Para Ilmuan Para Pendakwah Mari Fokus ...

.
4 comments

Khamis lalu, 25 Jun 2009 LK berkesempatan menyampaikan ceramah Motivasi kepada hampir 1 300 orang guru-guru Kelas Agama Petang seluruh Negeri Sembilan. Kesempatan yang ada digunakan sebaiknya untuk memfokuskan tugas guru dan ilmuan yang diamanahkan memimpin anak-anak dengan tuntutan Islam sebenar . ( maaf gambar program tak dapat ambik kamera tak bawak )


LK memulakan dengan memfokuskan masalah yang paling utama menimpa masyarakat hari ini bukanlah semata-mata kebobrokan sosial tetapi lebih utama adalah krisis keyakinan dan kefahaman Islam .. Gambar-gambar di bawah ini menceritakan sebahagiannya ...



Berbaju melayu sedang berbaris membeli nombor ekor ...

Sunat( baca quran ) + Haram ( dedah aurat ) = SURAM


Rekod yang boleh dikeluarkan, masih ada yang tersimpan di bawah OSA

Inilah sebahagian dari bentuk kefahaman terhadap pengamalan Islam di dalam masyarakat kita pada hari. Dari soal akidah, syariat dan akhlak semuanya berada pada tahap yang cukup membimbangkan. Maka tidak hairanlah apabila segala macam kerosakan yang berlaku pada hari ini tidak mampu diperbaiki kerana kita terlalu jauh untuk meyakini Islam sebagai jalan penyelesaian yang terbaik .

Bila iman tidak lagi membentengi jiwa masyarakat kita maka hal yang lebih dahsyat tidak hairan lagi akan berlaku. Maksiat tanpa segan silu dibuat tanpa rasa bersalah. Agama dipandang pada acara tertentu seperti nikah kahwin dan kematian sahaja.

Buang bayi ... manusia lebih hina dari binatang. Ikut rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Negara jumlah anak luar nikah kini 257, 411 rujuk blog : dzulhaqq

Banyak lagi yang tak sanggup dipaparkan ...
Lobai Kampung : Aku sering berpesan untuk menjadi insan yang bermanfat untuk insan lain biar sekecil manapun kemampuan. Lupakan sejenak apa yang menyebabkan kita berbalah mari mencari jalan menyelesaikan masalah. Jangan ghairah mempertahankan kuasa sehingga agama jadi tergadai. Aku berdoa moga semuanya memahami tanggungjawab masing-masing ....


Bahaya Wahabi Atau Bahaya Kedudukan MB ?

.


Ancaman wahhabi di Negeri Sembilan benar-benar telah SERIUS !!!! Satu tangkapan telah dibuat di Maahad Ittiba' Sunnah, Kuala Pilah ke atas seorang ' Tuan Guru' Wahhabi Rasul Dahri. Namun beliau ditangkap pun bukan disebabkan oleh mengembangkan ajaran wahhabi, tetapi kerana mengajar tanpa tauliah. Bermakna kesalahannya bukanlah kerana bahaya ancaman wahhabi atau mengembangkan ajaran sesat tetapi disebabkan mengajar tanpa tauliah. Kala betul wahhabi tu sesat, dakwa dia di atas kesesatan itu.Biar dia berhujah.

Lobai Kampung tidak pernah bersetuju dengan aliran wahhabi yang ternyata mempunyai pelbagai bentuk penyelewengan sehingga menimbulkan salah faham terutama di dalam soal akidah. Aliran wahhabi yang mendakwa mendokong ajaran salafi ternyata lari dari aliran salafi yang sebenar. Sila rujuk http://hairulnizammathusain.blogspot/ dan http://pondoktampin.blogspot.com/ . Ikuti tulisan dan ulasanya yang lebih mu'tadil di dalam menangani isu wahhabi. Tidak adil rasanya melabelkan yang tidak beraliran wahhabi sebagai wahhabi. Justeru biarlah difahami betul-betul masalah ini agar tidak menimbulkan kekeliruan yang lebih parah.


Pada 23 Jun 2009 ( Selasa) telah berlangsung satu program penerangan mengenai bahaya ancaman Wahhabi kepada umat Islam di Malaysia. Program tersebut dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan. Program dihadiri oleh imam-imam, guru takmir dan nazir masjid seluruh Negeri Sembilan. Ancaman wahhabi kini telah dilihat sebagai satu masalah besar oleh JHEAINS lebih besar dari masalah orang murtad, Islam Liberal, Sumbang Mahram dan lain-lainya. Mereka selepas ini merancang pula untuk membuat sesi penerangan mengenai wahhabi di serata Negeri Sembilan termasuk di kawasan Felda.

Beberapa persoalan yang ingin ditimbulkan ...

1. Berapakah jumlah pengamal dan penyebar aliran wahhabi di Negeri Sembilan. Jika ada, tarik sahaja tauliah mengajar mereka. Tak perlu berselindung sehingga menyebabkan orang awam melabel yang tidak wahhabi pun di katakan wahhabi ....

2. Berapa buah masjid/surau menjadi kecoh dan bergaduh gara-gara wahhabi? Setahu LK yang bergaduh sebab UMNO - BN memang ada. Sampaikan satu masjid hantar 5 senarai AJK, dari UMNO Bahagian, UMNO cawangan, Nazir Lama, Nazir baru. Sebab itu isu AJK masjid masih tak selesai-selesai..

3. Sejauh mana masyarakat hari ini sudah diberi kefahaman dengan aliran aqidah sebenar yang didokong oleh ahli sunnah wal jamaah. Sepatutnya yang menjadi tumpuan adalah memberi kefahaman kepada aqidah sebenar barulah masyarakat akan faham kesalahan wahhabi. Isu tajsim, uluhiyah, rububiyyah, bid'ah, rasul, dan banyak lagi perlu diberi kefahaman yang sebenar supaya masyarakat dapat membezakan di antara aliran ASWJ dan Wahhabi...

4. Apakah isu wahhabi digunakan untuk memperkukuhkan kedudukan UMNO-BN di Negeri Sembilan, sehinggakan kebanyakan dari kaedah yang digunakan di dalam mengenali wahhabi adalah dengan melabel pendokong gerakan islam termasuk ulama sebagai wahhabi...

5. Mengapa membelakangkan Jabatan MUfti di dalam isu wahhabi ini. Sepatutnya yang lebih berautoriti adalah Jabatan Mufti, kerana pendirian mufti sendiri dalam hal ini adalah jelas untuk memberikan kefahaman akidah sebenar lebih utama dari menceritakan wahhabi. Seorang teman memberitahu, SS Dato Mufti pernah menyebut " masalah istinja' pun ramai yang belum selesai "
Masalah aurat pun ramai yang tak selesai ...

Program penerangan mengenai wahhabi ini dibimbang akan semakin mengusutkan pemikiran masyarakat bukan menyelesaikan masalah. Bayangkan di kalangan Imam, guru takmir dan nazir yang dipanggil pun nampaknya masih terpinga-pinga untuk memahami isu wahhabi ini. Lebih dipengaruhi oleh sentimen emosi bukan kefahaman sebenar. Bagaimana pula agaknya kalau nak diceritakan kepada masyarakat awam yang memang tak pernah datang untuk mengaji kitab di masjid dan surau..?

Lobai Kampung : Lobai-lobai di JHEAINS jangan duduk di pejabat sahaja, bercampur dengan masyarakat biar tahu apa masalah sebanar masalah masyarakat. Menyelesaikan masalah dengan melihat dari pejabat sahaja tidak akan menyelesaikan masalah. Yang tak ke masjid lebih ramai dari yang datang.. cuba2 lah fikirkan.

Program Majlis Bicara Ilmu Bersama Ulama

.
0 comments



Majlis bicara ilmu bersama Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki telah berjaya diadakan pada 20 Jun 2009 bersamaan hari sabtu di Masjid Jamek Ampangan, Seremban. Majlis dimulakan dengan bacaan madih dan zikir yang dipimpin oleh Ust Khusyairi Hamdan, pendakwah bebas yang juga merupakan anak murid kanan syeikh.

Majlis ilmu kali ini membicarakan beberapa hadis qudsi pilihan yang dipetik dari kitab karangan Syeikh Nuruddin. Antara Hadis Qudsi yang dihuraikan pada malam tersebut adalah :



Hadis dhaif tentang keutamaan solat dan keutamaan Masjid dan orang-orang yang memakmurkannya. Hadis 26 - Dari Anas r.a Allah SWT berfirman : Sesungguhnya aku berkeinginan untuk menimpakan siksa kepada penduduk bumi, tetapi apabila aku memandang kepada orang-orang yang sentiasa memakmurkan rumah-rumahKU (Masjid) , yang saling mencintai kerana Aku dan juga kepada orang-orang yang selalu meminta ampunanKu di waktu sahur maka aku berpaling dari mereka ( H.R Baihaqi )

Majlis di akhiri dengan sesi soal jawab. Selepas tamat program Af Syeikh sempat memberikan sedikit taujihat ( semangat ) kepada pendokong dakwah di Negeri Sembilan yang hadir dan sesi temuramah bersama Majalah At-Tariq, Jabatan Mufti N.Sembilan

Buat Program atau Menjayakan Program

.
0 comments


Lobai Kampung sentiasa menyokong segala usaha yang dibuat dengan tujuan memberi ilmu dan kefahaman yang benar kepada masyarakat terutama mengenai kefahaman Islam. Program yang dirancang mesti dimanfaatkan sebaik mungkin agar memberikan kesan yang maksima dari program tersebut. Program berbentuk kefahaman ini memang sukar dinilai keberkesanannya, berbanding dengan program berbentuk perniagaan kejayaan dinilai berdasar kepada keuntungan. Setiap program memerlukan belanja dan tenaga justeru itu terasa amat rugi sekiranya program yang dilaksanakan sekadar syok sendiri dan tidak mencapai sasaran yang dikehendaki.

Baru-baru ini ada 2 program dilaksanakan di sekitar Negeri Sembilan, satu di Kuala Pilah dan satu lagi di Seremban. Programnya bagus, tajuknya pun hebat tetapi sejauh mana mencapai sasaran yang dikehendaki. Apakah sekadar berprogram atau sekadar nak menghabiskan peruntukan yang ada.



Program pertama yang dimaksudkan Konvensyen Modal Insan Peringkat Luar Bandar anjuran Risda di Masjid Kampung Pauh Terachi. Programnya memang hebat namun penyertaannya yang menjadi tanda tanya. Tajuk Forum yang diketengahkan dalam 3 siri forum bermula dari pagi hingga ke malam antaranya :


1. Imam Makrifat Alim Sarjana ( 9.30 am - 12.30 pm)


2. Falsafah Fakeh Khalifah Saga ( 2.00 pm - 5.00 pm )


3. Membersihkan Fekah Mengheningkan Usul ( 8.00 pm - 11.00 pm )



LK yakin kemampuan semua ahli panel yang dijemput memberi kefahaman kepada audien.
Namun sesuaikah sekira pendengarnya terdiri dari orang awam? Berdasar maklumat yang diperolehi tajuk ini dikatakan telah disusun oleh anak murid kanan seorang tuan guru anti wahhabi di Negeri Sembilan ini. Matlamatnya memang baik memberi kefahaman tetapi sejauh mana kesan kefahaman dengan program seberat dan sepadat ini.


Program kedua pula berlangsung di Masjid Kariah Sikamat anjuran Mahasiswa Universiti. Forum bertajuk 1 Malaysia : Peranan Mahasiswa, lebih kurang begitulah. Forum Intelektual itu membariskan panel yang cukup hebat terdiri dari Ustaz Hasrizal (www.saifulislam.com ) , Cikgu Azmi ( Pengerusi TERAS ) dan seorang wakil mahasiswa UIA. Barisan panel yang mantap ini jika dimanfaatkan sebaiknya memang besar kesannya. Tetapi program umum sebegini kurang menarik minat masyarakat awam. Mereka merasakan tajuk yang dibincangkan kurang kaitan dengan mereka. Akhirnya jumlah audien yang pulang awal sebelum tamat program sangat ketara.



LK bukanlah hebat sangat. Cuma sekadar memberi pandangan agar perlaksanaan program tidak hanya melunaskan tanggungjawab berprogram tetapi lebih jauh dari itu memberikan kesan kepada masyarakat yang kian hanyut pada hari ini...


Majlis Bicara Ilmu Bersama Ulama

.
0 comments


Majlis Bicara Ilmu Bersama Ulama

Bersama Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki Marbu
Ulama Tersohor Nusantara



Tempat : Masjid Jamek Dato Klana Petra Sendeng,
Ampangan Km 3 Jln Jelebu
Tarikh : 20 Jun 2009 ( Sabtu )
Masa : Selepas Solat Maghrib

Pencinta Ilmu Dijemput Hadir

Sedikit Biodata ringkas Syeikh Nuruddin

Petikan Dari : http://alqasam.blogsome.com/2007/05/15/syeikh-nuruddin-yang-saya-kenali/

Antara keistimewaan Al-Fadhil Syeikh Muhammad Nuruddin ialah beliau mewarisi metodologi pengajian berasaskan sanad ataupun silsilah. Sebagai contoh: Sekiranya kita mempelajari hadis, maka hadis itu sampai silsilah periwayatannya sehingga kepada Rasulullah s.a.w. Kalau kitamempelajari kitab-kitab ulama muktabar, maka kitab-kitab ini sampai silsilahnya kepada pengarang asal kitab ini seperti Imam As-Shafei, Imam As-Sayuti, Imam Nawawi dan lain-lain lagi. Di sinilah ketulenan dan keberkatan ilmu itu berpindah dari generasi ke generasi. Lantaran itu, amatlah wajar kita meraikan kedatangan Al-Fadhil Syeikh Muhammad Nuruddin dengan mengikuti majlis ilmu yang akan dikendalikan oleh beliau sendiri. Mudah-mudahan dengan menghadiri majlis ilmu dan mendampingi ulama, kita semakin hampir dengan Allah
s.w.t.

BIODATA RINGKAS SYEIKH NURUDDIN :
Al-Fadhil Syeikh Nuruddin Bin Hj. Marbu Bin Abdullah Thaiyyib bertasal dari Banjar Masin. Dilahirkan di sebuah desa bernama Harus Amuntai pada 1 September 1960 M. Beliau dan keluarganya kemudiannya menetap di tanah suci Makkah pada tahun 1974. Madrasah Shaulathiah adalah tempat beliau menimba ilmu pengetahuan di sana. Pada tahun 1982 beliau menamatkan pengajian dimadrasah Shaulathiah dengan keputusan cemerlang (mumtaz).

Sepanjang di Makkah beliau banyak mendapatkan ilmu dari tokoh-tokoh Ulama seperti Syeikh Allamah Hasan Masshath yang digelar Syeikul- Ulama rahimahullah, Syeikh al-Allamah Mohd Yasin Al-Fadani yang bergelar Syeikul Hadith wa Musnidud Dunya, Syeikh Ismail Usman Zain yang digelar Al-Faqih Ad-Darrakah dan ramai lagi tokoh-tokoh ulama di Makkah. Pada tahun 1983 beliau melanjutkan pelajaran ke Univ. Al-Azhar As-
Syarif Mesir dalam jurusan Syariah Islamiah hingga mendapat ijazah sarjana muda. Kemudian beliau meneruskan lagi pengajian di Maahad ‘Ali Liddirasat al-Islamiah di Zamalik hingga mendapat diploma am "Dirasat Ulya" pada tahun 1990.

Setelah menamatkan pengajian di Univ. al-Azhar, beliau menumpukan perhatiannya dengan mencurahkan ilmunya kepada ratusan pelajar yang datang dari Asia termasuk dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Univ. al-Azhar Mesir sehingga beliau digelar sebagai al-Azharus Tsani ( Univ. Al-Azhar kedua). Di samping mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab berbahasa Arab serta karya ilmiah dalam berbagai bidang. Beliau telah menghasilkan karangan dan mentahqiq kitab-kitab muktabar tidak kurang dari 50 buah karangan. (rujuk biodata beliau dalam kitab beliau bertajuk At- Tamassuk Bil Kitab Wassunnah edisi terjemahan bertajuk Berpegang Dengan Kitab Dan Sunnah).

Mencari Redha Makhluk ...?

.
1 comments



Pepatah arab menyebut : Rehda Manusia Matlamat Yang Tidak Boleh Dicapai. Mungkin itulah ungkapan yang paling sesuai bagi menggambarkan kecelaruan yang berlaku di dalam dunia hari ini. Apabila yang diutamakan adalah makhluk bukan lagi khaliq, akhirna akan menatijahkan suasana yang tidak sihat dan harmoni dalam sesebuah komuniti atau kelompok manusia.

Bayangkan seorang pekerja yang bekerja untuk memuaskan hati sahabat pekerja yang lain sehingga membelakangkan arahan majikan. Seorang murid membelakangkan redha seorang guru hanya semata menginginkan rakan yang ramai dan berpuas hati dengannya. Banyak kisah yang boleh dijadikan iktibar dalam masyarakat kita apabila hidupnya berkiblatkan makhluk, tiada kebahagiaan buatnya melainkan kekecewaan di penghujungnya.

Mencari kepuasan hati manusia tidak mungkin berhasil melainkan apabila yang lebih diutamakan adalah kererdhaan Allah SWT. Allah mengatur hidup manusia dengan penuh hikmah, maka yang terbaik adalah dengan menuruti perintah ALlah SWT. Bukanlah bermaksud sehingga menyinggung manusia lain, tetapi yang utama adalah ALlah dan rasul.

Sukar untuk difahami tetapi itulah yang mesti difahami. Dalam satu hadis Nabi SAW menyebut mafhumnya : barangsiapa yang yang mencari redha Allah dengan marahnya manusia, nescaya akan dicukupkan baginya dan barang siapa mencari redha manusia dengan murkanya Allah nescaya akan dikembalikan untuknya. Allah berfirman menggambar golongan sahabat Nabi yang kehidupannya hanya mencari redha Allah di dalam Surah At-Taubah ayat 100

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.

Demikian besarnya nilai redha kepada Allah yang membuahkan kemenangan sama ada di dunia dan di akhirat. Maka kerdehaan Allah sepatutnya menjadi keutamaan buat semua pejuang, biarpun kemenangan tidak berpihak buat kita di dunia, namun yakin dan percayalah perjuangan suci ini akan memberikan kemenangan yang dijanjikan di akhirat kela. Jangan terlalu gopoh berharap dan menanti kemenangan sedang kemampuan yang ada masih berada di tahap yang membimbangkan. Sama-sama kita renungkan.

Lobai Kampung : Lantik siapa pun tetap ada orang tak puas hati. Biasalah manusia, Nabi pun orang tak puas hati sebab seorang manusia, orang kafir nak di kalangan malaikat kalau turun malaikat pun mereka tetap tidak beriman ...

Pejuang PAS Tulen : Berakhlak Sufi Berjiwa Haraki Siri 1

.
1 comments



Saranan ini bukanlah benda baru, mungkin boleh diterima oleh semua. Polemiknya mungkin tak sehebat idea Kerajaan Perpaduan yang diputar belit oleh Media Pro UMNO-BN. Bagi yang telah terperangkap dengan mainan Media Pro BN cepat-cepatlah bertaubat dan membersihkan hati dari sebarang buruk sangka pada pimpinan.

