Malam nisfu syaaban ( 15 Syaaban ) biasanya akan menjadi satu sambutan wajib bagi kebanyakan surau dan masjid di sekitar Negeri Sembilan. Kebiasaannya majlis diisi dengan bacaan Surah Yaasin sebanyak tiga kali dan diselangi dengan bacaan doa. 3 kali bacaan Surah Yaasin dengan 3 niat yang iaitu memohon panjang umur di dalam keberkatan, dimurahkan rezeki dan mati dalam keadaan beriman. Walaupun bacaan surah Yaasin sebanyak 3 kali ini bukanlah suatu amalan sunnah yang semestinya menjadi bacaan wajib pada malam tersebut, namun ianya telah menjadi suatu adat kebiasaan dalam masyarakat.
Menurut Ikrimah di dalam menafsirkan ayat ke 3 dari surah Ad-Dukhan menyebut ayat ini merujuk kepada penurunan al-Quran pada malam nisfu syaaban. Walau bagaimanapun menurut jumhur ulama' Al-Quran turun pada malam lailatil qadr. Bagi sebahagian ulama yang membesarkan malam nisfu syaaban, mereka berpandangan malam nisfu syaaban adalah malam yang penuh keberkatan seperti yang disebut dalam ayat ke 3 surah ad-Dukhan tersebut. Justeru mereka mengambil kelebihan malam tersebut untuk meningkatkan amalan.
LK tidak berhasrat untuk mengatakan salah dan bidaah bagi amalan nisfu syaaban. Sesuatu ibadah selagi tidak bertentangan dengan syarak, boleh diterima walaupun selagi ada asas di dalam al-Quran dan As-Sunnah. Contohnya, bacaan Surah Yasin, tidaklah menjadi kesalahan kerana ia adalah surah dari al-Quran. Asas pertimbangan keutamaan bagi bagi sesuatu ibadah adalah yang wajib dan fardu lebih utama dari yang sunat. Itu sahaja. Apa yang penting adalah kita memastikannya masih dalam ruang yang dibolehkan oleh syarak.
Semalam ( 5 Ogos ) selepas asar. Seorang teman bertanya mengenai amalan nisfu syaaban yang bertembung dengan kuliah bulanannya. Jawapan di atas adalah jawapan saya untuk persoalannya. Kebetulan malam itu saya ada jemputan ceramah Isra' Mi;raj di Masjid Taman Bukit Chedang, Rasah. Sebelum maghrib jawatankuasa masjid berbisik untuk membaca surah yasin, saya mencadangkan agar dibuat sekali sahaja kerana bimbang mencuri masa yang panjang untuk menyelesaikan ceramah. Kira-kira mudah untuk 3 kali yasin mungkin tamat jam 8.40 pm. Jika ceramah bermula 8.45 pm bermakna akan tamat jam 10.00 malam. Satu tempoh yang agak panjang bagi perkiraan orang yang baru berjinak ke masjid. Mereka tetap mahu meneruskan membaca 3 kali surah yaasin, saya menolak dengan cara baik untuk meminta imam masjid tersebut memimpinnya. Suara juga serak pada malam itu, andai saya memimpin yaasin tentu waktu ceramah kehilangan suara.
Kehadiran malam itu boleh tahan ramainya, tidak pula saya pastikan ramainya itu adakah kerana ingin membaca yaasin 3 kali atau untuk mendengar ceramah. Di muqaddimah ceramah, saya tekankan kepada jemaah yang hadir. Membaca surah yaasin adalah membaca al-Quran. Setiap satu huruf 10 pahala kebaikan. Manakala mendengar ceramah adalah majlis ilmu yang dijanjikan banyak pahala oleh Allah dan rasul, dengan syarat bagi yang berniat datang malam ini untuk sekadar membaca yaasin jangan pula bersungut terpaksa pula mendengar ceramah, begitu juga bagi yang datang dengan niat untuk mendengar ceramah jangan pula bersungut kerana membaca yaasin 3 kali. Bimbang keduanya tidak beroleh pahala dari Allah.
Masyarakat kita masih lagi belum diberi kefahaman yang jelas tentang selok belok usul fiqh dan persoalan fiqh keutamaan. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita dalam tempoh mendidik masyarakat memahamkan mereka dengan perkara ini. Sekiranya tidak masyarakat sampai bila-bila pun tidak akan boleh menerima perubahan. Marilah terus mendidik jangan terus menghukum, mereka masih mencari kita membantu pencarian ini.
Lobai Kampung : Demonstrasi bantah ISA : Hukumnya Haram . ISA : Tak haram pulak ...? Macam mana tu ...?
0 comments:
Post a Comment