Tiada Kena Mengena Dengan Politik ?

.
2 comments

Tanam harta dalam tanah lepas tu letak sign board ' SINI TAKDE HARTA '

Terima kasih, sepatutnya bukan tangguh tapi hapus terus .

Sebagai seorang muslim segala perkara baik yang berlaku wajib kita syukur dan yang tak baik kita sabar. Demikian sifat seorang beriman. Bagi yang bersyukur Allah akan tambahkan nikmat dan kebaikan dan bagi yang kufur Allah tidak mengurangkannya sebaliknya kadang-kadang menambah nikmat sehingga mereka lupa lalu diberikan azab yang berat.

Persoalannya kini apakah hikmah yang berlaku di sebalik pembatalan kenaikan harga tol. Secara mudah kesimpulannya ia memang ada kait rapat dengan kepentingan politik. Pertama suara rakyat yang kuat membantah menyebabkan penangguhan ini diumumkan. Kemudian suara pembangkang yang kuat juga memainkan peranan. Pernahkah kita terfikir 10 ke 15 tahun sebelum ini. Tiada yang dah naik akan turun di Malaysia ini. Tetapi bila isu harga minyak didebatkan secara terbuka di dalam televisyen akhirnya harga minyak diturunkan. Selepas itu tol pulak tak pernah dah umum naik kemudian ditarik balik. Ini semua isu politik, dibaca dengan bacaan politik ditafsir dengan kitab politik.

Jawapan untuk persoalan ini terlalu mudah. Sebab pemimpin-pemimpin kita adalah di kalangan ahli politik. Oleh sebab itu semua tindakan mereka mesti meletakkan kepentingan politik. Demikianlah bahayanya hidup ini apabila kiblatnya adalah kepentingan. Tak salah jadi ahli politik. Tapi yang salahnya bila ahli politik yang berkepentingan. Tambahan pula kepentingan itu bukan bersifat menepati kehendak syara' .

Bukan ahli politik sahaja, sesiapa termasuk lobai-lobai. Bila hidup di atas sesuatu kepentingan maka sudah tentu segala tindak tanduknya merujuk kepada kepentingan yang bermanfaat buatnya. Contoh kalau ada lobai merokok, cuba tanyakan fatwa rokok padanya. Kalau jawapannya itu lain dari fatwa, kesimpulan mudahnya rokok itu kepentingannya. Kalau ada lobai meniaga gelang, meniaga ubat atau apa jua kalau berlaku sesuatu isu berkenaan apa yang dijual kalau jelas benda tu haram tapi lobai tu beria-ia sangat mempertahankan maka natijahnya benda tu penting untuk dia. Ini sekadar contoh. Tetapi, selagi kepentingan itu tidak sampai melanggar syara' tidaklah menjadi masalah.

Kita berpolitik, tapi berpolitiklah untuk kepentingan Islam. Sebab nak jaga Islam itulah kepentingan yang utama. Kalau berpolitik semata-mata nak berkuasa tapi untuk kepentingan sendiri maka itu merbahaya. Dia boleh jadi katak dan kadang-kadang boleh jadi sesumpah. Di tempat yang kuat pegangan agama ahli politik berlagak macam Lobai, di tempat lain bertukar pulak imej dia. Hijrah Nabi SAW ke Madinah adalah untuk merealisasikan perintah Allah dengan sempurna. Jika di Mekah, Islam hanya praktikal pada ibadah ritual semata-mata seperti solat dan lain-lain, maka dengan pentadbiran politik yang dipegang di Madinah Islam di zahirkan dalam bentuk prkatikal yang lebih syumul.

Lobai Kampung : Maka semua ahli politik kena belajar mengaji Fiqh Keutamaan / Kepentingan supaya tindakannya memang berkepentingan, untuk Islam. Lawat LINK ini. Ini pun ada kena mengena dengan politik !!!

Hadiah Istimewa Buat Rakyat Terus Merana

.
5 comments




Kenapa nak ribut-ribut
Tol tetap naik perjanjian diturut
Apa peduli rakyat semput
Asal poket kroni tetap melayut

Bila naik alasannya mudah
Tiada pilihan untuk diredah
Konsesi tak boleh susah
Biar rakyat tanggung resah

Tak perlu nak bimbang
Amarah rakyat tak bergelombang
Seminggu dua senyaplah gendang
Bising-bising kejap lepas tu hilang

Bila ada kenaikan itulah yang dikata
Kenaikan kecil berbanding subsidi yang ada
Patut naik dah lama tangguh diminta
Lepas ni Barang melambung naik harga

Tahniah ! Tahniah ! Siapa setuju dengan kenaikan ini ???

Dialog orang kampung

Dialog I

Lobai : Mak cik, tol naik laie

Makcik : Alah apo nak heran, den bukan pakai tol pun. Biarlah deh naik, jangan rokok pucuk naik dahlah

Lobai : Tapi rokok mak cik tu nak sampai kodai lalu tol jugak

Makcik : Yo Ko ? Alahai tak guno botol tol ni

Dialog II

Pak cik : Ustaz ngaja tu jgn ceghito politik lobih-lobih

Lobai : Ceghito politik? Yang Mano ?

Pak cik : Ala yang zalim-zalim tu

Lobai : Ish tu memang doso bosar bukan dengan orang dengan binatang pun tak buleh

Selepas kenaikan harga tol ....

Pakcik : Ustaz , lopeh ni bantai lobih2 sikit ni zalim ni !!

Lobai Kampung : Kenaikan harga tol ini tidak ada kena mengena dengan politik !!! ????

Berkepentingan ?

.
1 comments

Apakah kepentingan yang sepatutnya menjadi keutamaan bagi seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT. Tiada kepentingan yang lain melainkan Allah dan Rasul. Soalnya bagaimana pula ? Masing-masing mendakwa merekalah yang benar, merekalah yang betul merekalah yang mendokong Allah dan Rasul. Artikel ringkas ini cuba menganalisa beberapa pekara untuk dijadikan penilaian tidak kira siapa pun mereka terutama ' orang politik ' atau ' orang atas pagar '

Termasuk di antara perkara yang membelakangi kepentingan Allah dan Rasul adalah kecintaan kepada dunia yang membinasakan. Cinta dunia di dalam erti kata mengejar kepentingannya sama ada berbentuk pangkat, kedudukan dan harta kekayaan. Kesemua kecenderungan kepada kelazatan dunia ini hanya akan merosakkan apabila kita melampaui batasan yang telah ditetapkan. Mengejar pangkat sehingga merosakkan akidah dan pegangan, mengejar kedudukan dengan mengabaikan syariat dan mengejar harta kekayaan sehingga terlibat dengan sesuatu yang haram.

Sebab itu dalam dunia ini kebenaran dan kebatilan tidak boleh dinilai berdasarkan dengan ukuran keduniaan yang diperolehi. Sebagai contoh, yang kalah belum tentu salah dan yang menang belum tentu benar. Sebaliknya penilaian kebenaran ini diukur berdasarkan ukuran yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Nabi SAW pernah juga kalah dalam siri peperangan, tetapi kekalahan itu bukanlah ukuran kepada benar atau batil sebaliknya tarbiah dari Allah SWT.

Manusia yang bersungguh-sungguh inginkan dunia di dalam perjuangan mereka, Allah tetap akan mengurniakan buat mereka tetapi kurniaan itu dalam bentuk ancaman dari Allah.

Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan Surah Hud 15-16

Jangan kita kehairanan sekiranya mereka yang mendokong kebatilan beroleh kedudukan yang hebat di dunia ini. Sebaliknya kita wajib memperkukuhkan keyakinan kita kepada Allah yang pasti menjanjikan kemenangan buat kebenaran

Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap". Surah Al-Isra : 81

Oleh sebab itu siapa pun kita apabila meletakkan kepentingan selain dari Allah dan Rasul sebagai keutamaan maka kita akan melihat di sinilah punca kerosakan seseorang. Sama ada ahli politik, ulama, orang awam dan siapa sahaja.

Contoh mudah LK berikan dalam mana-mana kuliah. Seorang guru agama di tanya mengenai hukum main nombor ekor, dengan tegas guru itu berkata haram, tetapi apabila si penanya bercadang untuk bahagi dua duit tu, guru agama ini pun mula goyang, akhirnya dia kata : " Ada hujah kata HARUS " Demikianlah bila hidup di atas kepentingan. Kita melihat apabila ulama ada kepentingan mereka akan mencari hujah membenarkan kepentingan mereka. Kepentingan itu tidak semesti bebentuk harta atau pangkat bahkan kedudukan yang tergugat juga adalah satu kepentingan.

Cuba bayangkan apa akan jadi dalam dunia poilitik apabila para politikus mengejar kepentingan. Mereka akan mendahulukan kepentingan mereka lebih dari amanah yang diberikan. Ada satu kisah di zaman satu khalifah seorang Gabenor ( wakil khalifah) yang dilantik di seseuatu kawasan hanya boleh menjadi Gabenor selama 4 tahun. Di dalam 4 tahun itu tiada gaji dan elaun serta kelebihan buat mereka. Semua keperluannya akan disediakan mengikut keperluan asas sahaja. Tiada keistimewaan lain. Selepas 4 tahun Gabenor ini akan di buang ke padang pasir selama 2 tahun dan selepas itu mereka akan jadi orang awam semula. Pada waktu itu tiada siapa yang berani menawarkan diri untuk merebut jawatan Gabenor tersebut.

Hari ini kenapa begitu kecoh kedudukan politik kita? Jawapannya mudah bila ada jawatan, masing-masing mudah dapat kepentingan. Bayangkan jadi Menteri Besar tak dapat apa-apa. Semua elaun dimasukkan ke dalam tabung rakyat miskin, tiada keistimewaan lain. Agak-agak ada tak orang nak rampas kuasa ? Politik itu tidak kotor yang kotor adalah ahlinya yang mengejar kepentingan !!!

Lobai Kampung : Jadilah ahli politik yang beriman, prinsip ikut quran, tindakan ikut Nabi junjungan, pendekatan dipelbagaikan tetapi prinsip kebenaran tidak digadaikan.

Ulama' Berkecuali ?

.
1 comments

Perlukah seorang orang berilmu mengambil pendirian berkecuali ? Mengambil pendirian berkecuali adalah salah satu cara yang paling selamat untuk keluar di dalam sesuatu kemelut. Tetapi ianya bukan kepada seorang berilmu yang menjadi ikutan dan panduan orang awam. Orang awam akan menilai sesuatu perkara berdasarkan pandangan terhadap sesuatu isu dinilai oleh seorang ilmuan. Contohnya mudah seorang pakar tanah ditanya mengenai keadaan tanah. Lalu dia menjawab merbahaya. Lalu ditanya pendiriannya apakah selamat diduduki ataupun tidak. Dia pun menjawab dalam hal ini saya tak boleh beri jawapan. Apa akan jadi kalau ada yang mengambil pendirian sendiri. Seseorang yang berilmu wajib mendidik mereka yang jahil menentukan mana yang baik dan mana yang tidak serta sedia menanggung risiko di atas pendirian berpaksi kebenaran. Nabi pernah meletakkan gelaran Syaitan Bisu bagi orang alim yang mendiamkan diri apabila berhadapan di antara kebenaran dan kebatilan.

Pendirian berkecuali ini adalah kesinambungan dari usaha penjajah dan dipelopori oleh Mustafa Kamal pemusnah empayar daulah Othmaniah. Mereka mengasingkan urusan keduniaan dengan Islam. Hal ini menyebabkan para ilmuan di larang menyentuh isu-isu kemungkaran yang melibatkan pentadbiran. Ulama hanya dibenarkan mengajar ilmu-ilmu yang bersifat ritual semata-mata tanpa memperdulikan urusan siasah yang menjadi sebahagian dari keperluan masyarakat muslim. Maka akhirnya timbullah pelbagai pendekatan dan pandangan sehingga ada di kalangan para ilmuan mengambil langkah untuk berkecuali di dalam hal-hal siasah. Siapa yang rugi? Ummat Islam terus diperbodohkan. Apabila ada di kalangan ulama bersuara lantang, mereka akan meletakkan pelbagai tanggapan bahkan sehingga ada yang menerima hukuman.

Tetapi Nabi SAW bersabda : Akan berterusan ada di kalangan ummatku sekelompok manusia yang menzahirkan kebenaran sehingga tiba janji Allah SWT.

Terdapat beberapa ayat Al-quran yang menggambarkan tentang ciri ilmuan. Ilmuan tidak sempurna mereka tetap ada kekurangan, tetapi mereka akan selamat selagi sandarannya masih kepada Allah dan Rasul dan bukan pada dunia serta kepentingannya.


1. Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. Surah Fatir ; 28

2. Nabi Hud berkata: "Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah, dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya, tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil (akan tugas Rasul)!" Surah Ahqaf : 23

Jangan sesekali kita meletakkan hukum kepada orang berilmu yang menjalankan amanah yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul. Sebaliknya kita menjadi pendokong dan penyokong kepada kebenaran yang diperjuangkan.

Nabi SAW bersabda : Seberat-berat manusia yang menerima azab pada hari kiamat ialah orang berilmu yang tidak dimanfaatkan untuk Allah dengan ilmunya.

Perintah terhadap orang berilmu sangat berat kerana mereka memikul amanah dan warisan para anbiya' . Sekiranya mereka gagal meletakkan kebenaran pada tempat yang sebenarnya bermakna mereka telah mengkhianati ilmu yang dikurniakan Allah. Kehidupan manusia ini hanya mencari satu makna antara yang haq dan yang batil.

Raja Tak Termakan Propaganda

.
0 comments

Entri kali ini tidak pernah berniat menyinggung mana-mana pihak, kebetulan tajuk ini dibincang dalam kuliah Lobai Kampung di Surau Kampung Ismail, pada 22 Februari 2009 selepas maghrib. Kitab yang digunakan adalah kitab riadussolihin, Bab Benar.

Maksudnya : Daripada Abu Sufian iaini Harb bin Sakhor r.a mengenai ceritanya yang panjang lebar berhubung dengan kisah Hiroqlun ( seorang raja beragama Nasrani di Syam, pernah belajar kitab Taurat dan Injil dan seorang raja yang cerdik ) Ketika Abu Sufian belum beriman dia dan rombongan kafir quraisy ke Syam untuk mengadu perihal ajaran Nabi Muhammad SAW kepada Raja Hiroqlun tersebut. Dengan satu harapan agar raja ini turut memusuhi dan tidak menerima Nabi Muhammad SAW. Raja tersebut bertanya apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada mereka .

1 . Sembahlah (patuh) kepada Allah dan jangan menyekutukan Allah dengan sesuatu
2. Tinggalkan semua ajaran orang-orang tua kamu (menyembah berhala)
3. Menyuruh kami menunaikan solat, bercakap benar, iffah (nilai diri tinggi ) dan menghubung silaturrahim

Maka apabila diceritakan kepada Raja perihal Nabi Muhammad SAW, Raja tersebut pantas sahaja menyatakan itulah Nabi yang disebut pada kitab-kitab yang terdahulu. Semua wajib beriman dengan ajarannya .

Demikianlah perancangan jahat manusia, kerja melebarkan propaganda kepada orang berpengaruh seperti Raja ini rupanya dah lama dibuat. Cuma hari ini bentuknya lain sedikit. Tetapi perancangan Allah mengatasi perancangan manusia. Kebenaran ini mudah diterima apabila manusia cuba membuka hati untuk melihatnya. Tetapi apa yang menyebabkan kebenaran itu terhalang untuk diterima, sudah tentu hatinya tidak melihat yang melihat cuma matanya sahaja.

Lobai Kampung : Sejarah kebangkitan Islam tidak bersandar kepada ketokohan seorang pemimpin berpengaruh seperti raja. Kebangkitan Islam bertitik tolak kepada sejauh mana kebergantungan kita kepada Allah SWT. Walau hebat bagaimana yang mendokong dan seramai mana yang menyokong Islam tetap akan berada pada kemuliaannya. Kitalah yang rugi apabila tidak bersamanya. Jangan lemah semangat. Allah pasti bersama kita!!!

Memang Tak Boleh Dipercayai !!

.
0 comments

Sekian lama LK menyepi tetapi kali ini LK kembali mendapat idea dan semangat baru untuk terus menulis di blog ini. Apa dah jadi kepada negaraku yang dicintai ini selepas satu isu timbul pula isu yang lain. Kebanyakan isu yang kita dapati semuanya sbersifat berat sebelah. Jawapannya mudah kerana semua insitusi yang ada memang berat sebelah dan cenderung menyokong kepada satu pihak .

Sejak dari awal lagi apa pun keadaannya apabila manusia mula cenderung kepada sesuatu yang bersifat keduniaan maka sudah pasti mereka tidak mampu diharapkan keadilan daripadanya. Sebab itu sandaran kepada keadilan hanyalah kepada Allah SWT. Kadang-kadang LK tertanya juga mereka yang memegang amanah tetapi sanggup mengkhianati amanah ini, apakah mereka selesa dengan tindakan mereka. Tidak ada masakah dalam satu hari mereka duduk seorang diri kemudian persoalan itu menerjah pemikiran mereka. Pasti ada !

Firaun yang Maha Jahat itupun apabila diajukan hujjah oleh Nabi Musa as mula goyah dan memikirkan kebenaran. Tetapi apakan daya Firaun dikelilingi oleh mereka yang berkepentingan suara hati itu diabaikannya. Manusia apabila terus ditutup dengan keegoaan mereka gagal melihat kebenaran, namun apabila ego itu lebur mereka akur. Tengok apa yang terjadi kepada Tun Dr M, ketika berjawatan keyakinannya terhadap apa yang dilakukan di tahap 300 peratus namun apabila beliau berundur mana pergi kehebatan yang dipertahankan.

LK tengok begitulah adatnya manusia. Ketika mereka berjawatan dan berkepentingan yang hitam pun kalau mereka nak putih mereka boleh buat. Tapi persoalannya sampai bila ? Sampai menupang langit ke ? Kepada semua yang memegang amanah dan jawatan yang tinggi di dalam SPRM, PDRM, SPR, Kerajaan Malaysia dan apa jua sedarlah suatu hari nanti anda akan ke bawah juga.

Jijik sangat rasanya baca senario yang berlaku pada hari ini. Yang dah dibuktikan bersalah tidak didakwa, yang belum dipastikan kesalahannya dihukum bagai orang yang bersalah. Masyarakat terus diperbodohkan dengan laporan yang berat sebelah. Natijahnya kita melahirkan masyarakat yang tidak seimbang. Hidup terus tertekan dan ditekan.

