Anti Wahhabi atau Jaga MB ? Siri 3

.
0 comments



Isu melabelkan tenaga pengajar sebagai Wahhabi ini rupanya menjadi sebahagian masalah yang dihadapi oleh Mufti Negeri Sembilan yang baharu. YB Sohibus Sammahah Dato' Yusof b Hj Ahmad melahirkan kekecewaannya terhadap sikap melabelkan tenaga pengajar terdiri dari kalangan ulama yang banyak berjasa dalam menjayakan dakwah di Negeri Sembilan sebagai Wahhabi.
Malam tadi ( 24 April 2009 - Jumaat jam 7 malam ) bertempat di Balai Undang Johol telah berlangsung majlis meraikan Mufti baru Negeri Sembilan. Beliau merupakan anak jati Johol yang pertama menjawat jawatan tersebut. Majlis anjuran Yayasan Pembangunan Islam Johol (YAPIS) ini dihadiri oleh hampir 200 orang tetamu jemputan terdiri dari pelbagai latar jawatan dan politik.
Dalam ucapan yang di sampaikan oleh YB Dato Yusof, beliau menyorot kembali usaha yang dilakukan oleh para penderma dan tanggungan biasiswa yang diterimanya bersama 4 orang sahabat yang lain merintis jalan meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1969. Sehingga kini kelima-lima mereka banyak memberi sumbangan di dalam perkembangan pendidikan dan dakwah di Negeri Sembilan terutama di sektor kerajaan. Beliau menekankan betapa pentingnya pendidikan agama diberi perhatian serius dalam usaha melahirkan generasi ulama.
Beliau turut menyentuh beberapa cabaran atau isu yang dihadapinya ketika menjawat Mufti Kerajaan Negeri Sembilan. Bermula dengan kontroversi penamatan kontrak Mantan Mufti, Dato Hj Murtadza sehingga membawa kepada pelbagai polemik yang diserabutkan oleh orang-orang politik (BN) pada Januari 2009 sehingga terlantiknya beliau pada April 2009. Katanya polemik itu lebih termaklum di kalangan Undang Yang Empat. Betapa besarnya polemik yang berlaku.
Seterusnya beliau masuk ke Jabatan Mufti di dalam keadaan kerusi Timbalan Mufti kosong akibat dipindahkan ke Putrajaya dan beberapa pegawai juga dicadangkan untuk ditukarkan. Umum sedia maklum, ketegasan Timbalan Mufti Negeri Sembilan menimbulkan rasa ketidak selesaan di kalangan beberapa pihak terutama MB sendiri. Beliau terpaksa melaksanakan tugas Mufti dan pentadbiran dalam masa yang sama. Sehingga entri ini ditulis pengganti Timbalan Mufti masih belum diisi. Tidak cukup dengan itu, bangunan Jabatan Mufti sejak dari dahulu benar-benar mencabar kesabaran SS Dato Mufti. Bayangkan pada usia 64 tahun beliau terpaksa turun naik ke tingkat 4 bangunan SUK Lama yang menempatkan pejabat Jabatan Mufti. Betapa rendahnya nilai agama diletakkan oleh BN. Tiada lagi tempat yang lebih baik, selesa dan sesuai. Dengar khabarnya bangunan lama Pejabat Daerah Seremban yang berpindah ke Seremban 2 akan diberikan kepada Jabatan Mufti. Tapi apakan daya jenis kepala fikir untung tak fikir agama, akhirnya bangunan itu diberikan kepada Kompleks Kraftangan di bawah kendalian bekas Menterinya Dato' Rais Yatim.
Kemudian beliau turut menyentuh isu melabel Ulama dengan gelaran wahhabi. Menurut beliau fahaman wahhabi memang merbahaya kerana mereka mudah mentakfirkan sesiapa yang tidak sependapat dengan mereka. Menggunakan hanya Nas Al-Quran dan Hadis yang sohih sahaj sehingga menyebabkan beberapa amalan yang bersandar pada hadis lemah dikira sebagai bid'ah. Ini termasuk amalan berwirid selepas solat, membaca qunut, bertahlil dan sebagainya.
Tetapi apa yang mengecewakan beliau adalah sikap melabelkan seseorang ulama dengan gelaran wahhabi. Sepatutnya diterangkan kepada masyarakat tentang ciri-ciri penyelewengan Wahhabi, biarkan mereka menilai siapa wahhabi yang sebenar,bukan dengan melabelkan orang tertentu. Beliau nampak tidak begitu selesa dengan isu label-melabel kerana menurut beliau orang yang dilabel itu banyak mencurahkan ilmu dan jasa kepada masyarakat. Apakah cukup dengan satu dua perkara yang disebut oleh ulama tersebut menyebabkan beliau layak digelar wahhabi. Ini satu fitnah jahat. Mudahnya mereka menghukum. Siapa kita ?
LK sendiri masih mencari apakah sebabnya dan motif golongan tersebut melabel ulama dengan gelaran wahhabi. Apakah mereka ingin kedudukan yang lebih selesa, sehingga memaksa mereka memijak Lobai yang lain. Jika benar mereka prihatin terhadap persoalan akidah, tolong perbetulkan sama akidah ahli UMNO/BN yang meyakini makhluk lebih dari meyakini Allah. Jika Mahathir berkuasa dahulu, Mahathirlah segalanya, Bila Pak Lah berkuasa, Pak Lah lah segalanya. Kini giliran Najib pula. Bagaimana akidah mereka yang menolak ayat al-Quran dan hadis Nabi?
LK tidak pernah percaya UMNO/BN prihatin bab akidah ini. Kalau dulu mungkin. Bila Natrah dimurtadkan seluruh orang Melayu Islam bangun membela. Hari ini bukan satu sahaja Natrah dimurtadkan bahkan berpuluh ribu yang dimurtadkan, kenapa tidak prihatin? Sebab mungkin benda ni tak menjejaskan ekonomi negara bak kata Nabil. Haram sungguh !! Mana-mana Lobai yang handal sangat tu jangan pulak perlekahkan orang lain. Kerja kita masih banyak tidak ada masa nak bercakaran sesama kita.

