Isu Lafzul Jalalah Allah : Siapa Mengisukan Isu

.
  • Agregar a Technorati
  • Agregar a Del.icio.us
  • Agregar a DiggIt!
  • Agregar a Yahoo!
  • Agregar a Google
  • Agregar a Meneame
  • Agregar a Furl
  • Agregar a Reddit
  • Agregar a Magnolia
  • Agregar a Blinklist
  • Agregar a Blogmarks


Kenyataan Bos KDN

Rakyat yang memang sudah kenal perangai dan taktik pemimpin UMNO-BN mungkin sudah dapat membaca apa sebenarnya yang berlaku tentang polemik penggunaan nama Allah oleh gereja Herald. Bagi yang mengenal UMNO - BN tiada suatu ruang pun untuk boleh menerima mereka bersungguh membela agama dan membela Allah. Sejak bila pula demonstrasi membela Islam boleh diberi ruang untuk diadakan di negara ini sejak merdeka melainkan demo tersebut adalah di bawah restu dan kepentingan UMNO - BN.

Isu penggunaan nama Allah ini nampaknya semacam berjaya menarik sensitiviti masyarakat melayu muslim setelah pelbagai isu yang ditimbulkan sebelum ini kurang mendapat sambutan. Tetapi apa yang lebih utama menjadi penilaian kita sepatutnya di saat ini, apakah peranan kerajaan selama ini di dalam membendung pengaruh kristian di dalam Malaysia sehingga apabila ditimbulkan isu ini nampaknya timbul kekalutan mengenai pengaruh mereka. Di dalam perlembagaan juga telah secara jelas menyatakan tentang keistimewaan agama Islam dan larangan menyebarkan agama lain. Selama ini kita buat apa ..? Kerana yang berkuasa itu adalah UMNO - BN mengapa tidak dimajukan usaha memahamkan rakyat mengenai Islam sebenar dan mengenal akidah sohihah yang dituntut untuk semua muslim memahami dan menghayatinya.

Sebab itu apabila UMNO - BN cuba menjadi hero di dalam isu ini, kelihatan agak canggung. Selama ini di mana hero mereka ? Tenggelam dengan projek jutaan ringgit atau tersepit di dalam menjaga kepentingan politik. Tapi nampaknya isu kali ini, apabila mereka bersungguh memperjuangkan isu ini semacam ada sesuatu yang tidak kena. Apakah selama ini mereka tidak tahu bahawa gerakan dakyah kristian telah lama menjalankan kerja mereka ? Berapa ramai di kalangan muslim malaysia telah menukar agama ..? Kerana tidak sensitifnya mereka mengenai isu-isu akidah selama ini, yang ditutup atas alasan menjaga sensitiviti, kenapa pula isu ini diperbesarkan apakah tidak sensitif lagi isu akidah bagi mereka ...? Jawapannya tidak, sebab mereka mahu sokongan..

Hujah Ilmiah - Zaharudin Abd Rahman :

Isu ini turut menjadi hangat, khususnya apabila beberapa pandangan diberi oleh kumpulan ilmuwan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujah dan nas, demikian juga kumpulan kedua.


Secara asasnya, ini isu cabang dalam bab akidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran. Perbezaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.

Dalil diutarakan kedua-dua kumpulan, masih membabitkan dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh akan berasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza.

Juga tidak wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.

Selepas melakukan penilaian terhadap pelbagai hujah, pandangan silam dan kontemporari, secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah SWT.

Antara nas yang paling jelas adalah:

“Dan sesungguhnya, jika kamu (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka? Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!” (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dialah tuhan yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (al-Zukhruf: 87-88)

Ini hanya satu dalil, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandangan seperti mentafsirkan Allah SWT dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH’ dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi tuhan pencipta secara umum.

Namun, kaedah dalam fiqh memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan khususnya masyarakat jahiliah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS dan Allah SWT sudah difahami merujuk kepada siapa.

Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini. Hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan itu.
Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat daripada hujah kumpulan yang menolak.

Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama ‘Allah’ kepada pengertian lughah (daripada sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan ‘Allah’ secara istilah yang merujuk kepada Allah SWT yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama ‘Allah’ digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali penting untuk kita kerana Bible bukan rujukan kita tetapi al-Quran. Oleh itu, merujuk kepada Bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah, sama ada secara sedar atau tidak sedar.


Umat Islam hanya merujuk al-Quran dan hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible, apatah lagi menurut keyakinan Islam, Bible yang wujud hari ini bukan sama sepenuhnya dengan injil yang diturunkan kepada Nabi Isa SA beribu tahun lalu.

TETAPI…

Namun demikian, itu dalam konteks penelitian dalil dan nas atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari’yyah khususnya bagi mengelak salah guna dan kekeliruan, khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau KDN.

Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, Kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.

Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin saja berbeza mengikut penilaian masing-masing dan tentunya ia bakal memberi kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.


Justeru, penggunaan nama ‘Allah’ oleh pihak Kristian, khususnya dalam penulisan mereka, wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan.


Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi penganut agama Kristian dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama, seterusnya boleh membawa pergaduhan serius jika gagal dikawal.


Lebih-lebih lagi apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu lemah. Keadaan pendakwah bukan Islam yang galak menggunakannya dengan tujuan tertentu serta kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama ‘Allah’ dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam.


Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang. Sekali lagi perlu diingatkan, perlu dibezakan keputusan hukum dan siyasah syar’iyyah.


Sekuat manapun hujah untuk membenarkan Kristian menggunakan nama ‘Allah’, namun hujah daripada sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan sangat patut dilakukan.Sama ada ia untuk tempoh tertentu, berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat, seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setiap keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian).


Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah dan ruang konflik antara agama yang mudah ternyala api pergaduhan.
Kesimpulannya, secara peribadi saya berharap supaya rayuan keputusan yang akan dilakukan
oleh KDN berjaya mencapai keputusan sebaiknya.

0 comments: