Jadual Program Majlis Ilmu

KEM MOTIVASI ANAK KEMBALI KE SEKOLAH
(MAKES CAMP) 2009

Tarikh : 25-27 DISEMBER 2009 (JUMAAT-AHAD)

Tempat : Tapak Perkhemahan Gunung Datuk, Rembau,
Negeri Sembilan.

Peserta : Remaja Lelaki & Perempuan Yang Berumur antara 13 hingga 16 Tahun.

En Ahmad Shahir Mohd Shah - 019-6020925 ibnushah_apium@ yahoo.co. uk
En Ahmad Taufiq Redzuan - 013-2223376
taufq89@yahoo. com
En Hazwan Mohd Nor - 013-2987115
amierwan@gmail. com

maklumat lanjut :
http://altis-academy.blogspot.com/

Mengingati Mati Yang Pasti ...

.
1 comments

Entah berapa lama lagi kita mampu menghirup segala nikmat hidup yang ada di saat ini. Tiada siapa mengetahui saat kematian yang menjadi janji yang pasti Allah bagi setiap insan yang bernyawa. Malangnya ramai di kalangan kita masih menanti dan berkira-kira dengan kehidupan yang tak pasti dan melupakan saat kematian yang pasti. Janji mati yang pasti itu disebut oleh Allah di dalam Al-Quran : " Setiap nyawa pasti akan merasai kematian " Tapi malangnya kita, yang pasti itu kita tidak bersedia, malah yang tidak pasti itu panjangkan angan-angan padanya.


Mengingati kematian adalah suatu tindakan bijak yang diiktiraf oleh Nabi Muhammad SW di dalam sabdanya : " Sepintar-pintar manusia ialah orang yang mengingati kematian dan sentiasa bersedia untuk menghadapinya mereka itulah orang-orang yang bijaksana mereka telah pergi dengan membawa penghormatan dunia dan kemuliaan akhirat." Mengingati kematian bukanlah mendorong kita untuk berhenti melakukan usaha keduniaan, sebaliknya menjadikan kita lebih berhati-hati dengan gerak kerja dunia ini kerana setiap apa yang kita lakukan itu pasti memberi kesan untuk kehidupan selepas kematian kita. Orang yang mengingati mati tidak akan khianat kerana mereka bimbang dengan balasan perbuatan tersebut. Mereka lebih berintegriti kerana nilai kejujuran mereka tidak diikat dengan kebendaan yang bersifat binasa, sebaliknya ikatan keyakinannya pada penantian yang pasti iaitu KEMATIAN.

Mengingati kematian juga menjadikan kita tidak tunduk kepada syahwat yang buta dan menyesatkan. Ia menjadi satu peringatan yang sangat berharga buat semua insan dari yang bergelar raja sehingga rakyat biasa dari yang kecil hinggalah yang besar agar tidak sewenangnya melempiaskan syahwat untuk kesenangan hidup semata-mata. Sabda Nabi SAW : " Perbanyakkanlah mengingati mati kerana yang demikian itu akan mengurangkan seseorang melakukan dosa dan menjadikannya berzuhud dalam urusan dunia " Ia juga mampu menjadi sebaik penasihat untuk diri kita. Penasihat yang tiada apa kepentingan dengan diri kita seperti yang disabdakan dalam hadis yang lain : Cukup mati itu menjadi penasihat ( menginsafkan)

Orang yang tenggelam dengan urusan dunia dan terpesona dengan tipu dayanya hatinya akan lalai dari mengingati mati. Kalaupun ingatannya kepada kematian menimbulkan rasa kesedihan, kesedihan itu hanya digerakkan oleh rasa sayang dan kasih untuk meninggalkan segala kesenangan keduniaan. Namun bagi mereka yang benar taubatnya kepada Allah akan sentiasa memastikan dan menjaga dirinya dari kembali kepada dunia yang membinasakan. Mereka yang yang mengenal hakikat dirinya pula pasti akan mengingati mati pada bila-bila masa, kerana baginya kematian adalah detik indah bertemu dengan kekasihnya Allah Rabbul Jalil.

Kembali merenung pada diri ini. Bagaimanakah aku, engkau dan kita semua ? Apa yang kita kejar selama ini apakah untuk kehidupan atau untuk kematian. Jika kita masih belum mampu menghilangkan kecintaan kita kepada dunia, janganlah sampai dunia itu membelenggu kita untuk mengingati kematian. Insafilah diri di saat ramai insan yang kita kenali telah terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Bagaimana mereka dan bagaimana pula kita nanti ? Lazimkan diri menziarahi kubur, melawat orang yang sakit dan membantu menguruskan jenazah. Bayangkan, andai apa yang kita lihat itu berlaku ke atas diri kita bagaimana kita akan menghadapi saat-saat begini . Jangan tertipu dengan badan anda yang sihat kerana mati tidak semestinya dengan penyakit dan jangan juga tertipu dengan umur yang muda kerana mati tidak semestinya di kala tua . Ya allah .. Ampunkanlah aku ..

Lobai Kampung : Sejak malam isnin yang lalu, sehingga malam jumaat ini jadual dipenuhi dengan jemputan bacaan yaasin dan tahlil ... Semoga diri ini tidak pernah lupa dengan kematian . Al-Fatihah buat nenda yang dikasihi Al-Marhumah Seriah bt Yasin yang kembali ke rahmatullah pada 18 November 2009.

SUKSES DALAM TAAT - SELAMAT BERJUANG BUAT SEMUA

.
0 comments

Setiap manusia mengimpikan pencapaian terbaik di dalam bidang mereka. Pencapaian terbaik atau disebut dengan kejayaan menjadi harapan untuk semua biar di mana bidang sekalipun. Di dalam Islam, memperolehi pencapaian terbaik di dalam bidang yang diharuskan adalah sesuatu yang menjadi galakan. Sabda Nabi SAW :


" Sesungguhnya Allah mengasihi di kalangan kamu yang beramal dan memperelokkan amalannya "

Bagi seorang pelajar, sudah tentu pencapaian akademik yang terbaik menjadi impiannya. Bagi yang berkerjaya pencapaian di dalam kerjayanya menjadi sasaran untuk dicapai. Sesiapa pun sudah tentu mengharapkan pencapaian yang cemerlang.

Sudah terlalu ramai membicarakan soal bagaimana mencapai kecemerlangan dan kejayaan, namun kadang-kadang kita sering melupakan suatu perkara yang sangat penting di dalam mengejar pencapaian tersebut. Apakah kejayaan dan kecemerlangan yang kita perolehi itu berada di dalam nilai ketaatan kepada Allah atau sebaliknya. Membicarakan ketaatan kepada Allah adalah merupakan agenda paling penting bagi seseorang Muslim, jauh lebih penting dari kejayaan tersebut. Cuma, apabila mata manusia lebih jelas melihat dunia dari melihat akhirat, perkara ini menjadi sampingan. Bahkan kadang-kadang diabaikan sahaja. Sedangkan apa jua kejayaan yang diperolehi dengan unsur maksiat kepada Allah merupakan penyebab kepada azab dan kemurkaan Allah. Biar gemilang sehebat mana pun kejayaan tersebut tetapi mengandungi nilai maksiat kepada Allah, kejayaan itu hanya akan menjadi sia-sia. Ingatlah, kejayaan sebenar bukanlah kejayaan yang diperolehi dengan nilaian pencapaian sahaja malah lebih jauh dari itu adalah tanggungjawab dari kejayaan tersebut. Kita akan cuba berkongsi nilai-nilai ketaatan dan menerapkan di dalam kehidupan dan matlamat agar impian kita akan berjalan di atas paksi ketaatan kepada Allah. Tidak hanya kejayaan di dunia ini kita impikan malah bagi manusia yang bijak kejayaannya itu akan menjadi penyelamat baginya selepas kematian.

Mencapai kejayaan tidaklah sesukar mengekalkan kejayaan di dalam ketaatan kepada Allah. Apalah nilainya kejayaan yang kita perolehi di dalam maksiat. Memang pada zahirnya kita berjaya, tetapi berjaya yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Sejarah ummat yang terdahulu banyak memaparkan mereka mampu mencapai ketamadunan dan kejayaan yang hebat tetapi melakukan maksiat akhirnya kejayaan itu tidak ada maknanya lagi. Sukses Dalam Taat cuba merungkaikan persoalan SUkses dalam bentuk nikmat bukan laknat.