Kepada semua pendokong kebenaran ayuh kita teruskan langkah ini. Andai terjatuh tak mampu bangun kita merangkak, andai terbaring kita menjerit, andai kehilangan suara kita, masih mampu melakukan sesuatu. Penerangan perlu terus dijalankan, kaedah-kaedah yang selesa seperti internet perlu disebarkan tak semua orang kampung dapat maklumat tepat. Apa kaedahnya yang penting maklumat sampai. Kalau tak semua pun setidak-tidaknya dapat yang betul. Siapa lagi yang boleh kita harapkan, lapor pada itu pun tak jalan pada ini pun tak boleh jalan. Akhirnya, memang semua tak boleh dipercayai.

Lobai Kampung : Percaya dan yakin hanya padaNYA

Kontroversi : Gambar Lobai Tengok Filem ?

.
0 comments

Ini bukan cerita seorang Lobai tengok wayang dengan .......... tapi hari ini LK tak cerita politik ... Nak cerita filem pulak



RM 1.75 Juta untuk tayangan 4 hari ?

Hebat betul penangan Geng : Pengembaraan bermula. Kenapa dapat sambutan?Mungkin semua orang bernostalgia dengan suasana kampung yang dipaparkan. Skripnya mudah dan mesra kanak-kanak. Bagi pengikut siri Upin dan Ipin sudah tentu gelagat mereka menjadi tarikan.

Saya tidak berhasrat memuji lebih-lebih filem animasi ini. Betapa banyak filem kita cuba menembusi pasaran antarabangsa namun gagal sebelum ini. Ke Indonesia pun tak diterima pak ! Tapi filem Gang dengarnya bakal ditayangkan di Indonesia. Filem-filem Malaysia semuanya tak boleh pergi jauh. Buat cerita cinta tiru industan, buat cerita aksi ikut omputih, buat cerita kelakar lawak bodoh, buat cerita agama semua orang agama sesat. Langsung tiada jati diri sendiri.

Di Malaysia ni banyak sangat yang tiru. Kalau benda baik yang ditiru boleh lah jugak dimaafkan, tapi yang ditiru semuanya yang tak baik. Lepas tu ubah ikut selera Malaysia kononnya. Politik pun macam tu jugak. Tiru siapa tanyalah orang politik yang meniru tu. Kita berpolitik ikut Nabi itu baru betul. Nabi Berpolitik ? Itulah belajar feqah sampai bab haid saja mana nak jumpa bab Jihad. Belajarlah habis-habis. ( kata tak nak cerita politik )
Lobai Kampung : Berpolitik di Masjid tak boleh, tetapi mempolitikkan Masjid tak salah pulak ?

Misteri 3 Bukit

.
0 comments

Masyarakat melayu dulu-dulu sering mengaitkan bukit dengan puaka. Sejauh mana kebenarannya kita pun tidak dapat memastikan. Berlainan pula dengan masyarakat Cina mereka melihat Bukit sebagai tempat mencurahnya rezeki. Demikian apa yang dibuat oleh Lim Goh Tong kepada Genting Highlands.

Sejak akhir-akhir ini kawasan kawasan bukit mula menjadi tumpuan. Segelintir masyarakat Melayu kini tidak lagi takut pada puaka bukit sebaliknya mula melihat bukit sebagai tempat untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada mereka. Apakah pegakhiran perebutan 3 bukit ini. Ada yang mungkin jatuh dari bukit, mungkin juga ada yang berjaya menawan bukit ini. Untuk Bukit Gantang pemergian Heronya dengan menyambut seruan Allah, maka sudah pasti pengundi masih mengimpikan kesinambungan legasi kepimpinannya. Bagi Bukit Selambau, pengunduran heronya di atas tekanan. Maka rakyat akan menilai penganiayaan tersebut. Terus menjadi misteri adalah Bukit Lanjan, apakah gambar kontroversi itu menghilangkan keyakinan rakyat di sana? Sukar juga diberikan jawapan apapun tunggulah 4 April ini. Sementara itu marilah kita menganalisis ketinggian ketiga-tiga bukit tersebut dan siapa yang agaknya sampai dulu .

Bukit Gantang ( 1,566 m)
Bukit Selambau ( 7,695 m)
Bukit Lanjan ( 5 155 m)
Bukit mana yang akan ditawan oleh Keliwon ?
Lobai Kampung : Makin hari makin pening, makin hari makin hening, makin hari makin hancing, makin hari makin genting, itulah dunia politiking.

Strategi Peperangan

.
0 comments

Di dalam peperangan pelbagai taktik dan cara digunakan asalkan matlamatnya mengalahkan musuh. Namun di dalam Islam matlamat peperangan adalah merupakan jalan terakhir dalam dakwah. Setelah musuh berdegil dan enggan maka pada ketika itu diharuskan berperang.

Pun begitu di dalam Islam peperangan sekali pun tegang, tidak boleh sama sekali kita mengabaikan adab-adab dalam peperangan. Indahnya Islam walaupun dalam keadaan peperangan aspek akhlak tetap diberi keutamaan. Islam tidak pernah menghalalkan sesuatu yang haram melainkan disebabkan oleh keadaan yang benar-benar darurat.

Persoalannya kini, adakah medan politik ini adalah medan perang? Kalau benar di mana hujahnya dan kalau bukan kenapa pula? Kancah politik hari ini semakin kotor kerana di sembah oleh golongan manusia yang terlalu gilakan kuasa. Apa relevannya mendedahkan aib orang di dalam medan politik ini. Aib yang didedahkan pula berlindung di bawah nama moral, sedang yang mendedahkannya sendiri terlalu jauh jaraknya dengan moral.

Lobai Kampung : Kita bukan baik sangat, cuma jahat kita tidak diketahui orang. Andai aib orang didedahkan kita bertepuk tangan apakah ketika aib kita didedahkan kita mampu untuk bertepuk tangan juga ?

Sehari Satu Agenda

.
0 comments


15 Februari 2009 sehari penuh Aktiviti tapi satu agenda . Menegakkan yang hak meruntuhkan yang batil. Seharian, sampai habis suara. Tapi kepuasan tidak terhingga .

6.30 am Kuliah Subuh, Tmn Cengal Utama
Tajuk : Kecintaan Kepada Dunia Yang Membinasakan
Kato Lobai : " Memburu dunia secara membabi buta tanpa mempertimbangkan yang halal dan yang haram, sehingga kehabisan waktu untuk beribadah kepada Allah "

8.30 am Ceramah Saudara Baru, PDI Paroi
Tajuk : Islam Is The Way Of Life ( ceramah dlm bahasa melayu !!)
Kato Lobai : " Jangan cuba mengenal Islam dengan melihat kepada orang sekalipun hebat bagaimanalah dia, tetapi kenalilah Islam pasti anda akan kenal siapa orang Islam ..."

