dabik dada dengan kemajuan yang ada, inilah pula hasil kemajuan yang dibawa.

Di Negeri Sembilan, UMNO-BN bagai mendarah daging . Tetapi itu dulu. Siapa menguasai Negeri Sembilan dia akan menguasai Malaysia. Begitulah lebih kurang bunyinya. Dalam PRU yang lalu kebanyakan DUN yang berada di kawasan bandar, dipelopori oleh golongan pertengah umur BN banyak tumbang. Satu-satunya kawasan di bandar masih dikuasai BN hanya di Bagan Pinang itupun kerana undi POS.

Jika menang, corak keangkuhan UMNO-BN ini akan terkesan juga. UMNO-BN tidak pernah belajar dari sejarah. Bila mereka kalah yang akan dibaiki bukan dirinya tapi orang lain yang dipersalahkan. Itulah tradisi UMNO-BN dan sekutunya. Kalau sifat ini diteruskan ada baiknya untuk menumbangkan mereka secara terhormat pada PRU yang akan datang. Kemungkinan selepas ini mereka akan lebih berhati-hati memilih calon. Selepas ini mana-mana calon yang ada masalah tidak akan dipilih, tidak macam dulu walau macam mana bermasalah pun calon tersebut tetap akan diletakkan dan menang lagi !!!

Mungkin UMNO-BN rasa selesa dengan 5000 undi pos yang mereka ada namun kuasa Allah mengatasi kekuatan manusia UNDI POS akan bertukar menjadi UNDI PAS !!!


Selamat Datang Ke Negeri Sembilan

.
0 comments

Jenazah ADUN Bagan Pinang, Azman Md Nor telah selamat dikebumikan selepas maghrib sebentar tadi. Alfatihah. Masih terlalu awal untuk berbincang panjang mengenai persediaan menghadapi PRK Bagan Pinang. Namun itulah yang perlu difikirkan oleh kita semua tentang kemampuan menguasai kerusi DUN Bagan Pinang yang dimenangi oleh BN dengan bantuan undi pos/tentera hampir 2 ribu ke 3 ribu atau mungkin lebih.
Dalam PRU 08 Dun Bagan Pinang antara DUN yang mengalami peningkatan undi terhadap PAS sehingga 2,541 undi. Namun undi terhadap BN dibantu dengan undi tentera terus kekal di DUn tersebut. Beberapa DUN di bawah parlimen Teluk Kemang telah dikuasa oleh PR termasuk DUN Lukut(DAP), Chuah(PKR) dan Port Dickson(PKR), bahkan Parlimen Teluk Kemang dimenangi oleh calon Pakatan Rakyat, Dato Kamarul Bahrin. Yang masih berbaki adalah Bagan Pinang dan Linggi.
Persoalannya apakah Pakatan Rakyat mampu mengulangi kecemerlangan menghadapi PRK Bagan Pinang sebagaimana yang dihadapi sebelum ini. Suasana dan keadaan PRK kali ini mungkin agak berbeza dengan PRK sebelum ini. Kalau kita mampu menguasai undi tentera/pos dengan 'ketelusan' SPR harapan untuk menambah jumlah kerusi DUN PR di Negeri Sembilan akan menjadi lebih cerah.
PRK kali ini juga menjadi kayu pengukur kepada kemampuan PR Negeri Sembilan. Apakah kita telah bersedia untuk menyediakan kerja kepada pendokong PR yang bakal berkampung di Bagan Pinang.
Kebetulan Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan telah mengadakan majlis Iftar bersama YB Dato Husam Musa berbetulan dengan tarikh kematian Adun Bagan Pinang. Semuanya berkeyakinan untuk mengulangi kejayaan PR dengan keyakinan yang disandarkan kepada Allah SWT ... Moga keberkatan ramadan ini menambahkan kekuatan pergantungan kita kepada Allah.

Perang !!!

.
0 comments

"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim, dan Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya rasul itu menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu dari tali Allah. Dia adalah pelindungmu, maka Dia-lah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong" (Al Hajj 78).
Bulan Ramadhan Al-Mubarak bukan hanya bulan bulan buat ibadat bahkan bulan ini terlalu istimewa sehinggakan kita sedang dilatih supaya belajar tentang erti peperangan. Peperangan adalah usaha bersungguh-sungguh menentang musuh yang cuba merosakkan kita. Atau dalam istilah dini (agama) disebut sebagai jihad. Jihad berasal dari kata "jahada" yang berarti "bersungguh-sungguh" . Dengan melihat erti dasar dari kata jihad ini, akan didapati makna jihad yang sangat luas dan tidak terbatas pada makna perang sahaja. Jihad merupakan rangkaian dari ajaran Islam "Amar ma`ruuf wa nahii munkar", menegakkan kebenaran dan mencegah kebatilan .
Para ulama mengkategorikan jihad dengan makna yang cukup luas. Antaranya Ibnul Qoyyim :
1. Jihadun Nafsi ( Nafsu )
2. Jihadus Syaitan
3. Jihadul Kuffar
4. Jihadul Murtaddien
5. Jihadul Bughat al-Kharijin
6. Jihadul Muhabirin al-Mufsidin
Puasa menurut pengertian syarak adalah menahan diri. Menahan diri dalam konteks perlaksanaan fardu adalah dari perkara yang membatalkan puasa. Apabila menghuraikan mengenai kewajipan ini para ulama tidak hanya memfokuskan kepada persoalan melaksanakan kewajipan bahkan turut membincangkan soal kesempurnaan sehingga mampu menatijahkan ketakwaan sebagaimana yang difirmankan di dalam surah Al-Baqarah :
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa
Ibnu Atoillah Assakandari menyebut di dalam kalam hikmahnya sebagai berikut : Asal segala maksiat, syahwat dan kelalaian adalah Redha Dengan NAFSU. Maksiat bererti melakukan sesuatu perkara yang berlawanan dengan perintah Allah yang wajib. Manakala syahwat diertikan dengan mengikut kelazatan hawa nafsu dan kelalailan pula membawa maksud cuai terhadap kewajipan yang wajib dan sunat. Kesemua jenis kerosakan ini sangat berkait rapat dengan nilai mujahadah melawan nafsu. Sesiapa yang mengingkari nafsunya dia akan menatijahkan ketaatan, iffah dan yaqazah. Ketaatan bererti mengikuti segala perintah Allah baik yang wajib atau sunnat. Manakala Iffah disebut sebagai meninggalkan keburukan tiap-tiap sesuatu. Yaqazah pula didefinasikan sebagai sentiasa merasakan kehadiran Allah dan memberi perhatian terhadap sesuatu yang diredhaiNya.
Ketika melaksanakan ibadah puasa kita tidak hanya sedang berlatih menahan dari makan dan minum bahkan lebih dari itu adalah nafsu makan dan nafsu minum. Kita dilatih menghidupkan malam untuk menentang nafsu tidur dan bermalas. Maka apabila kita benar-benar memahami makna 'Imsak' dengan pengertian yang dikehendaki, natijahnya kita akan beroleh takwa yang telah digariskan oleh Allah SWT. Inilah rahsia ibadah puasa. Sebenarnya kita sedang dilatih supaya menjadi seorang mukmin yang 'tahan' dengan ujian keduniaan sama ada dalam bentuk yang harus atau yang haram. Sedang yang harus seperti makan minum mampu ditahan dalam bulan ramadan al-Mubarak sepatutnya apabila keluar dari madrasah ramadan ini kita mampu menjadi orang yang mampu menahan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.