MB dan KJ Teruskanlah, Jangan Undur!

.
0 comments

Mempertahankan orang-orang korup dan bermasalah di dalam UMNO adalah petanda kejatuhan tamadun UMNO yang terbina sejak tahun 50 an dulu. Jika dulu, UMNO dicorak oleh golongan yang rapat dengan masyarakat seperti guru, tetapi budaya itu semakin terhakis apabila UMNO dikuasai oleh golongan korporat yang berjuang mendapatkan projek. Rasanya di dalam UMNO kini sudah tiada istilah ikhlas dalam perjuangan, yang ada cuma apa yang aku dapat kiranya aku menyokong? Lain daripada itu adalah kesungguhan mempertahankan jawatan. Sekiranya jatuh tidak ada siapa lagi yang akan menyanjung. Itulah yang dirasakan oleh Che Det, Tun Lah dan ramai lagi.

Rakyat menjadi mangsa, terkena tempias kebobrokan UMNO. Rakyat diugut dan ditakutkan sekiranya UMNO tidak mendapat tempat rakyat akan sengsara. Inilah akidah yang mereka tanamkan kepada masyarakat sejak dulu, kini dan selamanya.

Di Negeri Sembilan, tokoh kepimpinan UMNO naik jawatan tertinggi kebanyakannya dengan cara yang memualkan. Tan Sri Isa Samad, berjaya memenangi undi tertinggi Naib Presiden bukan kerana kredebiliti kepimpinannya, tetapi politik wang. Akhirnya jatuh terhempas jua. Tiada siapa berani menghampirinya. Tambahan Pengerusi Perhubungan UMNO selepas Tan Sri Isa adalah Dato Seri Mohamad Hasan dikatakan tidak senang dengan Isa Samad. Akhirnya sokongan juak-juak ini lari pula memberi wala' buta kepada Pengerusi Perhubungan yang baru. Puji bukan main hebat lagi. Dibandingnya dengan MB terdahulu. Ku sangka panas sampai ke petang rupanya tengahari tsunami melanda. Antara yang menyumbang kepada kejatuhan Tok Mat sendiri adalah peranan abangnya Azman Hasan. Dia dilantik menjadi Setiausaha Perhubungan atas alasan Tok Mat percayakan abanngnya.

Kini, apabila Tok Mat menerima tekanan dan ada ura-ura minta beliau berundur, abangnya terlebih dahulu sedar diri dan berundur secara terhormat sebelum diundurkan. Banyak rekod ' jasa' Tok Mat selama menjadi Mb walaupun tidak sepanjang tempoh Tan Sri Isa. Sehingga kini JKKK seluruh Negeri Sembilan masih belum terisi, Jawatankuasa Masjid seluruh Negeri Sembilan juga begitu. Puncanya dikatakan kerana memilih yang berkualiti. Mungkin dalam UMNO dah tak de yang berkualiti sebab itu lama sangat nak cari. Penyerahan Sekolah-sekolah Agama Negeri Sembilan kepada Kementerian Pelajaran juga dibuat pada zaman Tok Mat, dengan alasan mengurangkan belanja kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri hanya menumpu kepada tiga buah sekolah ( Maahad Ahmadi, Itqan dan SMA Sains Selaru) Itupun khabarnya nak diserahkan juga. Memang Tok Mat pakar ekonomi. Mana yang tak beri untung tak payah beri tumpuan. Sebelum PRU baru-baru ini, dalam kempennya Tok Mat mewar-warkan kesungguhannya dalam pentadbiran agama dan akan melantik beberapa buah masjid, Imam bertaraf Pengurus Eksekutif. Selepas PRU bila menerima kekalahan banyak kerusi nampaknya cadangan itu tinggal cadangan walaupun temuduga jawatan tersebut telah dibuat. Banyak lagi nak cerita tak larat. Orang UMNO sendiri marah tapi tak mampu buat apa.

Khairy Jamaludin menang Ketua Pemuda Malaysia. Tapi nampaknya tak berapa gembira UMNO menyambutnya. Sebab mereka tau KJ menang tetapi didapati bersalah menggunakan politik wang.

Kedua-dua mereka ini disyorkan jangan letak jawatan. Tunggu sampai PRU 13, sekurangnya Pakatan Rakyat punya hujah semakin kuat kenapa UMNO/BN perlu ditumbangkan. Sekiranya ada usul undi tak percaya biarlah sesama mereka yang buat. Mungkin mereka mahukan transformasi. Tapi kita biarkanlah mereka terus bertakhta agar lebih mudah kerja menumbangkan mereka.

Anti Wahabi atau Jaga MB ? Siri 2

.
0 comments

LK banyak menerima respon dari entri sebelum ini. Cuma harapan LK dari entri tersebut adalah kebimbangan terhadap kegilaan orang-orang politik mempertahankan kedudukan sehingga sanggup menggunakan keilmuan para ulama yang cenderung kepada mereka. Jangan sesekali kita mendabik dada mengatakan kita tak mungkin dipergunakan kerana kita terlalu bijak untuk niat sejahat itu.

LK bukan berniat mencari keroh dan gaduh. Pertikaian antara Lobai-lobai hanya akan membawa kerugian. Tidak ada gunanya kita menjatuhkan antara satu sama lain. Kalau kita hebat, biarlah kehebatan kita untuk Islam. Masing-masing mendakwa merekalah yang benar, cara merekalah yang terbaik, tetapi jangan sampai menjatuhkan sesama kita. Itu sahaja pinta LK.

Untuk renungan marilah renung cabaran yang perlu bersama kita perlu tangani. Harap Lobai-lobai prihatin. Musuh kita bukan sesama kita.

Anti Wahabi atau Jaga MB?

.
8 comments

Kebanyakan perkara yang berlaku di Malaysia mutakhir ini, mesti akhirnya membawa kepada persoalan politik. Sama ada politik kepartian atau politik menjaga kedudukan. Bila sibuk tentang tanah runtuh rupanya projek itu milik orang politik yang berkuasa, tidak boleh ambil tindakan. Bila sibuk tentang rasuah rupanya nak naikkan imej politik orang tertentu, bukan kerana nak ambil tindakan sangat. Kalau disenaraikan hampir beribu-ribu isu di Malaysia ini pasti dipolitikkan atau terlibat dengan politik.

Apa yang lebih membimbangkan apabila persoalan yang berkait dengan akidah dan urusan syariat turut dipolitikkan. Bila bebicara tentang hudud orang politik kata itu modal PAS. Bila menyebut tentang perlaksanaan Negara Islam isunya pun politik. BIla Nga Ko Meng baca quran, semuanya dikait dengan politik. Pendek kata di Malaysia hari ini semua isu ada kaitan dengan politik. Bantah PPSMI pun politik, semualah.

Di Negeri Sembilan hari ini ada kecenderungan melabelkan tenaga pengajar di kalangan Ustaz-ustaz yang mengajar di surau dan Masjid sekitar Seremban terutama yang mempunyai tumpuan ramai dicop dengan Ustaz Wahhabi. Istilah wahabi disandarkan kepada mereka yang cenderung kepada ajaran Muhammad b Abd Wahhab, pendekatannya banyak mengharamkan perkara bid'ah yang dilakukan oleh ummat Islam. Pendekatan Aliran Wahhabi yang keras sehingga mengharamkan perkara sunnat yang telah berakar umbi dalam amalan masyarakat Malaysia seperti tahlil, talkin, zikir selepas solat dan kenduri arwah menjadi sesuatu yang sangat sensitif. Sesiapa pun yang mengetahui aliran keras Wahhabi ini pasti akan menentangnya. Wahhabi juga menolak amalan sufi dan tarikat. Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang kuat amalan tasaufnya amat sensititf terhadap aliran wahhabi yang menentang amalan sufi. Maka tidak hairanlah maka sentimen anti wahhabi ini begitu mudah mendapat simpati di sini.

Apa yang menyedihkan seorang ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan yang juga ahli Majlis Fatwa Negeri Terengganu, dikenali dengan kehebatan ilmu dan tawadukknya. Banyak mengarang kitab tasuf dan mensyarahkan kitab Hikam, telah dihalang untuk terus menyebarkan ilmunya di bebarapa tempat di Negeri Sembilan, termasuk Masjid Negeri sendiri. Arahan itu dikatakan dikeluarkan oleh MB sendiri dengan alasan Ulama ini seorang Wahhabi. Beberapa Ustaz-ustaz yang sering memberikan kuliah di sekitar Seremban turut dilabel sebagai Wahhabi dan bakal menerima nasib yang sama. Bahkan kecenderungan melabelkan seseorang Ustaz / Ulama' sebagai ' Wahhabi ' sangat kuat dipelopori oleh seorang Ulama Muda yang juga ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan yang dikatakan rapat dengan MB N9. Ulama muda ini memang hebat ilmunya. Kini mula mengukir nama di seluruh tanah air dengan kelebihan ilmunya. Penentangannya terhadap wahhabi juga sangat kuat. Cuma yang tidak berapa enak didengar adalah mudahnya meletakkan label wahhabi pada Ustaz / Ulama' menyebabkan orang awam sendiri memperlekehkan Ustaz / Ulama' yang dicap sebagai Wahhabi.

Persoalannya benarkah kerana kewahabiannya maka mereka tidak dibenarkan mengajar? Atau kerana kebanyakan Ustaz tersebut lebih banyak menyatakan kebenaran dari menyembunyikannya. Sebagai orang yang diamanahkan ilmu mereka wajib menyampaikan kebenaran walaupun perkara itu tidak disukai. Kemenangan PR dalam banyak kerusi di dalam PRU baru-baru ini di Negeri Sembilan sebenarnya cukup mencemaskan BN. BN cuma boleh menang di kawasan kampung yang majoritinya melayu. Maka untuk mengekalkan momentum kemenangan BN, maka aliran anti wahhabi ini digunakan dengan melabelkan Ustaz-ustaz yang cenderung kepada PAS ini sebagai Wahhabi. Maka dengan cara itu orang kampung akan menolak Ustaz tersebut dan kemaraan PAS.

LK tidak bermaksud menimbulkan konfrontasi dengan sesiapa.LK menyeru semua ilmuan agama di Negeri Sembilan mari bersama kita mengenali musuh yang sebenar. Bercakaran sesama kita dengan melabel ustaz ni salah ustaz ni betul tidak akan ada jalan penyelesaian. Kalau semua ustaz yang dikatakan wahhabi tidak dibenarkan mencurahkan ilmu pada siapa lagi yang kita harapkan. Adakah kita ingin terus membiarkan manusia dalam kegelapan hidayah Allah. Ilmu menjadi jalan menyuluh ke arah kebenaran. Andai kesemua Ustaz yang ada dikatakan wahhabi sanggupkah digantikan tempat mereka dengan Ustaz yang bersih akidahnya dari wahhabi?

Kita berhadapan dengan kecenderungan masyarakat meminggirkan agama. Yang nak pada Islam di Negeri Sembilan ni tak ramai, yang tak ramai ni kita pecahkan. Masalah anak luar nikah, murtad, sumbang mahram, rasuah, zina dan banyak lagi mari kita perangi bersama. Semua ini berpunca dari pegangan agama yang longgar. Tau tak Ustaz anak luar nikah di Malaysia ni dah mencecah 250 000 orang. Apa yang Ustaz nak buat ? Selesaikah dengan melabel orang itu salah orang ini salah ? Tolonglah Ustaz ... Jangan sombong, Allah murka dengan iblis yang sombong sampai kiamat.