Sebelum kita berbicara lebih lanjut mengenai kejayaan dengan nilai ketaatan adalah lebih baik kita terlebih dahulu memahami konsep kehidupan manusia di atas muka bumi ini .Kehidupan manusia adalah merupakan satu amanah dari Allah SWT. KIta bukan pemilik mutlak kehidupan ini. Bila-bila masa kita akan dijemput menghadap rabbuljalil. Biar pun tanpa tanda dan isyarat, kerana kematian itu tidak semestinya dengan sakit dan tidak semestinya dengan umur yang tua.

Sewajarnya kita memahami bahawa dunia ini bukan segalanya. Gagal memiliki sesuatu yang diimpikan di dunia ini bukan bererti gagal mutlak. Namun apabila hati kita lebih melihat sesuatu yang hampir dan nampak, maka kita sering kecewa apabila gagal memiliki pencapaian hebat di dunia.


Lobai Kampung : Sebahagian dari petikan buku ' SUKSES DALAM TAAT ' yang masih belum siap-siap. Semoga adik-adik yang saya motivasikan dan temui untuk hadapi SPM/ STPM pada tahun ini akan beroleh SUKSES di dalam ketaatan kepada Allah, bukan ketaatan bermusim. Terutama kepada calon SPM/ STPM dari Maahad Ahmadi, ITQAN, SMAD KLANA dan sekolah-sekolah yang lain yang tidak dapat disebutkan di sini ...

Tok Guru Dalam Dakwah vs Tok Guru Dalam Politik

.
0 comments


Seorang ilmuan agama di Malaysia ini diangkat dan dikenali sebagai ulama. Suatu gelaran yang tinggi walau pun ramai di kalangan ilmuan agama kurang selesa dengan gelaran tersebut kerana merasakan tidak layak. Gelaran ulama' sudah menjadi sebutan biasa di kalangan masyarakat sekalipun yang empunya diri rasa tidak layak. Dr Mahathir pernah memperli gelaran ulama dengan sinis kepada ahli Persatuan Ulama' yang baginya terlalu mudah untuk mendapat gelaran tersebut.

Panggilan biasa yang digunakan kepada para ulama' adalah Tuan Guru @ Tok Guru dan yang biasa dipanggil ustaz, bagi yang berkelulusan ada yang dipanggil Doktor, manakala ada yang sudah berpingat dipanggil Dato'. Siapa pun mereka, cabaran yang dihadapi oleh mereka cukup rencam dan berbeza. Mungkin yang berdakwah di dalam masyarakat tanpa latar belakang politik yang jelas mendapat penerimaan berbeza dalam masyarakat tentunya. Ada sebahagian mahu yang jelas dan ada yang lebih selesa menyembunyikannya.

Di Malaysia, apabila yang bernama Tuan Guru itu dari PAS dan berjawatan di dalam PAS cabaran dan mehnahnya juga rencam serta berbeza. Ada yang tidak dibenarkan berkuliah, ada yang menghadkan penyebaran ilmunya, pendek kata mereka tidak akan diberi jalan selesa untuk berdakwah. Kebetulan, saya bekesempatan menonton rancangan 'Bahtera Perubahan' yang dikendalikan oleh mantan Mufti Perlis Dr Asri pada ahad yang lalu. Peliknya, seorang yang ditangkap mengajar beberapa orang di dalam sebuah rumah kerana tidak ada tauliah, tetapi boleh pula mengajar di televisyen yang jumlahnya ratusan ribu orang yang menonton. Sebab itu apabila dikaji tentang kes beliau jawapan akhirnya adalah percaturan politik .. Dr Asri membangkitkan tentang amalan khurafat di dalam masyarakat melayu, antaranya mempercayai hadis musfahah ( bersalaman ) yang didakwa dibawa oleh seorang tuan guru dari Indonesi dan penggunaan kayu koaka. Kesemua perkara yang dibangkitkannya itu sebenarnya telah dijawab oleh Syeikh Nuruddin dalam kuliahnya di Malaysia, tetapi tidak tersiar pula dalam Astro.

Saya melihat selagi apa yang ditegur tidak menyentuh survival poltik UMNO dan BN ianya masih dalam ruang lingkup yang dibolehkan untuk dibahaskan. Tetapi apabila menyentuh khurafat yang dibawa oleh UMNO dan BN di dalam pemikiran rakyat Malaysia selama ini, sudah pasti tuan guru itu akan mengalami pelbagai tekanan. Ikon Tuan Guru yang sinonim dengan pendedahan khurafat UMNO-BN adalah tuan Guru Nik Abd Aziz. Tok Guru istiqamah menentang khurafat di dalam masyarakat termasuk apa yang tidak berani ditegur oleh ulama yang lain. Hasilnya, tekanan demi tekanan diterima oleh beliau termasuk isu pemergiannya menunaikan haji. Jika Tok Guru Nik Aziz bukan semata seorang Menteri Besar bagi sebuah negeri, bahkan dia juga adalah seorang tuan guru yang disegani dan disenangi. Menambangkan pemergiannya ke Makkah dilihat sebagai rasuah tetapi apabila menambangkan seorang Menteri Besar dan keluarganya ke Disneyland dan Hawai tidak pula dikira rasuah .

Bagi yang mahu selesa bergerak dakwah tidak perlu menjadi seperti tuan guru, tetapi bagi yang mahu melihat ketelusan dan kebenaran orang seperti tuan guru perlu dicetak seramai yang mungkin. Kalau seorang Tuan Guru Nik Aziz sudah mampu menggoyahkan khurafat UMNO bayangkan kalau di setiap negeri ada seorang seperti beliau ...

Lobai Kampung : Andai tak mampu menjadi matahari, jadilah pelita, andai tak mampu jadi pelita janganlah dipadamkan cahaya ... Dedikasi buat semua yang terus menyokong, cabaran buatku mungkin tak sehebat cabaran Tok Guru Nik Aziz, apa yang pasti kezaliman mesti ditentang !!!

Menyanggah Hujah Dr Aziz Bari & Dr Abu Hasan

.
5 comments


Tak habis-habis lagi ulasan dan kritikan tentang Seminar Memperkasa Parti. Entri kali ini adalah terakhir mengenai Seminar tersebut dan isu yang berkaitan dengannya selepas ini focus kepada kerja yang perlu dilaksanakan.Hujah Dr Aziz Bari dan Dr Abu Hasan yang menjadi panel dalam seminar baru-baru ini akan mampu disanggah oleh semua ahli dan pimpinan PAS dengan membuktikannya dengan kejayaan cemerlang di dalam PRU ke 13.Yang dibimbang adalah penurunan sokongan terhadap PAS pada PRU 13.

Semua hujah mereka berdua akan menjadi salah apabila PAS berjaya mempertahankan kerusi yang dipertandingkan, memenangi kerusi yang ditandingi dan menjatuhkan BN pada peringkat nasional. Kalau itu jadi kenyataan maka semua fakta mereka akan mampu disanggah dengan bukti tersebut. Namun, mudahkah semuanya itu untuk dilaksanakan. Orang bijak akan mencipta peristiwa yang kurang bijak sekadar mampu bercerita mengenai peristiwa. Buktikan ahli PAS lebih cerdik dari 2 orang ahli akademik tersebut dengan menggerakkan semua jentera yang ada di semua peringkat.

Kita tidak perlu murka dengan dua doktor tersebut rasanya. Marilah kita kembali fokus kepada kerja kita. Pandangan mereka mengenai kita ada benarnya. Jika mereka membuat gambaran tentang kejatuhan PAS pada Pru 13 berdasar kajian dan pandangan mereka mengapa kita perlu nafikan sedangkan kita sendiri menyedari hakikat kelemahan parti kita. Di DUN/ Parlimen/Negeri yang kita menangi sejauh mana kita memberi khidmat kepada rakyat. Sejauh mana undi yang mereka beri pada Pru 12 dahulu akan kekal di tangan kita dan kita akan menang lebih selesa? Rakyat baru mengenali PAs terutama di negeri sebelah selatan. Persepsi mereka kepada PAS masih ada yang negatif. Inilah yang perlu difikirkan. Usaha mempopularkan PAS perlu giat dijalankan. Di samping jumlah pengundi baru yang perlu diberi perhatian.

Manakala di DUN/Parlimen yang akan ditandingi oleh PAS sejauh mana pula gerak kerja kita. Cukupkah bilangan cawangan untuk menampung keperluan pengundi di setiap peti undi. Berapa pula dana yang telah kita miliki dan pasti akan miliki untuk PRU 13.Bagaimana penerimaan terhadap PAS. Post Mortem kekalahan dalam PRU 12 yang lalu apakah telah dijadikan asas di dalam mengatur strategi baru. Atau kita sekadar berpuas hati dengan strategi sedia ada untuk menang. Banyaknya soalan semua ini kena dibuat oleh ahli PAS.

Semua ini perlu dibaca kerana kita memilih jalan pilihanraya. Satu undi adalah penentu. Memang hakikat kemenangan itu dari Allah, tapi padankah dengan usaha sambil lewa yang kita buat? Oleh kerana itu kerja kita yang jelas adalah 'tambahkan orang mengundi PAS mengurangkan orang mengundi UMNO' Bagaimana? Inilah ubat yang kita kena cari dan usahakan bersama. Jangan tanya Dr Aziz Bari nanti mesti dia jawab saya takde ubatnya. Mari BEKERJA cakap banyak pun tak guna ...

Pandangan Sisi Kecil

.
0 comments


Setidaknya Seminar Memperkasakan Parti yang diadakan di Taman Melewar pada 7 November 2009 telah memberikan petunjuk kematangan untuk mengenengahkan usaha memperbaiki parti Islam Semalaysia walaupun membuka ruang untuk dikritik. Ramai yang semakin sayang dan memberi perhatian di atas perkembangan PAS masa kini. Di atas segala pandangan yang diberikan sama ada mereka yang berada di luar PAS mahupun di dalam PAS masing-masing berpandangan pada sudut kedudukan mereka yang tersendiri.

Apa yang lebih utama dari segala pandangan itu sama ada dari luar atau dari dalam PAS harapnya ia bergerak di atas ketulusan mahu melihat kejayaan jemaah Islam PAS. Dr Aziz Bari memberikan pandangannya walaupun bagi sebahagian ahli agak kritis dan keras namun jika dibuat di atas ketulusannya marilah kita menerima dengan hati terbuka. Kita bersyukur, setidaknya kita tidak mudah reput dengan pujian yang melambung tinggi sehingga lupa akan kelemahan kita yang masih banyak perlu dibaiki.

Contoh terdekat bagaimana di Bagan Pinang. Kita merasakan kekuatan itu berada di pihak kita. Namun hakikatnya hanya diketahui apabila keputusan diketahui. Saat itu post mortem walau 1000 muka surat sekalipun tidak ada gunanya. Biarlah kita mengubah kelemahan kita sebelum kita diubah oleh rakyat yang hilang keyakinan pada kemampuan PAS.

Seminar Khas itu membuka ruang untuk pihak musuh membesar-besarkan lagi isu 'keretakan' PAS. Namun harapnya ahli PAS semakin matang untuk membaca dan menilai. Kata bijak pandai jika anda ingin menyelidiki kelemahan anda, selidikilah dari musuhmu. Penilaian musuh mungkin tepat pada pandangannya melihat kelemahan kita. Jika kita berkira untuk melihat siapa yang mendedahkan kelemahan kita, bimbang kita juga akan reput macam UMNO.

Marilah bersama untuk belajar menguruskan pandangan dan pendapat dalam masa yang sama tidak pula melebarkan titik perpecahan. Adab menghormati keputusan yang dibuat secara syura mesti dipatuhi sekalipun ada yang tidak kena dengan selera kita, kerana dari syura itulah datangnya rahmah dan nusrah dariNya. Berilah kepercayaan pada pimpinan yang diamanahkan. Kita terus bergerak dengan posisi masing-masing. Allah tidak akan memberi kemenangan jika kita sekadar hebat, tetapi tidak memenuhi syarat kemenangan yang dikehendaki Allah. Hizbullah akan terus dipelihara.. mereka yang tidak layak akan 'diundurkan' oleh Allah tanpa kita perlu memintanya. Yakinlah. Allahu Akbar

Lobai Kampung : Harapnya selepas ini penggantungan PAS Kawasan Seremban dapat diselesaikan segera oleh pimpinan jika benar kita sudah bersedia untuk BERUBAH ..

Siapa selepas Dr Asri ...?

.
0 comments



Berita penangkapan Dr Asri kerana mengajar tanpa tauliah benar-benar mengejutkan, ingatkan Dr Asri di tangkap di Negeri Sembilan rupanya di Selangor. Pelik, memang pelik. Alasannya tiada tauliah. Itu adalah sumber pertama tangkapan. Namun apabila mendengar sidang media beliau ternyata di sebalik cerita tauliah itu ada cerita yang lebih besar sehingga mengheret kepada penangkapan beliau. Cerita lanjut layarilah laman web yang menyiarkan rakaman sidang media beliau.

Saya bukanlah seorang penyokong Dr Asri. Banyak aliran pandangan dia agak keras dan kurang sesuai di dalam suasana masyarakat masih cetek ilmu dan pengetahuan tentang ad-Din. Pun begitu, di atas dasar 'taawun ala albir wa taqwa' penangkapan beliau saya kira tidak wajar dilakukan. Mantan mufti sepertinya pun boleh ditangkap masakan tidak lobai-lobai lain yang tak mufti ini bila-bila masa boleh dihalang.

Apabila meneliti kisah Dr Asri ini, jelas menunjukkan UMNO-BN sangat memerlukan seorang ulama yang berstatus berstatus 'public figure' untuk memberi kredit kepada UMNO. Walaupun tidak menyertai UMNO. menjadi proksi UMNO ( YADIM ) pun sudah mencukupi bagi menyalurkan sokongan talian hayat buat UMNO. Bukan sedikit sejarahnya, kita ambil yang mutakhir seperti Ustaz Firdaus Ismail ( mantan Imam Masjid Negara ) yang digunakan untuk mengalahakan Dr Wan Azizah di Permatang Pauh, Dr Mashitah Ibrahim (mantan Pensyarah UIA) yang digunakan untuk menyokong Islam Hadhari dan terbaru Dato Jamil Khir Baharom dilantik menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Tidak mustahil jika Dr Asri menerima jawatan Pengarah YADIM dia akan diletakkan di mana-mana parlimen untuk ditandingi atas nama BN. Mungkin di Permatang Pauh.

Golongan ilmuan agama adalah golongan yang berpengaruh. Pengaruh mereka bertambah hebat bila diberi peluang mendekati masyarakat melalui media utama seperti TV dan akhbar. Sebab itu sejarah tokoh Forum Perdana Ehwal Islam yang pernah mendapat sambutan luar biasa masyarakat menjadi pengajaran sangat berharga buat UMNO untuk mengenengahkan golongan ilmuan agama. Dr Harun Din, Ustaz Tuan Ibrahim, Ustaz Ismail Kamus, Dr Hasan Ali, Dr Badrul Amin antara angkatan ulama yang diketengahkan di dalam masyarakat melalui media perdana. Akhirnya kesemua mereka mengisytiharkan untuk bersama pembangkang. Sebab itu UMNO kini sedapa upaya menapis dan memastikan yang tersiar dan disiarkan di dalam media perdana tidak memberi wabak kepada UMNO. Ustaz-ustaz ditapis, butiran katanya diteliti, latar belakangnya diamati agar sejarah hitam memperkenalkan calon PAS secara percuma tidak lagi berlaku.

Bagi semua ilmuan agama yang bergerak di seluruh negara sama ada di atas nama bebas atau di atas kapasiti jawatan masing-masing perlu sentiasa berhati-hati dengan mainan UMNO untuk mencuri dan mengambil peluang terhadap golongan seperti ini. Menyampaikan ilmu tidak menjadi salah tetapi bercakap mengikut kehendak mereka itulah yang mengundang fitnah. Tawaran dan ugutan sudah menjadi mainan biasa bagi mereka.

Sebab itu apabila kita tidak bersama di dalam jamaah kita akan mudah diterkam dan dipermainkan oleh mereka. Golongan agama tidak hanya mesti menjadi penyokong kepada perjuangan Islam dan kebenaran, bahkan mereka mesti mendokong serta memimpin masyarakat. Kalaupun kita hebat di mata masyarakat mengajar ke sana ke mari tetapi tidak pula berintima' dengan perjuangan Islam dalam erti kata bersama jamaah, kita akan lebih mudah menjadi mangsa terkaman dan kebuasan golongan mustakbirin. Bersama jamaah bukan semestinya sehingga menjadi pimpinan, cukuplah setidaknya menghadiri usrah dan program anjuran jamaah dan jangan sesekali putus hubungan dengan jamaah.

