Masjid : Berpolitik atau Mempolitikkan

.
0 comments



Menurut Kamus Dewan edisi keempat 'POLITIK' mempunyai 3 maksud

1. Ilmu pengetahuan berkenaan cara pemerintahan, ilmu siasah, ilmu kenegaraan
2. Segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesbuah negara atau hubungannya dgn negara lain
3. Kelicikan, muslihat dan tipu muslihat

Manakala perkata 'BERPOLITIK' diertikan sebagai mengambil bahagian dalam politik, menjalankan politik. 'MEMPOLITIKKAN' bermaksud memasukkan ke dalam urusan politik, menjadikan sebagai urusan politik, menjadikan sesuatu kelihatan ada kaitannya dengan politik.
Dalam konteks Malaysia, kefahaman politik lebih cenderung ditakrifkan kepada kecenderungan POLITIK kepartian tanpa melihat makna yang lebih luas dari konteks yang sebenar. Maka oleh sebab itu kualiti bukan menjadi penilaian tetapi lebih utama adalah kecendurangan melihat kepada Parti yang disokong. Pilihanraya mungkin menuntut kita untuk menilai kedua-duanya, kualiti calon dan parti yang diwakilnya. Itu sebab menjadi faktor kuat menyumbang kepada banyaknya undi yang diterima.

Namun 'Parti' hanya terguna pakai ketika kempen pilihanraya, kecenderungan seseorang menyokong sesebuah 'parti' tidak boleh dijadikan penilaian kepada kekurangan kualiti individu. Kalau begitu keadaannya maka politik yang diamalkan adalah politik yang sempit dan mendahulukan kepentingan 'parti' dari rakyat yang diperintah. Maka oleh sebab itu banyak tindakan yang dibuat kadang-kadang lebih menjurus kepada kepentingan sokongan kepada 'parti' dan tidak pula kepada kualiti.

Siapa sahaja yang memerintah dengan sistem pilihanraya, parti pasti akan jadi keutamaan. Tidak kira dari parti apa sekalipun. Mengutamakan orang se'parti' memang tiada salahnya kerana kita lebih kenal mereka dari yang lain 'parti'. Tetapi yang teruknya apabila kita mementingkan orang 'parti' lebih dari kualiti orang tersebut. Walaupun ada pilihan yang lebih kualiti, tetapi bukan dari 'parti' orang itu akan diketepi.

Mengimarahkan masjid atau rumah Allah bukan satu aktiviti parti. Tetapi tanggungjawab itu adalah tuntutan fardu kifayah. ' Berparti politik' di masjid bukanlah suatu yang bijak kerana makmum bukan semuanya se'parti' . Jangankan parti, bangsa pun tidak ada yang sebangsanya. Sebab itu mendoakan melayu sahaja mungkin tak wajar kerana yang datang di masjid ada juga yang arab, india, cina, orang asli dan bermacam lagi bangsanya. Apa lagi soal parti, bukan semua di masjid berparti dacing atau bulan atau mata biru atau roket atau apa sahaja lambang. Kepelbagaian ini perlu juga dihormati walau kini sedang menuju ke arah era segalanya yang satu. Bermula dengan 1Malaysia. Setelah era hadhari berkubur.

Posting kali ini adalah respon kepada pemilihan Ahli Jawatankuasa Masjid yang baru diedarkan di seluruh Negeri Sembilan setelah beroleh berkenan dari YAB MB juga setelah terperap hampir setahun lamanya. Akhirnya senarai yang turun dari langit wisma negeri itu tidak juga mengambil kira soal kualiti AJK yang dipilih. Asasnya, masih juga parti. Walau pun pegawai JHEAINS begitu teliti mengambil kira aspek perpaduan dengan memilih AJK yang benar-benar memenuhi kehendak pentadbiran, namun semua itu tidak terpakai kerana yang dipilih itu tidak pula se'parti'. Pilihan pentadbiran tidak memenuhi kehendak 'parti' akhirnya bergemalah slogan ' Parti Didahulukan, Rakyat Dibiarkan' .