Lobai Kampung : Tak guna aku menjerit, tak guna aku memekik, aku hanya Lobai Kampung yang tak punya apa. Tapi aku mohon Lobai Internasional yang berpangkat besar jangan rasa selesa dengan dengan bilik hawa dingin, jangan rasa selesa dengan gaji ijazahmu!! Mari sertai perjuangan ini. Kami memerlukan anda !!

Mengapa PRK kerap sangat ?

.
6 comments

Buletin Utama TV3 malam tadi menyiarkan komen seorang pembaca kononnya melahirkan rasa terkilannya terhadap PRK yang berlaku hampir 6 kali sepanjang tempoh setahun selepas PRU Mac lalu. Hampir 2.5 juta dihabiskan untuk menyelesaikan 5 PRK sebelum ini. Bermula dengan Permatang Pauh kemudian Kuala Terengganu diikuti Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air menyusul selepas ini Penanti. Komen dari Gerakan pula kononnya Anwar sengaja mencipta gelombang untuk memastikan sokongan rakyat berterusan.

Jika di amati dengan mata yang tidak berkaca, kesemua PRK yang berlaku bukanlah kehendak Anwar atau PR. Pimpinan PR bukan berdana besar seperti BN yang sentiasa berdana cukup untuk menghadapi Pilihanraya. Tetapi kerana satu tuntutan yang tidak dapat dielakkan dan kerja kotor BN menyebabkan ADUN yang terbabit terpaksa meletakkan jawatan. Bukit Selambau dan Penanti adakah BN tidak terlibat langsung sehingga menyebabkan perletakan jawatan 2 ADUN terbabit. Kita tidak bermaksud menidakkan kesalahan mereka. Tetapi ini soal tekanan. Tidak ramai yang sekuat Anwar Ibrahim biarpun dia ahli PKR. Meletakkan jawatan itu rasanya lebih mulia jika dibanding dengan terus duduk pada jawatan tersebut dengan pelbagai skandal yang tak selesai. Bila tak tahan, tinggal perjuangan dan isytihar sokong BN macam 3 orang ADUN dari Perak sehingga membawa kepada kekalutan di Perak.

Adapun Permatang Pauh, semua sedia maklum kecekalan seorang isteri bernama Wan Azizah memperjuangkan suaminya yang dianiaya. Maka Permatang Pauhlah tempat paling sesuai dilepaskan untuk suaminya yang tercinta. Batang Air dan Bukit Gantang kekosongan kerana penyandangnya meninggal dunia, siapa yang mampu menolak takdir.

Ada cadangan untuk meletakkan undang-undang kepada mana-mana ADUN dan MP yang meletakkan jawatan untuk di denda dan dikenakan hukuman. Negara kita budaya politiknya terlalu kotor dipelopori oleh BN. BN sanggup buat apa sahaja asal mahu kuasa. Sesiapa yang cenderung kepada pembangkang tidak akan mendapat tempat dan ruang. Contoh mudahnya orang sehebat Dr Harun Din, Dato Ismail Kamus dan ramai lagi tidak lagi ada ruang untuk dimanfaatkan ilmunya di peringkat kebangsaan atau umum .

Demikianlah busuknya permainan politik BN . Tiada perkataan yang lebih sesuai nak gambarkan. Kalau dahulu Dato Shahnon dah buat Novel SHIT jangan keluar pula lepas ini Novel lain untuk gambarkan kebobrokan UMNO+BN. Pening, pening...

Lobai Kampung : Bagi ruang sama adil kepada PR cukup 3 bulan UMNO + BN akan bergelar al-marhum !!

Usul Undi Tidak Percaya MB Negeri Sembilan ?

.
2 comments

Sejak berundurnya Tun Lah dari jawatan PM, ramai yang mula memikirkan tentang nasib mereka selepas ini. Terutama mereka yang naik di atas 'syafaat' Tun Lah. Nampak gayanya Tun Lah benar-benar pencen. Tidak lagi nampak minatnya pada politik. Tak seperti Tun M. Walaupun sudah berundur dia mencelah juga dalam dunia politik sehingga terlihat pada mata ummat Malaysia akan peranannya di belakang PM sekarang. Hasilnya, walaupun anakandanya Mukhriz kalah di dalam pemilihan UMNO baru-baru ini, tempatnya sebagai Timbalan Menteri diberikan oleh PM padanya. Sedangkan KJ yang menang Ketua Pemuda tidak mendapat tempat. Alasan PM mintak KJ tumpu pada UMNO. Seingat kita Ketua Pemuda yang tak berjawatan menteri tak ramai. Kebanyakan semua dapat tempat. Kalau ada dulu pun Zahid Hamidi masa jadi Ketua Pemuda cuma diberi pegang BSN. Semua perkara itu sangat berkait rapat dengan restu PM @ Presiden UMNO. Bila PM tak suka tak dapatlah nampaknya.

Di antara yang naik dengan 'syafaat' Tun Lah di Negeri Sembilan adalah MB Mohamad Hasan. Walaupun pada awal penyertaannya dalam PRU 1999 beliau menafikan penerimaannya bertanding di Dun Rantau ada kena mengena dengan perlantikan sebagai MB Negeri Sembilan tetapi khabar angin ini bertiup kencang akhirnya benar-benar berlaku juga. Umum mengetahui hubungan baik Tun Lah dan MB N.9 yang katanya rapat ketika di London sewaktu Tun Lah membawa diri ke sana. Di awal kenaikannya ramai memuji kredebiliti kepimpinan MB N9 atau glamournya Tok Mat. Di katakan beliau tidak mahu terlalu protokol, imej keagamaan yang kuat, tidak kuat berpolitik pendek kata semua baik belaka. Sehingga dalam pemilihan MKT UMNO beliau mendapat antara undi tertinggi satu ketika dahulu.

