ISU PENGGUNAAN NAMA ALLAH: SUATU PANDANGAN

.
  • Agregar a Technorati
  • Agregar a Del.icio.us
  • Agregar a DiggIt!
  • Agregar a Yahoo!
  • Agregar a Google
  • Agregar a Meneame
  • Agregar a Furl
  • Agregar a Reddit
  • Agregar a Magnolia
  • Agregar a Blinklist
  • Agregar a Blogmarks

Seorang sahabat mengirim email membicarakan isu penggunaan kalimah Allah. Terima kasih tuan, atas perkongsian ini ..

Saya terpanggil untuk menulis mengenai isu ini walaupun sebenarnya saya tidak ingin membicarakan isu ini secara bertulis memandangkan isu ini telah dibicarakan oleh ramai tokoh dalam negara antara yang pro dan kontra. Masing-masing telah mengemukakan pandangan berserta dengan hujah dan dalil. Oleh itu, bagi saya lebih baik berdiam diri sambil membaca dan mendengar hujah-hujah yang dikemukakan di samping membuat penilaian berbekalkan ilmu yang ada. Namun saya melihat isu ini gagal ditangani dengan baik sehingga membawa kepada tindakan keganasan yang melibatkan gereja yang dibakar sebagaimana yang kita baca menerusi akhbar baru-baru ini. Sepatutnya perkara ini tidak perlu berlaku kerana ia akan membawa impak yang lebih negatif di masa akan datang dan saya khuatir itulah yang akan berlaku. Namun tindakan membakar gereja ini dilihat berpunca daripada isu yang tidak ditangani dengan baik. Kerana itu, saya mengajak sidang pembaca menilai isu ini dari konteks yang lebih luas dan utama iaitu dari konteks sebagai seorang Muslim. Begitu juga dari kerangka hubungan antara Muslim dengan bukan Muslim. Jangan kita sempitkan isu ini dengan melihat ia dari sudut yang sempit khususnya apabila isu ini dibabitkan dengan politik. Bila isu ini dipandang dari kerangka yang sempit, maka ia mengundang kepada penyelesaian yang tidak bijak lalu membawa kepada tindakan yang bodoh dan dungu.

Bila melihat dan mendengar hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang membicarakan isu ini, baik yang pro mahupun yang kontra, saya sebenarnya lebih cenderung untuk memilih pendapat yang tidak membenarkan nama Allah Ta’ala digunakan oleh golongan bukan Islam. Namun saya tidak juga mengatakan bahawa pihak yang membenarkan itu adalah salah apatah lagi dalil-dalil yang dikemukakan masih memiliki andaian dari sudut argumentasi atau dengan ibarat lain, ayat-ayat yang dijadikan dalil masih lagi zonni dari sudut istidlalnya. Para ulama’ mufassirin dan juga ulama’ ilmu Kalam memiliki pandangan dan tafsiran yang pelbagai mengenai ayat-ayat tersebut. Antara ayat yang dijadikan dalil mengenai isu ini ialah ayat :

61 & 63 surah al-‘Ankabut
25 surah Luqman

Ayat 3 daripada surah az-Zumar juga boleh dijadikan dalil. Namun aplikasi dalil daripada ayat-ayat ini memiliki kepelbagaian ungkapan dalam kalangan ulama’. Dalam ruangan yang terbatas ini, saya tidak berminat untuk mengemukakan pandangan-pandangan tersebut. Yang perlu kita tahu ialah, isu ini adalah perkara yang diperselisihkan oleh ulama’.

Jika perkara ini diperselisihkan disebabkan oleh penggunaan dalil yang memiliki andaian, maka kita juga perlu melihat aspek-aspek lain yang timbul natijah daripada isu penggunaan nama Allah oleh golongan bukan Islam. Apakah natijahnya baik atau sebaliknya? Jika dikaji dari sudut sejarah sekalipun, adakah ia membenarkan penganut Kristian di Malaysia untuk menggunakan nama Allah? Sejak kita dijajah atau bahasa mudahnya sejak Kristian dibawa masuk ke Tanah Melayu melalui penjajahan, adakah nama Allah meniti di bibir mereka? Jika diteliti Holy Bible sendiri, adakah selama ini terdapat kalimah Allah yang digunakan di dalam mana-mana ayat dalam Holy Bible? Baik yang berbahasa Inggeris mahupun Arab? Dari sudut ‘uruf (adat) sendiri, adakah penggunaan nama Allah itu sememangnya khusus untuk penganut agama Islam atau ia juga digunapakai oleh penganut agama lain? Kalau kita buka kamus dan cari perkataan ‘Allah’, maka apa yang akan kita jumpa? Nama tuhan umat Islam atau nama tuhan semua agama? Ini semua adalah persoalan yang perlu kita teliti dan cari jawapan.