10.30 am Kursus Imam, Surau Seremban Selatan
Tajuk : Tatacara Imam dan Makmum
Kato Lobai : " Imam yang 5 minit pun banyak syarat, apa lagi kalau imam 5 tahun "

7.45 pm Kuliah Bulanan, Surau Tmn Senangin
Tajuk : Kitab Aqidah Ahlussunnah Wal jamaah
Kato Lobai : " Jangan jadi Bani Israel dimurkai Allah kerana menyelewengkan perintah Allah untuk kepentingan peribadi mereka "

Lobai Kampung : Sebahagian, aku bukan yang memulakan jalan ini dan bukan pula yang mengakhirinya tetapi aku mahu jadi sebahagian dari mereka yang menempuh jalan ini...

Yang Biasa, Tak Biasa

.
0 comments

Seorang tabi' tabi'en( generasi selepas sahabat Nabi SAW ) pernah menyebut : '' Kamu banyak melakukan perkara yang besar kesalahan pandangan kami ketika bersama sahabat, tetapi kecil pada pandangan kamu pada masa kini ''

Pada zaman ini mungkin lebih dahsyat lagi, apa yang kecil pada pandangan kita pada hari ini sangat besar kesalahannya. Antaranya ( dalam kurungan itu adalah ayat kita ) :

1. Membuka aurat bagi lelaki dan perempuan ( alah dah moden ...)
2. Bergaul tanpa batasan antara lelaki dan perempuan ( nanti takde daya saing ... )
3. Masjid tidak diimarahkan ( kat rumah pun sah jugak .. )
4. Tidak berbakti kepada ibubapa ( sibuklah.. tak sempat )
5. Rasuah dan riba ( kita tak dapat..cuba dapat )
6. Menipu atas nama agama ( betul apa dia cakap ada ayat quran lagi ! )
7. Bermewah secara melampau ( hidup nilah nak merasa )
8. Meminggirkan majlis ilmu ( dah tau semua dah .. )
9. Memuja makhluk secara melampau ( dialah contoh terbaik )
10. Makan benda syubhat / haram ( kaji sangat nanti semua tak boleh makan )
11. Buat maksiat atas nama amal ( yang penting dapat banyak )
12. Tinggalkan solat ( muda lagi, pencen sok solatlah .. )
13. Hiburan secara melampau ( release tension .. )
14. Menyambut hari kebesaran orang kafir ( kita rai je tak ikut pun agama diorang )

Banyak lagi..kalau sesiapa ada idea tolong post, ni sebahagiannya sahaja . Nantilah bala dari Allah bila melakukan perkara yang di larangnya. Lepas ini kita akan tengok pulak benda baik yang menjadi kejanggalan kita pada hari ini.

Lobai Kampung : Bila bala ditimpa ke atas sesuatu kaum ia tidak hanya memilih mereka yang melakukan kemungkaran sahaja, semuanya kena. Ya allah selamatkan kami dari fitnah-fitnah ini.

Bonci Bona ( Benci Sangat )

.
0 comments

Nabi SAW bersabda bermaksud : Apabila kamu melihat ( mengetahui/dengar) sesuatu kemungkaran maka hendaklah diubah dengan tangan(kuasa), jika tidak mampu diubah dengan lisan dan jika tidak mampu diubah dengan hati (benci) maka peringkat itu adalah serendah iman.

Mengubah kemungkaran adalah suatu kewajipan bagi sesiapa yang beriman kepada Allah SWT. Ukuran keimanan seseorang diukur kepada sejauh mana sikapnya terhadap sesuatu kemungkaran yang berlaku. Persoalannya hari ini apakah kita ada perasaan sedemikian. Atau sekadar menyebut, BIASALAH TU.. Saban hari kita berhadapan dengan pelbagai bentuk kemungkaran sama ada yang besar atau yang kecil. Apabila ditanya apa yang mampu kita lakukan masing-masing akan mengambil jawapan ketiga (benci dalam hati). Itu pun masih dianggap baik bagi sesetengah orang. Kalau bekerja, jawatan kita masih di takuk lama, apa kesimpulannya. Begitu juga dengan iman.

Seperkara lagi, membenci kemungkaran bukan bererti membenci individunya secara mutlak. Tetapi yang dibenci adalah kemungkaran yang dibuat. Sebab itu kebencian kita terhadap sesuatu kemungkaran jangan menyebabkan kita meninggalkan dakwah kepada mereka. Kategori manusia yang melakukan mungkar ini ada yang ghafil(lalai) justeru perlu diperingatkan.

Susahnya nak menjaga hati, kadang-kadang yang dibenci sangat orangnya. Bukankah Nabi SAW sedia melupakan kejahatan yang dilakukan oleh sesiapa sahaja asal mereka bersungguh ingin bertaubat. Sebab itu dalam apa jua keadaan Islam mengajar konsep wasatiah (pertengahan) . Wasatiah tidak pula menyebabkan kita tidak berbuat apa-apa, tetapi kita berikhtiar dengan apa cara sekalipun agar mereka sedar akan kesilapan mereka. Jangan terlalu benci . Andai hidayah Allah mengetuk pintu hati mereka, kemudian bertaubat mungkin mereka lebih mulia dari kita.

Lobai Kampung : Hari ini 13 Februari 2008 ada Jemputan Majlis pecah tanah Kompleks Saudara Baru di Rahang, perasmian oleh DZH (MDJPM ) rasa nak pergi tapi .. susahnya nak jaga hati. Bila diberitahu dapat elaun, cancel terus.

Lepas Dengan 3 Syarat

.
0 comments

Kisah bermula apabila sepasang suami isteri diijabkabulkan secara sah. Perkahwinan atas dasar suka sama suka. Isteri tersebut pernah bernikah dengan seorang lelaki yang berharta tetapi perkahwinannya tidak bahagia kerana Suami Lamanya selalu menipu dan menganiaya. Suami Baru bersedia menjadi pelindung isteri dan tidak akan sama sekali membiarkan isterinya teraniaya.

Pasangan suami isteri ini melayari kehidupan dengan bahagia dan dikurniakan anak-anak yang ramai. Hampir 31 orang. Tetapi .. suatu hari, suami lamanya telah pun menculik 3 orang anak-anak mereka. Suami Baru yang prihatin terus mencari anak-anaknya yang hilang. Beliau tidak mengetahui ke mana perginya anak-anak mereka sehinggalah anak-anak itu muncul di kaca televisyen sambil memakan gula-gula batang mereka berkata ' Kami tak nak lagi bersama dengan bapak kami, pak cik ni baik belanja kami gula-gula'

Terkejutlah si Suami Baru ini bila melihat ragam anaknya yang tertipu hanya kerana gula-gula. Tidak cukup dengan itu si Suami Lama ini membawa anak-anak yang diculik ini kepada Datok mereka ( bapa kepada isteri) dan memohon supaya dapat berkahwin semula dengan isterinya yang telah diceraikan. Lalu, Datok pun memanggil suami baru dan memerintahkan Suami Baru menceraikan isterinya kerana anak-anak sudah hilang kepercayaan kepada Suami Baru. Si isteri masih menyayangi Suami Baru dan tak sanggup berpisah dengannya.

Lalu dengan tegas Suami Baru menjawab, Ayah.. saya tidak akan sama sekali melepaskan isteri saya sebab saya tak bersalah, melainkan dengan tiga cara ini sahaja

a) Saya sendiri yang menceraikannya
b) Tuntutan fasakh oleh si isteri
c) Cerai ta'lik sebagaimana yang terdapat dalam lafaz ta'lik

Lobai Kampung : Jangan sesekali kita merampas hak orang lain, tambahan lagi dengan cara yang haram.
** Kisah ini tidak ada kena mengena dengan sesiapa yang sedang hidup atau yang sedang mati, Harap Maklum

4 Golongan Yang Ditolak Kebenarannya

.
0 comments

Benar dari sudut bahasa adalah ' Perkhabaran yang menyamai dengan keadaan ' atau dalam istilah yang mudah difaham tiada unsur menyembunyikan hakikat sebenar. Hari ini manusia terperangkap untuk menilai kebenaran. Puncanya sumber yang pelbagai. Dalam sebuah kitab Syarah Riadussolihin, Muqaddimah bab 'As-Sidq' ( benar ) terdapat 4 golongan yang terkeluar di dalam kategori orang yang benar. Mudah-mudahan ianya menjadi panduan berguna buat kita semua untuk menapis siapa yang benar-benar BENAR dan siapa yang benar-benar TIDAK BENAR

1. Golongan Kafir - orang-orang yang tidak percaya dengan apa yang disampaikan dalam ajaran agama Islam dan menganut agama lain. Juga bermaksud kufur iaitu menyembunyikan, menutup dan menidakkan sesuatu yang benar. Dalam maksud yang lain, kufur juga membawa maksud tidak mensyukuri nikmat pemberian Allah kepada semua manusia.

2. Golongan Munafiq - mereka menyembunyikan hakikat keengganan mereka terhadap Islam. Mereka berpura-pura beriman untuk kepentingan keduniaannya. Golongan munafiq dikenal dengan 4 ciri apabila berjanji dia mungkir, apabila bercakap dia berbohong, apabila bergaduh dia melampau, apabila diberi amanah dia khianat.

3. Golongan Fasiq - golongan yang tidak memperdulikan perintah Allah dan berterusan melakukan larangan Allah dan meninggalkan suruhanNya.


4. Golongan Ahli Bid'ah - mereka yang mengubahsuai ajaran Islam, menambah-nambah dan mengurangkan ajaran Islam mengikut kepentingan mereka.

Lobai Kampung : Gunakan panduan ini sebaik yang mungkin, mudah-mudahan kita semua terselamat dari ditipu oleh golongan yang bertopeng ini.

Jangan Ada Rekod Bersama Orang Zalim

.
0 comments

Kisah Ringkas untuk Renungan Bersama

Ketika Umar Abd Aziz menjadi Khalifah terdapat seorang Gabenor wilayah Islam yang terlantik, pernah berkhidmat sebagai Gabenor di zaman pemerintah zalim Hajjaj As-Asqofi. Mengetahui perkara tersebut Khalifah Umar Abd Aziz terus memecatnya.

Gabenor tersebut berkata " Aku hanya menjadi Gabenor di bawahnya hanya pada tempoh yang terlalu singkat "

Khalifah Umar menjawab " Sekalipun sebentar, kebersamaan kamu dengannya sedikit sebanyak meredhai kezaliman yang dilakukan olehnya"

Lobai Kampung : Demikianlah kualiti kepimpinan yang ditekankan di dalam pemerintahan Khilafah Islamiah yang agung itu. Kepimpinan adalah suatu amanah yang cukup besar, justeru pemilihannya juga mestilah di kalangan mereka yang benar-benar mampu mendepani cabarannya.

Berbaik Sangkalah Dengan Raja ...

.
2 comments

Firman Allah dalam satu Hadis Qudsi : Aku berada pada bagaimana sangkaan hamba ku kepada AKU...

Berbaik sangkalah dengan RAJA SEGALA RAJA yang telah menentukan setiap sesuatu berlaku mengikut kehendakNya. Segala yang tersurat telah berlaku, yang tersirat dinantikan natijahnya. Mungkin buruk pada kita itulah yang terbaik buat kita di sisiNya. Siapalah kita hamba yang lemah untuk menolak ketentuanNya. Dialah yang memberikan kuasa kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan menurunkan kuasa kepada sesiapa yang DIa kehendaki. Sedang Kaum A'ad, Thamud, Firaun dan Namrud bisa ditumbangkan dengan mudahnya apabila DIa mengkehendaki.

Pun begitu, usaha adalah tanggungjawab dan kewajipan kita. Menyerah kepada Yang Esa bukan bermakna kita cuma berdoa dan menantikan natijah itu berlaku dengan sekelip mata. Saidina Umar menyebut " Iringi doa dengan usaha yang bersungguh, sedang engkau mengetahui Allah tidak akan menurunkan emas dari langit untukmu " . Teruskan usaha yang pekak membakar meriam, yang buta meniup api, yang kusta mengambil buluh, yang bisu menunjuk jalan sehinggakan semuanya merasa untuk mengambil sedikit saham untuk perjuangan ini. Bukan kemenangan yang menjadi topik kini, tapi soal keterlibatan kita. Biarpun kecil tetapi hakikatnya Allah sahaja yang mengetahui nilaiNya !