Seperkara yang menjadi dasar kekuatan PAS bukanlah kerana pemimpin yang memimpin sahaja, bahkan pemimpin dan ahlinya telah diacu dengan jiwa haraki dan semangat juang yang tinggi. Pimpinan hebat seperti TG Nik Abd Aziz seorang contoh pimpinan yang punya ilmu yang tinggi, jiwa haraki yang jelas kefahamannya dan akhlak sufi yang tidak mungkin mampu dizahir secara pura-pura.

Lobai Kampung mengajak sekalian pembaca agar merenung, bagaimana insan seperti TG Nik Aziz dihormati kawan dan lawan, termasuk yang terbaru kenyataan yang keluar dari MB Pahang,Adnan Yaakob. Tidak semudahnya kita menghormati seseorang melainkan ada kelebihan yang ada padanya tidak kita miliki. Ramai yang melihat TG Nik Aziz sebagai pemimpin parti politik yang bijak menangani isu politik dengan hujah yang matang dan mantap. Tetapi dari satu sudut, kita perlu melihat kehebatan yang ada pada TG Nik Aziz adalah jiwa sufi yang ada padanya walaupun beliau tidak memimpin mana-mana tarikat di negara ini.

Bayangkan andai di setiap negeri ada insan sehebat TG Nik Aziz sudah lama UMNO-BN angkat bendera putih, mengaku kalah kerana keperibadiannya yang hebat mampu mengalahkan suara yang lantang. Demikianlah hebatnya pendekatan akhlak di dalam dakwah. Sehinggakan ada pepatah arab yang menyebut 'Lisan Hal ( Akhlak) lebih fasih dari lisan maqal(kata-kata).

Sejauh mana ahli PAS seluruh Malaysia terkesan dengan akhlak sufi di dalam membina jiwa haraki. Perjuangan kita suci, maka pendokongnya juga mesti punya jiwa yang suci, terhindar dari sifat mazmumah yang akhirnya membinasakan diri dan perjuangan. Marilah kita kembali kepada dasar perjuangan yang benar, tidak hanya membina daulah islamiyah di atas negeri kita bahkan perjuangan itu mesti dimulakan dengan membina daulah islamiyah di dalam hati kita.

Hati adalah merupakan penghulu segala anggota, padanya tersimpan semua asas akidah, akhlak, budi pekerti , niat yang baik dan niat yang buruk. Seseorang tidak akan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat melainkan terlebih dahulu membersihkan hatinya dari sifat tercela dan segera menhiasinya dengan sifat terpuji.

Kerajaan Perpaduan : Pandangan Lobai Kampung ! Wajib Baca

.
2 comments

Isu kerajaan perpaduan tidak langsung disentuh di dalam ucapan dasar. Ianya adalah idea dan buah fikiran Presiden PAS Tg Hj Abd Hadi Awang yang meletakkan prinsip yang jelas tidak membelakangi Pakatan Rakyat dan menolak untuk bergabung bersama UMNO-BN. Mohon Maaf andai penjelasan ini kurang memuaskan tetapi berdasarkan penilaian terhadap beberapa pandangan TG Hj ABd Hadi Awang, LK dapat membuat kesimpulan mengenai gasasan Kerajaan Perpaduan seperti berikut :

1. Selepas PRU pada 2008 yang lalu, lanskap politik negara berubah. BN yang tak biasa kalah, akhirnya tumbang di beberapa negeri. Pakatan Rakyat dalam usia yang masih terlalu muda telah berjaya menawan beberapa buah negeri termasuk Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor , Kelantan sejak 1990 telah di pelopori oleh PAS dan gabungan perpaduan yang silih berganti. Bermula dengan APU, BA kemudian PR. Situasi di bebarapa negeri yang dimenangi oleh PR sangat genting dengan memenangi majoriti lebih 2-3 kerusi terutama di Perak, kerajaan PR di Perak bila-bila sahaja boleh tumbang. Kebimbangan ini memang ada asasnya, kerana mereka yang kebanyakan memenangi kerusi di dalam PRU tidak sehebat dan sekualiti ADUN PAS di Kelantan yang ternyata masih boleh bertahan walaupun kelebihan satu kerusi. Akhirnya berlaku aksi lompat melompat menyebabkan Kerajaan PR di Perak yang baru berusia setahun dirampas dengan cara paling jijik dan hina.

2. Kemenangan kerusi Parlimen yang lebih besar hasil gabungan PAS, DAP dan PKR nampaknya memberi satu petanda bahawa kerajaan BN di bawah pimpinan UMNO juga boleh rebah bila-bila masa seandainya 30-40 orang ahli Parlimen BN melompat meninggalkan BN. Lalu dengan penuh keyakinan Penasihat PKR DS ANwar Ibrahim mengemukakan gagasan 16 September untuk mengambil alih kerajaan. Namun gagasan itu diterima secara berbelah bahagi, ada yang setuju dan ada pula yang menyatakan membentuk kerajaan dengan kaedah lompatan sebegitu menyebabkan kerajaan yang dibina tidak berkredebeliti. Akhirnya, idea 16 September itu menjadi iguan ngeri buat semua pejuang PR di seluruh negara dan hampir juga menyebabkan iguan berpanjangan buat BN.

Berdasarkan dua situasi ini, BN seumpama Harimau yang luka, walaupun tercedara namun masih bertaring. Dia masih punya kuku yang tajam untuk mencederakan sesiapa sahaja. Mereka punya segala kemampuan dan kekuatan kerajaan di tangan mereka. Apabila idea melompat parti membentuk kerajaan mula boleh diterima berinspirasikan 16 September, maka BN - UMNO mengatur strategi dengan terlebih dahulu menumbangkan Kerajaan PR Perak yang hanya mempunyai kelebihan 3 kerusi sahaja. Sebagaimana yang kita sedia maklum akhirnya Kerajaan PR Perak dirampas. Tiada siapa yang setuju dan tiada ruang boleh menghalalkan perbuatan ini. Tetapi mereka ini orang jahat. Mereka tak kira itu semua. Sehingga hari ini nampakanya kemelut kerajaan Perak masih belum reda. Bagaimana pentadbiran negeri dapat dijalankan dengan baik dan bagaimana pula keadaan rakyat. PAS tidak pernah gila kuasa, tetapi apabila yang berkuasa itu adalah orang gila maka PAS mesti berbuat sesuatu. Dalam keadaan yang sebegitu, turun naik mahkamah, PR memberi signal untuk berunding dengan Dato Najib bagi menyelesaikan isu Perak. Bahkan DS Anwar sendiri pernah menyatakan dalam akhbar kesediaanya untuk berudning. Berunding bukanlah bererti bergabung.Apa masalahnya? Yang PR mahukan tidak lain hanyalah pilihanraya semula atau dikembalikan kuasa kepada PR.

Keadaan ini menyebabkan TG Hj Hadi mencadangkan supaya diwujudkan kerajaan perpaduan dengan maksud mempertahankan Kerajaan PR yang sedia ada dari diganggu gugat oleh UMNO-BN. Mereka tidak pernah berhenti berusaha menjatuhkan PR. Jaga-jaga PR di Selangor, P/Pinang dan Kedah. Mereka ini boleh buat apa sahaja, bahkan menghalalkan yang haram pun mereka tidak segan silu melakukannya. Atas dasar itu maka kesemua kerajaan PR yang ada dibiarkan mengurus negeri yang dimenangi dan Kerajaan Pusat hanya akan ditumbangkan melalui pilihanraya tidak melalui kaedah 16 September, dengan syarat Pusat tidak boleh membezakan negeri-negeri yang ditadbir oleh PR dan pembangkang menjadi suara untuk menegur kerajaan. Itulah kaedah kerajan Perpaduan.

Sahabat sekalian,
PAs berhadapan dengan UMNO-BN bukan baru. Berapa ramai di kalangan pejuang PAS yang gugur di atas kezaliman UMNO-BN, bukan atas dasar dendam PAS menutup ruang untuk bersama UMNO tetapi pengalaman telah mematangkan PAS mendepani UMNO-BN. Pas pernah bersendirian di kala DS Anwar di dalam UMNO. Saat itupun PAS tidak terlalu kuat, tidak pernah digagaskan idea untuk bersama UMNO. Usahkan bergabung bersetuju dengan pandangan UMNO pun PAS tak mungkin lakukan. Kerana kita melawan UMNO bukan kerana namanya UMNO tetapi kerana kebatilan yang didukungnya. Jangan terlalu beremosi. Siasat dan beri wala' pada pimpinan. Kembalilah kepada tarbiyah kemenangan yang dididik oleh Allah dalam surah Al-Nasr (1-3)

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Jangan sombong dan angkuh dengan sedikit kemenangan yang diuji oleh Allah. Kita tetap akan teruskan perjuangan ini, walaupun ramai yang bersangka dengan sangkaan yang tidak sepatutnya pada pimpinan. Kajilah kemelut kerajaan perpaduan ini dengan mengkaji Perjanjian Hudhaibiyyah.

Perjanjian Hudaibiyyah (Arab:صلح الحديبية) adalah sebuah perjanjian yang di adakan di sebuah tempat diantara Madinah dan Mekkah pada bulan Maret 628 M (Dzulqaidah, 6 H)

Daftar isi [sembunyikan]
1 Latar belakang
2 Perjanjian
3 Manfaat perjanjian
4 Hasil
5 Lihat pula



Latar belakang
Pada tahun 628 M, sekitar 1400 Muslim berangkat ke Mekkah untuk melaksanakan ibadah haji. Mereka mempersiapkan haiwan kurban untuk dipersembahkan kepada kaum Quraisy. Quraisy, walaupun begitu, menyiapkan pasukannya untuk menahan Muslim agar tidak masuk ke Mekkah. Pada waktu ini, bangsa Arab benar benar bersiap terhadap kekuatan tentera Islam yang sedang berkembang. Nabi Muhammad mencuba agar tidak terjadi pertumpahan darah di Mekkah, kerana Mekkah adalah tempat suci.

Akhirnya kaum Muslim setuju, bahwa jalur diplomasi lebih baik daripada berperang. Kejadian ini dituliskan pada surah Al-Fath ayat 4 :

هو الذي انزل السكينة في قلوب المؤمينين
yaitu bermakna bahwa Allah telah memberikan ketenangan bagi hati mereka agar iman mereka bisa bertambah.

Perjanjian
Garis besar Perjanjian Hudaibiyah berisi : "Dengan nama Tuhan. Ini perjanjian antara Muhammad (SAW) dan Suhail bin 'Amru, perwakilan Quraisy. Tidak ada peperangan dalam jangka waktu sepuluh tahun. Siapapun yang ingin mengikuti Muhammad (SAW), diperbolehkan secara bebas. Dan siapapun yang ingin mengikuti Quraisy, diperbolehkan secara bebas. Seorang pemuda, yang masih berayah atau berpenjaga, jika mengikuti Muhammad (SAW) tanpa izin, maka akan dikembalikan lagi ke ayahnya dan penjaganya. Bila seorang mengikuti Quraisy, maka ia tidak akan dikembalikan. Tahun ini Muhammad (SAW) akan kembali ke Madinah. Tapi tahun depan, mereka dapat masuk ke Mekkah, untuk melakukan tawaf disana selama tiga hari. Selama tiga hari itu, penduduk Quraisy akan mundur ke bukit-bukit. Mereka haruslah tidak bersenjata saat memasuki Mekkah"

Manfaat perjanjian
Manfaat Hudaibiyah bagi kaum Muslim adalah :

- Bebas dalam menunaikan agama Islam
- Tidak ada penentang dari Quraisy
- Mengajak kerajaan-kerajaan luar seperti Ethiopia untuk masuk Islam

Hasil
Perjanjian Hudaibiyah ternyata dilanggar oleh Quraisy, tapi kaum Muslim bisa membalasnya dengan penaklukan Mekkah (Fathul Makkah) pada tahun 630 M
Kaum Muslim berpasukan sekitar 10000 tentara. Di Mekkah, mereka hanya menemui sedikit rintangan. Setelah itu, mereka meruntuhkan segala simbol keberhalaan di depan Ka'bah

Demikianlah yang dapat Lobai utarakan sama ada untuk diterima atau ditolak. Tetapi bagi LK kedua-dua TG berada pada pandangan yang sama. Apapun khurafat UMNO-BN sahaja yang boleh memerintah perlu dihapuskan. Percayalah, PAS tidak akan bertindak sebegitu bodoh bersatu dengan UMNO-BN !!!

Menilai Pandangan 2 Tok Guru

.
2 comments

Semacam satu kekeliruan berlaku apabila Tg Nik Abd Aziz menyatakan pendiriannya untuk menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Umno-BN dan buah fikiran TG Abd Hadi mengenai Kerajaan Perpaduan. Kalau kedua pandangan itu diselidiki dan dikaji dengan sebaiknya kita pasti akan menemui jawapannya.

Pertama pada pandangan peribadi LK, PAS lebih matang, lebih lama dan lebih perit dan lebih mengenal UMNO-BN, bahkan usaha bersama dengan UMNO-BN tidak mungkin berlaku melainkan bak kata Tuan Guru Nik ABd Aziz apabila mereka menerima Islam yang PAS perjuangkan.

Kedua, wala' kepada pimpinan. Janganlah kita fikir, kita lebih cerdik dari pimpinan. Mereka melalui marhalah tabiyyah dan mereka membuat keputusan berdasarkan syura bukan mengikut kehendak peribadi.

Ketiga, kepimpinan yang benar tulus di dalam perjuangan ini tidak ditolak oleh perwakilan tetapi ditapis dan disaring oleh Allah. Sejarah perjuangan PAS telah merakamkan ada di kalangan pimpinan yang tidak sanggup bersama PAS akhirnya mengundur diri bahkan ada yang masuk UMNO-BN.

Keempat, bila kita lebih yakin terhadap sumber kedua dan ketiga tanpa terlebih dahulu memahami sumber pertama yang keluar dari pimpinan,maka wujudlah tafsiran yang pelbagai. Justeru itu sewajarnya terlebih dahulu kita menilai kesahihahan sesuatu berita berdasarkan pada sumber yang pertama.

Kelima, menuding dan melemahkan orang lain memang kerja mudah. Namun apa pula kerja dan sumbangan maksima yang telah kita berikan kepada PAS. Berpandangan mungkin tidak salah, namun andai menjadikan ianya prinsip lalu dijadikan alasan untuk menjauhkan diri dari perjuangan itu bukanlah tindakan yang bijak.

Kesimpulannya kita berjuang atas dasar kebenaran dan keyakinan. Kemenangan hanya akan diberikan oleh Allah kepada mereka yang benar-benar layak. Persoalannya kalau kita masih menyimpan buruk sangka dan hasad sesama kita apakah mungkin kita layak diberi kemenangan ? PAS tidak pernah tandus dengan pejuang yang ikhlas, gigih dan istiqamah kalau kita bukan di kalangan mereka pasti Allah akan menjauhkan kita dari perjuangan ini.. INGAT !!!

SENARAI KEPUTUSAN JAWATANKUASA KERJA PAS PUSAT BAGI SESI 2009-2011

.
0 comments

SELAMAT BEKERJA, SELAMAT BERTANGGUNGJAWAB, SELAMAT MEMIKUL AMANAH, SELAMAT BERJAWAB DI MAHSYAR ....
SENARAI KEPUTUSAN
JAWATANKUASA KERJA PAS PUSAT BAGI SESI 2009-2011


PENGERUSI TETAP (MTB)
Abu Kasim Bin Abdullah, Ustaz Haji


TIMBALAN PENGERUSI TETAP
Hussin Bin Haji Ismail, Haji


PRESIDEN (MTB)
Abdul Hadi Hj Awang , YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji


TIMBALAN PRESIDEN
Nasharudin Mat Isa, YB Ustaz Haji


NAIB PRESIDEN


Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato’ Ustaz(877)
Salahuddin Ayub, YB (824)
Mahfuz Omar, YB Dato' Haji (663)



AHLI JAWATANKUASA KERJA

Mohamad Nizar Jamaluddin, YAB Dato' Seri Ir (854)
Idris Haji Ahmad, Ustaz Haji (799)
Kamarudin Jaffar , YB Dato’ (769)
Azizan Abd Razak, YAB Dato’ Seri Ustaz (653)
Hasan Mohd Ali , YB Dato' Dr Hj (642)
Mohd Hatta Md Ramli, YB Dr. Haji (638)
Abdul Ghani Samsudin, Ustaz Haji(637)
Abu Bakar Chik, Dato’ Ustaz Haji (622)
Mohamed Hanipa Maidin, Sdr (619)
Amiruddin Hamzah, YB Dato' Ir. (606)
Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali, YB Dr. (589)
Ab Ghani Abdul Rahman, Ustaz Haji (584)
Dzulkefly Ahmad, YB Dr. (576)
Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, YB Dr. (530)
Hashim Jasin, YB Ustaz Haji (522)
Mazlan Aliman, Sdr (513)
Taib Azamudden Md Taib, YB Ustaz Haji (508)
Mujahid Yusof Rawa, YB Dr. (488)



PEMERIKSA KIRA-KIRA

Mohd Rashidi Bin Hassan
Musaniff Abd Rahman

Sumber ; www.muktamar55.pas.org.my

Parti Pak Lobai Kini Jadi Perhatian

.
0 comments




Satu ketika dahulu, terutama di sekitar tahun 70 an hingga 80 an PAS dipandang begitu asing bahkan dicop sebagai sekadar parti Pak Lobai, kemampuannya diragui perjuangannya tidak dipercayai dan diyakini. Sehinggakan di sebelah selatan tanah air terutama di Negeri Sembilan popular dengan istilah 'BN letak tunggul kayu pun boleh menang '. Demikian rendahnya populariti PAS satu ketika dahulu.

Apabila kebenaran itu terus berada pada landasannya, manusia apabila berfikir secara fitrah akhirnya mereka akan menerima kebenaran. Begitulah kukuhnya keyakinan para pejuang sebelum ini dengan janji Allah. Tidak kurang yang telah pergi meninggalkan kita bahkan ada juga yang masih bersama untuk kita tanya-tanyakan bagaimana penerimaan PAS pada zaman mereka.

Kita tidak boleh sama sekali lupa dengan sejarah perkembangan PAS yang satu ketika dahulu bertatih bagai anak kecil, tetapi akhirnya anak itu semakin membesar menjadi matang. Kini dia telah berada di persada masyarakat menjulang aspirasi rakyat. Maka tidak hairanlah apabila harapan semakin meningkat tidak mustahil wujud anasir yang cuba memadamkan harapan tersebut. Kita sangat tidak bimbang dengan anasir itu andai ianya datang dari luar, tetapi kita cukup berharap anasir itu tidak di cambah dari dalam. Teorinya mudah makin kuat tekanan dari luar, sepatutnya semakin kuat dalaman kita.

Begitulah harapannya. Ahli PAS mesti ditarbiyah, mereka menyokong PAS bukan kerana namanya PAS, membenci UMNO bukan kerana namanya UMNO. Semuanya perlu membezakan di antara matlamat dan juga pendekatan. Itulah harapan yang diharapkan oleh semua. Semua ahli perlu kembali kepada perjuangan asal PAS tidak hanya semata-mata menumpu kepada gerak kerja pilihanraya semata-mata. Memang tidak dinafikan PAS adalah parti politik, tetapi politik itu sendiri adalah wasilah untuk mencapai matlamat.

Lobai Kampung : Semoga semangat muktamar ini akan terus dipugar untuk diteruskan di kawasan masing-masing ...