Saya juga tertanya-tanya, mengapa isu ini tiba-tiba ditimbulkan oleh golongan Kristian Katolik Malaysia? Adakah mereka berasa mereka memiliki kekuatan sehingga mereka rasa mereka berhak untuk menuntut hak penggunaan nama Allah yang selama ini menjadi hak eksklusif umat Islam? Atau mereka memiliki agenda yang tidak diketahui? Cara mereka menyelesaikan isu juga tidak bijak. Terus bawa isu ke mahkamah sedangkan realitinya mahkamah adalah jalan penyelesaian terakhir untuk isu ini kerana isu ini boleh diselesaikan terlebih dahulu melalui dialog antara agama, wacana, forum atau apa saja yang anda nak namakan. Yang penting ialah sebelum isu ini dibawa ke mahkamah, perlu diperbincangkan dulu dengan cara yang ilmiah. Adakah mereka memiliki hujah yang membenarkan mereka untuk menggunakan nama Allah sepertimana umat Islam menggunakan nama Allah? Jika ada, maka sepatutnya mereka perlu ketengahkan hujah dan fakta yang mereka miliki untuk diperbincangkan sama ada dalam bentuk dialog, wacana, forum, perdebatan dsb. Tindakan membawa isu ini terus ke mahkamah tanpa melalui prosedur yang telah saya nyatakan tadi menunjukkan bahawa mereka tiada hujah. Sedangkan hujah perlu lawan dengan hujah, bukan hujah lawan dengan mahkamah. Dalam masalah mahkamah pula, isu ini dibicarakan di tempat yang salah. Sepatutnya isu ini dibincangkan di Mahkamah Tinggi Syariah –jika perlu dibawa ke mahkamah juga- kerana ia membabitkan isu agama. Namun yang berlaku adalah sebaliknya.

Saya bukan hendak bersangka buruk terhadap penganut agama Kristian –khususnya di Malaysia- namun kita juga dituntut untuk sentiasa berwaspada terhadap golongan bukan Islam. Kerana itu, Allah Ta’ala memerintahkan kita untuk bersiap sedia dengan kelengkapan yang cukup dan kuat bagi menghadapi golongan bukan Islam. Firman Allah Ta’ala:-

Dan bersedialah untuk menghadapi mereka (musuh-musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya.. [Surah al-Anfal: 60]

Allah Ta’ala memerintahkan kita supaya bersiap sedia dengan segala jenis kekuatan yang termampu. Dalam ayat ini, Allah Ta’ala hanya menyebutkan contoh kekuatan yang perlu disiapkan iaitu yang berbentuk ketenteraan. Selain itu, kekuatan yang perlu disiapkan juga ialah kekuatan ilmu, ekonomi, politik, dsb. Apatah lagi dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala membuka rahsia golongan Yahudi dan Kristian yang sememangnya tidak akan redha dengan kita sehingga kita mengikut jejak langkah mereka walau dengan apa cara sekalipun yang boleh digunapakai (termasuklah dengan memainkan isu penggunaan nama Allah). Sejarah juga telah membuktikan kepada kita bagaimana cara mereka melayan umat Islam apabila mereka berjaya menjajah negara umat Islam. Tindakan yang menunjukkan apa yang terbuku di hati mereka terhadap umat Islam.

Isu ini juga menyedarkan kita bahawa masih banyak kelemahan yang perlu kita baiki. Kita melenting bila mereka timbulkan isu ini, lalu timbullah demonstrasi, bakar gereja dan entah apa lagi tindakan yang akan diambil. Tapi rupa-rupanya, puncanya terkena batang hidung kita sendiri juga. Baru kita tahu, kita lemah dalam banyak perkara. Penguasaan ilmu agama kita lemah lebih-lebih lagi ilmu Akidah. Bagaimana cara kita berfikir untuk mengatasi masalah ini pun lemah juga dan kita lihat natijahnya menyedihkan, mengecewakan bahkan menakutkan dan membimbangkan!