Pesanan ini jadikan pembakar semangat buat kita, tiada kata seindah KalamNya, tiada ransangan sehebat sabda Baginda. Sabda Nabi SAW kepada Ibnu Abbas r.a : Wahai Anak, aku ingin mengajar kamu beberapa pengajaran. Peliharalah Allah nescaya Allah memeliharamu, Peliharalah Allah kamu akan mendapati Dia bersamamu. Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah, jika kamu meminta tolong mintalah tolong kepada Allah. Ketahuilah sekiranya seluruh ummat (manusia) berhimpun untuk memberi manfaat kepadamu dengan sesuatu nescaya mereka tak mampu memberinya melainkan dengan sesuatu yang telah ditentukan untukmu. Sekiranya seluruh ummat (manusia) berhimpun untuk memberi mudarat kepadamu dengan sesuatu nescaya mereka tak mampu membahayakanmu melainkan dengan sesuatu yang telah ditentukan kepadamu. Segenap pena telah diangkat dan lembaran telah kering . ( Hadis 19 - dari Hadis 40 An-Nawawi )

Lobai Kampung : kepercayaan dan keayakinanku kepada makhluk tidak pernah merencatkan kepercayaanku kepadaNya. Allah Maha Segalanya, yakin dan percayalah !!!!

Kisah Taubat Min (Osmin) dan Dan ( Jamaladdan )

.
2 comments

Suatu masa dahulu di sebuah kampung bernama Kerap, tinggal Min dan Dan dua orang yang bersahabat baik. Ke mana sahaja pergi pasti berdua mereka akan pergi bersama, ke Putrajaya sama-sama, bahkan hilang pun sama-sama. Satu tabiat buruk mereka berdua adalah suka menipu orang kampung. Mula-mula orang kampung percaya, tetapi lama kelamaan kepercayaan orang kampung makin hilang. Hinggalah suatu hari mereka di khabarkan hilang. Bila di temui semula mereka berdua masih menipu. Sehingga hilanglah kepercayaan masyarakat kampung kepada mereka. Kehilangan mereka berdua menyebabkan Ketua Kampung diarahkan letak jawatan.

Suatu hari ( selepas 7 bulan ) mereka berdua berasa insaf dan menyesali perbuatan mereka yang suka menipu sekaligus menyusahkan orang. Mereka bercadang untuk bertaubat. Lalu dikumpulnya semua orang kampung di tepi sebatang sungai. Mereka mengisytiharkan diri mereka kini sudah bersih dari menipu dan ingin bertaubat. Sebagai bukti, mereka sanggup terjun ke dalam sungai Kerap, sekonyong-konyong mahu mengesahkan keikhlasan mereka. Mereka fikir itulah cara terbaik mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada mereka. Mula-mula Min terjun dengan gaya katak tiruk... Lama jugak dia kat dalam sungai, bila naik tengok2 kepala dia benjol. Dan pun takut nak terjun sebab tengok kepala Min dah benjol. Tapi dalam hatinya berkata, bukan senang nak bersihkan nama, takpelah benjol pun benjollah. Dan pulak yang terjun, kali ni lagi lama dari Min. Bila dia muncul tengok2 benjol jugak tapi lagi besar. Masing-masing dah janji tak nak tipu lagi.

Orang kampung tanya kenapa benjol Min? Entahlah, masa aku turun tadi ada warong kopi aku singgah tapi tak bayar tu yang kena pukul. Dan pulak menyambung, patutlah pun aku turun tadi terus kena pukul, kau tak bayar duit kopi rupanya. Orang kampung menjawab : OO .. iye ke ? Min dan Dan rasa semua orang kampung bodoh macam dia agaknya. Akhirnya orang kampung tangkap mereka berdua dan tenggelamkan mereka dalam Sungai Kerap. Mereka muncul semula pada 2012 kali ini apa alasan tipu lagi dia nak beri supaya orang kampung caya kat dia ..?

Lobai Kampung : Tipu ni sekali pun macam sodap, tapi hati tak tonang. Yang rasa rilek dengan menipu maknanya hatinya dan kering kontang. Nabi pun ada sebut dalam hadis riwayat Muslim : Kebajikan itu ialah akhlak yang baik dan dosa itu ialah sesuatu yang diragu-ragukan oleh dirimu dan kamu benci manusia melihatnya.

Perak..Perak..Perak ... Negeri Sembilan ?

.
0 comments

Nampak gayanya seluruh tumpuan media diberikan kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Kerajaan PR di Perak kini masih sah sebagai kerajaan memerintah. Tapi, andai situasi yang sama berlaku di Negeri Sembilan, bagaimana agaknya? Kecoh macam ni tak agaknya. Apa pun dalam suasana sebegini kita banyakkan berdoa moga Allah memberi jalan yang terbaik untuk diselesaikan segala kemelut ini. Saat inilah kebijaksanaan seseorang pemimpin teruji. Adakah selama ini perjuangan mereka kerana kepentingan atau kerana kedudukan. Kejap ke sana kejap ke sini kerana mengejar kepentingan. Kita mengharapkan keteguhan pendirian ini biarlah pada kebenaran bukan kepada kepentingan.

Ada orang hebat dan tegas pegangannya tetapi pegangan yang salah, payah jugak. Ada orang yang tegas pegangannya tetapi tidak pula mahu berjuang, Pun susah jugak. Ada juga yang tegas pegangannya tetapi masa yang sesuai sahaja dizahirkan perjuangannya, itu pulak menyusahkan. Ada yang lagi susah yang pegangannya ikut kepentingan. Sebab itu Allah mengajar di dalam Surah 110 ayat 1-3

1]Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), - [2]Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, - [3]Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Kemenangan dan kekalahan tidak meyebabkan kita menjadi lupa kepada Allah. Mudah-mudahan selepas ini pendirian kita semakin kukuh bersama kebenaran bukan kerana kepentingan. Oleh itu apa juga yang berlaku di Perak, yang di Negeri Sembilan ambillah pengajaran. Hikmah yang cukup besar untuk kita belajar dengan situasi ini.

Lobai Kampung : bukan ahli politik, tapi suko belajar dari ragam orang politik

Kisah Katak Yang Berjaya

.
0 comments

Ada satu pertandingan memanjat tiang di antara katak-katak. Siapa yang dapat panjat tiang paling tinggi dia akan menang. Hadiah lumayan RM 50 juta. Semua katak sangat mengidamkan duit tersebut. Bila wisel dibunyikan semua katak menunjukkan skil masing-masing ada yang jatuh ada yang berjaya naik. Penonton terus bersorak. Ada yang menyokong tak kurang yang mengutuk. Akhirnya semua katak gagal naik tiang paling tinggi melainkan seekor katak sahaja yang berjaya. Bila disiasat dan ditanya tentang rahsia kejayaan katak tersebut dengan rilek dia menjawab : AKU PEKAK . Patutlah dia buat tak tau je apa orang cakap.

Moral Cerita : Positif, kalau nak kejayaan jangan peduli cakap orang. Negatif, jangan sampai bermati-matian sebab nak kejar habuan dunia. Dunia, makin dikejar makin jauh, makin di kumpul makin rasa tak cukup.

Posan Lobai : Hadis Nabi SAW menyebut : Jadilah kamu di dunia ini seperti asing atau musafir yang meneruskan perjalanan.

Mufti Baru Di Negeri Sembilan ?

.
4 comments

Penamatan kontrak ( dibaca-tak disambung ) Mufti Kerajaan Negeri Sembilan S.S Dato Hj Murtadza b Syeikh Ahmad menimbulkan pelbagai persoalan. Usaha tidak menyambung kontrak beliau dengarnya telah dibuat sejak beberapa tahun lalu, namun gagal kerana sokongan kuat dari orang besar Negeri Sembilan. Namun, kali ini berjaya pula. Tetapi menimbulkan pelbagai polemik dan persoalan siapa yang bakal menjadi pengantinya. Atas alasan apa SS Dato Mufti yang dikasihi ini tidak disambung kontrak, hanya orang yang tidak mahu menyambungnya sahaja yang boleh beri jawapan. Selain dari pada itu tidak lebih dari spekulasi. Untuk menyatakan sokongan kepada SS Dato Murtadza supaya di sambung, Lobai suka bertanya :

1. Adakah Mufti kita uzur ? ( kalau uzur cuba kita pegi pejabat mufti tingkat 3, siapa rasa semput baik tak payah jadi mufti. Dato' Murtadza dalam sehari turun naik lebih dari sekali atas urusan beliau yang sibuk )

2. Apakah kontroversi atau kesalahan yang dibuat oleh Dato Murtadza ( beliau seorang yang sangat praktikal dan rasional, setiap masalah yang diajukan kepadanya alhamdulillah ditangani dengan kebijaksanaannya dan tidak mengeruhkan keadaan. Ramai tuan-tuan guru dan Ustaz-ustaz sangat menyenangi pendekatan beliau. Prinsip beliau mudah andai tidak diberi kebenaran untuk orang mengajar siapa yang hendak mengajar ? )

3. Apakah sudah ada / 'tersedia' calon pengganti yang berkredebiliti ? ( mungkin di kalangan ahli majlis fatwa sendiri, namun siapa yang sanggup menggantikan tempat beliau di dalam keadaan beliau masih layak memegang jawatan tersebut?Kalau ada yang sanggup mungkin diperangkap atau dipaksa terima. Ataupun kalau ada jugak mungkin ia adalah calon kesukaan bukan calon berkelayakan ( paham2 jo lah )

Ini bukan isu jawatan, mempertahankan ulama tak sama kesnya macam mempertahankan orang berpolitik yang berjawatan. Lobai yakin yang sayang dan menyokong mufti adalah mereka yang tiada berkepentingan. Memang kita beriman dengan ketentuan Allah tapi itu bukan hujah untuk menghalalkan perkara mungkar yang dibuat.

Lobai Kampung : Teringat kata2 Dato Ismail Kamus : Ulama tak gilo kuaso, cumo nak ambik kuaso dari orang gilo..

Tidak dibenarkan mengajar di Masjid Negeri ?

.
0 comments

Dengar khabar ( tak pasti pulak khabar angin atau khabar tanah ) ada beberapa Ustaz yang menjadi tenaga pengajar takmir di Masjid Negeri, Seremban tidak dibenarkan lagi mengajar di sana. Namun setakat ini alhamdulillah ok lagi. Harap-harap jangan di halang orang berilmu berkongsi ilmunya. Yang pelik orang buat maksiat di Taman Tasik depan Masjid Negeri takde pulak yang berminat nak halang . Kita doakan moga Ustaz ini dapat terus mencurah ilmunya buat kita semua. Mungkin ada yang terasa sebab ustaz tu pakai perasa rasanya, yang dengar tu pulak mungkin darah tinggi, kalau itu ubat janganlah dihalang, telan sajalah!

Posan LK : Jangan kacau, nanti meracau

HATI : Raja yang jangan kau biarkan BERPENYAKIT

.
0 comments

Dan janganlah engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan , iaitu pada hari yang tidak lagi memberi manfaat harta benda dan anak pinak, melainkan mereka yang menghadap Allah dengan HATI yang BERSIH (sejahtera) --- Assyu'ara 87-89

Semoga Allah merahmati kita semua dan membersihkan hati kita dari syirik dan nifaq, suci dari bid'ah dan sifat mazmumah seperti takabbur dan riya', hasad dan tipu daya terhadap sesama muslimin. Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan bersabar, berusaha dan memerhatikan perkara ini dengan serius. Jangan lupa banyakkan berdoa :

Wahai tuhan kami! Janganlah engkau sesatkan hati kami sesudah engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kami dari sisi Mu rahmat. Sesungguhnya engkau maha pemberi ( ali-Imran : 8 )

Mengenal Kebenaran, Kenal Orang Yang Benar

.
0 comments

Semuanya bermula dari kampung. Kalau tidak kerana jasa lobai kampung yang tidak be'B.A' ber 'M.A' dan ber'Phd' yang hari ini bergelar Ustaz tak bergelar Ustaz .. Kita cuba berbincang cara anak-beranak, jangan bergaduh-gaduh. Yang ini tuduh yang ini tak betul, begitu juga sebaliknya. Lobai Kampung sekadar berkongsi pandangan. Semua orang yang berilmu mesti dihormati tidak kira apa juga latar belakang pengajiannya, kelulusannya dan jawatannya. Sekadar memulakan catatan, Lobai Kampung tidak berhasrat menjadi hero di tengah-tengah pahlawan-pahlawan yang sedang bertarung, siapalah aku sekadar Lobai Kampung. Bacalah blog ini tanpa sebarang rasa prejudis. Semoga manfaatnya menjadi milik kita bersama.