Muktamar Dewan Ulama : Meneruskan Perjuangan Para Nabi

.
0 comments




Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Raja Lumu, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam bermula kira-kira jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 5.45 petang. Semua perwakilan benar-benar sarat dengan agenda yang telah diamanahkan untuk dilaksanakan secara bersama setelah Ketua Dewan Ulama sesi 2009 - 2011 Ustaz Dato Harun Taib menasihatkan gerak kerja secara bersama.

Alhamdulillah Muktamar kali ini nampaknya mendapat sambutan yang baik daripada pemerhati sehingga ada yang terpaksa duduk di atas lantai kerana kerusi yang tidak mencukupi. Pihak penganjur tidak menjangka kehadiran seramai itu. Semua laporan termasuk buku ucap utama Ketua Dewan Ulama ditulis dalam tulisan jawi. Bimbang ada wartawan yang tak dapat baca, sebab itu jangan hairan kalau ada yang salah lapor.

Muktamar kali ini mendapat perhatian berikutan timbulnya isu kononnya polemik mengenai ulama dan profesional.Hakikatnya ulama tiada masalah dengan profesional begitu juga profesional tidak pernah bermasalah dengan ulama. Yang banyak menghebohkan isu ini adalah mereka yang bukan ulama dan bukan pula profesional.

Tiada siapa yang mampu menafikan peranan yang dimainkan oleh golongan ulama di dalam memimpin Parti Islam Semalaysia (PAS). Itulah perkara yang telah diterima dan difahami oleh semua ahli. Justeru itu, tugas golongan ulama sangat berat. Justeru ucap tema menyentuh tentang peranan ulama sebagai pewaris para Nabi, untuk meneruskan perjuangan yang telah ditinggalkan.

Ulama mesti berusaha keras memahamkan masyarakat muslim mengenai tuntutan perjuangan di dalam Islam dengan meneladani contoh para Nabi. Nabi SAW diutus sebagai 'rahmatan lil alamin' . Baginda berjuang sehabis daya bagi memastikan ummatnya beroleh hidayah. Hidayah yang digerakkan oleh ilmu dan kefahaman. Tugas para pewaris Nabi adalah menyambung usaha menggerakkan ilmu dan kefahaman. Masyarakat muslim sepatutnya terus didekati dengan ilmu agar mereka akan terus memahami tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim.

Beberapa perkara yang disentuh oleh Mantan Ketua Dewan Ulama, Ketua Dewan Ulama dan para perwakilan menyimpulkan bahawa kewajipan kita terlalu banyak dari masa yang kita miliki. Banyak gerak kerja yang dicadang, dirancang dan akan dilaksanakan semuanya sebagai kesinambungan perjuangan para Nabi.

Lobai Kampung : Takbir ! Hidup Islam

Masjid/Surau di Negeri Sembilan dikuasai pembangkang?

.
0 comments



Tertarik dengan blog Surau Warisan Puteri, Sikamat yang membangkitkan isu dilabel sebagai 'Surau Pembangkang'. LK rasa terpanggil untuk memberi pandangan. Sama ada pandangan ini memberi kredit kepada pembangkang (PAS/PKR/DAP) atau BN-UMNO saya pun rasa kurang pasti. Sama-samalah membacanya agar masing-masing tahu apa nak buat lepas ini.

Isunya yang pertama apa yang dimaksudkan sebagai Surau/Masjid Pembangkang. Seingat LK di Negeri Sembilan, khususnya di Seremban tidak ada satu surau atau masjid pun milik pembangkang (PAS/PKR/DAP) begitu juga milik BN-UMNO. Setiap surau yang terbina semuanya di atas wang rakyat. Kalau dari sumber kerajaan pun datangnya dari zakat yang kita bayar. BN-UMNO pun tak boleh mengaku ini surau dan masjid mereka.

Isu yang kedua, apakah ciri-ciri surau atau masjid pembangkang? Adakah kerana AJKnya adalah penyokong Parti Pembangkang? Seingat LK sejak tahun 2000 yang lalu bahkan mungkin lebih awal dari itu rasanya pemilihan jawatankuasa masjid dan surau telah dipantau sepenuhnya oleh BN-UMNO. Bukan setakat masjid, surau pun pemilihannya mesti mendapat restu dari BN-UMNO melalui Ketua Cawangan, Ketua Kampung, Ketua Bahagian. Bagaimana mungkin surau dan masjid AJKnya dipilih di kalangan pembangkang sedangkan proses pemilihannya melalui pelbagai tapisan. Bahkan dengarnya hingga kini AJK Masjid seluruh Negeri Sembilan masih tergantung kerana MB campur tangan dan mengarahkan setiap AJK dibersihkan dari SPRM, Bahagian Keselamatan dan SB. Mengalahkan nak pilih menteri pilih AJK Masjid di Negeri Sembilan. Pilih Exco dan Menteri Besar pun tak macam tu dibersihkan. Bahkan ada yang tak bersih pun naik jugak.

Isu yang ketiga apakah aktiviti yang dilakukan oleh surau dan masjid yang dilabel sebagai pembangkang ? Adakah kerana kuliah maghrib, kuliah subuh dan kelas pengajian yang lain itu dikatakan sebagai aktiviti pembangkang? Memang kita tahu orang-orang BN-UMNO tidak berapa minat dengar kuliah, tambahan tenaga pengajarnya adalah seorang yang amanah dengan ilmu, tidak membodek lagi mereka tak gemar. Kalau ada pun yang minat dia cuma nak dengar bab-bab fadhilat, kalau beramal dapat yang pelik-pelik, itu sajalah. Apakah aktiviti lagi yang boleh dibuat di Masjid dan Surau ? Takkan nak buat karaoke macam majlis BN-UMNO, takkan nak buat joget amal pulak. Kalau kerana aktiviti kuliah ilmu di masjid dan surau dilabel aktiviti pembangkang, apa pula program yang menggambarkan BN-UMNO.

Isu yang keempat adakah kerana kebanyakan tenaga pengajar adalah mereka yang lantang dengan amanah ilmu menyebabkan mana sahaja surau dan masjid yang dimasuki oleh Ustaz-ustaz ini dikatakan surau/masjid pembangkang. Sungguh dangkal perkiraan itu. Kalau nak harap kepada Ustaz UMNO-BN mengajar berapa surau/masjid sangat yang mereka boleh cover, bilangan Ustaz UMNO-BN yang boleh mengajar pun tak ramai.Ramai yang pandai gam orang mengajar tetapi bila suruh ganti tak nak pulak mengajar. Bahkan ramai makmum yang lari. Tak tahu kenapa, tanyalah pada makmum. Pernah sebuah surau memanggil seorang Ustaz dari Jab Hal Ehwal Khas untuk kuliah subuh sempena mengiringi ADUN Ampangan (BN) sesi lalu, tanpa segan silu beliau mengaku beliau tidak pernah bangun seawal ini untuk berkuliah, pecah rekod katanya. Kesian sungguh.

Isu yang kelima adakah kerana jemaah yang mengimarahkan surau dan masjid kebanyakannya orang pembangkang. Orang BN-UMNO jangan rasa asing sangat kalau ke masjid/surau kebanyakan jemaahnya adalah orang PAS atau PKR. Jawapannya mudah. Mereka lebih suka mengadu kepada ALlah dari mengadu kepada makhluk. Lalu mereka lebih mudah mendatangi surau/masjid. Sedang orang BN-UMNO lebih senang mendekati makhluk, lalu yang dihampirinya lebih ke lobbby hotel, padang golf dan kawasan yang sama waktu dengannya.

Kalau BN-UMNO dapat jawab semua soalan di atas nanti LK boleh beri soalan lagi. Isu Imam Eksekutif bertaraf N41 yang dicanang semasa kempen PRU yang lalu kononnya sebagai bukti keprihatinan kerajaan BN-UMNO telah ditangguhkan yang tidak diketahui apa sebabnya. Sehingga hari ini tidak ada lagi penempatan di Masjid yang telah disenaraikan akan menerima Imam Eksekutif tersebut sedangkang dengarnya bajet telah diluluskan. Tanyalah pada Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, siapa ?

Sebenarnya yang banyak menjadikan masjid sebagai medan politik adalah UMNO-BN. Alasannya mudah program kerajaan. Dia lupa definasi kerajaan. Kerajaan, bukan parti politik. Majlis berbuka puasa dibuat di bawah nama UMNO, tak percaya tanya Masjid Taman Tuanku Jaafar. Jemputan atas nama UMNO, kalau atas nama Kerajaan Negeri atau Menteri Besar boleh juga ditimbang-timbang. Banyak lagi, tak percaya tanya sahabat-sahabat kita di Jabatan Agama, Majlis Agama, Pejabat Agama Daerah semua pening nak melayan karenah UMNO ni. Kadang-kadang mereka pulak yang kena jadi urusetia. Mereka terpaksa akur. Cari makan. Tak mengapalah asal hati tak reda, itu serendah iman. Kalau semua yang menyokong pembangkang dibuang, agaknya tinggal berapa orang yang masih bertugas agaknya?

Lobai Kampung : Semakin jahil masyarakat, hayat umur UMNO-BN semakin panjang. Tetapi, semakin celik masyarakat maka semakin cepat nazaknya. Justeru apa sahaja ubat yang boleh memanjangkan hayatnya kini sedang diuji. Belum terbukti lagi. Kalau kacau masjid dan surau mungkin itu bukan ubat yang baik untuk menyembuhkan UMNO - BN, mungkin akan lagi cepat pendek hayatnya ...

Fitnah Ke Atas Orang Berilmu

.
0 comments

Orang berilmu mempunyai kedudukan yang mulia di dalam Islam. Allah SWt mengiktiraf kedudukan orang berilmu sehingga Allah swt memulakan penyaksian itu dengan zatNya yang mulia keduanya dengan para malaikat dan sesudah itu kepada para ahli ilmu. Firmannya di dalam surah ali-Imran : 18

Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Begitu juga dengan ayat dalam surah al-Mujadalah : 11

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.

dan Surah az-Zumar : 9.

Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

Hal ini menggambarkan keutaman mereka yang berilmu kerana mereka lebih hamper ke arah jalan mengenal Allah.

Keahlian seseorang atau keilmuan yang diiktiraf di dalam Islam diikat dengan nilai ketaatan kepada Allah dan Rasul serta sejauh mana kemampuannya mengamalkan ilmu tersebut. Mereka adalah orang yang bertegas dengan keyakinan terhadap kebenaran dan tidak mudah tunduk kepada kekuasaan makhluk. Ketegasan ilmunya merentasi kepentingan terhadap dunia dan seisinya sehingga Allah menyatakan keahlian mereka di dalam ilmu dengan takut kepada Allah
Firman Allah dalam surah al-Fatir : 28

Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

Menurut hadis yang riwayatkan dari Anas b Malik Nabi SAW bersabda :

Ulama itu sebagai orang-orang yang dipercayai oleh para Rasul (Nabi-nabi) untuk memimpin dan mengajar hamba-hamba Allah selama mereka tidak tidak menjilat kepada raja(pemerintah) dan tidak rakus kepada dunia, maka apabila telah memasuki urusan dunia maka telah mengkhianati Nabi-nabi dan rasul maka jauhilah mereka ( dan berhati-hatilah dari mereka. )

Orang berilmu adalah hamba Allah yang tidak terlepas dari fitnah. Mereka juga adalah manusia biasa yang punya naluri kemanusiaan seperti manusia lain. Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 2

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Fitnah yang dimaksudkan di sini adalah Ujian dan cubaan.Maka oleh sebab itu seorang ulama tidak boleh mendabik dada menyatakan dialah yang benar dan menolak kebenaran yang dibawa oleh orang lain. Mereka yang merasakan diri mereka lebih berilmu dari orang lain sesungguhnya mereka hilang kelayakan sebagai seorang ulama’ . Seorang ulama juga harus sentiasa berhati-hati kerana mereka juga tidak terlepas dari tipu daya (ghurur) dunia dan musuh-musuh Allah. Firman Allah dalam surah al-Kahfi:103 dan 104 :

Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan

Selain itu hawa nafsu tidak pernah sunyi menjadi sebab terfitnahnya seseorang ulama. Persoalan hawa nafsu ini terlalu banyak diceritakan di dalam al-Quran dan jalan untuk mengawalnya adalah dengan bermujahadah. Biarpun orang berilmu memahami bahaya hawa nafsu mereka juga tidak terlepas dari fintahnya.

Firman Allah kepada Nabi Daud a.s : Hendaklah engkau berikan peringatan kepada kaum engkau tentang bahaya seluruh syahwat, kerana segala hati manusia yang begantung dengan segala syahwat dunia bererti akalnya akan terdinding lagi jauh daripadaKu( Allah)

Demikianlah sebahagian dari ujian mereka yang berilmu. Mudah-mudahan menjadi renungan untuk semua. Lantas, tidak terlalu gopoh dalam pendirian dan tindakan. Ingatlah dan contohilah sifat tawaduk ulama terdahulu di dalam perselisihan pendapat. Namun prinsipnya yang benar tetap benar, tidak mungkin bersatu dengan kebatilan.