Ulama' sering mengaitkan ramadan seumpama sebuah madrasah yang mentarbiyyah jiwa manusia membentuknya menjadi golongan bertakwa. Keistimewaan bulan ramadan yang mulia ini diangkat oleh Allah sehingga ibadah puasa menjadi suatu kefarduan pada bulan tersebut dan amalan qiam / menghidupkan malamnya suatu sunnat yang digalakkan.
Ramadan terlalu istimewa. Padanya ada Siam(puasa) dan padanya ada Qiam(menghidup malam) Keduanya tidak ramai di kalangan kita mampu melakukannya melainkan pada bulan ramadan. Orang yang tiada kekuatan untuk melakukan puasa sunnat dalam tempoh setahun yang berlalu, tiba-tiba menjadi kuat dengan tuntutan puasa fardu di bulan ramadan. Kehadiran di masjid dan surau pada bulan lain berada pada tahap yang agak mengecewakan tiba-tiba statistiknya naik mendadak apabila ramadan datang menjelma. Demikianlah aura yang dibawa oleh ramadan. Kita punya kekuatan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Membicarakan kelebihan ramadan sahaja tidak memadai jika tidak direbuat peluang yang dikurniakan oleh Allah untuk kita setahun sekali. Entah tahun depan masih kesempatan atau tidak. Allah sahaja yang tahu.
Madrasah ramadan mendidik kita melawan hawa nafsu, sabar dengan cabaran, beramal dengan kehendak Allah dan Rasul serta meyakini dengan balasan dan pengawasan Allah SWT. Bila melalui bulan ini ramai yang berubah jadual dan aktiviti hidupnya. Semuanya berusaha untuk mengubah cara hidup ke arah lebih 'Islamik' dalam bulan yang mulia ini. Yang tidak bertudung mula mengenakan tudung, yang jarang ke rumah Allah berpusu memenuhinya walaupun pada beberapa hari awal dalam bulan ramadan. Suasana ramadan benar-benar menjadi detik yang snagat dirindui.
Namun tak kurang juga yang tidak ambil kisah dengan kedatangan bulan mulia ini. Mereka terus leka menghirup nikmat dunia tetapi terlupa tuntutan puasa tidak hanya menahan makan dan minum jauh dari itu kesempurnaanya adalah dengan meninggalkan segala bentuk maksiat. Begitu juga yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat. Golongan ini memenatkan diri sendiri. Allah tidak menerima puasa orang yang tidak bersolat. Ada yang lebih dahsyat ramadan ini hanya menjadi peluang untuk mencari wang, sehingga ada di kalangan mereka mengabaikan kewajipan berpuasa dan sunat tarawih. Inilah senario puasa di Malaysia.
Ruginya kita, membiarkan ramadan berlalu begitu sahaja. Andai di bulan mulia ini kita tidak mampu memperbaiki diri ke arah yang lebih baik mungkin di bulan lain peluangnya agak tipis. Kalau di bulan mulia ini masih berat untuk mendatangi rumah Allah, bulan lain rasanya lebih berat, Kalau bulan mulia ini masih berat untuk menunaikan solat, maka apatah lagi pada bulan yang lain. Kalau di bulan mulia ini sukar untuk membaca al-Quran, bagaimana pula pada bulan yang lain. Kalau di bulan mulia ini tidak menutup aurat, di bulan lain lagi sukar untuk mendapatinya menutup aurat. Kalau di bulan ini masih lagi meneruskan kerja maksiat dan mungkar, bagaimana pula pada bulan yang lain ....
Lobai Kampung : Ya allah jangan kau palingkan hati kami, setelah engkau memberi petunjuk dan kurniakanlah kepada kami dari sisi mu rahmat sesungguhnya engkau maha pemberi ...
0 comments:
Post a Comment