SEDIKIT PENELITIAN


Allah Ta’ala berfirman:

Dan (antara sikap buruk orang kafir ialah): apabila disebut nama Allah semata-mata, hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat mendongkol (merasa menyampah, meluat, benci, dendam), namun apabila disebut nama-nama yang mereka sembah selain daripada Allah, mereka dengan serta merta riang gembira. [Surah az-Zumar: 45]

Apa agenda sebenar puak Kristian Katolik ingin menggunakan nama Allah? Sedangkan realitinya, hati mereka menyimpan perasaan dendam, benci, meluat dsb sebagaimana yang didedahkan oleh Allah Yang Maha Mengetahui isi hati para hamba-Nya. Mereka hanya mampu untuk menyebutnya di bibir atau meletakkannya di ruang-ruang rencana mereka, namun adakah hati mereka merasa aman? Lihat firman Allah Ta’ala lagi:

Mereka sentiasa berusaha untuk memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka (melalui ucapan-ucapan dusta & kepura-puraan) namun Allah tetap juga menyempurnakan cahaya-Nya (agama-Nya) walaupun golongan kafir membencinya. [Surah as-Saff: ayat 8]

Mereka ingin menyebut nama Allah sebagai cara untuk memadamkan agama Allah. Mereka ingin menyebut nama-Nya dan ingin memuatkan nama-Nya di dada-dada akhbar mereka agar umat Islam terkeliru, bertelagah, berpecah-belah, murtad lalu agama Islam pun terkubur. Namun ia hanya berlegar di bibir mereka semata-mata, sedangkan hati mereka tidak mampu menolak kenyataan bahawa mereka akan gagal sampai bila-bila untuk memadamkan cahaya-Nya! Sedangkan kita sebagai umat Islam, adakah kita sedar perkara ini?!


Danial Farhan bin Dolmat,
Hayyu Sabi’, Madinah Nasr,
Kaherah, MESIR.

4 comments:

Unknown said...

saya rasa saudara danila ini tidak tahu isu sebenar spt majoriti umat islam malaya. pertama isu ini bukan dibangkitkan oleh org kristian. tapi kdn yg memulakan. herald dah guna perkataan Allah ini sejak lama dulu. sebelum zaman mahathir lagi.


kedua, ini bukan isu tanah melayu seperti kata danial. isu ini ialah section melayu dlm herald utk penganut kristian di sabah sarawak. sebelum malaysia dibentuk pun mereka sudah menggunakan perkataan Allah ini.utk pengetahuan danial bukan katolik sahaja menggunakan nama Allah. aliran kristian lain seperti sidang injil borneo(sib) juga menggunakan nama Allah.

bukan utk berlagak pandai tapi mungkin saudara danila boleh membaca tulisan ahmad deedat berkenaan nama2 tuhan.

Anonymous said...

En. polaibinmulau ...

Betul, mereka sudah lama mengggunakan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak tapi tapi itu bukan isunya. Isunya sekarang ialah penyalahgunaan kalimah Allah untuk memurtadkan orang Islam. Bayangkan, jika sebelum diizinkan kalimah Allah dah ramai yang dimurtadkan oleh missionary Kristian bagaimana pula jika sudah diizinkan nanti ?

Bah Lontok said...

Bah sangat menyokong pendirian pemimpin2 PAS terutamanya Tn Guru Hj Nik Aziz berkenaan sokongan terhadap kejayaan perjuangan 'Herald the Catholic Weekly'.

Terlalu lama perkara perjuangan ini untuk diselesaikan, setelah selesai dengan keputusan Mahkamah membenarkan 'Herald' mengunakan perkataan "ALLAH" dan juga diterbitkan dalam Bahasa Melayu, banyak pehak pula yang menentang nya sampai ada yang bom atau bakar gereja.

Hanya Pemimpin2 PAS sahaja yang nampak bersetuju. Maka dengan ini pehak pendakwah Catholic akan lebih memudahkan tugas2 dakwah nya dikalangan kaum kami. Ada kemungkinan lebih ramai yang minat agama Catholic kerana ianya dianggap lebih kurang sama saja dengan Islam, bahkan ianya lebih senang kerana tidak banyak yang perlu dipelajari.

Selain dari itu bab makan minum pun tidak berubah boleh makan dan minum semua nya. Kerana tidak ada halal atau haram dalam segi pemakanan. Kejayaan 'Herald' ini akan memberi kan lebih ramai kaum asli memeluk agama Catholic.

Mudah-mudahan orang melayu pun banyak ikut sama masuk katolik yang mudah dan senang ini.

Sekarang kita sudah tidak ada apa bezanya, kita juga sama2 sembah ALLAH yang maha esa. Ameeeen!!!!!!!

Anonymous said...

Salam, Askar Amerika mencetak nama-nama surah dan nombor-nombor ayat dalam injil pada teropong senapang mereka, jadi bila mereka memfokus teropong pada senjata utk mmbunuh org Islam di Afghanstn dan Iraq mrk akan teringat sambil mmbaca ayat-ayat Injil tersebut. Di Malaysia, org-org Kristian mencetak nama Allah dalam helaian dakwah mereka utk mengelirukan dan menyesatkan org kita. Tapi eden tak paham kenapo ado yang sokong!!!