Tumpuannya adalah di masjid-masjid di bawah DUN Sikamat, Paroi dan Ampangan. Sekilas ikan di air kita tahu senarai yang datang itu datang dari cadangan siapa. Masakan YAB MB kenal semua orang dalam Negeri Sembilan haluan partinya ke mana. Adalah tangan yang lebih arif. Terima kasih, jasanya memang tak berguna. Tak mengapalah, sebagai orang yang beriman kita tetap meyakini yang berlaku ini adalah pilihan terbaik dari Allah untuk semua. Pemilihan itu mungkin menjadi petanda awal kekalahan yang lebih teruk atau semakin menzahirkan kecetekan pemikiran golongan sebegini. Mereka lebih rela meletakkan masjid ditadbir urus oleh mereka yang memang tak ke masjid, yang bermasalah dan bukan berjiwa masjid. Asalkan se'parti'.

Allah Berfirman di dalam al-Quran :

"Hanya yang berhak memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang percaya kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mendirikan solat, mengeluarkan zakat serta tidak takut melainkan kepada Allah; mudah-mudahan mereka menjadi orang-orang yang mendapat petunjuk" ( Surah At-Taubah : 18 ).

Huraian

Allah swt menerangkan orang-orang yang berhak memakmurkan masjidNya, iaitu orang-orang yang disebutkan sifat-sifatnya dalam ayat ini :

1. Orang yang beriman, yakni percaya kepada Allah dan hari kemudian, termasuklah percaya kepada semua rukun iman yang enam.
2. Orang yang mendirikan solat tetap pada waktunya, cukup dengan syarat dan rukunnya, kerana terbinanya masjid tidak lain untuk mengerjakan ibadah solat di samping ibadah yang lain.

3. Mengeluarkan zakat, iaitu suatu tugas yang wajib, sedang memakmurkan masjid adalah suatu tugas yang sunat. Maka tidak sewajarnya seseorang itu melakukan tugas yang sunat melainkan sesudah ia tunaikan tugas yang wajib terlebih dahulu.
4. Tidak takut kepada sesiapa melainkan kepada Allah. Yakni dalam menegakkan agama, dia tidak takut kepada sesiapa melainkan kepada Allah semata-mata. Dia juga tidak akan meninggalkan perintah Allah dengan sebab takut kepada manusia.

"Maka mudah-mudahan mereka menjadi orang yang mendapat petunjuk"

Yakni : Mereka yang mempunyai sifat-sifat yang menjamin tertegaknya rukun Islam yang terpenting itu, maka mereka ini diharapkan akan menjadi orang-orang yang mendapat petunjuk kepada perkara yang disukai dan diredhai Allah swt seperti memakmurkan masjid sehingga berhaklah pula mereka mendapat pembalasan yang dinikmati di dalam syurga.

Kepada AJK yang dilantik, tahniah semoga kita semua mampu memahami ciri mereka yang memakmurkan masjid bukan sekadar memenuhi ciri AJK PILIHAN PARTI. Kepada yang tidak terpilih, ini bukan noktah tetapi ia adalah permulaan untuk dilonjakkan kepada amanah yang lebih besar. Selepas ini bukan masjid di Negeri Sembilan sahaja yang perlu difikirkan bahkan bersedialah untuk memimpin Negeri Sembilan. Takbir !!!

Lobai Kampung : Allahu Akbar !!



