2 Program Mega Dihadiri Rakyat Negeri Sembilan

.
0 comments


15 Januari 2012 adalah detik bersejarah di Negeri Sembilan. Bagi saya secara peribadi dua 'Program Mega' pada tarikh dan waktu yang sama benar-benar menguji sejauh mana sambutan kepada keduanya. Saya tidak melihat angka yang hadir tapi melihat 'perubahan' sedang bergerak dan berlaku. Mungkin bagi sebahagian yang melihat, jumlah yang hadir bukan kayu ukur kebangkitan rakyat, setidaknya sambutan program itu memberi petunjuk kepada keinginan perubahan dalam masyarakat. Walaupun pada awalnya rasa juga bimbang andai salah satunya tidak mendapat sambutan, namun berserah sahaja kepada Allah untuk menggerakkan hati 'manusia' untuk dipilih untuk hadir kepada salah satu program mega di Negeri Sembilan ini.


Negeri Sembilan adalah negeri subur untuk perubahan, bukan kerana pada jumlah kerusi semata-mata penilaiannya tetapi juga tekanan yang mereka hadapi selama ini serta kesedaran untuk melihat Islam sebagai sistem kehidupan. Di satu sudut, program ceramah politik di hadiri golongan yang ingin perubahan setelah merasai kezaliman selama berada di dalam Barisan Nasional. Pada sudut yang lain pula program ceramah dan tazkirah di Masjid/Surau didekati kerana telah merasai selama ini sistem yang berjalan tidak memberi kebaikan buat diri mereka, keluarga dan negara. Maka mereka melihat penyelesaiannya mesti kembali kepada Islam. Justeru program ceramah dan tazkirah ada pengikut tersendiri.

Program Kuliah Maghrib Perdana bersama Ustaz Azhar Idrus di Masjid Bandar Baru Senawang, ternyata mencipta sejarah. Saya belum pernah menyaksikan seramai ini penyertaan dalam sebuah program yang diadakan di Masjid di sekitar Negeri Sembilan. Kehadiran anak-anak muda yang melimpah hingga ke tempat letak kereta jelas menunjukkan keinginan mereka mendekati Islam. Biarpun ada di kalangan pendengar malam itu tidak kenal dan pernah mendengar Ustaz Azhar Idrus di dalam you tube, kehadiran penceramah tersohor ini mampu menarik keinginan mereka untuk menghadirinya. Kutipan malam itu sahaja mencecah RM 20 ribu ringgit




Di Dataran Rakyat Gemas juga menyaksikan kebanjiran manusia. Tidak kisah berapa yang cuba dinyatakan oleh blogger upahan BN tentang kehadiran malam itu. Yang pasti kebanyakan yang hadir adalah dari sekitar Gemas. Mungkin ada yang dari felda berdekatan, Gemencheh, Tampin, Kuala Pilah dan Jempol. Ironinya kawasan Gemas adalah saksi penyelewengan dan ketirisan kerajaan melalui projek NFC. Rakyat sekitarnya juga merasai sukar untuk mendapat tanah, tiba-tiba apabila didedahkan oleh Jabatan Audit, orang lain semudahnya beroleh tanah dan projek sebesar itu. Kezaliman ini mereka rasai. Ditambah simpati kepada Dato Seri Anwar Ibrahim.

Nafikanlah semampu yang mungkin untuk menyedapkan hati orang atasan mengenai keinginan perubahan ini. Dunia tidak pernah menunjukkan sejarah orang yang menolak perubahan boleh bertahan. Harapan besar rakyat ini mesti diterjemahkan dalam bentuk undi dalam PRU 13 yang entah bila kunjung tiba. Kini semua sedang bercakap mengenai perubahan. Anda bagaimana ?
















Antara Imam 5 minit dan Imam 5 Tahun..?

.
0 comments

Antara Imam 5 minit dan Imam 5 tahun..?