Kemelut politik di Negeri Sembilan sebenarnya dahsyat. Cuma tiada siapa yang ambil peduli. Dalam mesyuarat UMNO Bahagian Seremban baru-baru ini berlaku aksi baling kerusi sehingga menyebabkan mesyuarat ditangguhkan. Ketua UMNO Bahagian Seremban, Dato Ishak dikatakan berseteru dengan Tok Mat. Tok Mat tidak senang dengan cara Tok Sahak sehingga dikatakan meminta Tok Sahak dicabar. Tok Sahak adalah di antara orang yang rapat dengan PM Najib di samping Tan Sri Isa Abd Samad ( Mantan MB N.9 paling lama ) . Tan Sri Isa telah membuat ''come back" dengan mencalonkan diri dalam perebutan Naib Presiden dan memegang jawatan Ketua Bahagian Teluk Kemang. Tok Mat pula telah kalah dalam MKT Umno baru-baru ini. Sebab itu apabila didedahkan iklan untuk menjunjung kasih Rosmah bernilai RM 40K oleh MKT Keadilan, ramai yang mengatakan Tok Mat nak jaga tempat dia.

Jika dibaca dari sudut kemelut politik yang berlaku di dalam UMNO Negeri Sembilan tidak mustahil apa yang berlaku di Terengganu boleh juga berlaku di Negeri Sembilan. Desas desus usul undi tidak percaya kepada MB ini telah hangat diperkatakan sehingga membawa kepada kenyataan akhbar penafian ADUN-ADUN BN tetap setia bersama Tok Mat satu ketika dahulu. Dunia politik, janji bukan mutlak 100% tepat dan tidak juga 100% bohong. Hari ini kawan tidak mustahil esok lawan. Hari ini lawan tak mustahil esok jadi kawan dan jilat balik segala 'kahak' yang dilemparkan.

BN cuma ada kelebihan 4 kerusi di Negeri Sembilan satu jumlah yang cukup tipis jika hendak dibandingkan dengan Terengganu. Tidak mustahil juga PR kena bersiap sedia dengan calon MB. Tetapi kita tidak mahu menang dengan cara begitu. Kita mahu menang cara anak jantan. Jangan ada yang berangan nak jadi MB PR yang pertama dulu jika saf PR Negeri Sembilan masih longgar. Kita memang mengharapkan kemenangan tetapi bukan dengan kelemahan musuh tetapi dengan kekuatan dan kemantapan saf kita di samping pertolongan daripadaNya. PAS Negeri Sembilan perlu menjadi suara pendesak yang kuat agar peranannya lebih menonjol dalam isu-isu masyarakat. Insya allah, mesyuarat kawasan yang berlangsung kini marilah bersama kita jadikan medan bermuhasabah sejauh mana PAS telah diterima di dalam masyarakat kawasan tersebut. Perjuangan sebagai parti politik adalah memenangi hati pengundi untuk mengundi tersebut di dalam pilihanraya. Soalnya sejauh mana PAS berada di dalam hati pengundi Negeri Sembilan ?

Lobai Kampung : Saidina Ali menyebut :" Kebenaran tanpa perancangan akan dikalahkan oleh kebatilan yang berperacangan "

Bagaimana nasib Islam Hadhari di zaman Najib ?

.
1 comments

Islam Hadhari satu bid'ah paling besar dilakukan pada zaman pemerintahan Tun Lah. Tetapi apakan daya pada ketika itu peralihan kuasa dari Tun M kepada Tun Lah adalah sesuatu yang dinanti. Semua meletakkan keyakinan pendekatan Islamik yang diambil oleh Tun Lah menjanjikan pentadbiran yang lebih baik dari Tun M. Tambahan pula pendekatan Islam Hadhari dengan 10 prinsip tersebut cuba digambarkan sebagai kemuncak kesungguhan Tun Lah untuk memartabatkan Islam.

Tetapi sudah adatnya, duduk di dalam tong taik cuba pula membersihkan tong taik dari dalam. Bersihnya tidak sempurna, sebaliknya yang mencuci bertambah pula kotornya. Ramai ulama'-ulama dari UMNO dikerah bercerita tentang kehebatan Islam Hadhari, lebih dahsyat lagi khabarnya pendekatan Islam Hadhari dipuji oleh ramai pempimpin barat kerana bersifat pragmatik, realistik tetapi hakikatnya plastik!!! Berjuta peruntukan diberikan untuk melaksanakan agenda Islam Hadhari di seluruh negara. Pengurusan Islam Hadhari diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri di bawah satu unit khas dan dipengerusikan oleh seorang CEO. Menurut teman-teman yang pernah bersama di dalam kumpulan penceramah Islam Hadhari, unit Islam Hadhari sangat istimewa sehingga mengatasi kelebihan JAKIM sendiri.

Betapa bersungguhnya Tun Lah menjayakan gagasan Islam Hadhari. Namun perlaksanaannya hanya indah khabar dari rupa. Program Islam Hadhari tidak lebih dari seumpama program taklimat untuk peserta-peserta yang diangkut bukan datang dengan sukarela. Pelajar sekolah, badan beruniform, Jawatankuasa Masjid dan JKKK antara mereka yang memenuhi kerusi program Islam Hadhari, kalau tidak alamatnya kosong. Forumnya hambar, ceramahnya penuh retorik dan pengisiannya pun kosong. Penceramah lebih banyak menerangkan maksud pendekatan Islam Hadhari dan menangkis hujah golongan yang mempertikai istilah Islam Hadhari.

Beberap ketika sebelum kejatuhan Tun Lah. Istilah Islam Hadhari semakin jarang kedengaran baik dalam ucapan mahupun dalam pandangannya. Seorang teman mengusik , Islam Hadhari semakin kurang disebut sejak Tun Lah menikah baru ! Wallahu a'lam.

Bagaimana pendirian kita ? Apabila kita menyebut Islam Hadhari adalah alat politik umno menggunakan label Islam ramai ulama Umno melenting. Katanya Tun Lah jujur dan inilah perjuangan Umno. Kalau benar ini adalah perjuangan Umno kenapa sekarang apabila berlaku peralihan kepimpinan Menteri JPM yang baru menyebut akan kaji semula. Kaji dari sudut apa ? Dari sudut prinsip atau pendekatan ? Kita tidak pernah menyokong kebenaran yang bersadur kebatilan. Kalimah benar pada tempat yang tidak benar. Rosak agama, bangsa dan negara. Bukan istilahnya sahaja yang salah bahkan prinsip dan pendekatannya juga diragui.