Sekolah Ramadan : Laluinya Untuk Kejayaan Masa Depan

.
0 comments

Ulama' sering mengaitkan ramadan seumpama sebuah madrasah yang mentarbiyyah jiwa manusia membentuknya menjadi golongan bertakwa. Keistimewaan bulan ramadan yang mulia ini diangkat oleh Allah sehingga ibadah puasa menjadi suatu kefarduan pada bulan tersebut dan amalan qiam / menghidupkan malamnya suatu sunnat yang digalakkan.
Ramadan terlalu istimewa. Padanya ada Siam(puasa) dan padanya ada Qiam(menghidup malam) Keduanya tidak ramai di kalangan kita mampu melakukannya melainkan pada bulan ramadan. Orang yang tiada kekuatan untuk melakukan puasa sunnat dalam tempoh setahun yang berlalu, tiba-tiba menjadi kuat dengan tuntutan puasa fardu di bulan ramadan. Kehadiran di masjid dan surau pada bulan lain berada pada tahap yang agak mengecewakan tiba-tiba statistiknya naik mendadak apabila ramadan datang menjelma. Demikianlah aura yang dibawa oleh ramadan. Kita punya kekuatan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Membicarakan kelebihan ramadan sahaja tidak memadai jika tidak direbuat peluang yang dikurniakan oleh Allah untuk kita setahun sekali. Entah tahun depan masih kesempatan atau tidak. Allah sahaja yang tahu.
Madrasah ramadan mendidik kita melawan hawa nafsu, sabar dengan cabaran, beramal dengan kehendak Allah dan Rasul serta meyakini dengan balasan dan pengawasan Allah SWT. Bila melalui bulan ini ramai yang berubah jadual dan aktiviti hidupnya. Semuanya berusaha untuk mengubah cara hidup ke arah lebih 'Islamik' dalam bulan yang mulia ini. Yang tidak bertudung mula mengenakan tudung, yang jarang ke rumah Allah berpusu memenuhinya walaupun pada beberapa hari awal dalam bulan ramadan. Suasana ramadan benar-benar menjadi detik yang snagat dirindui.
Namun tak kurang juga yang tidak ambil kisah dengan kedatangan bulan mulia ini. Mereka terus leka menghirup nikmat dunia tetapi terlupa tuntutan puasa tidak hanya menahan makan dan minum jauh dari itu kesempurnaanya adalah dengan meninggalkan segala bentuk maksiat. Begitu juga yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat. Golongan ini memenatkan diri sendiri. Allah tidak menerima puasa orang yang tidak bersolat. Ada yang lebih dahsyat ramadan ini hanya menjadi peluang untuk mencari wang, sehingga ada di kalangan mereka mengabaikan kewajipan berpuasa dan sunat tarawih. Inilah senario puasa di Malaysia.
Ruginya kita, membiarkan ramadan berlalu begitu sahaja. Andai di bulan mulia ini kita tidak mampu memperbaiki diri ke arah yang lebih baik mungkin di bulan lain peluangnya agak tipis. Kalau di bulan mulia ini masih berat untuk mendatangi rumah Allah, bulan lain rasanya lebih berat, Kalau bulan mulia ini masih berat untuk menunaikan solat, maka apatah lagi pada bulan yang lain. Kalau di bulan mulia ini sukar untuk membaca al-Quran, bagaimana pula pada bulan yang lain. Kalau di bulan mulia ini tidak menutup aurat, di bulan lain lagi sukar untuk mendapatinya menutup aurat. Kalau di bulan ini masih lagi meneruskan kerja maksiat dan mungkar, bagaimana pula pada bulan yang lain ....
Lobai Kampung : Ya allah jangan kau palingkan hati kami, setelah engkau memberi petunjuk dan kurniakanlah kepada kami dari sisi mu rahmat sesungguhnya engkau maha pemberi ...

Andai Ramadan Ini Yang Terakhir ...

.
0 comments


Andai kau tahu ramadan ini yang terakhir,
tentu siangnya engkau sibuk berzikir ….
Biarpun anak tekak kering kehausan air

Tentu engkau tak akan jemu melagukan syair

rindu mendayu..merayu.. kepadaNya tuhan yang satu

rindu mendayu..merayu.. kepadaNya tuhan yang satu

Tentu solatmu kau kerjakan di awal waktu …

dengan penuh khusyuk lagi tawadhu', tubuh , minda dan qalbu .. bersatu memperhamba diri.

Mengadap Rabbul izzati.. menangisi kecurangan janji " Sesungguhnya solatku, ibadahku,
hidupku dan matiku.. ku serahkan kepada tuhan sekalian alam
Andai kau tahu ramadan ini yang terakhirTidak akan kau persiakan sesaat yang berlalu

Setiap masa bibir basah menyebut nama Allah. Di setiap kesempatan masa yang terluang,

bayangan kematian menjelmakan keinsafan ! Alunan al-Quran bakal kau dendang.. bakal kau
syairkan

Andai kau tahu ramadan ini yang terakhir
Tentu dirimu tak akan melupai mereka yang memerlukan.
Pasti apa yang menjadi milikmu aku dermakan, engkau sedekahkan tanpa rasa terkilan, agar yang susah dapat merasa nikmat tuhan

Andai kau tahu ramadan ini yang terakhir

Tentu malammu engkau sibukkan dengan ibadah, berterawih.. berqiamullail.. bertahajjud .. mengadu ... merintih meminta belas kasihmu .

Sesungguhnya aku tidak layak untuk syurgamu ya Allah, tetapi aku juga todak sanggup untuk ke nerakamu.. oleh itu kurniakanlah keampunan kepada ku .. kasihanilah daku...

Ya Allah ...Andai aku tahu ramadan ini yang terakhir
Jadikanlah ianya ramadan yang paling bererti.. paling berseri.. menerangi kegelapan hati-hati

kami menyuluhi diri ke jalan menuju redha serta kasih sayang Mu Ya ilahi . Semoga nur Rahim-Mu bakal menerangi kehidupan kami

Lobai Kampung : Moga ada keinsafan buat kita... maaf andai ada yang terkhilaf, moga Allah mengampuni kita semua ..

Ketenangan Pusat Dakwah Tidak Dimanfaatkan ...?

.
0 comments























Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan 'berbalut' bendera UMNO

Banner yang digantung depan Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan


UMNO Bahagian Rembau, yang berketuakan Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai Ketua Bahagian dan Ketua Pemudanya sendiri adalah Ketua Pemuda UMNO Malaysia hari ini memilih sekali lagi untuk sekelian kalinya berperhimpunan agung bahagian di Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan(PDINS) , Paroi. Betapa, UMNO sewenangnya menggunakan PDINS untuk bermesyuarat agong adakah hanya kerana namanya UMNO atau kerana mereka memerintah. Agaknya kalau di negeri Pakatan Rakyat sudah lama diisukan, jika menggunakan kemudahan kerajaan. Memang Negeri ini cukup bertuah, rakyatnya cool sahaja. Bayangkan sahaja bangunan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan menyewa di bangunan UMNO Negeri di tengah bandar Seremban.


Sebelum ini pernah satu program yang melibatkan penerangan mengenai isu murtad anjuran NGO Islam dibatalkan di PDINS, hanya kerana ada aduan penglibatan penceramah dari PAS. Akhirnya terpaksa ditukar ke tempat lain. Tetapi UMNO nampaknya terlalu 'suci' boleh menggunakan PDINS. Maka selepas ini jika ada parti lain yang berhasrat untuk menyewa Dewan Besar PDINS untuk tujuan program mereka harapnya pengurusan PDINS tidak keberatan untuk membenarkannya. Mereka pun boleh bayar jugak.

Semasa blog ini sedang diupdate masuk satu SMS ke HP saya berbunyi :

" Sbn Pusat Dakwah Paroi, persidangan perwakilan Negeri UMNO, 1 pergadohan telah berlaku di antara bahagian seremban dan rembau ke ataskes tanah jalan kereta api "

Sejauh mana kebenarannya..? Harap akan ada maklumat tambahan selepas ini dari sumber lain.

Nampaknya ketenangan PDINS yang selalu diimarahkan dengan program kefahaman Islam tidak juga menjanjikan ketenangan buat UMNO bersidang. Mungkin lepas ini UMNO kena cari Dewan Masjid Negeri pulak untuk bersidang .










Amalan Nisfu Syaaban : Antara Keterbukaan dan Keterikatan

.
0 comments



Malam nisfu syaaban ( 15 Syaaban ) biasanya akan menjadi satu sambutan wajib bagi kebanyakan surau dan masjid di sekitar Negeri Sembilan. Kebiasaannya majlis diisi dengan bacaan Surah Yaasin sebanyak tiga kali dan diselangi dengan bacaan doa. 3 kali bacaan Surah Yaasin dengan 3 niat yang iaitu memohon panjang umur di dalam keberkatan, dimurahkan rezeki dan mati dalam keadaan beriman. Walaupun bacaan surah Yaasin sebanyak 3 kali ini bukanlah suatu amalan sunnah yang semestinya menjadi bacaan wajib pada malam tersebut, namun ianya telah menjadi suatu adat kebiasaan dalam masyarakat.


Menurut Ikrimah di dalam menafsirkan ayat ke 3 dari surah Ad-Dukhan menyebut ayat ini merujuk kepada penurunan al-Quran pada malam nisfu syaaban. Walau bagaimanapun menurut jumhur ulama' Al-Quran turun pada malam lailatil qadr. Bagi sebahagian ulama yang membesarkan malam nisfu syaaban, mereka berpandangan malam nisfu syaaban adalah malam yang penuh keberkatan seperti yang disebut dalam ayat ke 3 surah ad-Dukhan tersebut. Justeru mereka mengambil kelebihan malam tersebut untuk meningkatkan amalan.


LK tidak berhasrat untuk mengatakan salah dan bidaah bagi amalan nisfu syaaban. Sesuatu ibadah selagi tidak bertentangan dengan syarak, boleh diterima walaupun selagi ada asas di dalam al-Quran dan As-Sunnah. Contohnya, bacaan Surah Yasin, tidaklah menjadi kesalahan kerana ia adalah surah dari al-Quran. Asas pertimbangan keutamaan bagi bagi sesuatu ibadah adalah yang wajib dan fardu lebih utama dari yang sunat. Itu sahaja. Apa yang penting adalah kita memastikannya masih dalam ruang yang dibolehkan oleh syarak.


Semalam ( 5 Ogos ) selepas asar. Seorang teman bertanya mengenai amalan nisfu syaaban yang bertembung dengan kuliah bulanannya. Jawapan di atas adalah jawapan saya untuk persoalannya. Kebetulan malam itu saya ada jemputan ceramah Isra' Mi;raj di Masjid Taman Bukit Chedang, Rasah. Sebelum maghrib jawatankuasa masjid berbisik untuk membaca surah yasin, saya mencadangkan agar dibuat sekali sahaja kerana bimbang mencuri masa yang panjang untuk menyelesaikan ceramah. Kira-kira mudah untuk 3 kali yasin mungkin tamat jam 8.40 pm. Jika ceramah bermula 8.45 pm bermakna akan tamat jam 10.00 malam. Satu tempoh yang agak panjang bagi perkiraan orang yang baru berjinak ke masjid. Mereka tetap mahu meneruskan membaca 3 kali surah yaasin, saya menolak dengan cara baik untuk meminta imam masjid tersebut memimpinnya. Suara juga serak pada malam itu, andai saya memimpin yaasin tentu waktu ceramah kehilangan suara.


Kehadiran malam itu boleh tahan ramainya, tidak pula saya pastikan ramainya itu adakah kerana ingin membaca yaasin 3 kali atau untuk mendengar ceramah. Di muqaddimah ceramah, saya tekankan kepada jemaah yang hadir. Membaca surah yaasin adalah membaca al-Quran. Setiap satu huruf 10 pahala kebaikan. Manakala mendengar ceramah adalah majlis ilmu yang dijanjikan banyak pahala oleh Allah dan rasul, dengan syarat bagi yang berniat datang malam ini untuk sekadar membaca yaasin jangan pula bersungut terpaksa pula mendengar ceramah, begitu juga bagi yang datang dengan niat untuk mendengar ceramah jangan pula bersungut kerana membaca yaasin 3 kali. Bimbang keduanya tidak beroleh pahala dari Allah.


Masyarakat kita masih lagi belum diberi kefahaman yang jelas tentang selok belok usul fiqh dan persoalan fiqh keutamaan. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita dalam tempoh mendidik masyarakat memahamkan mereka dengan perkara ini. Sekiranya tidak masyarakat sampai bila-bila pun tidak akan boleh menerima perubahan. Marilah terus mendidik jangan terus menghukum, mereka masih mencari kita membantu pencarian ini.


Lobai Kampung : Demonstrasi bantah ISA : Hukumnya Haram . ISA : Tak haram pulak ...? Macam mana tu ...?

Hati Rasa Sangat Tersentuh ...

.
0 comments


Testimoni anak seorang tahanan ISA


Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga.


Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...
Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....
7 tahun telah berlalu

Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.
Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo


Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.
Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....
Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...

*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Dipetik daripada blog merdekareview - azm