Mungkin tidak sukar untuk memahami ayat ini. Imam 5 minit adalah gambaran imam solat yang tempohnya tidak begitu lama memimpin satu solat fardu, namun pemilihannya sangat ditekankan agar yang dipilih menjadi imam benar-benar layak dan berilmu. Imam mesti di kalangan mereka yang baik bacaannya, alim fiqhnya dan tidak melakukan dosa besar. Di mana sahaja kadang-kadang imam jauh lebih dihormati dan disegani berbanding pemimpin masyarakat.

Imam 5 tahun pula adalah gambaran kepada pemimpin yang dipilih melalui pilihanraya setiap 5 tahun (atau kurang). Peranannya lebih besar dalam mencorak sebuah negeri dan Negara. Mereka yang membentuk dan menggubal dasar sama ada menjadikan Negara lebih baik atau sebaliknya. Di dalam Negara demokrasi seperti Malaysia, pemimpin yang dipilih biasanya mewakili parti tertentu untuk membentuk sebuah kerajaan. Justeru, melalui pilihanraya rakyat akan memilih pemimpin bukan sekadar menilai kelayakan individu yang menjadi calon bahkan juga pertimbangannya adalah melihat kepada parti yang diwakili atau salah satu daripadanya.

Kedua-dua imam ( pemimpin ) ini mempunyai persamaan. Kedua-duanya memikul amanah. Amanah yang hakikatnya dipilih oleh Allah untuk dipikulnya. Biarpun pilihan itu dilihat dengan usaha makhluk hakikatnya amanah itu adalah pilihan dari Allah untuk menguji sejauh mana nilai kehambaan di dalam memikul amanah tersebut. Kedua-duanya layak ke syurga dengan amanah tersebut begitu juga sebaliknya. Bahkan dengan amanah berat itu menjadikan kedudukan mereka lebih tinggi berbanding orang lain sekiranya bertakwa kepada Allah SWT.

Amanah menentukan kejayaan dan kesejahteraan. 'Skil' yang hebat tanpa sifat amanah yang kuat tidak akan memberi kebaikan. Justeru, dalam memilih imam 5 minit dan imam 5 tahun bukan hanya persoalan 'skil' sahaja yang menjadi penekanan bahkan yang lebih penting adalah sifat amanah dalam diri mereka. Membangun nilai dalam sebuah masyarakat memerlukan pemimpin yang amanah di dalam melaksanakan tugas. Tidak hanya dengan skil yang hebat. Lihat sahaja contoh bagaimana seorang pemimpin yang punya latar belakang dalam bidang ekonomi, gagal mengurus ekonomi dengan baik akibat tidak amanah. Begitu sebaliknya, walau tidak punya kemahiran namun kerana prinsip amanah yang diamalkan mampu menyelamatkan.

Di dalam Islam seorang pemimpin itu juga adalah imam untuk rakyatnya. Justeru, kelayakan menjadi pemimpin itu jauh lebih ketat berbanding menjadi imam dalam solat. Cuma bila masyarakat dilanda sindrom 'tak kisah' menyebabkan sesiapa pun boleh dipilih menjadi pemimpin mereka untuk lima tahun sedangkan dalam urusan memilih imam 5 minit mereka begitu teliti memerhati. Seperti Imam Solat juga apabila mereka melakukan kesalahan mereka boleh ditegur untuk memperbaiki kesilapannya, Imam 5 tahun juga begitu. Mereka mesti ditegur apabila melakukan kesalahan bukan terus mengampu dan memuji sehingga membinasakan diri pemimpin itu dan seluruh rakyat. Apabila imam 5 minit terbatal dan hilang kelayakan maka makmum mesti mengambil alih agar solat Jemaah itu diteruskan. Sebegitu juga imam 5 tahun yang kita lantik, bila mereka hilang kelayakan dan melakukan penyelewengan kita tidak boleh terus membiarkannya. Mereka wajib diganti dan wajib diubah. Renungkan !