Demikianlah wajah UMNO, kalau boleh digambarkan dengan talam dua muka mungkin teruk sangat bunyinya tapi begitulah hakikatnya. Mereka menuduh PAS menggunakan agama untuk politik. Tetapi PAS masih konsisten dengan prinsip Islam yang dibawa. Tidak berubah mengikut mood rakyat prinsipnya. Atas ketegasan itu jugalah DAP nampaknya lebih menghormati Islamnya PAS dari Islamnya UMNO. Agak-agaknya selepas ini apa pula istilah baru yang bakal diperkenalkan oleh 'bakal Tun Najib' ?

Kalau Nak Boleh Sangat

.
2 comments

Mohon Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pertimbangkan pakaian yang lebih sopan dan menutup aurat untuk petugas atau kakitangan awam. Tapi sebelum tu kena kuliahkan dulu isteri Pak-pak menteri yang tak bertudung. Tiada alasan untuk tidak menutup aurat semuanya atas kekuatan mujahadah. Pergi Mekah boleh pulak tutup aurat. Kat sini tak pandai pulak. Cuba renungkan gambar ni dipetik dari blog Sesama Insan . Kalau nak bertudung dan menjaga syariat sebenarnya boleh sangat. Yang susah sangat tu alasan sahaja.



Mengharap Pada Yang Tak Boleh Diharap

.
4 comments

Alhamdulillah, kabinet baru diumum juga. Sebahagian menanti sebahagian kita buat tak reti. Siapa pun naik tiada kena mengena dengan mereka. Tetapi secara praktikal setiap rakyat akan mengikut pemimpin. Manusia adalh berdasar pemimpinnya. Jika yang memimpin korup jangan hairan bawahannya korup juga. Demikianlah percaturannya.

Satu dua perkara yang cukup menarik mengenai kabinet baru ini adalah perlantikan beberapa senator menyertai kabinet. Kesimpulan mudah dari LK, rupanya tak perlu bertanding pilihanraya pun kita masih boleh lantik orang yang kita rasa 'berwibawa' untuk memegang jawatan eksekutif ini. Semuanya bergantung kepada kehendak Perdana Menteri. Jika begitu kenapa tidak melantik lebih ramai intelektual yang ada menduduki jawatan eksiekutif ini. Ada dua persoalan menarik di sini, Ahli Parlimen Kerajaan yang menang pilihanraya baru-baru ini tidak ada yang layak menduduki kerusi Menteri atau Timbalan ? dan Kedua, adakah MP yang ada sekadar memenuhi kuota pilihanraya.

Di sinilah kita berbicara soal kualiti kepimpinan. Nabi SAW tidak pernah mengutus sahabat yang meminta untuk menjadi Gabenor untuk dijadikan Gabenor. Sebaliknya Nabi SAW hanya melantik mereka yang memenuhi syarat seperti Muaz b Jabal dan lain-lain. Betapa kelayakan itu menjadi syarat untuk dipikulkan amanah. Mungkin sebagai orang biasa kita tidak layak menilai kelayakan yang ada pada mereka-mereka yang dilantik tetapi setidaknya kita boleh juga membuat kesimpulan.

Apa harapan untuk kabinet baru mungkin tidak sehebat harapan mereka yang dipilih, tak dipilih dan yang digugurkan. Masing-masing masih mengharap. Mengharap kepada yang tak boleh diberi harapan .

Lobai Kampung : Tahniah juga Mej Jen (B) Jamil naik menteri. LK selalu ganti dia sebagai ahli panel forum sebab dia tak dapat datang sebelum2 ni. Kenapa tak datang? Tanyalah dia?

Bila Menang Bila Kalah

.
0 comments

Bila Menang Inilah ayatnya
Rakyat sentiasa bersama kita
Transformasi untuk semua
Disambut hebat walau di mana
Kita kena terus bekerja
Membalas rakyat yang percaya
Kepimpinan kita yang wibawa
Tidak mampu ditandingi siapa
Pilihan tepat lagi bijaksana
Satu harapan buat Malaysia
Rakyat semua makin percaya ...

Panjang lagi tak larat nak tulis ...

Bila kalah ini ayatnya
Kita akur dengan reda
Ketentuan Allah kita terima
Mari kita muhasabah bersama
Mungkin silap pada strategi kita
Atau pembangkang punya angkara
Bermain isu indah dikata
Pendek sahaja ...

Lobai Kampung : Yang menang teruskan kerja, kekal kepercayaan rakyat pada kita, jangan leka jangan alpa, mereka tidak akan diam sahaja, lepas ni strategi mungkin lebih bahaya!!!

Anugerah Bintang Popular ?

.
1 comments

Kalau ada satu dua kategori dalam Anugerah Bintang Popular di kalangan ahli politik agak-agak siapa yang akan menang agaknya? Dalam politik popular sangat penting, sebab dengan popular orang akan beri undi. Tetapi bagaimana popular dalam kerja dakwah ? Penting jugak atau tak penting sangat. Kerja dakwah bukan menuntut popular, biar penduduk bumi tak kenal asal dikenali penghuni langit.

Apa sangatlah manusia kenal kalau kerja dakwah kita langsung tidak dinilai oleh Allah. Tertipu manusia dengan kehebatan pada nilaian yang diletak oleh manusia. Inilah yang dinamakan sebagai 'al-ghurur' . Dari sudut bahasa 'al-ghurur' adalah gambaran atau pemahaman sesorang tentang sesuatu perkara yang bertentangan dengan keadaan sebenarnya. Seseorang manusia mudah terpedaya kerana mata hatinya terlalu lemah untuk memahami hakikat dan syariat. Di samping dia tidak mengambil kisah tentang perkara yang boleh merosakkan amalan kerana telah terpedaya dengan syaitan dan ditunggang oleh hawa nafsu.

Allah memperingatkan manusia tentang bahaya 'al-ghurur' dalam surah fathir ayat 5

Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).

Firman Allah lagi di dalam surah Al-Kahfi ayat 104

Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".

Firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 14

(Pada saat itu) mereka (yang munafik) menyeru orang-orang yang beriman (sambil berkata): "Bukankah kami bercampur gaul dengan kamu (di dunia dahulu)?" Orang-orang yang beriman menjawab: "Benar! Akan tetapi kamu telah membinasakan diri kamu (dengan perbuatan munafik) dan kamu telah menunggu-nunggu (kebinasaan umat Islam), dan kamu pula ragu-ragu (terhadap perkara-perkara ugama) serta kamu diperdayakan oleh angan-angan kosong (untuk mencapai maksud kamu), sehinggalah datangnya (maut) yang ditetapkan oleh Allah (kepada kamu). Dan (selain itu), kamu pula diperdayakan oleh bisikan Syaitan dengan (pengampunan) Allah (semata-mata dan melupakan azabNya).

Contoh 'al-ghurur' :

a) Menimpa orang yang taat

- seorang yang menuntut ilmu tetapi menangguhkan diri untuk beramal dengan ilmu lalu menunjuk2 tentang kelebihan ilmunya .
- seseorang yang belajar dan mengajar dengan tujuan mencari pangkat dan nama atau ingin masyhur dan dikenal dan dalam masa yang sama dia menyangka dia menyangka kerana Allah.
- seseorang yang melakukan amal ibadah, banyak mengerjakan solat dan ibadat lainnya tetapi berasa ujub ( hairan/megah) dan mendakwa ibadahnya atas kekuatannya dan merasa riya' pula dengan amalnya

b) Menimpa orang yang melakukan maksiat /derhaka kepada Allah

- orang yang melakukan maksiat kemudian istighfar dan taubatnya hanya dibibir tanpa kesungguhan lalu dia menganggap dirinya telah diampun oleh Allah.
- orang melakukan maksiat sebanyaknya dan tidak bertaubat dengan mengatakan Allah telah menetapkan nasibnya sebegini
- orang yang mengharapkan keampunan dari Allah tetapi tidak melakukan perintah Allah dan tidak pula meninggalkan larangan Allah dengan mengatakan Allah tidak memerlukan ibadah kita.

Mudahnya nak dapat bahagian kejayaan dan keuntungan dunia. Tetapi untuk memastikan amalan akhirat kita berjaya atau tidak memang sukar. Namun apa yang penting ketaatan mesti diteruskan, jangan terhenti kerana bahagian dunia yang tidak dikecapi. Amalan akhirat tidak sekali terkesan dengan bahagian dunia yang telah dikurnia atau tidak dikurnia oleh Allah. Seorang hamba mesti sentiasa benar pada niatnya, pada kalamnya dan pada perbuatannya, Mudahan kita tidak tercampak di kalangan golongan 'al-ghurur'. Kasihan kita ..

Lobai Kampung : Jangan pantas menghukum, mungkin yang dihukum lebih baik dari yang menghukum. Nilai mulia bukan letak pada nilai zahir, tetapi diukur dengan takwanya kepada Allah.

Hina Quran ?

.
0 comments


Sibuk bila Nga Ko Meng DAP tu baca quran. Baca salah pulak tu. Orang Melayu Islam dah tak nak merujuk pada quran biarkan je la dia nak rujuk. Salah baca. Orang kita lagi ramai yang salah baca. Kalau dia salah memang padan pasal dia bukan Islam. Ada orang Melayu Islam dalm TV taraf Lobai lagi bila sebut ayat quran dibacanya hadis, bila disebutnya hadis dibacanya quran.


Isunya bukan hina quran sangat. Sejak bila puak-puak ni prihatin sangat pasal hina quran ni. Memang kita patut marah dengan orang hina Quran. Tapi sebab tengah kempen PRK ni isu itu jadi besar. Sebelum ni dalam mesyuarat wanita Umno Kak Fidah letak Quran lagi kat depan. Ada sekali seorang Presiden UMNO dalam mesyuarat agung baca ayat pendek, sebab dia tak pernah /jarang baca dalam ucapannya semua perwakilan bersorak. Dia siap cakap, apa ingat depa saje ke boleh baca Quran. Kesian dia.

Takpelah tengok gambar ni. Lepas ni tolong fikir bersama.

Lobai Kampung : Politik ni macam-macam. Lobai kena jawab betul2 jangan mudah nak beri jawapan. Kita baik orang ambik kesempatan pulak !!!

Kejutan Demi Kejutan , Terkejut !!!

.
0 comments

Ternanti juga apa kejutan yang akan dibuat oleh DS Anwar malam ini. Sehingga saat ini (12.00 am ) beberapa blog mengatakan kejutan itu adalah penyertaan sejumlah 6000 orang ahli Parti Progresif Penduduk (PPP) ke dalam PKR. Penyertaan yang diketuai oleh Naib Presiden parti tersebut V Nadarajan diumumkan oleh DSAI di hadapan para penyokong dan wartawan termasuk wartawan utusan malaysia khabarnya.

Apakah berita itu cukup membuat anda terkejut. Terkejut juga tetapi tahapnya tidaklah sampai ke semaksima kejut beruk. Akan menjadi lebih terkejut lagi selepas ini andai bekas Naib Presiden itu pulak tiba-tiba hilang. Kemudian isytihar tarik balik permohonan masuk PKR. Dunia politik di Malaysia ini memang banyak kejutan. Dari kejutan setinggi 1000 volt sehingga lah kejutan digigit semut. Tetapi dalam banyak-banyak kejutan itu Lobai Kampung sangat menantikan kejutan sebegini. Andai ianya terjadi dapatkah anda bayangkan apa yang surat khabar dan tv akan laporkan :

a) Tun Lah dan Tun Jeane meninggalkan UMNO dan menyertai PAS yang ternyata lebih hampir dengan jiwa agamanya !!!

b) DS Najib mengimamkan solat isya' dan solat hajat di Stadium Bukit Jalil bersama 100 ribu orang ahli UMNO !!!

c) MB Perak ( Zambri ) mengaku bersalah merampas kuasa dari Pakatan Rakyat !!!

d) Calon BN PRK Bukit Gantang tarik diri dari bertanding !!!

Kita sering mengharap sesuatu yang boleh memuaskan hati tetapi kadang-kadang yang hadir tidak sehebat yang kita harapkan. Berlapang dadalah kerana itu sahaja yang kita mampu buat sebagai hamba. Harapan kita memang menggunung untuk dunia ini tetapi tidak semua impian itu mampu digapai, yakin dan percayalah impian akhirat tidak pernah mengecewakan. Selamat berjuang buat semua !!!

Lobai Kampung : Berpolitik dengan nilai akhirat, insya allah selamat ...

Menerima PM Ke 6 ?

.
0 comments

Teori Perdana Menteri Malaysia tersusun dengan ejaan R-A-H-M-A-N seakan benar tetapi bukan atas ejaan itu semua PM-PM itu naik. Semuanya sudah tersusun di luh mahfuz dan keizinanNya juga yang memastikan yang bercita-cita atau tidak naik atau turun. Selepas Tun Dr M, ramai yang menjangka A selepas ini adalah Anwar kerana langkahnya tinggal setapak lagi. Tetapi pelaksanaan takdir Allah bukan mengikut kehendak manusia, akhirnya A itu jatuh pada Abdullah. Selepas Abdullah, tidak ada calon lain yang lebih hampir menggantikan kerusi empuk dan tilam selesa PM melainkan Najib. Namun dengan pelbagai bentuk keraguan dan tuduhan, nampak gayanya kerusi ' Imam ' terlalu panas buat Najib. Tetapi, takdir Allah telah menentukan bahawa 'Khalifah ke 6' Malaysia adalah Najib.

Benarlah sabda Nabi SAW sekiranya seluruh ummat manusia berhimpun untuk memberi manfaat mereka tidak mampu melakukannya, dan sekiranya seluruh ummat manusia berhimpun untuk memberikan mudarat mereka pasti tidak mampu melakukannya melainkan dengan izin Allah. Kita cuba menghalang, ketentuan Allah lebih kuat dari kekuatan kita. Kita cuba menyokong , ketentuan Allah lebih kuat dari sokongan kita. Marilah terlebih dahulu kita meyakini yang berlaku ini adalah ketentuan Allah yang disembunyikan jutaan hikmah yang tak mampu dilihat dengan mata kasar manusia.

Peralihan kuasa dr Tun Dr M kepada Pak Lah menyebabkan undi kepada pembangkang jatuh merudum. PRU 2004 menyaksikan kerusi yang dimenangi pada 1999 hilang bahkan tinggal Kelantan sahaja diperintah PAS. Sebabnya harapan. Betapa rakyat dahagakan pemimpin seperti Pak Lah, berpendidikan agama, agak lebih baik dari Tun Dr M kira-kiranya. Rupanya keperitan 2004 itu terubat sedikit dengan PRU 2008. Maka apakah mungkin peralihan kepada Najib kali ini akan menyebabkan keyakinan kepada PR akan bertambah dan tidak mustahil PRU 2013 milik PR.

Menantikan ketibaan 2013 pelbagai perkara akan dan boleh berlaku. Najib pasti sudah belajar dari 2 PM di era moden Pak Lah dan Dr M. Bagaimana mengekang kebangkitan pembangkang. Mungkin dengan membesarkan transformasi yang dijanjikan. Tapi sejauh mana. Kita teruskan kerja kita. Seorang pejuang tidak boleh hilang kekuatan hanya kerana kemenangan musuh dan tidak boleh pula terlalu yakin dengan kemenangan yang diperolehi. Andai ditakdirkan PRU 2013 hanya menyebabkan kedudukan PR semakin goyah hikmah mudahnya adalah saringan dari Allah untuk menentukan siapa pejuang sebenar. Apakah mereka sekadar bertaring di kala berkuasa sahaja atau tidak. Hari-hari penuh debaran di bumi Malaysia. Tidaklah bermakna kita hanya perlu menanti tanpa berbuat apa, sebaliknya marilah pula mencetus sesuatu yang baru !!

Lobai Kampung : Siapa pun PM, yang benar tetap benar, yang batil tetap batil!!!

Berita Sengal : Dato Siti & Dato Seri K jumpa Dato Tuan Guru .. Ermmm

Mufti Baru Negeri Sembilan

.
0 comments

Setelah hampir 3 bulan kerusi Mufti Kerajaan Negeri Sembilan kosong akibat keengganan pihak tertentu menyambung kontrak Dato Mohd Murtadza b Shiekh Ahmad, hari ini Mufti Baru Dato Mohd Yusof b Ahmad dilantik menduduki jawatan tersebut. Pelbagai spekulasi dan andaian dibuat sebelum perlantikan tersebut termasuk keengganan beliau menerima jawatan yang penuh kontroversi itu. Hal ini kerana bekas mufti masih berkemampuan melaksanakan tugas tersebut.

Dato Mohd Yusof merupakan orang berpengalaman di Negeri Sembilan beliau juga merupakan ahli majlis fatwa, ahli majlis turuq sufiah dan pernah memegang pelbagai jawatan di dalam sektor kerajaan termasuk bekas Pengetua SMKA Syeikh Hj Mohd Said, Maktab Perguruan Islam Bangi. Memegang ijazah sarjana dalam bidang syariah dari Universiti Al-Azhar. Itulah antara yang diketahui LK mengenai beliau.

Kita mendoakan insitusi mufti di Negeri Sembilan terus terpelihara dari sebarang pengaruh politik kepartian sempit seperti jabatan mufti yang lain( tak tau mufti mana ) . Insya allah. Kita doakan bersama tanpa sebarang prejudis.

Lobai Kampung : Tak mintak nak jadi tapi kalau dimintak kena jadi