Tidak mustahil dalam Pilihanraya Umum akan datang lebih ramai golongan ilmuan agama akan cuba diletakkan oleh UMNO untuk memenangi kerusi yang ditandingi oleh PAS. Kalau dahulu, terutama di Negeri Sembilan Ustaz-ustaz UMNO sukar mendapat tempat untuk menjadi calon dalam pilihanraya, tidak mustahil pilihanraya akan datang mereka boleh persiapkan diri untuk menjadi calon. Paling tidak pun, mungkin di Paroi .. siapa tahu ..?

Menilai Keikhlasan Intima' Di Dalam Perjuangan

.
1 comments


Pelbagai pandangan dikeluarkan apabila TG Nik Aziz menyuarakan EGM di dalam PAS. Paling mual didengar ulasan dari TPM yang terus menggambarkan kemelut dalam PAS yang begitu serius. Alhamdulillah, kita masih mampu berdiri dengan akhlak di dalam jemaah biarpun pelbagai pandangan dari dalam dan luar parti datang mengasak. Seperkara yang perlu diingat bersama PAS bukan semata berada di tengah masyarakat menawarkan khidmat sebagai sebuah parti politik dan dalam masa yang sama kukuhnya perjuangan ini kerana meletakkan asas sebagai sebuah jemaah Islam yang berteras dasar Al-quran dan As-Sunnah. Kalau tidak kerana asas ini sudah lama PAS mengalami nasib yang lama seperti Parti Politik yang lain yang pernah wujud dan berkubur sebelum ini.

Ahli dan kepimpinan PAS perlu kembali memperkukuhkan tarbiyyah di dalam jemaah. Kefahaman yang jelas perlu diberikan terutama mengenai konsep intima' di dalam perjuangan. Kita bersama dengan PAS bukan kerana simpati, bukan kerana sentimen atau kekaguman terhadap ketokohan pemimpin tetapi digerakkan melalui kefahaman yang di bina. Umar b Abd Aziz pernah menyatakan " Siapa yang beramal tanpa pengetahuan (faham) lebih banyak merosak dari mengelokkan" Imam As-syahid Hasan Al-Banna menggariskan 20 prinsip di dalam memahami rukun faham dalam harakah Islamiah. Demikian betapa penting soal kefahaman di dalam menggerakkan intima'

Keputusan yang telah dibuat oleh JK PAS Pusat perlu diterima dengan hati yang terbuka. Jauhkan rasa prasangka yang akhirnya membinasakan kekuatan kita. JIka dengan cadangan memecat boleh menyelesaikan satu masalah tidak mustahil ia juga mendatangkan masalah yang lain. Fokus kita jangan pada negeri yang telah menang sahaja kepimpinan dari negeri yang masih belum menang ini juga perlu diberi perhatian. Mungkin kerana yang telah menang ruang fitnahnya lebih luas dan terbuka kerana berada di puncak kuasa, namun bagi yang masih belum menang ini juga perlu dikoreksi sama, agar kemenangan yang bakal diperolehi nanti disambut oleh mereka yang benar-benar tulus keikhlasannya, benar kefahamannya.

Masih banyak kerja yang perlu dibuat. Kekalahan di Bagan Pinang sepatutnya tidak dilihat sebagai sesuatu episod sedih dan duka lalu menyalahkan sesama kita. Kekuatan dan momentum PAS rupanya cuma kuat di sebelah utara dan pantai timur. Di sebelah selatan masih lagi terkapai mencari kekuatan. Bagaimana membina kekuatan itu, maka inilah kerja banyak yang sedang diberikan oleh Tuan Guru Nik Aziz apabila menyatakan punca kekalahan kita kerana kefahaman Islam yang masih belum subur dalam masyarakat. Benar ! Itulah kerja kita. Kerja sebuah gerakan Islam dan bukan parti politik semata-mata. Bekerjalah dan terus bekerja sehingga kita mampu untuk merasakan " KEWAJIPAN LEBIH BANYAK DARI MASA YANG ADA..."