Puasa Sebagai Latihan, Quran Sebagai Panduan

.
  • Agregar a Technorati
  • Agregar a Del.icio.us
  • Agregar a DiggIt!
  • Agregar a Yahoo!
  • Agregar a Google
  • Agregar a Meneame
  • Agregar a Furl
  • Agregar a Reddit
  • Agregar a Magnolia
  • Agregar a Blinklist
  • Agregar a Blogmarks


Bulan ramadan datang lagi. Pelbagai ragam dapat dilihat di dalam menyambut bulan yang penuh kelebihan ini. Teori mudahnya, andai ramadan tiada penambahan di dalam ketaatan maka bulan lain mungkin lebih berliku jalannya. Sejauh mana kita telah mengisi dan menyuburkan ramadan ini dengan ketaatan. Segalanya berbalik kepada kefahaman di dalam memahami tuntutan sebagai seorang Hamba Allah. Tiada dinafikan, mungkin kualiti ramadan kita jika dibandingkan dengan para salafussoleh terlalu jauh ibarat kaca dan permata segalanya sama pada peluangnya tetapi kosong isinya. Jadikan ramadan kali ini sebagai titik permulaan bagi segala kebaikan untuk diazam dan dilaksanakan sepanjang berbaki 11 bulan lagi. Mungkin sukar tetapi itulah perjuangannya ramadan tidak hanya perlu disambut dengan adat tetapi lebih penting adalah menyemarakkan dengan ibadat.

Ramadhan : Siam dan Qiam

Dua bentuk pengisian bulan ramadan, siam ( puasa ) dan qiam ( solat sunat) . Siam ( puasa ) duduk pada posisi wajib dan qiam ( solat sunat ) menduduki posisi sunnat. Jika keduanya didirikan dengan penuh iman dan keinsafan mampu melebur segala noda yang terpalit di dalam diri, menjernihkan jiwa dengan takwa dan memperkukuh keakraban dengan Allah SWT . Sudah tentu inilah amalan praktikal yang sering ditanya kebanyakan orang bagaimana untuk beramal. Oleh kerana puasa adalah menahan diri dari segala yang membatalkan, maka menahan diri dari segala yang merosakkan keimanan juga adalah suatu puasa yang dituntut untuk semua mereka yang beriman. Ini bukan teori tetapi satu latihan yang diberikan oleh Allah untuk menjadikan kita orang yang dikasihinya. Jika kita menginginkan dikasihi Allah sudah tentu kita mencari perkara yang disukai dan menahan diri dari perkara yang tidak disukai Allah. Mungkin ramai yang mampu berbuat taat tetapi tidak kuat untuk menahan diri dari sesuatu yang ditegah syariat. Inilah siam ( puasa ) .

Qiam ( solat sunat ) adalah suatu bukti syukur dan tawaduk seorang hamba. Nabi Muhammad SAW insan yang telah dijanjikan dengan syurga bersolat hingga bengkak kakinya, apabila ditanya maka jawapannya adalah bukti syukur. Bulan ramadan melatih kita untuk memperbanyakkan sujud. Solat sunat tarawih adalah bukti kita sebenarnya mampu untuk banyak bersujud cuma mungkin ibadat kita sekadar suatu adat maka bila berakhir ramadan untuk melaksanakan solat sunat 2 rakaat masih rasa keberatan. Tidak ada pada bulan lain yang kita lebih banyak bersujud melainkan ketika ramadan, namun sekiranya kehadiran ramadan ini masih belum merubah diri kita untuk lebih banyak bersujud mungkin di bulan lain juga agak sukar untuk ditemukan.

Puasa sebagai Latihan Quran sebagai panduan

Allah sentiasa bersama orang bertakwa. Manusia bertakwa manusia dikasihi Allah. Manusia bertakwa dipermudahkan segala urusannya oleh Allah. Demikian hebatnya 'takwa' , membezakan darjat seorang hamba yang pada asasnya semuanya sama di sisi Allah. Nilai takwa adalah nilai mampu milik bagi semua hamba tidak kira apa pun latar belakangnya . Maka peasanan takwa diulang saban minggu oleh para khatib di dalam memenuhi rukun khutbah. Ini bukan teori tetapi pelan tindakan yang telah disediakan. Lihat sahaja pada perintah puasa di dalam surah al-Baqarah ayat 183 secara jelas Allah menyatakan natijah yang diharapkan adalah menjadi manusia bertakwa. Maka berpuasa dan memperbanyakkan puasa adalah jawapan bagi membentuk ketakwaan. Dalam ayat ke 2 surah yang sama pula Allah menyatakan bahawa Al-Quran adalah petunjuk bagi orang bertakwa. Jelas bagi kita yang masih mencari amalan yang boleh membentuk takwa inilah jawapannya. Al-Quran sebagai panduan , puasa sebagai latihan. Nabi Yusof a.s ketika memegang perbendaharaan negara merperbanyakkan puasa sebagai latihan untuk merasakan kesusahan orang yang lapar. Manusia secara tabienya apabila merasa baru mengetahui. Berteorilah sehebat mana pun untuk menjadi orang yang hebat tetapi asasnya tidak kembali untuk 'merasa' kesusahan, akan berterusan menjadikan kita orang yang sentiasa leka dibuai nikmat.

Melebur takabbur menyubur syukur

Sama ada kaya atau miskin, mahal atau murah makanan yang dimakan ketika bersahur tidak menjamin seseorang untuk tidak merasai kelaparan dan dahaga ketika berpuasa. Inilah tarbiyyah ramadan. Kedudukan dan kelebihan dunia bukan segalanya. Saat ini kita akan benar-benar sedar dan insaf sehebat mana sekalipun kita nikmat dunia ini tidak semuanya menjamin perbezaan. Masih ada persamaan, hamba kepada yang maha esa. Bukanlah kerana banyaknya harta dia boleh makan sehingga kenyang untuk bekalan sepanjang siang hari berpuasa. Inilah madrasah yang sangat hebat, jika sekolah yang kita ikuti meleburkan kejahilan maka madrasah ramadan jika diikuti dengan baik akan melebur takabbur. Tidak dengan itu sahaja kita akan menjadi seorang yang sangat menghargai nikmat di saat segala yang tertahan diberikan perlepasan. Itulah kemanisan hidup seorang hamba. Di saat di dunia dia menahan segala larangan Allah, Allah akan mengurniakan sehebat-hebat nikmat di syurga. Tiada mata yang pernah melihat tiada telinga yang pernah mendengar dan tiada hati yang pernah terlintas hebantnya syurga Allah. Demikianlah ganjarannya buat mereka yang bersyukur.


0 comments: